KUALA LUMPUR, 5 Okt:
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mencabar kerajaan khususnya ahli
Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman mendakwanya di
mahkamah jika mendapati beliau mengeluarkan kenyataan menghasut.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga enggan menarik balik kenyataannya di
Dewan Rakyat bahawa Pemuda Umno menghasut orang Melayu menyertai
himpunan sejuta umat Melayu pada tahun 1987. Mahfuz
membangkitkan perkara tersebut sewaktu membahaskan Rang Undang-undang
Kediaman Terhad (Pemansuhan) 2011 dan menimbulkan kemarahan Tajuddin
yang memintanya menarik balik dakwaan tersebut. Beliau mendakwa
Pemuda Umno ketika itu menghasut Orang Melayu menyertai himpunan
tersebut dengan membawa senjata tajam untuk membasahkan darah Orang
Cina dan membawa mancis untuk membakar rumah mereka. Menurut
Mahfuz, kejadian tersebut menyebabkan Ketua Polis Negara ketika itu
terpaksa menghalang himpunan tersebut dengan melakukan operasi lalang
yang menyebabkan beliau dan beberapa yang lain ditahan di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA). "Operasi Lalang tahun 1987 yang
menyebabkan ramai yang menjadi mangsa ISA termasuk saya sendiri dan
beberapa orang yang ada dalam Parlimen hari ini, ekoran ketegangan kaum
yang berpunca daripada kenyataan Najib mewakili Pemuda Umno dan Lim
Kim Sai mewakili MCA. "Berlaku cabar mencabar hingga kepada
peringkat nak mengadakan perhimpunan sejuta umat melayu, dibuat road
show dengan membuat kenyataan hasut Orang Melayu hadir perhimpunan dan
bawa senjata tajam untuk basahkan darah Orang Cina dan bawa mancis api
untuk bakar rumah orang cina," katanya. Tajuddin terus bangun
meminta beliau menarik balik kenyataan tersebut namun ditegur oleh
Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan menyuruhnya duduk. Ekoran itu juga Tajudin yang kecewa dengan tindakan Speaker, keluar meninggalkan dewan.
Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen selepas itu, Mahfuz sekali
lagi menegaskan beliau tidak akan menarik balik kenyataannya itu kerana
mempunyai bukti. "Saya tidak menarik balik kenyataan saya dalam
dewan tadi, sebaliknya kalau itu dianggap kenyataan menghasut boleh
heret dan dakwa saya di mahkamah. "Saya hanya menyebut sejarah
bagaimana isu salah guna kuasa apabila Menteri Dalam Negeri diberi
kuasa dan menyalahgunakan kuasanya," katanya yang pernah menjadi Ketua
Pemuda PAS sebelum ini. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA