Selamat Datang

Rabu, 14 Mac 2012

Guru Kafa diperalat Umno Kota Bharu?

Harakahdaily, 14 Mac 2012
KOTA BHARU, 14 Mac: Ramai guru yang berjawatan kontrak dan sementara di bawah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) merungut memanjang apabila mendakwa mereka menjadi mangsa kepada pemimpin politik.

Antaranya guru-guru Kelas Al Quran, Jawi dan Fardhu Ain (Kafa) secara berterusan menjadi mangsa ‘kerahan’, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

Tahun lepas mereka dipaksa memindahkan tempat mengundi ke Dun Bunut Payong juga atas arahan orang politik yang berkepentingan.

Lebih menghairankan mereka ada juga arahan datang daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Keluarga guru Kafa terbabit ketika ditemui menjelaskan anak mereka sering diperalatkan hadir pada program anjuran Umno sama ada diadakan di bangunan Umno atau tempat-tempat lain.


“Malam ini ada arahan supaya guru-guru Kafa hadir di bangunan Umno di sini. Khabarnya arahan tersebut ada kaitan dengan pegawai di PPD,” katanya di sini.

Malah ketika roadshow bekas ahli PAS yang dipecat, Datuk Dr Hassan Ali di Taman Guru Febuari lalu, guru-guru Kafa yang mengajar di sekitar Kota Bharu diarah secara lisan hadir pada program berkenaan.

Perkara itu turut diakui beberapa guru yang mengajar di kawasan parlimen Kota Bharu apabila mendakwa arahan dibuat PPD supaya hadir pada program berkenaan.

Mereka mempersoalkan mengapa guru-guru Kafa kebelakangan ini dijadikan seumpama ‘bola’ oleh pemimpin Umno bagi kepentingan politik kumpulan terbabit.

Sumber lain mendakwa pegawai PPD Kota Bharu disebut-sebut bakal dicalon mewakili BN di Dun Bunut Payong pada pilihan raya umum ini.

“Umno memperalatkan guru-guru Kafa kerana program yang diadakan bersama masyarakat tidak mendapat sambutan. Jadi guru-guru Kafa dikerah bagi menampakkan ramai yang datang,” kata keluarga guru Kafa berkenaan.

Dalam perkembangan lain di Lundang semalam pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) difaham dihimpunkan pada satu program ‘brainwash’ bagi mendengar ceramah politik disampaikan pegawai dari BTN.

Kata sumber, program tersebut dirasmikan ahli lembaga pengarah Kada, Datuk Hanafi Mamat yang juga Ketua Umno Pasir Mas.

“Program tersebut menjadi medan politik memburukkan kerajaan negeri dan PAS dilempar penceramah jemputan dan pemimpin Umno terbabit.

“Mereka menunjukkan gambar Menteri Besar hadir pada program di Wat Siam sebelum ini dan mengaitkan kerajaan negeri membantu penganut agama berkenaan,” ujar sumber itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails