Selamat Datang

Jumaat, 26 Februari 2010

Tegak sunah Rasulullah s.a.w. sepanjang hayat


Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Selawat dan salam buat penghulu para pejuang, Rasul tercinta Muhammad s.a.w., para sahabat dan keluarga baginda, serta mereka yang mengikuti jalannya serta mencontohi perilaku baginda hingga ke hari pembalasan.

Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan kepada Rasulullah s.a.w. Sebagai seorang yang mencintai baginda, tentu sekali kita senantiasa terkenang akan sirah perjuangan dan lakaran pengorbanan Rasulullah s.a.w. sehingga kita semua dapat menerima cahaya keIslaman dan hidayah dari Allah untuk mengecapi nikmat berharga iman dan Islam.

Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang disebut dan diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita melakukan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung tali-menali hingga ke hari ini?

Marilah kita menghayati firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. (Surah Saba’: 28)

Baginda Rasulullah s.a.w. telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna.

Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan ini menguatkan iltizam kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah s.a.w. dengan mengamalkan dan menegakkan segala suruhan baginda, serta meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci baginda.

Rasulullah s.a.w. meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskan. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah s.a.w. walau dia menyambut kelahiran baginda saban tahun.

Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w. hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah s.a.w. Seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul s.a.w. di dalam segala aspek pentadbirannya.

Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1431.

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

Rabu, 24 Februari 2010

USAHA RASULULLAH MENCARI REZEKI YANG HALAL


Apabila Rasulullah saw mula berada di alam keremajaan dan kedewasaan, baginda mula mencari rezeki yang halal dengan bertungkus lumus menyingsing lengan dengan menternak kambing setiap hari. Ini telah diceritakan dalam satu hadis yang bermaksud; 'Dahulu pernah aku menternak kambing penduduk Mekah dengan upahnya beberapa kirat sahaja'.

Pekerjaan Rasulullah saw menternak kambing untuk mencari rezeki yang halal dan mengenai limpahan kurnia allah kepada keluarga Halimah Al Sa'diyah semasa baginda tumpang tinggal bersama-sama mereka telah menunjukkan secara jelas kepada kita tentang kerja-kerja dan usaha-usaha yang diredhai dan dipinta oleh Allah dari hamba-hambanya yang soleh di dunia ini.

Suatu hikmah Ilahi dapat kita lihat iaitu sebaik-baik harta ialah hasil usaha sendiri demi untuk kebaikan masyarakat dan manusia seluruhnya dan seburuk-buruk kesenangan ialah kemewahan yang diperolehi ksesusahan yang langsung dan tidak memberi sebarang sumbangan kepada masyarakat.

Pendakwah yang hidupnya bergantung kepada pemberian dan sedekah selepas berdakwah sebenarnya tidak mencerminkan sesuatu nilai pun.Sebaik-baik jalan kepada pendakwah ialah berdikari dan bergantung kepada sumber-sumber kewangan dan perusahaan sendiri tanpa menadah tangan meminta dari manusia lain.

Selasa, 16 Februari 2010

PERJALANAN PERTAMA RASULULLAH


Dalam usia dua belas tahun, bapa saudara baginda Abu Talib telah membawa baginda bersama-sama ke negeri Syam untuk berniaga. Ketika sampai di satu tempat bernama Basra, mereka telah berjumpa dengan seorang padri yang bernama Buhaira yang bijak dalam hal berkaitan dengan Kitab Injil dan agama Nasrani.

Beliau memerhatikan Nabi Muhammad dan bertanya kepada Abu Talib samada budak itu anaknya. Lalu Abu Talib mengakui anaknya kerana beliau terlalu kasih kepada baginda. Namun Buhaira menafikannya dengan mengatakan bahawa tidak mungkin bapa budak itu masih hidup. Akhirnya Abu Talib mengaku bahawa nabi Muhammad itu adalah anak saudaranya dan menyatakan bahawa bapanya telah meninggal dunia semasa dia masih dalam kandungan ibunya.

Buhaira mengakui kebenaran cerita Abu Talib dan menerangkan bahawa semuanya itu telah dinyatakan di dalam Kitab Injil. Seterusnya beliau menasihatkan agar Abu Talib membawa pulang Rasulullah kerana takut akan dibunuh oleh orang Yahudi yang juga mengetahui tanda-tanda kenabian Nabi Muhammad. Maka Abu Talib pun segera membawa pulang Nabi Muhammad ke Makkah.

Pengajaran yang dapat direnungkan dari kisah di atas ialah kelahiran nabi Muhammad telah diketahui oleh golongan Yahudi dan Nasrani kerana telah dicatatkan dalam Kitab Injil dan Taurat. Malahan mereka mengenal tanda-tanda kenabian pada Rasulullah seperti mereka mengenal anak-anak mereka sendiri sebagimana firman Allah yang maksudnya;

'Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah kami beri Al-Kitab (Injil dan Taurat) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran padahal mereka mengetahui.' (al-Baqarah:146),

Isnin, 15 Februari 2010

KEPUTERAAN NABI MUHAMMAD SAW.


Baginda dilahirkan pada tahun gajah iaitu tahun di mana Abrahah Al Asyram telah melanggar masuk ke kota Makkah untuk menawan dan memusnahkan Al-Ka'bah. Namun percubaannya itu menemui kegagalan di mana Allah swt telah mengutuskan sekumpulan burung-burung Ababil yang mencederakan dan memusnahkan angkatan tentera Abrahah. Baginda dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabiul Awwal.

Baginda adalah yatim ketika dilahirkan. Ayahnya wafat ketika baginda baru dua bulan dalam kandungan ibunya. Setelah dilahirkan baginda dipelihara oleh datuknya Abdul Muttalib. Baginda disusukan oleh seorang perempuan dari puak Sa'd bin Bakr yang dkenali sebagai Halimah binti Abi Zuwaib. Penyusuan baginda oleh Halimah merupakan satu adat resam orang-orang Arab ketika itu.

Mengikut sirah, kampung Bani Sa'd ketika itu mengalami kemarau yang teruk. Ketibaan Nabi Muhammad ke rumah Halimah dan menyusu darinya menyebabkan keadaan kampung itu berubah dari kering tandus mulai basah menghijau. Kambing ternakan yang dahulunya kelaparan kini kelihatan ceria dan uncang-uncang susunya penuh berisi. Baginda disusui sehingga berumur lima tahun dan dihantar kembali ke pangkuan ibunya. Semasa di bawah jagaan Halimah juga Nabi Muhammad telah dibedah perutnya dan dibersihkan hatinya bagi pertama kalinya.

Ibunya wafat semasa baginda berusia enam tahun yang membawa keadaanya menjadi yatim piatu. Baginda dipelihara dan didik pula oleh datuknya walaupun tidak lama selepas itu datunya pula wafat ketika baginda berusia lapan tahun. Seterusnya baginda diasuh pula oleh bapa saudaranya yang bernama Abu Talib.

Dari peristiwa di atas beberapa pengajaran dan renungan dapat dibuat iaitu

1. Nabi Muhammad saw dilahirkan dan dibesarkan dalam keadaan yatim piatu dan hanya sempat membesar di bawah jagaan datuknya dalam masa yang singkat menunjukkan bahawa Islam yang dibawa oleh baginda tidak dipengaruhi oleh didikan ibu bapa atau warisan keluarga. Islam yang dibawa adalah terus dari Allah swt.

2. Perubahan di perkampungan Bani Sa'd yang kemarau teruk menjadi basah kehijauan merupakan tanda kedudukan martabat baginda yang tinggi disisi Allah dan kurniaan dan limpahan rahmat kepada kaum Bani Sa'd dengan kehadiran baginda di sana. Lebih jelas lagi Baginda Rasulullah merupakan rahmat Allah untuk manusia sejagat dan alam sekeliannya sebagaimana dinyatakan dalam Al-Quran yang firmannya bermaksud

" Dan tidak kami utuskan engkau melainkan sebagai rahmat untuk sekeliam alam".

3. Peristiwa baginda dibedah dan dibersihkan hatinya oleh Jibril adalah untuk mengisytiharkan kerasulan dan menjadikan baginda ma'sum serta mempersiapkan baginda untuk menerima wahyu dari Allah swt. Pembedahan ini merupakan pembersihan rohani yang dialami oleh baginda oleh Allah swt.

Ahad, 7 Februari 2010

Amal Ibadat Bekalan Hari Akhirat


Fitrah manusia suka kepada hidup dan umur yang panjang. Jika boleh inginkan hidup yang berkekalan. Oleh itu didapati Iblis telah berjaya memperdayakan Nabi Adam dengan menghasutnya supaya memakan sejenis buah yang dilarang oleh Allah sebagaimana dinyatakan dalam Firmannya:
' Maka syaitan menghasutnya. Syaitan berkata: Ya Adam, Tidakkah aku tunjukkan kepada kamu sejenis pohon boleh yang berkekalan dan pemerintahan yang tidak musnah?' (Taha: 120)

Dalam Islam umur yang panjang merupakan satu ni'mat dan hendaklah diisi dengan amal ibadat dan amal kebaikan. Rasulullah pernah ditanya tentang manakah manusia yang paling baik. maka jawab baginda; Siapa yang umurnya panjang dan baik amalnya.

Oleh itu berpeluanglah bagi mereka yang membuat pengisian hidupnya dengan amal ibadat yang dierstui oleh Allah selagi hayat dikandung badan. semakain banyak amal ibadat yang disertakan dengan keikhlasan maka semakin banyaklah pahala disisi Tuhan.

Disamping pahala yang diperolehi dengan amal salehnya, ia juga memberi contoh dan ikutan yang berguna kepada orang lain. Kesan ini akan membawa kepada orang lain turut mendapat petunjuk, terselamat dari kekejian, terlepas dari bencana dan ancaman musuh dalam masyarakat.

Malahan ia menjadi satu amal dakwah yang paling kemuncak kelebihanya disisi Allah melalui berjihad di jalan Allah. Nabi Muhammad pernah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud;

'Sesiapa yang berdakwah baginya pahala sebanyak pahala-pahala orang ynag mengikuti dakwahnya. Tidak pula kurang pahala-pahala pengikutnya walaupun sedikit.'

Dalam hadis lain diterangkan oleh baginda Rasulullah mengenai kelebihan orang yang berjuang dijalan Allah.
' Sesungguhnya di dalam syurga terdapat seratus darjat yang Allah sediakan kepada para-para mujahidin ke jalan Allah. Tinggi antara darjat ke darjat sejarak langit dan bumi.'

Para pemimpin masyarakat juga turut mendapat keistimewaan ini. Mereka adalah tenaga penggerak yang utama hingga masyarakat mendapat kebaikan. Pemimpinlah yang berjuang untuk menghapuskan penyelewengan dan penindasan. Dalam hadis disebut kelebihan pemimpin yang adil iaitu;
'Sehari pemerintahan dari pemimpin yang adil lebih baik dari enam puluh tahun beramal ibadat'.

Begitulah kehidupan ini perlulah dipenuhi dengan pengisian amal ibadat sebagai bekalan buat kehidupan di hari akhirat.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails