Selamat Datang

Rabu, 14 Mac 2012

Kenapa Pejabat PM tempah hari jadi Najib RM79,053?


Harakahdaily, 14 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 14 Mac: Belum reda dengan pendedahan kos pertunangan anak Perdana Menteri, PKR hari ini pula mempersoalkan kenapa tempahan majlis sambutan hari jadi Datuk Seri Najib Razak yang bernilai RM79,053 dibuat atas nama Pejabat Perdana Menteri.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, ianya berdasarkan Banquet Event Order oleh Hotel Shangri-La yang secara jelas menunjukkan ianya ditempah atas nama akaun Pejabat Perdana Menteri.

Majlis sambutan hari jadi itu dakwanya berlangsung di Sri Perdana pada hari Ahad, 24 Julai tahun lalu.

"Tempahan turut dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri, walaupun ia jelas adalah majlis peribadi Perdana Menteri.
"Berbeza dengan majlis pertunangan anak beliau, majlis ini secara jelas menyatakan ianya majlis peribadi. Ini menimbulkan persoalan kenapa majlis pertunangan itu tidak dinyatakan secara jelas sebagai majlis peribadi, sebaliknya 'majlis Pejabat Perdana Menteri," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Majlis itu, menurut Rafizi, turut menyajikan 47 juadah antarabangsa termasuklah daging panggang yang diimport dari New Zealand, makanan Jepun, makanan Barat dan lain-lain.

Kos RM79,053 itu antara lain merangkumi Buffet untuk 100 tetamu dengan kadar RM207 satu kepala (RM20,700), Band Syed Sobri (RM7,738), Band Batak (RM5,300), minuman 5 gallons (RM795), gubahan bunga (RM31,800) dan caj pengendalian (RM12,720).

"Wajarkan perdana menteri berbelanja besar sebegini untuk majlis hari lahir beliau sedangkan beliau menyeru rakyat Malaysia mengamalkan sikap sederhana (wasatiyah) dan mengawal perbelanjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini?

"Kos hampir RM800 setiap tetamu ini lebih mahal dari sumbangan BR1M sebanyak RM500 yang diberikan kepada rakyat," katanya.
Berikut adalah soalan-soalan Rafizi yang menuntut jawapan ikhlas daripada Najib berhubung kos majlis pertunangan anak (RM409,767) dan kos sambutan hari jadi beliau (RM79,053).

Saya ingin mengajukan soalan-soalan berikut kepada Perdana Menteri jika beliau benar-benar telus dan ikhlas untuk menjadi teladan kepada seluruh rakyat Malaysia


1- Bilakah beliau (Datuk Seri Najib Razak) akan mengemukakan lapan bukti yang disyorkan KEADILAN agar nama beliau dapat dibersihkan?

2- Dalam masa lebih kurang satu bulan, Perdana Menteri membelanjakan setengan juta ringgit untuk dua majlis mewah di Sri Perdana. Jika beliau bertegas ini dibayar oleh beliau sendiri, bagaimanakah beliau mampu berbelanja sedemikian rupa sedangkan pendapatan Perdana Menteri tidaklah seberapa?

3- Jika perbelanjaan mewah ini ditanggung oleh rakan taulan yang memberi tajaan, siapakah mereka ini dan apakah bukti Perdana Menteri bahawa sumbangan kepada majlis peribadi tidak mempengaruhi apa-apa keputusan beliau selama ini?


4- Wajarkan perdana menteri berbelanja besar sebegini untuk majlis hari lahir beliau sedangkan beliau menyeru rakyat Malaysia mengamalkan sikap sederhana (wasatiyah) dan mengawal perbelanjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini? Kos hampir RM800 setiap tetamu ini lebih mahal dari sumbangan BR1M sebanyak RM500 yang diberikan kepada rakyat.

Perdana Menteri boleh sahaja tidak mengendahkan soalan-soalan ini, tetapi dengan bertanyakan soalan sebeginilah rakyat dapat membongkar pelbagai penyelewengan yang berlaku dalam pengurusan dana awam NFC sehingga BN terpaksa tunduk kepada tekanan rakyat.

Perdana Menteri membuat keputusan tidak menyambung tempoh perkhidmatan Datuk Seri Shahrizat Jalil apabila persoalan moral bersabit integriti sebegini diajukan kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Apabila soalan-soalan yang sama diajukan kepada beliau sekarang, wajarkah beliau juga membuat 'pengorbanan' seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Shahrizat Jalil dengan menjawab satu persatu secara ikhlas dan telus, demi menjaga integriti kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails