KUALA LUMPUR, 24 Okt:
"Jaga Melayu gagal, jaga rakyat pun gagal", itulah kesimpulan Naib
Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar terhadap kerajaan Umno Barisan Nasional
(BN).
"Sejak selepas pilihan raya 2008, seperti orang kerasukan Umno menjerit-jeritkan kepentingan Melayu.
"Tunjuk
perasaan kononnya membela kepentingan Melayu dan mempertahankan Dasar
Ekonomi Baru (DEB) selepas pilihan raya tersebut bermula di Pulau
Pinang.
"Baru-baru ini gerombolan yang menunjuk perasaan itu
mendapat habuan dan hadiah istimewa untuk mereka apabila (Perdana
Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kata Umno tak perlu dan tak ingin
menuntut kerusi ketua menteri Pulau Pinang dari Gerakan sekiranya BN
berjaya merampas kembali negeri itu dalam pilihan raya akan datang,"
katanya.
Umno, kata Mahfuz, memang tegar mengetepikan kepentingan kuasa Melayu di Pulau Pinang.
Menurut
beliau, dalam pilihan raya umum 1990, Umno memenangi 12 kerusi di Pulau
Pinang manakala Gerakan hanya memenangi tujuh kerusi.
Keputusan itu membolehkan BN terus memerintah apabila mendapat 19 kerusi berbanding DAP yang hanya mendapat 14 kerusi.
Sepatutnya,
kata Mahfuz, Umno yang mempunyai majoriti lebih besar di antara
kedua-dua parti di dalam BN itu berhak mendapat jawatan Ketua Menteri.
Bagaimanapun, Umno menyerahkan kuasa pemerintahan kepada Gerakan.
Begitu
juga, katanya lagi, dalam pilihan raya umum 1995 di mana Umno menang 12
kerusi, Gerakan 10 kerusi, MCA 9 kerusi, MIC 1 sedangkan DAP menang 1
kerusi saja.
Umno, kata beliau, tetap tunduk di bawah telunjuk Gerakan dan jawatan Ketua Menteri terus diserahkan kepada parti itu.
"Apa
yang berlaku di PulauPinang itu dengan jelas menunjukkan Umno
mengorbankan kepentingan orang-orang Melayu dan semua orang tahu nasib
orang-orang Melayu Pulau Pinang di bawah pemerintahan Gerakan. Ia
menjadi bukti sejarah," kata Mahfuz.
Beliau juga menyifatkan
kerajaan Umno gagal memainkan peranan yang berkesan dalam menjaga
kepentingan rakyat apabila inflasi di Malaysia mendadak naik di luar
jangkaan September lalu.
"Inflasi naik di luar jangkaan September
lalu apabila harga makanan dan kos pengangkutan melonjak naik manakala
ringgit yang semakin lemah pula mengakibatkan import lebih mahal," kata
Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Pada bulan September, katanya,
indeks harga pengguna terus kepada naik 3.4 peratus selepas naik kepada
3.3 peratus pada bulan Ogos.
"Saya telah menyatakan sebelum ini
bahawa sebahagian besar inflasi dan kenaikan harga barang di negara ini
diakibatkan pemberian lesen-lesen monopoli kepada kroni-kroni Umno dan
BN.
"Lesen-lesen monopoli seperti beras, gula, permit import (AP)
kereta, konsesi tol lebuhraya dan lain-lain diberikan kepada
kroni-kroni Umno dan BN," kata beliau.
Penyalahgunaan kuasa Umno
dan BN seperti itulah yang menjadi antara penyumbang utama kenaikan
harga barang dan inflasi di negara ini, katanya.
Menurut Mahfuz,
bila tidak ada persaingan sihat dan monopoli dijadikan bermaharajalela
oleh kerajaan Umno, harga dinaikkan tanpa mempedulikan kesusahan
pengguna. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA