KUALA LUMPUR, 13 Okt: PAS
menuntut penjelasan segera daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN)
berhubung kewujudan lebih 200 warga asing dari Johor di sebuah resort
berhampiran Putrajaya, semalam.
Pemuda PAS dengan bantuan pasukan
risikannya berjaya mengesan kehadiran mereka yang terdiri daripada
warga Indonesia, Kemboja dan Bangladesh, dibawa menaiki enam buah bas.
Naib
Presiden PAS, Salahuddin Ayub di lobi Parlimen hari ini berkata, KDN
harus memberikan penjelasan mengenai perkara itu kerana pihaknya
mengesyaki kehadiran mereka ada kaitan dengan operasi pemberian MyKad
kepada warga asing bagi membolehkan mereka menjadi pengundi pada pilihan
raya umum ke-13.
"Kita desak beberapa kementerian
bertanggungjawab khususnya KDN memberikan penjelasan konkrit berhubung
apa yang berlaku semalam.
"Ini kerana dalam masa beberapa bulan
ini, PAS telah membawa isu pendaftaran warga asing yang dimasukkan dalam
daftar pemilih ini.
"Ini isu penting, bukan andaian atau rekaan
tapi telah dibuktikan dengan pendedahan sebelum ini," katanya yang juga
Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Sehubungan itu, Salahuddin berkata,
wakil Pakatan Rakyat yang terlibat dalam perbahasan Rang Undang-Undang
Perbekalan Tambahan 2012 di Dewan Rakyat hari ini akan membangkitkan
perkara tersebut.
"Wakil PR akan membangkitkan perkara ini agar
KDN memberikan penjelasan segera," katanya sambil menunjukkan gambar
warga asing yang sempat diambil semalam.
Maklumat bercanggah
Sementara itu, Timbalan Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi
Rakyat Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Adram Musa pada sidang media sama
berkata, maklumat warga asing yang bercanggah di antara satu sama lain
itu semakin menambahkan rasa curiga mereka.
"Saya sebagai salah seorang saksi semalam masuk ke dalam resort dan bertanya kepada mereka sendiri.
"Bila
ditanya apa mereka buat di situ, ada yang jawab datang kursus
keusahawanan dan ada yang terus-terang jawab mereka datang untuk ambil
MyKad. Pihak pengusaha resort pula kata tempat itu sudah ditempah awal
pagi. Ini sangat menimbulkan kecurigaan," katanya.
Menurutnya juga, terdapat juga pegawai kesihatan mengiringi mereka.
Adram juga berkata, perkara tersebut turut berlaku di Paya Jaras, Selangor dan pihaknya sedang mengumpulkan maklumat terperinci.
Kira-kira jam 7 pagi semalam, pihak perisikan Pemuda PAS menunggu bas-bas tersebut yang tiba di Masjid Putra, Putrajaya.
Mereka mengekori bas-bas tersebut sehingga ke sebuah resort di sana.
Bas-bas berkenaan bagaimanapun beredar dari situ, dan meninggalkan kumpulan penumpang tersebut di resort berkenaan.
Petugas
media yang kemudiannya tiba di situ kira-kira jam 1.30 tengahari juga
sempat melihat sebuah kereta Proton Tiara dipercayai membawa 'ketua
operasi' itu memecut laju keluar dari resort melalui jalan belakang.
Ekoran itu, mereka bertindak mengepung jalan masuk dari depan dan belakang resort tersebut. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA