Selamat Datang

Rabu, 14 Mac 2012

Teori dongeng Umno BN terhapus

Mohd Rashidi Hassan, 13 Mac 2012
Tanggal 8 Mac 2012 merupakan hari ulangtahun ke-empat kebangkitan kuasa rakyat  menumpaskan hegemoni Barisan Nasional, meruntuhkan keegoan mereka di lima negeri, sekali gus menghapuskan majoriti kuasa dua pertiga di Parlimen.

Tarikh keramat 8 Mac 2008 adalah indikator besar yang menganjak iklim politik negara. Ia memberi isyarat bahawa kuasa pemerintahan BN sejak 50 tahun dalam negara kita bukannya kuasa yang mutlak.

Hakikat yang jelas daripada kebangkitan ini menunjukkan, tiada kuasa pemerintahan yang kekal, jika mereka tidak mendapat dokongan rakyat.

Rakyat hari ini bukannya rakyat yang boleh digula-gulakan atau dipesongkan pemikiran mereka untuk terarah kepada satu aliran pemikiran sahaja.


Rakyat Malaysia adalah rakyat yang semakin matang dan bijak menilai. Rakyat tahu bahawa memilih pemerintah adalah kuasa mereka, bukan semata-mata mengikut kehendak parti yang memerintah.

Rakyat juga tidak mahu sesebuah parti memerintah secara mutlak. Lalu rakyat memberikan kuasa kepada parti alternatif untuk menjadi check and balance kepada kerajaan.

Malah rakyat memberi mandat kepada PAS, DAP dan KeADILan, di bawah payung Pakatan Rakyat untuk menguasai lima negeri di Semenanjung.

Setelah empat tahun berlalu, mengharungi pelbagai karenah dan mehnah, hari ini kita boleh berbangga dengan keupayaan kita mentadbir di sebalik tekanan BN yang maha dahsyat.

Dalam tempoh empat tahun ini, negeri-negeri yang berada di bawah payung Pakatan Rakyat mendapat pengiktirafan dan pujian kerana mentadbir jauh lebih baik daripada negeri-negeri di bawah penguasaan BN.

Pakatan Rakyat berjaya menghapuskan ilusi dongeng yang ditanam sekian lama di minda rakyat bahawa tiada parti yang mampu memerintah negara selain BN.

Namun, kita tidak menafikan bahawa, wujud beberapa kelemahan dalam Pakatan Rakyat. Di Perak berlaku kecuaian terhadap tiga wakil rakyat, sehingga mereka terjebak dengan perangkap BN dan berpaling tadah, mengakibatkan kerajaan negeri tumbang selepas 11 bulan memerintah.

Pulau Pinang turut tercemar sehingga terpaksa bertukar Timbalan Ketua Menteri dan diadakan pilihan raya kecil. Selangor juga terpaksa bertindak nekad menggugurkan seorang exco kerajaan negeri dan terakhir selaku berlaku sedikit 'ribut dalam cawan' di Kedah.

Namun sedikit kelemahan ini sudah ditutup dan diatasi dengan sebaik mungkin. Ia sama sekali tidak menjejaskan prestasi baik kerajaan-kerajaan negeri di bawah naugan Pakatan Rakyat. Masalah wujud di mana-mana, tetapi bagi rakyat, yang penting, negeri ditadbir dengan baik dan sempurna.

Asas kekuatan Pakatan Rakyat yang pertama, iaitu khusus bagi negeri-negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, ialah mereka mendapat pujian tiga tahun berturut-turut daripada analisis kewangan Jabatan Audit Negara.

Hasil daripada sifat anti-rasuah dan integriti yang tinggi, negeri-negeri Pakatan Rakyat berjaya menguruskan kewangan dengan berhemah. Selain ia mencatatkan rekod sifar rasuah, ia juga berjaya meningkatkan hasil pendapatan negeri, sekali gus menjimatkan perbelanjaan negeri dan tidak membazir.

Urustadbir yang bertanggungjawab dan beramanah inilah yang dikehendaki rakyat. Rakyat mahu pemerintah yang berjaya meningkatkan hasil dan menjimatkan wang rakyat daripada rasuah dan pembaziran.

Asas kedua yang memperkukuhkan Pakatan Rakyat ialah, ia mempunyai 'Dasar Bersama' yang diputuskan ketiga-tiga parti. Asas ini memperkukuhkan kepercayaan rakyat, bahawa jika Pakatan Rakyat diberi mandat menguasai Putrajaya, pada Pilihan Raya Umum akan datang, ia akan memelihara keluhuran Perlembagaan, kedaulatan Raja, menjamin kesucian Islam serta melindungi hak-hak orang Melayu dalam negara.

Dengan termeterainya Dasar Bersama ini, hala tuju Pakatan Rakyat, yang bukan sahaja memelihara, malah memperkukuhkan semua institusi yang dicatat di atas, membuktikan bahawa ia adalah alternatif terbaik buat rakyat, untuk menggantikan BN.

Asas ketiga adalah komitmen Pakatan Rakyat yang terkandung di dalam Buku Jingga. Ini adalah perencana dasar yang amat penting. Buku Jingga yang menyenaraikan Tawaran Jingga, cukup disenangi rakyat pelbagai kaum dan agama.

Ia bukan sahaja memahatkan keharmonian agama dan kaum, malah ia menjanjikan kesejahteraan ekonomi dan sosial mencukupi pelbagai lapisan rakyat. Tawaran Jingga ini direalisasikan selaras dengan konsep Negara Berkebajikan yang dipelopori PAS.

Di kesemua negeri di bawah Pakatan Rakyat, rakyat menerima pelbagai hasil dan skim yang membela mereka, bagi menjamin kesejahteraan mereka. Skim-skim kebajikan ini, tidak dinikmati di negeri-negeri di bawah BN.

Tiga asas utama ini, yang digarapkan hasil kebijaksaan kepimpinan Pakatan Rakyat semakin memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Sehingga kini ia masih belum dapat dicabar BN secara praktikal. Dalam menggasak Tawaran Jingga ini, BN cuba menabur kebajikan dengan memperkenalkan pelbagai bantuan di atas jenama 1Malaysia. BN buntu idea. Mereka ketandusan perancangan sehingga terpaksa menciplak beberapa pendekatan yang digariskan Pakatan Rakyat.

Namun segala usaha BN untuk mengaburi rakyat untuk menyokong mereka masih menemui jalan buntu. Setakat ini belum ada tawaran BN yang boleh menjadi galang ganti kepada Tawaran Jingga.

Justeru kita mengharapkan agar rakyat terus istiqamah bersama Pakatan Rakyat. Moga pada ulang tahun kelima nanti, iaitu pada 8 Mac 2013 akan datang, negara yang kita cintai ini sudah berada di bawah naungan Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails