KUALA LUMPUR, 19 Okt: Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata,
tindakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengeluarkan
surat tunjuk sebab kepada pensyarah undang-undang, Profesor Abdul Aziz
Bari adalah tragedi baru serta satu penghinaan kepada institusi
pengajian tinggi (IPT) yang dihormati di negara ini.
"Saya berpendapat tindakan tersebut adalah satu tragedi dan juga
penghinaan kepada institusi pengajian tinggi terutamanya UIAM, yang mana
kita tahu universiti tersebut adalah sebuah universiti antarabangsa
yang mendapat pengiktirafan dunia.
"Saya melihat seolah-olah ada tangan-tangan tentu yang mengarah agar
dikeluarkan surat tunjuk sebab kepada Abdul Aziz," jelasnya ketika
ditemui di parlimen.
Tambah Nizar lagi, pemberian surat tunjuk sebab itu sebenarnya telah menaikkan martabat Abdul Aziz sebagai seorang profesor.
Katanya, ia merupakan penghinaan kepada tokoh-tokoh akademik yang
telah menggunakan kebijaksanaan mereka untuk berbincang serta membahas
isu-isu yang ada di negara ini tetapi dikenakan tindakan jika tidak
disenangi oleh pihak-pihak tertentu.
"Saya tekankan di sini seolah-olah ada satu arahan yang dibuat oleh
pihak atasan barangkali ada pihak dalam Umno Barisan Nasional yang
merasakan apa yang didedahkan oleh Abdul Aziz itu akan memberi kesedaran
yang meluas kepada warga akademik dan juga rakyat.
"Sepatutnya yang dilakukan oleh kerajaan mahupun institusi pengajian
tinggi adalah memberi kebebasan untuk mereka meluahkan pendapat kerana
ia tidak melibatkan politik, malah beliau merupakan seorang profesor dan
pakar dalam Perlembagaan Malaysia sudah tentu ia mempunyai sebab
tertentu untuk berhujah jadi kenapa ia dihalang," sambungnya.
Nizar juga berpendapat tindakan itu merupakan satu sekatan untuk
tokoh akademik bebas berpendapat serta merupakan satu sejarah baru dalam
dunia akademik negara ini dan akan menyebabkan seluruh dunia memandang
serong kepada institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Sebelum itu, Abdul Aziz mengundang kontroversi berhubung kenyataan mengenai perlembagaan dan Raja-Raja Melayu.
Menurut sumber, Abdul Aziz diberikan surat tunjuk sebab itu petang tadi tetapi tidak jelas mengenai kandungan surat tersebut.
Abdul Aziz kini disiasat mengikut Akta Hasutan berikutan laporan polis Senator Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober lalu.
Difahamkan sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat berhubung perkara yang sama. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA