KOTA KINABALU, 26 Okt:
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) mendedahkan penyelewengan dan
penindasan kerajaan Malaysia yang didakwa melibatkan anggota apprentices Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Ketua Penerangannya, Mohd Zulfikar Abd Mijan, mendakwa terdapat
hampir 1,000 anggota apprentices TLDM di bawah Skim Apprentices Diploma
Teknologi Marin (DTM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai berasa
teraniaya kerana tidak diberikan hak dan kebajikan kepada mereka dengan
apa yang dijanjikan sebelum ini.
“Ramai anggota tidak diberikan pangkat petter officer (PO) dan gaji yang setimpal kepada mereka,” dakwanya kepada sidang media di Pejabat PAS Sabah, Kota Kinabalu, semalam.
Tambahnya, terdapat beberapa perkara mengundang rasa tidak puas hati
mereka terhadap pengurusan TLDM dalam melaksanakan tanggungjawab
kebajikan kepada anggota.
Beliau mendakwa, selain kesemua anggota berkenaan tidak mematuhi
kontrak sebenar dalam perkhidmatan, mereka juga tidak diberikan peluang
untuk mendapatkan penjelasan kukuh berkaitan arahan pemberhentian yang
lebih awal dari waktunya.
“Alasan yang digunakan oleh pihak TLDM untuk menyekat kenaikan
pangkat dan menawarkan berhenti sukarela adalah tidak munasabah dengan
menggunakan alasan kegagalan penyiapan kapal ronda generasi baru dan
lebihan anggota dalam perjawatan.
“Pampasan berhenti awal juga tidak komprehensif kerana itu kesalahan
TLDM yang tidak mematuhi kontrak menyebabkan caruman LTAT diterima
adalah sikit berbanding anggota lain,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, kegagalan pihak TLDM menyiapkan 23 daripada 27
buah baki kapal perang menyebabkan graduan lepasan DTM terpaksa
diserapkan ke unit-unit kecil bahagian TLDM dengan tidak mempraktikal
secara teknikal berhubung pengajian mereka di UTM.
Beliau mendakwa penindasan skim berkenaan semakin ketara apabila
kesemua mereka tidak diberikan latihan peralihan untuk mempersiapkan
diri sebagai orang awam dalam masyarakat.
“Mereka tidak ditawarkan peralihan sekurang-kurangnya 2 atau 3 bulan
untuk mempersiapkan diri menjadi orang awam sebagaimana anggota lain,”
katanya.
Selain dari itu, kesemua anggota DTM terbabit juga seolah-olah
dipaksa dan diugut untuk menandatangani borang perjanjian umpama
akujanji untuk tidak mengambil apa-apa tindakan undang-undang terhadap
pengurusan TLDM.
Dakwa Zulfikar, walaupun perkara itu berlaku semasa pentadbiran Datuk
Seri Najib Tun Razak memegang tampuk Menteri Pertahanan, namun
penyelewengan dan penindasan yang didakwa itu wajar dijawab oleh Najib
dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan ketika
ini.
Dokumen
penyelewengan tersebut diserahkan kepada Ahli Parlimen Jerai, Mohd
Firdaus Jaafar untuk didedahkan di Parlimen yang turut hadir pada sidang
media itu.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA