Selamat Datang

Ahad, 30 Oktober 2011

PRU13: Cari mekanisme dekati 'generasi siber'


| Print |
Nazri Abdullah   
GOMBAK, 29 Okt: Pemuda PAS perlu mencari satu mekanisme terbaik bagi mendampingi golongan muda hari ini yang disebut 'generasi siber', jika mahu menang pilihan raya akan datang, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Menurutnya, suatu kerugian jika peluang tersebut tidak digunakan dalam keadaan pakatan rakyat tidak mempunyai kekuatan media seperti media arus perdana yang pro BN.


"Pemuda perlu mencari mekanisma terbaik, bagaimana untuk sampai kepada mereka.

"Kita perlu belajar bagaimana Barack Obama, orang kulit hitam boleh menjadi orang pertama white House," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Ijtimak Tarbawi Dewan Pemuda PAS 2011 di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad, Taman Melewar malam tadi.

Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mengulas kajian terbaru yang mendedahkan golongan remaja di negara ini menghabiskan masa purata 4 jam sehari mengadap internet.

Ianya termasuk menggunakan laman sosial Facebook, twitter dan blog untuk berkomunikasi dan mendapatkan maklumat.

"Kajian AC Nielsen sangat signifacant yang mengatakan rakyat negara ini sudah tak tonton lagi televisyen, tak baca lagi akhbar tetapi membaca internet.

"Inilah masanya kita perlu sampaikan mesej Islam kepada mereka. Inilah tugas anak muda," katanya dihadapan kira-kira 3,000 peserta yang hadir malam tadi.

Beliau turut memuji kreativiti dewan pemuda kali ini yang menerbitkan filem pendek "Gua Ikut Enta", yang dimuat naik ke Youtube bagi membangkitkan kesedaran anak muda hadir ke ijtimak kali ini.

Turut berucap malam tadi, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hassan, Pengarah Ijtimak Nik Abduh Nik Aziz dan wakil Hamas Palestin, Syeikh Ahmad Najjar.

Ijtimak Tarbawi 2011 yang akan berakhir esok adalah bertemakan "Mantapkan Tarbiah, Menangi Pilihan Raya'.

Program kemuncaknya adalah ceramah pentas pemuda dan pidato perdana oleh pimpinan utama PAS malam ini.

Antara yang akan berpidato malam ini adalah Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu, wakil Ikhwanul Muslimin Mesir Dr. Kamal Al Helbawi, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Dewan Muslimat PAS Ustazah Siti Zailah Mohamad Yusof.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails