KUALA LUMPUR, 24 Okt: Skandal kad pengenalan (IC)
terutama yang membabitkan kod "71" dan pemberian kad pengenalan biru
dengan mudah kepada warga asing perlu diberikan perhatian serius oleh
kerajaan kerana ia amat merbahaya keselamatan negara.
Sehubungan
itu, PAS akan memberikan perhatian serius terhadap perkara itu termasuk
membawanya ke persidangan Dewan Rakyat bagi mendapatkan respon segera
dari pihak kerajaan.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata,
antara tindakan segera yang dilakukan termasuk membantu Dewan Pemuda PAS
menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Nazri Aziz di bangunan Parlimen hari ini.
Menurutnya, memorandum
yang diserahkan itu bertujuan mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya
Siasatan Diraja untuk menyiasat penyelewengan pengeluaran kad pengenalan
di negara ini.
Katanya, dalam memorandum tersebut, pihak pemuda
PAS turut menyuarakan kecurigaannya dengan insiden yang berlaku di
Istana Dugang Country Resort di Kajang pada 12 Oktober lalu yang
membabitkan 240 orang warga asing yang akan diberikan kad pengenalan
biru.
"Dalam hal ini, kami amat kesal dengan tindakan Menteri
Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Tun Hussein yang seolah-oleh lepas
tangan dengan kononnya mahu menyerahkan kepada Jawatankuasa Terpilih
Parlimen berkaitan pilihanraya dan SPR," katanya pada sidang media di
lobi Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Pada
hal, menurut beliau, sebagai menteri yang menjaga Kementerian Dalam
Negeri (KDN), Datuk Hishamuddin sebenarnya boleh menjawab terus isu
tersebut tanpa menunggu untuk dibawa kepada jawatankuasa berkenaan.
Katanya, kod "71" adalah suatu kod warganegara yang tidak diketahui negara asal kelahirannya.
"Walaupun
terdapat kecurigaan, tetapi oleh kerana nama mereka berada dalam Daftar
Pemilih Induk (DPI), maka mereka diberi hak mengundi bagi memilih ahli
Parlimen di negara kita," katanya.
Kini, ujarnya, bilangan mereka
amat banyak sehingga jelas menunjukkan masa depan negara akan
ditentukan oleh warga asing yang tidak diketahui asal usulnya.
"Perkara
ini amat penting bagi negara. Ia bukan perkara kecil, tetapi melibatkan
keselamatan negara yang perlu diberikan perhatian serius oleh
kerajaan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Sejajar
dengan itu,katanya, pihaknya akan terus membangkitkan perkara itu
secara berterusan sama ada membawanya ke persidangan Dewan Rakyat dan
menerusi saluran lain bagi menyedarkan pihak kerajaan agar tidak
memandang sebelah mata mengenainya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA