GOMBAK, 22 Okt:
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata,
setiap blogger mahupun pengamal media baru perlu banyak belajar agar
boleh menjadi seorang penulis yang berhemah.
"Setiap blogger serta pengamal media baru perlu terus belajar dan
jangan henti untuk kita terus belajar kerana ia akan dapat melahirkan
kita sebagai penulis yang lebih berhemah.
"Kita melihat apa yang berlaku sekarang ini kebanyakan blogger
memaparkan dengan perkara yang tidak betul dan melemparkan
fitnah-fitnah," jelasnya sewaktu merasmikan Persidangan ICT dan Media
Baru 2011 di Dewan Datuk Fadzil Noor, Taman Melewar hari ini.
Tambahnya lagi, sebagai seorang blogger perlu mempunyai sifat-sifat yang mulia, bukannya menulis perkara-perkara fitnah.
Beliau juga memberitahu ada penyakit yang perlu diubat dalam dunia
blogger yang dilihat sentiasa melemparkan perkara-perkara yang tidak
benar malah menjadikan ia satu usaha penyebaran unsur-unsur jahat dengan
niat.
"Penyakit menyebar fitnah perlu diubat kerana ini akan menjadikan
budaya ytang tidak sihat di negara ini malah ia akan menjadikan budaya
penyebaran fitnah yang tidak berhemah.
"Saya tekankan di sini blogger kena belajar dan mempunyai pengetahuan
agama yang kuat, cara ini sajalah yang dapat mengubat penyakit penyebar
fitnah di dalam dunia media baru.
"Selain itu pembelajaran kesasteraan juga perlu untuk kita mantapkan
penulis ayar ayat-ayat yang kita tulis mempunyai nilai tersendiri serta
menarik minat pembaca," sambungnya lagi.
Nik Aziz juga meminta blogger serta pengamal media baru mempelajari
bagaimanakah cara untuk menjawab setiap isu fitnah dengan menitik berat
serta mengambarkan nilai-nilai keIslaman kerana ia juga dapat memberi
kesan mendalam kepada penjelasan kepada fitnah.
"Kita perlu belajar untuk menjawab setiap persoalan dan ini akan
memastikan untuk setiap soalan atau fitnah dapat kita perjelaskan
kembali dengan cara yang baik, ini akan memberi kesan kepada setiap
pembaca.
"Di sinilah yang akan dinilai oleh setiap pembaca dan mereka sendiri
yang akan menilai siapa yang betul mahupun tidak dan saya pasti
penjelasan yang baik Umno juga akan dapat berubah setelah tidak dapat
menimbulkan isu baru kerana penjelasan kita berikan itu," tambah Nik
Aziz lagi.
Menteri Besar Kelantan itu juga menjelaskan persaingan juga perlu
kerana ia mendatangkan kesan kepada apa yang dilakukan dan dapat
menimbulkan kebenaran kepada sesuatu perkara.
"Persaingan yang baik akan melahirkan kebenaran kerana isu yang
timbul akan dibahas serta pendapat masing-masing dan akhirnya
mendatangkan kebenaran yang diterima oleh semua," katanya.
Persidangan yang dianjurkan oleh Lajnah ICT dan Jabatan IT PAS Pusat
bersama dengan Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat selama sehari ini
meletakkan objektif menyeragamkan pemahaman garis panduan gerak kerja
bersepadu facebook atau twitter kepada semua petugas penerangan dan
maklumat di semua peringkat.
Ia juga bertujuan mengulangkaji mengemaskini dan mendapat maklum
balas status kesediaan keperluan ICT di semua peringkat serta berkongsi
pengetahuan berhubung dengan media sosial dan webtv sebagai sumber
maklumat alternatif serta mendapat sokongan dan komitmen dari kepimpinan
tertinggi PAS untuk melancarkan Jentera Bersepadu Petugas ICT dalam
jentera pilihan raya dan penerangan lebih awal sebagai persediaan dalam
menghadapi pilihanraya umum nanti. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA