KUALA LUMPUR, 17 Okt:
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan BN tidak pernah memanipulasi
pilihan raya umum di Malaysia supaya kemenangan sentiasa berpihak kepada
parti itu.
Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor (gambar)
menganggap Najib terlupa sejarah pilihan raya umum di Malaysia yang
menyaksikan bagaimana BN memainkan peranan bagi memenangi setiap pilihan
raya berlangsung.
“Barangkali Datuk Seri Najib tidak mengerti definisi sebenar adil menurut perspektif yang betul,” katanya kepada Harakahdaily.
Untuk itu, ujarnya DPPM ingin menanyakan beberapa persoalan yang
perlu dijawab oleh Najib bagi membuktikan bahawa kenyataannnya betul.
Katanya, dalam sejarah pilihan raya umum berlangsung sejak dahulu
sehingga sekarang, bilakah media milik kerajaan Umno BN benar-benar
bersih daripada kongkongan parti pemerintah Umno BN.
Menurutnya, setahu DPPM, tidak pernah media rasmi negara bebas dalam melaporkan hal yang sebenarnya.
Beliau berkata, PAS dan Pakatan Rakyat sejak dahulu tidak pernah
mendapat liputan yang adil daripada media rasmi, malah pemimpin PAS dan
Pakatan Rakyat selalu ditujah dan diserang dari pelbagai penjuru bagi
memburukkan imej PAS di mata masyarakat.
“Pernahkah kerajaan Najib memberi kebebasan untuk pemimpin PAS dan
Pakatan Rakyat tampil di media rasmi negara bagi berkempen sebagaimana
pemimpin Umno perolehi setakat ini?” tanya beliau.
Dalam soal undi pos, katanya PAS telah banyak mengemukakan bukti
serta saksi betapa undi pos digunakan sebagai alat untuk memenangkan
parti pemerintah.
PAS, jelasnya pernah membawa beberapa orang bekas anggota tentera yang mengaku pernah mengundi banyak kali dalam sesebuah PRU.
“Adakah Najib mahu menafikan lagi hal ini?” soalnya lagi.
Katanya, memang benar ada tempat yang undi pos memihak kepada PAS,
tetapi berapa sangatkah jumlah keseluruhannya berbanding undi yang
diperolehi oleh Umno BN.
Ujarnya, DPPM ingin bertanya, jika betul BN sebagai adil, bolehkah
undi pos dimansuhkan dan digantikan dengan undi biasa sepertimana rakyat
biasa yang lainnya.
Dalam soal berkempen, soalnya apakah Najib lupa bahawa Umno BN selalu
bertindak berat sebelah di mana eluruh jentera kerajaan dikerah bagi
berkempen dalam sesebuah pilihanraya, sama ada pilihanraya kecil atau
umum.
Katanya, para guru, pegawai kerajaan, tentera, polis dan lain-lain
digunakan sebagai alat berkempen, seolah-olah pilihanraya kecil atau
umum adalah milik Umno BN.
“Adakah Najib mahu menafikan hal ini, dan adilkah sebuah kerajaan
melawan sebuah parti pembangkang dalam pilihanraya?” tanya beliau.
Mungkin juga, katanya Najib terlupa takrifan projek ‘mi segera’
setiap kali pilihanraya berlangsung di mana secara tiba-tiba Dun atau
Parlimen terbabit bertukar menjadi kawasan yang mendapat projek runtuh,
sedangkan sebelum daripada itu tidak pernah kawasan tersebut dijenguk.
Bagi BN, ujarnya lagi ia adalah baik kerana untuk rakyat tetapi rakyat mentakrifkannya sebagai rasuah pilihanraya.
Tambahnya, agensi penting seperti SPR dan SPRM pula seakan buta melihat segala macam kebobrokan yang dilakukan oleh pemimpin BN.
“Mungkin ini adil menurut Najib,” ujarnya lagi.
Beliau menambah, adil yang paling benar bagi Najib adalah merahsiakan
tarikh pilihan raya umum, seakan suatu rahsia besar yang perlu dielak
dari dikongsikan bersama rakyat Malaysia.
Ujarnya, biarlah pembangkang ‘terkulat-kulat’ membuat persiapan
apabila secara tiba-tiba pilihan raya umum dipanggil pada bila-bila masa
yang dikehendaki oleh Najib.
Katanya lagi, bagaimana jika Pakatan Rakyat melakukan hal yang sama,
dan BN yang menjadi pembangkang pula dalam keadaan tidak bersedia
apabila tiba-tiba berlaku PRU.
Riduan berkata, Pakatan Rakyat memenangi banyak negeri di Semenanjung
bukan membuktikan BN itu adil, tetapi ia membuktikan bahawa rakyat
telah melihat kebenaran.
Katanya, kebenaran tidak boleh disorok, maka kejahatan yang dibuat tidak mampu menenggelamkan kebenaran yang diterima rakyat.
“Ini adalah sedikit dari pelbagai bukti kepincangan yang berlaku dalam pilihan raya era BN,” katanya.
Najib, tambahnya seakan menghidap ‘sindrom penafian’ bahawa BN sejak
sekian lama, merosakkan sistem demokrasi dan pilihan raya di negara ini.
“Buat Najib, belajarlah mengenal erti keadilan dari perspektif rakyat dan umum, bukan dari kacamata BN semata-mata!” ujarnya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA