Tidak sukar untuk kita memahami amalan demokrasi di negara ini. Dosa
besar dalam amalan demokrasi di Malaysia ialah berkata benar kepada
pemimpin. Arak, judi, zina, bukan lagi ‘dosa’. Budaya ini mengimbau
kembali kepercayaan Melayu kuno terhadap Sultan iaitu sebagai jelmaan
tuhan di bumi. Ini jahil dan amalan jahiliyah ini perlu dihapuskan.
Kenyataan Professor Dr Abdul Aziz Bari yang disiarkan di laman berita
Malaysiakini telah mencetuskan kemarahan mereka yang jahil tentang
peranan sultan sebagai ketua agama Islam berikutan kenyataan Sultan
Selangor mengenai serbuan ke atas gereja yang dilakukan oleh Jais baru
baru ini. Mereka ingin dilihat sebagai Melayu sejati yang mebela
ketuanan Melayu walhal tindakan sedemikian boleh dikategorikan sebagai
tindakan ‘bodoh’ atau ‘kurang cerdik’ dalam bahasa yang lebih sopan.
Menyamakan titah sultan sebagai titah tuhan adalah syirik. Sultan
bukan nabi atau malaikat. Mereka ialah manusia biasa yang diciptakan
dari setitis air mani sama seperti manusia lain, mempunyai sifat-sifat
yang dimiliki oleh manusia lain seperti bodoh, pemalas, pelupa, rajin
dan sebagainya.
Isu sebenar yang di bangkitkan oleh beliau adalah bagaimana peranan
sultan dalam menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada mereka. Tidak
ada apa-apa yang salah di sisi undang-undang. Bahkan beliau sendiri
ialah seorang pakar dalam undang-undang perlembagaan. Justeru beliau
mempunyai hak untuk bercakap dalam konteks perlembagaan.
Tindakan menggantung beliau sebagai pensyarah adalah permulaan kepada
kesilapan. Modus operandi ini sama digunakan oleh British ketika
menentang kebangkitan golongan anti penjajah dengan menggantung mayat
Tok Janggut dan di usung di sekitar Kota Baharu bagi memberi amaran
kepada mereka yang cuba menentang British. Kini Aziz Bari menjadi simbol
amaran kepada ahli akademik yang cuba mendedahkan kebenaran kepada
masyarakat maka mereka akan dihukum.
Malangnya situasi ini harus dihentikan secepat mungkin kerana
dikhuatiri kesan daripada isu ini boleh meledakkan kemarahan rakyat
khususnya dikalangan anak muda kerana penafsiran mereka terhadap
institusi diraja sangat kritikal. Risau-risau nanti ada pula gerakan
menentang institusi monarki.
Oleh kerana itu, ‘hujah mesti dibalas dengan hujah’. Amalan biasa
yang dilakukan di Malaysia adalah ‘hujah dibalas dengan kezaliman’ dan
amalan ini harus dihentikan.
Oleh kerana kami berpendidikan, kami benci bila kami diperbodohkan.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA