Selamat Datang

Sabtu, 21 November 2009

Gejala Sosial Tanggungjawab Bersama



Masalah gejala sosial yang melanda negara hari ini semakin bertambah buruk dan serius. Keadaan ini berlaku pada setiap hari. Gejala sosial ini merupakan masalah yang wujud dalam masyarakat tidak kira samada ia berlaku di kampung atau pun dibandar. Wujudnya ia kerana keruntuhan akhlak yang berlaku di kalangan anggota masyarakat tidak kira samada remaja atau orang dewasa. Antaranya adalah seperti kes perzinaan, pembuangan bayi, meminum arak, merempit, rogol, ragut, mencuri dan sebagainya.

Antara faktor yang menyebabkan berlakunya gejala sosial ini adalah kerana pegangan agama yang kurang dan cetek pada individu Islam. Akibatnya mereka ini tidak tahu antara yang halal dan haram, pahala dan dosa, kebajikan dan maksiat. Akhirnya mereka hanya hidup semata-mata hanya untuk memuaskan hawa nafsu tanpa mengikuti batas-batas atau larangan Allah swt dalam kehidupan. Kerja buat dan tindakan yang dilakukan hanya untuk memenuhi tuntutan kehidupan.

Kerjasama dari semua pihak hendaklah dibuat supaya masalah gejala sosial yang berlaku pada hari ini dapat di atas. Pertamanya adalah dari ibu-bapa. Para ibu-bapa mestilah menjadi contoh dalam mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian. In bermakna semua ibu bapa mestilah mengetahui dan mendalami ilmu agama masing-masing. Dengan demikian amalan-amalan Islam seperti ibadah khusus, solat, puasa dan sebagainya dapat dilihat oleh anak-anak apabila mereka mengerjakannya. Terdapat para ibu bapa sendiri yang tidak pernah solat samada di rumah atau di mesjid secara berjamaah. Begitu juga dengan ibadah khusus yang lain, ibu bapa tidak pernah melakukannya. Oleh itu keadaan ini menjadi ikutan anak-anak mereka yang dalam hidupnya tidak pernah mengabdikan diri kepada Allah swt.

Sekiranya para ibu bapa dapat melaksanakan dan menghayati Islam sebagai satu cara hidup, nescaya masyarakat yang ada secara tidak langsung menjadi sebuah masyarakat baik dan bertanggunjawab. Ini kerana peranan masyarakat adalah penting dalam mengatasi masalah gejala sosial ini. Tegur menegur dan saling nasihat-menasihati antara jiran tetangga adalah suatu kewajipan yang perlu diamalkan dalam kehidupan. Soal 'jangan jaga menjaga tepi kain orang' sudah tidak boleh digunakan kerana Allah swt telah berfirman yang mafhumya;

'Hendaklah ada dikalangan kamu satu golongan yang menyeru berbuat baik, menyuruh berbuat yang maaruf dan mencegah melakukan yang mungkar dan merekalah oranga-orang yang beruntung. (Ali Imran :104)

Apa juga yang berlaku disekeliling kita, sebagai anggota masyarakat kita wajib melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar. Oleh itu masalah gejala sosial dengan mudah dapat di kawal dan di atasi. Persoalannya berapa ramai dikalangan kita yang peka dengan fenomena ini. Ada kalanya maksiat yang berlaku dirumah jiran sebelah kita pun tidak pernah kita ambil peduli. Maka inilah keadaan yang menambahkan lagi gejala sosial pada hari ini. Jika kita berani menegur dan melaporkan kepada pihak berkuasa segala maksiat yang berlaku di sekeliling kita sudah tentulah gejala sosial ini dapat dihapuskan.

Begitu juga peranan pihak berwajib yang melaksanakan undang-undang hendaklah mengambil inisiatif yang tinggi bagi membenteras gejala sosial ini. Penguatkuasaan undang-undang hendaklah diperketatkan lagi. Jangan beri ruang langsung kepada segala bentuk hiburan yang melalaikan. Hiburan yang langsung tidak menyumbangkan kepada kebaikan hendaklah sekat kerana ia merupakan sumbangan kepada perkara-perkara maksiat sahaja.

Akhirnya dengan tangunggjawab yang boleh dimainkan oleh semua yang terlibat samada ibu bapa, masyarakat dan pihak kerajaan maka negara akan dapat mengatasi gejala sosial yang berlaku pada hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails