PERMATANG PAUH, 23 Okt:
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cukai barangan dan
perkhidmatan (GST) akan tetap dibatalkan sekiranya Pakatan Rakyat
berjaya memerintah negara kerana ia membebankan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ramah mesra
'Sepetang Bersama Masyarakat' di Dewan Orang Ramai Batu 5, Permatang
Janggus, Permatang Pauh, kelmarin.
Menurut beliau lagi, GST adalah satu bentuk paksaan yang dikenakan
oleh pemerintah kepada rakyat yang sedang menghadapi masalah bebanan
dengan kenaikan harga barangan.
"Sekiranya cukai ini dikenakan kepada rakyat, ia bukan saja
membebankan mereka, tetapi menjadikan rakyat terpaksa tunduk kepada
hasrat kerajaan untuk menekan dan menzalimi secara hormat.
"Oleh itu, seandainya PR berjaya memenangi kerusi pilihan raya umum
yang akan datang, kita berjanji akan membatalkan GST yang tidak memberi
manfaat kepada rakyat, khususnya golongan yang berpendapatan rendah,"
ujarnya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.
Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, turut
menyelar kepimpinan Datuk Seri Najib kerana mempermainkan rakyat apabila
menangguhkan GST sehingga selepas pilihan raya yang akan datang.
Katanya, apabila cukai yang hendak dikenakan ditangguhkan sebelum
pilihan raya, adalah tidak mustahil ianya akan dilaksanakan selepas ini.
"Ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada tidak
prihatin terhadap keperluan rakyat, sebaliknya memberi prioriti terhadap
keperluan mereka bagi memeras dan mencekik darah rakyat," tambahnya
lagi.
Dalam pada itu, beliau juga membidas BN yang cuba mempolitikkan isu
berkaitan pelajar sekolah yang didakwa terlibat dalam kes serangan
seksual dikaitkan dengan anak Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Jelasnya lagi, cara politik yang dimainkan bukan saja mempamerkan
kedangkalan modal oleh BN, sebaliknya memperlihatkan bahawa parti
tersebut senantiasa menjadikan kelucahan sebagai modal politik terdesak.
"Adalah sesuatu yang merbahaya sekiranya, BN terus diberi mandat
untuk menerajui kepimpinan dalam negara apabila mereka tidak dapat
menjustifikasikan mana yang baik dan mana yang buruk untuk
dipolitikkan," tambahnya lagi. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA