KUALA LUMPUR, 17 Okt:
Prof Dr Abdul Aziz Bari sedang mengkaji secara serius untuk mengambil
tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia dan beberapa media lain
yang terbabit berikutan kecaman dan laporan polis yang dibuat setelah
akhbar milik Umno itu menyiarkan pelbagai laporan yang menyifatkan
beliau derhaka dan kurang ajar kepada Sultan Selangor.
Pakar perlembagaan itu telah pun berbincang dengan para peguam beliau mengenai tindakan membawa akhbar tersebut ke mahkamah.
"Saya hanya memberi komen tentang kewajaran Sultan Selangor
mengeluarkan kenyataan dalam kontroversi Gereja Methodist Damansara
Utama (DUMC) itu. Dalam komen itu saya akui kuasa Sultan memang ada
dalam perlembagaan. Kuasa itu tidak pernah saya pertikaikan dan saya
tidak nampak mengapa saya harus diserang berhari-hari hanya kerana komen
pendek itu," jelasnya.
Aziz berkata jika pihak-pihak berkenaan tidak setuju dengan apa yang
beliau komen mereka boleh memberikan tafsiran dan hujah mereka mengenai
isu berkenaan.
"Mereka tidak harus mengutuk dan mempertikaikan kedudukan saya.
Memberi komen atas kemahiran dan keilmuan kita berbeza dengan mengambil
sikap menentang atau derhaka," katanya.
Rabu lalu, Senator Ezam Mohamed Noor dan pemimpin Gerakan Anti
Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamizun Kamarudin membuat laporan polis
terhadap Aziz. Dalam kenyataannya kepada media, Ezam mendakwa Aziz perlu
diambil tindakan dan tidak berada di UIAM.
Kenyataan yang sama dibuat oleh Datuk Zulkifli Noordin yang mencabar Aziz supaya meletakkan jawatan dan masuk politik.
Profesor undang-undang UIAM itu berkata, beliau tidak berminat untuk
masuk politik atau bertanding dalam pilihan raya. Cabaran itu cabaran
yang mengarut kerana mereka sepatutnya mengulas atau mengemukakan hujah
mengapa mereka tidak suka dengan komen beliau.
"Tunjukkan kesalahan komen saya itu," tegasnya.
Aziz telah menghasilkan banyak tulisan mengenai raja berperlembagaan
termasuk sebuah tesis PhD berjudul 'The Development and Role of
Constitutional Monarchy in Malaysia' pada 1996 di England.
Selepas itu beliau menerbitkan pula buku 'Majlis Raja-Raja: Kedudukan
dan Peranan Dalam Perlembagaan' yang dilancarkan oleh Yang di-Pertuan
Agong pada Disember 2002.
Beliau juga menghuraikan kedudukan dan peranan Raja-Raja sebagai
ketua agama dalam buku bertajuk Islam dalam Perlembagaan Malaysia yang
diterbitkan pada 2005. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA