Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 (RUU
PPKB 2011) baru sahaja diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2011
yang lepas. RUU PPKB 2011 ini perlu melalui proses perundangan biasa
iaitu perlu dibahaskan di Dewan Negara yang akan bersidang sesudah Dewan
Rakyat selesai bersidang pada Disember 2011 nanti. Apabila dibahaskan
di Dewan Negara dan jika diluluskan, RUU PPKB 2011 tersebut perlu
dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di
Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan Baginda. Setelah diperkenankan
Ke Bawah Duli Tuanku, maka barulah Kerajaan boleh mewartakan
penguatkuasaan RUU PPKB 2011 menjadi Akta Perbadanan Pembangunan Kampong
Bharu 2011.
Demikianlah prosedur sesuatu Rang Undang-Undang menjadi Akta yang
akan mempunyai kuasa di bawah undang-undang. Selagi tidak diluluskan dan
tidak diwartakan, sesuatu Akta tidak mempunyai apa-apa kuasa
penguatkuasaan. MALANGnya Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian
Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) nampaknya tidak
mempedulikan semua prosedur ini lantaran kegelojohan mereka ingin
menjarah tanah Kampong Bharu milik orang-orang Melayu yang dijamin oleh
Enakmen Tanah Petempatan Pertanian Melayu 1950 (Malay Agricultural
Settlement Enactment 1950).
Pada 19 Oktober 2011, KWPKB telah mengadakan suatu perjumpaan
tertutup di antara KWPKB dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang
kononnya mempunyai kepentingan di Kampong Bharu dan juga Lembaga
Pentadbir Kampong Bharu (Lembaga MAS) serta Syarikat-syarikat berkaitan
Kerajaan (GLC) yang terlibat secara langsung dalam pembangunan Kampong
Bharu. Perjumpaan tertutup tersebut diadakan di Aras 7 Kementerian
Wilayah Persekutuan Putrajaya. Pada sidang media selepas perjumpaan
tersebut, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator
Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin dengan bangganya memaklumkan bahawa
KWPKB akan menubuhkan suatu pasukan interim dengan peruntukkan geran
sebanyak RM15 juta bagi memulakan kerja-kerja awal pembangunan Kampong
Bharu. Beliau dilaporkan berkata “Justeru tak kan kita nak tunggu
selesai baru nak bangunkan kawasan itu”.
Kegelojohan amat ketara di pihak Menteri yang tidak sabar-sabar
hendak masuk ke Kampong Bharu meneroka tanah orang Melayu sedangkan
pemilik dan pewaris tanah masih belum mendapat maklumat pembangunan
bagaimana akan dilakukan oleh Kerajaan. Malah pemilik dan pewaris juga
tiada pengetahuan tentang cadangan ini. Kementerian hanya mengambil
pandangan NGO-NGO yang disebutkan terdahulu iaitu PAKAM (Persatuan
Anak-Anak Kampong Bharu) dan PPKB (Persatuan Permbangunan Kampong Bharu)
yang kedua-duanya tiada sebarang lokus untuk mewakili pemilik dan
pewaris tanah. Siapa NGO-NGO ini yang beriya-iya benar hendak
membangunkan tanah Kampong Bharu sedangkan selama ini mereka hanya
ibarat “hidup segan mati tak mahu”? Mereka hanya muncul apabila cadangan
pembangunan ini disebut-sebut oleh Menteri. Ada udang di sebalik batu
kah mereka ini?
KWPKB, walau pun sedar RUU PPKB 2011 masih belum diluluskan oleh
Dewan Negara dan masih belum dipersembahkan kepada Ke Bawah Duli Yang
DiPertuan Agong untuk diperkenan malah lebih jauh lagi masih belum
diwartakan, begitu gelojoh telah menimbang-nimbang melantik suatu
pasukan interim dengan peruntukkan kewangan sebanyak RM15 juta bagi
kerja-kerja awal. Sekali lagi jelas begitu gelojohnya mereka. Rang
Undang-undang belum pun diluluskan, mereka sudah berkira-kira untuk
meneroka tanah orang Kampong Bharu.
Peruntukkan geran RM15 juta tersebut juga menimbulkan persoalan.
Bagaimana peruntukkan geran tersebut dibuat? Peruntukkan RM15 juta
tersebut disalurkan kepada siapa? Pasukan interim yang dimaksudkan belum
ditubuhkan tetapi dimaklumkan bahawa sebanyak RM9 juta daripada
peruntukkan tersebut telah digunakan. Bagaimana peruntukkan tersebut
digunakan? Siapa yang membelanjakan RM9 juta peruntukkan tersebut?
Adakah Kementerian atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atau NGO-NGO
tersebut? Jika peruntukkan RM9 juta telah digunakan sebelum
pembentukkan pasukan interim dan pembentukan Perbadanan, maka kenapa
perlu disebutkan?
Pengumuman penubuhan suatu pasukan interim ini juga dengan jelas
menunjukkan bahawa KWPKB telah mendahului Parlimen dan Yang Dipertuan
Agong. Bagaimana boleh ditubuhkan dan diwujudkan suatu pasukan bagi
menjalankan sesuatu tugasan dengan peruntukkan kewangan sedangkan Akta
yang mengawal Perbadanan yang dimaksudkan masih belum diluluskan? Adakah
ini cara Kerajaan mentadbir negara? Perundangan masih belum diluluskan
dan belum dikuatkuasakan tetapi peruntukkan telah dibuat malah telah pun
dibelanjakan? Ini jelas suatu tindakan menghina institusi Parlimen dan
institusi Istana malah suatu tindakan yang melanggar perundangan negara.
Menteri juga menyatakan bahawa pihak Kementeriannya sedang dalam
perbincangan bersama NGO-NGO dan GLC-GLC berkaitan tentang bentuk
pembangunan yang akan dilakukan di Kampong Bharu. Sekali lagi jelas
menunjukkan bahawa hak pemilik dan pewaris tanah tidak diambilkira malah
diketepikan begitu sahaja. Pembangunan Kampong Bharu hanya
mengambilkira pandangan NGO dan GLC sedangkan mereka ini tiada apa-apa
kepentingan langsung berbanding pemilik dan pewaris tanah. Adakah
pemilik dan pewaris tanah dilibatkan di dalam perbincangan pembangunan?
SILA AMBIL PERHATIAN bahawa tanah yang hendak dibangunkan itu adalah
milik pemilik dan pewaris tanah, bukannya milik NGO atau GLC. Bagaimana
jaminan yang diberikan Menteri sebelum ini bahawa hak pemilik dan
pewaris tanah diambilkira sedangkan pandangan hanya diambil daripada NGO
dan GLC? Sekali lagi nyata dan terang bahawa semua jaminan yang
disebutkan sebelum ini hanyalah omong kosong sahaja.
Kenapa begitu gopoh dan gelojoh hendak membangunkan tanah Kampong
Bharu sehingga pemilik dan pewaris tanah tidak diberikan maklumat
terperinci tentang Rang Undang-undang dan bentuk pembangunan yang hendak
dilaksanakan? Pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu seharusnya sedar
dan membuka mata dengan tindakan gelojoh dan gopoh pihak-pihak ini.
Jangan biarkan tanah milik orang Melayu dan harga diri orang Melayu
diperkudakan pihak-pihak tertentu yang hanya memikirkan keuntungan
mereka semata-mata tanpa memikirkan kelangsungan hidup dan maruah
bangsa.
Penulis adalah Penasihat Undang-Undang Sekretariat Pembangunan Kampung Baru. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA