KUALA LUMPUR, 19 Okt: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar)
menegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor mempunyai kelayakan
untuk mendapat kenaikan elaun disebabkan prestasi yang ditunjukkan
mereka dan negeri amat baik sekali.
Khalid menjelaskan demikian pada sesi perbahasan belanjawan 2012 di
Dewan Rakyat apabila ahli parlimen Barisan Nasional (BN) mempertikaikan
tindakan Pakatan Rakyat (PR) menolak kenaikan yang dicadangkan oleh
kerajaan pada pembentangan Bajet tetapi menerima cadangan yang
dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
"Kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor sepanjang tahun
2009 hingga 2011 telah menghasilkan bajet yang seimbang, hutang negeri
tidak meningkat kerana tiada pinjaman dilakukan.
"Hasil negeri meningkat jika dibandingkan dengan pemerintahan di
bawah BN yang mana rakyat sekarang dapat merasa hasil kekayaan negeri
sejak dari awal dilahirkan sehinggalah mereka meninggal dunia, selain
menikmati air percuma," jelas Khalid yang juga AJK PAS Pusat.
Tambahnya lagi, merujuk kepada prestasi baik dan keseimbangan antara
hasil negeri dan rakyat, maka secara jelas setiap Adun di Selangor
memang layak mendapat kenaikan elaun jika dibandingkan dengan prestasi
yang ditunjukan oleh ahli parlimen BN terutamanya perbelanjaan defisit
selama 14 tahun berturut-turut.
"Ahli Parlimen tidak layak mendapat kenaikan elaun jika kita melihat
prestasi dan amalan pentadbiran BN berbelanja sehingga membuatkan hutang
negara meningkat sehingga 53 peratus dari Kadar Dalam Negara Kasar
(KDNK).
"Bagaimanakah kita hendak bersetujuan agar kenaikan elaun ini
diluluskan, kemerosotan ini bukannya disebabkan oleh dari ahli parlimen
PR tetapi disebabkan oleh mereka di dalam BN yang selalu mengamalkan
bodek dan kroni," katanya lagi.
Beliau juga memberitahu prestasi buruk merupakan halangan untuk
melayakkan setiap Ahli Parlimen mendapatkan kenaikan dan ini pasti boleh
diubah apabila PR mengambil alih pantadbiran di Putrajaya nanti.
Tindakan menuduh pendirian PR tidak bersependapat dengan apa yang
dilakukan di Selangor, Khalid memberitahu kenaikan bergantung kepada
hasil dan prestasi negara, malah jika dibandingkan dengan Negeri
Selangor dari sudut pentadbiran jauh lebih baik dari apa yang kerajaan
BN lakukan di negara ini.
"Kita melihat bagaimana kerajaan negeri menambah pendapatan negeri
yang diperolehi dari hasil dan sumber asli, mengambil kembali hutang
dari mereka yang telah berhutang serta menghapuskan budaya kroni.
"Sedangkan kerajaan pusat hanya tahu menambah hutang negara dan
menurut kajian yang dilakukan oleh badan bebas mengatakan jika amalah
defisit ini dilakukan oleh BN, maka pada tahun 2020 hutang negara akan
meningkat RM1 trilion dan ia akan membawa negara ke arah kebankrapan,"
sambungnya lagi.
Beliau juga menyentuh janji kerajaan yang dinyatakan semasa
belanjawan tersebut yang mahu menaikkan taraf Hospital Kuala Lumpur
(HKL) adalah satu yang baik tetapi dalam pada masa yang sama kerajaan
perlu melihat kedudukan Hospital Shah Alam yang telah terbengkalai sejak
sekian lama. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA