Selamat Datang

Isnin, 24 Oktober 2011

Suruhanjaya Diraja perlu siasat penyelewengan IC


| Print |
Nasrudin Hassan at-Tantawi   
Berikutan daripada kejadian 240 orang warga asing yang telah berkumpul di Istana Dugang Country Resort  pada Rabu 12hb Oktober 2011, Pemuda PAS Malaysia telah mencurigai perkara-perkara berikut: Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Imran Abdul Rahman telah menyatakan bahawa warga asing yang berkubu di Istana Dugang Country Resort adalah bertujuan untuk kursus keusahawanan adalah tidak konsisten dengan bukti dan keterangan saksi.  Antara keterangan yang diperolehi adalah pertama tiada sebarang kursus pun diadakan dalam tempoh 5 jam tersebut dalam resort tersebut. Warga asing tersebut hanya mundar mandir dalam resort tersebut.  Ini telah disahkan oleh petugas-petugas pemuda PAS yang berada di lokasi kejadian.  Kedua, tidak ekonomik suatu kursus dalam tempoh masa hanya 5 jam dengan jarak 800 km pergi dan balik dari Johor Baharu ke Putrajaya untuk melatih 240 orang warga asing. Ketiga, apakah keperluan untuk mengadakan kursus keusahawanan kepada warga asing yang tidak dibenarkan berniaga dalam negara ini. Justeru pihak polis seolah-olah melindungi pihak-pihak tertentu dalam kejadian yang berlaku ini.

Berdasarkan kepada maklumbalas daripada warga asing tujuan mereka berada Putrajaya kemudian dipindahkan ke Istana Dugang Country Resort adalah untuk mengambil kad pengenalan biru.
Menurut saksi  kejadian  terdapat ikrar yang telah dibacakan tanpa mengunakan microfon dalam bas yang memberi maksud bahawa kad pengenalan biru akan diberikan dan diminta mengundi parti kerajaan yang memerintah.
Menurut saksi kejadian terdapat seorang  wanita yang memakai jaket Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) telah menaiki bas daripada hentian Rawat & Rehat, Kulai. Beliau telah memberi taklimat tertentu di dalam bas tanpa menggunakan microfon. Tetapi beliau tidak bersama kumpulan warga asing ini semasa di Istana Dugang Country Resort.
Menurut saksi kejadian arah perjalanan warga asing ini sering berubah-ubah. Mulanya atas tujuan mesyuarat di Putrajaya. Kemudian ada uru-ura dipecahkan di beberapa lokasi di Johor. Apabila sampai di Putrajaya mereka berpusing-pusing di Putrajaya dan akhirnya diarahkan ke Istana Dugang Country Resort.
Menteri Dalam Negeri Datuk Hishammuddin Tun Hussien seolah-olah lepas tangan dalam isu ini dengan kononnya mahu menyerahkan kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen berkaitan pilihan raya dan SPR. Pemuda PAS berpendapat bahawa Jawatankuasa Terpilih Parlimen ditubuhkan untuk memperbaiki sistem perjalanan pilihanraya di negara ini bukannya bertujuan untuk memperbaiki sistem permohonan kad pengenalan warga asing yang melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara. Menteri Dalam Negeri juga tidak mengetahui apa tujuan 240 orang warga asing tersebut berada di Istana Dugang Country Resort sedangkan Ketua Polis Daerah Sepang mengetahui tujuan mereka berada di situ kononnya menghadiri kursus keusahawanan. Ini memberi isyarat bahawa Menteri Dalam Negeri seolah-olah melindungi pihak-pihak tertentu dalam hal yang berkaitan dengan mempermudahkan pemberian kad pengenalan kepada warga asing bagi tujuan-tujuan tertentu.
Berdasarkan kepada penyatan-penyataan di atas maka Pemuda PAS sangat khuatir bahawa terdapatnya aktiviti memudahkan pemberian hak kewarganegaraan kepada warga asing di negara ini untuk tujuan tertentu.
ISU KOD NEGARA “71”
Pemuda PAS Malaysia mempunyai bukti yang kukuh bahawa terdapat  170,818 dalam Daftar Pemilih Induk(DPI) suku ke dua 2011 SPR yang  mempunyai kod negara “71”. Berdasarkan kepada semakkan laman web JPN, tiada kod “71” disenaraikan sebagai kod rasminya.  Oleh itu Pemuda PAS menganggap bahawa kod “71” adalah suatu kod  warganegara  yang tidak diketahui negara asal kelahirannya. Walaupun terdapat kecurigaan tetapi oleh kerana nama mereka berada dalam DPI maka mereka  diberi hak mengundi bagi memilih ahli Parlimen di negara kita.
42.33 % atau 72,742 pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran ini adalah dari rumpun bangsa Cina iaitu Cina (71,252), Hokkien (521), Teochew (375), Cantonese (292), Foochow (135), Hainanese (119), Henghua (25) dan Hokchiu (23).   17.33 % atau 29,605 pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran ini adalah dari rumpun bangsa India iaitu India (24,663), India Muslim (2,399), Punjabi (796), Sikh (639), Sri Lanka (346), Pakistani  (328), Tamil (324), Tamil Sri Langka (67), Telegu (21), Malabari (12) dan Bangledeshi  (10). Bangsa Bangledeshi adalah bangsa yang paling sedikit sekali menjadi pengundi di negara kita.
Menariknya bagi rumpun bangsa Indonesia yang pernah memanaskan negara dengan Isu Mismah suatu ketika dulu hanya meliputi 4.37 % atau 7,468. Mismah memiliki kod negara “71” dan telah menjadi warganegara pada 31 Januari 2011. Pengundi  daripada bangsa Indonesia yang tidak diketahui negara asal  kelahiran ini dipecahkan kepada bangsa Indonesian  (4,942), Bugis (1,356), Jawa (872), Banjar(240) dan Boyan (58).
Bagi pecahan agama daripada pengundi warganegara tidak diketahui negara asal kelahiran ini adalah Islam 37.7 % ataua 64,400 orang sahaja menakala 62.30 % atau 106,418 pengundi bukan beragama Islam. Pecahan bukan beragama Islam adalah seperti berikut Buddha (50,842), Tiada Maklumat (22,595), Hindu (12,698), Tiada Ugama (9,726), Kristian (8,437), Sikhism (2,037) dan lain-lain (83). Menariknya bagaimana mereka yang tidak mempunyai makumat agama meliputi 13.22 % atau 22,595. Suatu jumlah yang sangat luar biasa.
Bagi pecahan mengikut negeri tempat mengundi pula adalah Selangor (29,758), Johor (28,164), Wilayah Persekutuan (17,548), Perak (16,680), Kelantan (15,345), Pulau Pinang (12,799), Sarawak (9,324), Sabah (8,590), Melaka (8,069), Negeri Sembilan (7,516), Pahang (6,495), Kedah (5,793), Terengganu (3,313) dan Perlis (941) . Ini bermakna bahawa negeri  Pakatan Rakyat (PR) termasuk Perak dan Wilayah Persekutuan mempunyai pengundi yang tidak diketahui negara asal kelahiran seramai 57.32 % atau  97,923 orang. Suatu jumlah yang cukup besar yang mungkin boleh menumbangkan kerajaan yang memerintah.
Bilangan 170,818 adalah tidak termasuk nama Mismah dan senarai yang dibantah oleh PAS Selangor serta Pakatan Rakyat (PR) berjumlah  1,597 orang. Pemuda PAS Malaysia menjangkakan bahawa terdapat lebih ramai lagi pengundi tidak diketahui  negara asal kelahiran ini dalam Daftar Pemilih Induk(DPI) suku ke-3  2011. Dijangka DPI  suku ke-3 2011 ini akan digunakan untuk pilihanraya akan datang.
Dalam jawapan yang telah diberikan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) pada 5hb Oktober 2011 dinyatakan bahawa kod “71” adalah kelahiran warganegara Malaysia di luar negara dan Pemastautin Tetap Malaysia.  Mulai tahun 2001 JPN baru mewujudkan kod-kod Negara luar secara khusus mengikut negara kelahiran masing-masing
Walaubagaimana pun kewujudan warga negara yang mempunyai kod “71” pada waktu ini adalah terlalu ramai dan mencurigakan kerana JPN terlalu lewat memperkenalkan kod-kod kelahiran mengikut negeri sejak tahun 2001. JPN bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat Malaysia:
Berapakah jumlah pecahan mengikut negara asal kelahiran bagi semua kod “71” ?
Berapakah bilangan warga negera yang lahir di luar negara dan menggunakan kod “71” ?
ISU KAD BERKEMBER DALAM DAFTAR PEMILIH INDUK (DPI) SPR
Pemuda PAS Malaysia telah membuat siri-siri pendedahan manipulasi pilihanraya selama dua bulan kepada pihak media. Hasilnya, kami dapat mengenalpasti bahawa terdapat  ribuan kes kad pengenalan  yang berkembar. Buktinya, pertama yang paling jelas adalah melalui kenyataan dalam media The Star pada 24 Julai 2011 dimana  Dato Wan Ahmad Bin Wan Omar, Timbalan Pengerusi SPR mengakui bahawa terdapat kad pengenalan klon dalam daftar pemilih SPR. Bukti kedua adalah melalui data yang telah dikeluarkan oleh SPR daripada Daftar Pemilih Induk (DPI). SPR memberi alasan punca utama mereka mengeluarkan data tersebut adalah kerana data tersebut tidak ada dalam rekod JPN.  Isunya adalah bagaimana  nombor kad pengenalan tersebut pernah diwartakan sebagai pengundi yang sah. Bukti ketiga adalah terdapat dua jenis data yang telah dibongkar oleh Dewan Pemuda iaitu pertamanya isu dua nama yang sama memiliki no kad pengenalan yang hampir sama dan keduanya isu satu kad pengenalan lama dimiliki oleh dua individu. Kedua-dua kad pengenalan ini sangat mencurigakan. Bersama ini Pemuda PAS menyediakan satu lampiran contoh-contoh nombor kad pengenalan yang berkembar.
DESAKAN
Bukti-bukti yang Pemuda PAS bangkitkan adalah melambangkan kecelaruan kerja yang terdapat dalam  JPN.  Kelemahan ini mungkin telah diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk memanipulasi data-data JPN. Kami penuh yakin terdapat dalang disebalik masalah yang berlaku. Kami akan mendesak kepada pihak atasan agar ditubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat penyelewengan pengeluaran kad pengenalan di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails