KUALA LUMPUR, 22 Okt: Seramai 70 orang ahli Umno di Kelantan telah mengambil keputusan keluar dari parti itu dan menyertai PAS, semalam.
Borang keahlian PAS mereka diserahkan sendiri kepada Menteri Besar
Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada satu majlis di
Kota Bharu, semalam.
Menurut Nik Abdul Aziz, kesemua mereka
adalah bekas ahli-ahli Umno di kawasan Kota Bharu, manakala kemasukan
mereka ke dalam PAS pula melambangkan perjuangan PAS sudah semakin
difahami oleh orang ramai.
Katanya, sebelum ini sudah banyak
ahli-ahli Umno di Kelantan menyokong PAS, tetapi sebahagian daripadanya
berbuat demikian secara sembunyi-sembunyi.
"Perjuangan PAS adalah
perjuangan yang benar yang mewarisi perjuangan Nabi Muhammad saw. Umno
sendiri tahu kebenaran perjuangan PAS.
"Tentangan mereka terhadap
PAS bukan kerana perjuangan PAS tidak betul, tetapi kerana kedegilan
mereka sendiri untuk menerima kebenaran," katanya ketika merasmikan
Persidangan ICT 2011 Media Baru "Revolusi Teknologi Maklumat Menghadapi
PRU Ke-13" di Dewan Datuk Fadhil Noor di Taman Melewar, di sini, hari
ini.
Berucap
pada Seminar anjuran Lajnah ICT dan Jabatan IT PAS Pusat dengan
kerjasama Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat itu, beliau berkata,
realiti itu samalah juga dengan tentangan orang-orang kafir terhdap
Islam yang bukannya kerana mereka tidak tahu dengan kebenaran Islam,
tetapi kerana kedegilan mereka sendiri untuk menerima kebenaran.
Katanya,
itulah juga sikap yang ditunjukkan oleh Abu Jahal terhadap Islam ketika
hayat Rasulullah saw dulu, namun ia tetap tidak melemahkan perjuangan
Islam seperti yang telah ditunjukkan sendiri oleh Rasulullah saw.
"Setiap
ahli PAS perlu faham perkara itu. Jadi, kita mestilah sentiasa bersedia
menjawab segala persoalan dan segala bentuk tentangan yang ditimbulkan
oleh mereka atau pihak Umno dengan baik dengan ilmu yang kita miliki,"
katanya.
Dalam konteks media baru, menurutnya, tugas tersebut
amat perlu dilaksanakan dengan baik dan berkesan oleh para penulis,
bloger-bloger yang menyokong perjuangan PAS dan mereka yang bertugas di
bahagian penerangan.
"Setiap jawapan yang kita berikan dalam
bentuk penulisan dan termasuklah juga dalam ceramah-ceramah mestilah
berasaskan "Al-haq" atau kebenaran iaitu menyebarkan maklumat yang benar
sahaja," katanya yang juga Mursyidul Am PAS.
Mengambil contoh
pentadbirannya di Kelantan sejak PAS memerintah negeri itu, beliau telah
melakukan banyak perubahan ke arah yang lebih islamik berbanding semasa
Kelantan berada di bawah pemerintah BN dulu.
"Sebaik memerintah
Kelantan, saya telah mengarahkan kesemua wang kerajaan dipindahkan ke
dalam sistem perekonomian Islam untuk mengelakkan terjebak dengan riba.
"Walaupun
pada awalnya dipersoalkan oleh beberapa pihak, tetapi apabila kita
jelaskan dengan betul dan kena caranya, akhirnya mereka sendiri dapat
memahaminya dan dapat menerima tindakan kita itu dengan baik," katanya.
Selain
itu, beliau juga turut memperkenalkan cuti 2 hari seminggu bagi setiap
kakitangan kerajaan di Kelantan yang juga turut ditentang oleh Umno
dengan pelbagai dakwaan, termasuk mengatakan beliau mengajar dan
mendorong rakyat menjadi malas.
"Tetapi akhirnya langkah yang
baik dan turut memberikan keadilan kepada para pegawai atau kakitangan
kerajaan itu juga turut ditiru oleh Umno," tegasnya.
Sejak
memerintah Kelantan, beliau juga turut mengajar Al-Quran dan menjadi
imam solat yang kesemua itu tidak dilakukan oleh pemimpin Umno semasa
memerintah negeri itu.
"Maknanya, apabila menjadi ketua kerajaan,
kita tak boleh hanya melakukan kerja-kerja pentadbiran sahaja.
Sebaliknya kesemua perkara yang dibuat oleh Nabi Muhammad saw mestilah
kita lakukan termasuk dalam persoalan memimpin rohani rakyat," katanya.
Menurutnya,
pada bulan Ramadhan pula, Kerajaan PAS Kelantan turut berusaha
menyedarkan orang ramai dengan tidak memanggil bulan Ramadhan sebagai
bulan puasa, tetapi bulan Ramadhan.
Dengan itu, katanya, falsafah
bulan Ramadhan akan berjaya diserapkan ke dalam hati orang ramai dengan
lebih berkesan dengan tidak hanya melaksanakan ibadah solat dan puasa
sahaja pada bulan Ramadhan, tetapi diperkembangkan dengan majlis-majlis
ilmu, memperbanyakan bacaan al-Quran, memperbanyakkan amalan-amalan baik
dan berzikir. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA