KUALA LUMPUR, 25 Okt:
Meskipun ditegur setiap tahun, kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap
pekak kepada saranan Ketua Audit Negara (KAN), bahkan budaya
penyelewengan, pembaziran, ketirisan dan keborosan semakin subur dalam
pengurusan kewangan negara, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan
Ibrahim Tuan Man.
Dalam satu kenyataan hari ini, Tuan Ibrahim menyimpulkan bahawa
kerajaan BN tidak akan faham bahasa laporan audit, yang boleh
menyedarkan mereka hanyalah bahasa daripada ‘peti undi’ apabila Laporan
Audit 2010 mendedahkan lagi penyelewengan yang sama seperti tahun-tahun
terdahulunya dalam pengurusan projek dan pembelian perkakas agensi
kerajaan.
Mengikut laporan terbaru, antara teguran yang dibuat KAN, ia kelakuan
agensi kerajaan yang sangat jelas melanggari undang-undang.
Sebagai contoh, kata Tuan Ibrahim, bangunan tambahan Perpustakaan
Negara yang diduduki tanpa sijil CF tidak sepatutnya berlaku kerana
sebagai sebuah agensi kerajaan, mereka mesti tahu peraturan dan risiko
menduduki sesebuah bangunan tanpa Sijil Boleh Menduduki (CF).
“Demikian juga teguran terhadap banyaknya projek kerajaan diberi
melalui runding terus dan ianya jelas suatu tindakan untuk memberi
projek kepada kroni dan mereka yang tidak layak menerimanya.
Antara projek runding terus yang merugikan negara ialah pembelian
kuda “sakit” oleh Majlis Sukan Negara. Daripada 23 ekor kuda yang dibeli
dengan harga RM246,000 seekor, hanya 5 ekor sahaja layak bertanding,”
kata Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.
Tuan Ibrahim juga membangkitkan keborosan dalam Jabatan Taman Laut
Malaysia (JTLM) membelanjakan lebih daripada RM128,000, iaitu lebih
2,810% di dalam pembelian pelbagai jenis peralatan.
Yang paling menjengkelkan, kata beliau ialah pembelian satu binokular
oleh JLTM pada harga RM56,350 or 2,805% tinggi daripada harga pasaran
RM1,940.
“Mara (Majlis Amanah Rakyat) juga tidak kurang hebatnya kerana
sanggup membeli ketuhar hampir 300% (RM1,200) lebih tinggi daripada
harga pasaran RM419 dan “katil boleh lipat” pada lima kali ganda RM500
yang harga pasarannya RM100. Keborosan sedemikian ini tidak kena pada
tempatnya kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah pada warga Mara,”
tegur beliau lagi.
Selain itu, kata Tuan Ibrahim syarikat-syarikat GLC yang ditegur
bertahun-tahun juga terus dilanda kerugian. Antara yang mencatat
kerugian yang besar adalah Syarikat Perumahan Negara Bhd (RM21.4 juta),
Indah Water Konsortium Bhd (RM33.4 juta), Aset Global Network Sdn Bhd
(RM41.1 juta), Keretapi Tanah Melayu Berhad (RM92.6 juta), manakala
Prasarana Bhd (RM367.1 juta).
Pada skop yang lebih besar, kata beliau ialah kenaikan hutang negara
sebanyak 12.3% kepada RM407.11 billion pada 2010 daripada RM362.39
billion pada 2009.
“Ini merupakan tahun kedua berturut-turut nisbah hutang negara kepada KDNK melebihi 50% pada 53.1%,” kata beliau.
Penyelewengan di atas, kata Tuan Ibrahim menunjukkan teguran bahasa audit tidak difahami BN.
“Justeru mereka terus menghampakan rakyat tanpa sebarang perubahan
dilakukan. Maka, jelas yang boleh mengajar mereka ialah peti undi, dan
rakyat tidak seharusnya mensia-siakan peluang di petak undi bagi
mengajar dan menghukum kerajaan pekak ini,” tambah beliau.
Beliau juga memberikan amaran kepada rakyat bahawa kekecewaan itu
akan pasti berulang selagi kerajaan yang ada tidak diganti dengan
kerajaan baru yang lebih beramanah dan bertanggungjawab. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA