Ibu bapa merupakan orang yang perlu diberi perhatian dan sangat penting kepada anak-anak. Mereka telah memberi kasih sayang dan melakukan pengorbanan yang besar kepada kehidupan anak-anak sejak dari kecil hinggalah menjadi dewasa. Anak-anak dididik dan dipelihara serta dijaga dengan penuh tanggungjawab oleh kedua ibu bapa.
Ketika anak dalam kandungan ibu, betapa susah payah akan ditanggung oleh ibu dalam waktu yang panjang kira-kira Sembilan bulan lamanya. Kemana sahaja ibu pergi, pasti dibawa bersama anak yang dikandungnya itu samada sewaktu makan, tidur, membuat keja-kerja dan sebagainya. Kesusahan dan kepayahan ditanggung oleh ibu dan menerima dengan redha kerana kasih sayang yang wujud dalam dirinya kepada anak yang dikandungnya itu.
Kesengsaraan dan kesakitan terjelma ketika hendak melahirkan anaknya. Setiap nafas yang keluar itu bagaikan seperti menunggu masa tercabutnya nyawa dari jasad. Begitulah keadaan ibu apabila melahirkan anak. Namun kesakitan tersebut hilang setelah melihat anak yang dikasihi berada didepan mata. Bermulalah kerja ibu untuk menyusukan anak kecilnya dengan penuh kasih saying. Anak akan dipastikan membesar dengan sewajarnya. Suapan makanan, penjagaan dan kebersihan si anak menjadi tugas ibu yang berterusan sehinggalah anak menjadi dewasa.
Begitulah juga bapa merupakan orang yang bertanggungjawab mencari rezeki untuk kehidupan keluarganya. Semua pengorbanan yang dilakukan oleh ibu bapa ini tidak mengharapkan sebarang balasan dari anaknya. Apa yang penting ialah anaknya dapat membesar dengan sebaiknya.
Oleh itu sewajarnyalah sebagai seorang anak dapat membalas jasa ibu bapa apabila mereka ini telah lanjut usia. Penat lelah mereka selama ini haruslah disanjungi dan dihormati. Walaupun mereka tidak meminta dibalas tetapi sebagai anak yang soleh, kebaktian kepada ibu bapa merupakan antara perintah dari Allah kepada manusia. Bukan sahaja anak perlu membalas jasa tetapi juga hendaklah mengelakkan dari menjadi anak derhaka kepada ibu bapa.
Hati kedua ibu bapa hendaklah dijaga dan sudah dianggap sebagai anak derhaka jika berkata ohh kepada ibu bapa. Apatah lagi jika memaki hamun dan memukul ibu bapa sudah menjadi perbuatan yang sangat keji dan dikutuk oleh Allah.
Di dalam hadis, ada menyatakan kewajiban umat Islam adalah untuk melakukan solat pada waktunya, berbuat baik kepada ibu bapa dan berjuang dijalan Allah. Dapat diambil pengajaran bahawa mentaati ibu bapa lebih utama dari berjuang di jalan Allah ketika ibu bapa masih hidup dan memerlukan bantuan anak-anak.
Kebaikan yang dilakukan oleh anak akan diperolehi dan diterima oleh ibu bapa sama semasa masih hidup atau setelah mati. Dikatakan bahawa roh ibu bapa yang baik akan sentiasa melihat perbuatan dan amalan anak-anak mereka yang masih hidup di dunia. Jika kebaikan yang dilakukan oleh anak-anak maka mereka juga mendapat kebaikan tetapi jika kemaksiatan dilakukan maka roh mereka juga akan merasai kesakitan dan kesengsaraan.
Akhirnya sebagai anak, hendaklah kita melakukan amal-amal yang soleh agar kedua ibu bapa kita sentiasa mendapat kebaikan samada semasa mereka masih hidup atau telah mati. Inilah ukuran kasih sayang kita kepada mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA