KUALA LUMPUR, 11 Okt: Dewan Pemuda PAS Malaysia
(DPPM) menyambut baik hasrat Pakatan Rakyat untuk membatalkan Rang
Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2011 yang diluluskan Dewan Rakyat
minggu lalu jika Pakatan Rakyat menawan Putrajaya dalam PRU ke 13 nanti.
“Bagi DPPM, kenyataan inilah yang ditunggu-tunggu oleh rakyat
Malaysia terutama Orang Melayu yang sudah tertipu dengan mainan politik
Umno BN,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.
Katanya, Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru 2011 menjadi
saksi dan bukti bahawa Umno yang selama ini melaungkan slogan membela
Melayu kini menjadi pengkhianat Melayu.
Menurutnya, rakyat sudah tidak boleh memaafkan kesalahan pemimpin
Umno yang sanggup menggadaikan tanah warisan orang Melayu di Kuala
Lumpur ini kepada Perbadanan yang akan menentukan nasib orang Melayu
Kampung Baru.
“Jika masyarakat India boleh berbangga dengan adanya Little India di
Brickfields, bangsa Cina boleh bangga dengan adanya Petaling Street
khusus untuk orang Cina, apakah salah orang Melayu memiliki Kampung
Baru?” soalnya.
Tambahnya, pemimpin Umno yang sebangsa dengan orang Melayu kini sudah
tidak boleh menjadi pautan orang Melayu, sebaliknya Umno hanya membela
golongan elit yang setaraf dengan mereka sahaja.
Beliau berkata, orang-orang Melayu pasti akan berduka memikirkan nasib mereka yang semakin samar dan tidak menentu.
Katanya, beberapa kampung di sekitar Kuala Lumpur bakal menjadi mangsa seterusnya ‘pembangunan’ hasil kegopohan sang penguasa.
Justeru, ujarnya tidak ada jaminan kampung-kampung Melayu yang lain tidak diambil alih dengan sewenang-wenangnya.
Beliau menambah, orang Melayu Kuala Lumpur dianggap merempat dan tiada nilai di sisi masyarakat.
Menurutnya lagi, mereka yang bersetinggan sejak sekian lama bukan setakat tidak dibantu, malahan habis dibersihkan.
Katanya, orang Melayu hanya layak duduk dikampung-kampung dengan mengusahakan kerja-kerja pertanian dan penternakan sahaja.
Justeru, tegasnya DPPM akan menjadikan agenda Kampung Baru sebagai
agenda penting bagi menggerakkan kesedaran anak-anak muda bahawa rakyat
Malaysia perlu berubah terutama dalam menghadapi PRU ke 13 nanti.
Katanya lagi, kepercayaan bahawa hanya Umno membela Melayu adalah
suatu mitos yang boleh dihilangkan dari minda rakyat terutama anak-anak
muda.
“Anak-anak muda perlu mengenali budaya politik baru Malaysia iaitu
parti yang mengutamakan rakyat, bersih, adil, berkomitmen serta tidak
rasuah adalah pilihan masa depan manakala parti yang korup, tidak
bermaruah, rasuah, mementingkan diri sendiri, sarat dengan skandal
adalah parti yang perlu ditolak,” ujarnya.
DPPM juga, katanya meminta pemimpin Pakatan Rakyat agar menjadikan
isu Kampung Baru di dalam manifesto Pakatan Rakyat bagi menghadapi PRU
ke 13.
Ini, ujarnya penting bagi membuktikan Pakatan Rakyat adalah parti
yang melaksanakan kata-kata, bukan hanya beretorik semata-mata. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA