KUALA LUMPUR, 29 Okt: Solidariti Anak Muda Malaysia
(SAMM) Segmentasi Mahasiswa mengutuk sekeras-kerasnya tindakan amaran
penggantungan pengajian oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam
terhadap Khalid Mohd Ismath.
Penyelarasnya, Wan Farel berkata, ini berkaitan tulisan beliau dalam
blognya yang "menghentam" pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa
(UIA) berhubung isu penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari dan
terlibat dengan demonstrasi aman kebebasan akademik di UIAM, baru-baru
ini.
Katanya, sedangkan pihak pentadbiran UIA sendiri sudah melepaskan
Professor Dr Aziz Bari membuktikan tindakkan UIA tidak berlandas kepada
peraturan.
“Di manakah silapnya jika mahasiswa mengkritik universiti tersebut secara ilmiah dan terbuka?” soalnya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, kekangan pihak UiTM terhadap mahasiswa yang mempunyai
pandangan dari sudut berbeza akan merealisasikan apa yang dipanggil
'pembonsaian minda' terhadap mahasiswa.
Tambahnya, SAMM Segmentasi Mahasiswa berpendapat tindakan amaran
penggantungan yang dikenakan kepada saudara Khalid Mohd Ismath adalah
satu tindakan yang zalim dan tidak relevan kerana ia melanggar hak
kebebasan bersuara dan berhimpun seperti yang terkandung dalam
perlembagaan perkara 10(1)(B).
Khalid adalah mahasiswa tahun satu Fakulti Undang-undang dan
merupakan timbalan presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen
(KAMI).
Menurut sumber tertentu melalui tulisan di blognya, Khalid
menyifatkan penggantungan tugas pakar perlembagaan itu sebagai tidak
patut memandangkan Prof Abdul Aziz digantung sebelum dibicarakan lantas
Khalid mengajak semua pihak turun berdemonstrasi membantah keputusan
pentadbiran UIA Selasa lalu.
“Perkara ini membuktikan, hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam
Perlembagaan jelas telah dilacurkan oleh pihak Universiti atas
tindakan memanggil Saudara Khalid dan mengarahkan beliau memadamkan
tulisan di blognya,” kata Farel lagi.
Menurutnya, atas desakan pihak universiti Khalid terpaksa akur dan memadamkan tulisan yang ditulis di blognya.
Tambahnya, jika sebelum ini ada pihak yang cuba membangkitkan bahawa
kuasa mahasiswa atau kehebatan mahasiswa tidak sehebat seperti era
70-an, namun sebenarnya yang “membisukan” suara mahasiswa adalah sikap
pentadbiran seperti yang ditunjukkan UiTM dan juga Akta Universiti Kolej
Universiti (Auku) yang jelas masih mencengkam suara mahasiswa.
“Amaran keras buat pihak pentadbiran UiTM sekiranya mengambil
tindakan terhadap Khalid, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Segmentasi Mahasiswa tidak akan teragak-agak untuk melancarkan
demonstrasi besar-besaran dan akan bekerjasama dengan Solidariti
Mahasiswa Malaysia (SMM) untuk mendesak keadilan kepada Saudara Khalid,”
katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA