KUALA LUMPUR, 26 Okt: Jabatan Pilihan raya Dewan
Pemuda PAS Malaysia menyokong penuh kenyataan Ketua Penerangan PAS
Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung isu kelemahan pengurusan
kewangan kerajaan adalah disebabkan oleh kerakusan Umno BN memerintah
negara dengan secara boros, tidak berhemah dan berlaku penyelewengan
kuasa yang serius sehingga menyebabkan kehilangan wang kerajaan.
“Kelemahan ini telah ditegur oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin
Buang di dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2010,” kata
pengarahnya, Mohd Sany Hamzan.
Katanya, Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat
kerajaan selama ini sememangnya tidak pernah mengambil peduli terhadap
perjalanan sistem pengurusan kewangan yang berhemah dan telus.
Ini, katanya kerana budaya kerja Umno BN telah membarah dengan budaya
rasuah, kronisme dan nepotisme walaupun telah ditegur oleh Ketua Audit
Negara tahun-tahun sebelum ini.
Selain itu, ujarnya disebabkan kelemahan pengurusan kewangan Kerajaan
Pusat juga memberi kesan terhadap syarikat-syarikat yang dikawal oleh
Kementerian Kewangan yang mana 19 daripada 47 syarikat mengalami
kerugian pada tahun 2009.
Jumlah kerugian bernilai RM0.71 billion iaitu penurunan RM3.83
billion berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM96.18 billion
pada tahun 2008.
Terbaru, sebuah badan pemikir bebas Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan
Masyarakat (REFSA) melahirkan kebimbangan negara akan mempunyai hutang
sebanyak RM1 trillion menjelang 2020 sekiranya kerajaan tidak berhemah
dalam perbelanjaannya.
Ini adalah kerana defisit negara kini berada pada RM437 billion, dua
kali ganda bajet defisit berbanding RM217 billion pada tahun 2004.
Antara tahun 2007 dan 2011, defisit berkembang secara purata pada kadar kira-kira RM34 bilion setiap tahun.
Tetapi dengan andaian, defisit akan meningkatkan hutang tambahan
sebanyak RM50 bilion setahun, Malaysia boleh menjangkakan jumlah hutang
negara naik dua kali ganda lagi pada tahun 2020 menjadi RM1 trilion.
Justeru, kata Sany, pihaknya meminta supaya pihak kerajaan
menghentikan amalan pengurusan yang tidak berhemah dan boros dalam
berbelanja.
Ini kerana, ujarnya akan menyebabkan negara menanggung hutang yang
banyak dan tidak mempunyai keupayaan untuk membayar balik hutang
tersebut melainkan dengan membebankan rakyat dengan pelbagai cukai yang
tidak munasabah.
Oleh itu, tambah beliau Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS
Malaysia menasihatkan rakyat Malaysia keseluruhannya supaya menolak Umno
BN di dalam pilihan raya umum yang akan datang kerana Umno BN terbukti
gagal di dalam mengurus kewangan negara, mengamalkan rasuah dan
menyalahgunakan dana kerajaan untuk kepentingan peribadi dan kroni.
“Tolak BN untuk selamatkan Malaysia,” serunya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA