KUALA LUMPUR, 22 Okt: Kegelojohan
Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung Prof Dr Abdul Aziz Bari
dibimbangi boleh mendorong dan menghasut rakyat membenci Raja-Raja
Melayu, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).
"Penggantungan kontroversi ke atas Dr Abdul Aziz yang dilakukan oleh UIA itu semakin terbukti amat menyakitkan hati rakyat.
"Tindakan
UIA itu akhirnya dikhuatiri mendorong dan secara tidak langsung
menghasut rakyat membenci Raja-Raja Melayu," kata beliau.
Malah, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi, tindakan UIA itu benar-benar menjatuhkan maruah Raja-Raja Melayu.
"Tindakan UIA itu menggambarkan seolah-seolah Raja-Raja Melayu tidak boleh menerima teguran dan pandangan professional.
"Memberi
gambaran bahawa Raja-Raja Melayu tidak boleh menerima teguran dan
pandangan professional adalah perbuatan buruk yang benar-benar
menjatuhkan maruah Raja-Raja Melayu," tegas Mahfuz.
Malah,
katanya, memberikan gambaran bahawa-bahawa Raja-Raja Melayu tidak boleh
menerima teguran hakikatnya memberi gambaran bahawa Raja-Raja Melayu
tidak mahu mengamalkan ajaran Islam yang sangat asasi yang menekankan
amar ma'ruf nahi munkar.
Dr Abdul Aziz sebelum itu memberikan pendapatnya sebagai pakar perlembagaan terhadap tindakan Sultan Selangor.
Beliau berpendapat, tindakan Sultan Selangor campur tangan berhubung isu pemeriksaan gereja bukanlah suatu tindakan yang lazim.
Dr
Abdul Aziz dilaporkan berkata, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor,
Sultan Selangor berhak campur tangan, namun ia perlu dilakukan selaras
dengan ajaran Islam.
Akibatnya, beliau disoalsiasat oleh polis,
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), diberi surat
tunjuk sebab oleh UIA dan akhirnya digantung tugas oleh universiti itu
semata-mata kerana memberikan pendapatnya dari segi undang-undang.
Mahfuz
melihat tindakan UIA membalas pandangan professional Dr Abdul Aziz
dengan penggantungan penuh kontroversial itu sebagai perbuatan
"institusi ilmu menghina ilmu".
"Kalaupun benar terpaksa
bertindak selaras dengan kehendak dan kepentingan Umno, janganlah sampai
institusi ilmu menghina ilmu dan melakukan tindakan yang akhirnya akan
membunuh kebebasan akademik.
"Amat buruk kalau institusi ilmu sendiri yang membunuh ilmu dan kebebasan akademik," kata beliau.
Mahfuz
juga menyifatkan amat lucu penjelasan Rektor UIA Profesor Datuk Dr
Zaleha Kamaruddin kononnya tindakan menggantung tugas Dr Abdul Aziz
bukanlah hukuman, sebaliknya bagi memastikan siasatan terperinci dapat
dijalankan berikutan kenyataan beliau mengenai tindakan Sultan Selangor.
"Ini
kali pertama kita dengar seorang ilmuan yang memberikan pendapat
professionalnya perlu digantung tugas untuk membolehkan beliau
memberikan penjelasan mengenai pendapat professionalnya itu.
"Ini sudah tentu boleh mencipta rekod dunia sebagai salah satu perkara paling kelakar sepanjang sejarah," katanya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA