Selamat Datang

Isnin, 28 Mac 2011

Beri kerjasama sepenuhnya kepada Khalid - Sultan Selangor


Ismail Hashim

SHAH ALAM, 28 Mac: Sultan Selangor, Sultam Sharafuddin Idris Shah menggesa semua pihak termasuk pembangkang memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi meningkatkan pentadbiran negeri.

"Beta berharap kita semua akan bekerja dengan niat baik serta memberikan kerjasama perlu kepada kepimpinan negeri diketuai Memanda Menteri Besar.

"Beta sendiri sentiasa berbincang dengan Memanda Menteri Besar baik dalam soal pentadbiran, ekonomi dan permasalahan sosial terutama melibatkan negeri di mana beta banyak memberi nasihat kepada Memanda beta demi kesejahteraan rakyat," tegas baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian ketika merasmikan Sidang Dewan Negeri Selangor Pertama Penggal keempat Dun Kedua Belas pada pagi ini.

Baginda bertitah semua pimpinan terutama Adun hendaklah mengepikan fahaman politik kepartian dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.

Titah baginda, semua perkara yang dibincangkan dalam dewan hendaklah mengutamakan rakyat dan negeri.

Baginda berharap dewan kali ini menjadi medan terbaik menyelesaikan pelbagai isu khusus melibatkan kepentingan rakyat.

Dengan amanah yang diberi, keutamaan semua wakil rakyat adalah untuk hadir ke dewan berbahas dan membawa suara akar umbi merentasi kepentingan agama, kaum, politik dan sosial, tambah baginda.

"Semua perkara berbangkit hendaklah dibincangkan dalam dewan mulia ini dengan penuh intelektual dan bukannya dengan emosi.

"Beta berbangga dengan kemajuan negeri yang memberikan sumbangan besar kepada hasil pendapatan negara," tegas baginda.

Dalam pada itu, baginda sedar Selangor sebagai negeri maju pada 2010 telah mendapat pelaburan sebanyak RM10.64 bilion dengan 325 projek industri berteknologi tinggi diluluskan.

Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 47 projek berbanding 2009.

"Namun kita harus sentiasa bersiap sedia berhadapan dengan iklim ekonomi dunia yang ada kalanya tidak menentu khususnya di Amerika, Eropah dan Timur Tengah.

"Jangan kita berbelanja secara boros dan tanpa kawalan, pengalaman lalu harus dijadikan tauladan," tegas baginda.

Baginda berharap Belanjawan 2011 bertemakan Hasil Negeri Untuk Rakyat dengan empat startegi utama akan dilaksanakan Kerajaan Selangor; pengurusan sumber negeri secara bijaksana, pengurusan perbelanjaan cekap, mendokong pembangunan modal insan dan melestarikan pembangunan negeri dengan baik dan berkesan dapat memangkin agenda berkaitan.

Badrul hadir, Shuhaimi diminta ke mahkamah

Tan Sri Abdul Khalid dan semua Exco Kerajaan Negeri serta seluruh Adun hadir termasuk Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang diisytiharkan kosong oleh Speaker, Datuk Teng Chang Khim sebelum ini.

Meskipun Mahkamah memutuskan Badrul masih kekal sebagai Adun namun dalam sidang media terakhir, Teng sebutkan beliau belum menerima apa-apa secara rasmi dari mahkamah.

Sementara itu, Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei kesal dengan tindakan mahkamah yang tetap memerintahkan beliau hadir juga meskipun perasmian sidang Dun sedang berjalan.

Menerusi smsnya, beliau berkata, dalam masa 30 minit beliau diminta hadir atau waran tangkap dikeluar ke atasnya.

Beliau bagaimanapun hadir juga ke Mahkamah Sesyen, dekat sini selepas itu.

Sabtu, 19 Mac 2011

Demo jalan raya untuk demokrasi pilihan raya

Mohd Nasir Awang

Alhamdulillah, satu permulaan sangat baik untuk Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno (HKR-PGU) di Besut, malam tadi (Jumaat, 18 Mac). Dianggarkan lebih 10 ribu hadirin membanjiri Dataran PGU yang terletak di belakang Masjid Bandar Jertih. Diharap sambutan luar biasa sebegitu berlanjutan dalam sesi-sesi seterusnya sepanjang hari ini hingga ke penghujung acara tengah malam nanti.

Sepertimana kebiasaan bagi mana-mana perhimpunan besar dianjurkan PAS, majlis malam tadi juga berlangsung penuh tertib dan adab. Lautan hadirin seramai itu masih berupaya meminimakan sebarang kesulitan, kacau-ganggu atau apa-apa kesan negatif terhadap pihak yang tidak ikut serta, khususnya penduduk sekitar lokasi.

Tidak syak lagi ketertiban itulah antara yang meyakinkan kepimpinan PAS untuk menganjurkan sebarang perhimpunan berskala besar. Mereka tahu ahli dan penyokong parti sangat mengutamakan disiplin diri. Mereka tahu adab, sama ada ketika menggunakan jalan raya, sepanjang berhimpun, mahu pun bersurai.

Hakikat itu mewajarkan pendirian kita betapa pihak lain tidak sepatutnya gusar atau menelah dengan berbagai andaian negatif dan buruk sekiranya PAS berhasrat mengadakan sebarang perhimpunan. Lebih-lebih lagi itulah antara isyarat dan penegasan penting dalam ucapan penceramah utama malam tadi, Haji Mohamad Sabu.

Beliau yang juga pengerusi lajnah berkaitan mobilisasi massa untuk demokrasi sekali lagi mengulangi pendiriannya berhubung kepentingan rakyat berhimpun menunjukkan sikap terhadap sebarang salahlaku atau kepincangan parti pemerintah.

Isu paling ditekankan beliau ialah soal pengurusan pilihan raya negara ini yang disifatkannya masih belum meyakinkan. Rakyat memang tidak menilai keadaan proses demokrasi itu setakat ini diurus secara adil, telus dan bersih.

Banyak sangat kepincangan dan kelompangan dalam urustadbir pilihan raya kita. Kita telah menyaksikan bagaimana kemuncak rasa benci dan muak rakyat terhadap penyelewengan dan ketidakadilan proses pilihan raya telah membuahkan satu perhimpunan lebih 100 ribu rakyat di ibu negara beberapa tahun lalu.

Mereka menuntut pilihan raya negara diurus secara adil dan bersih. Antaranya, daftar pemilih dibersihkan daripada sebarang perkara meragukan, pendaftaran pemilih dibuat secara automatik, penghapusan undi pos dan penggunaan dakwat kekal untuk mengelakkan pengundian berulang. Rakyat juga menuntut akses lebih luas dan adil kepada parti pembangkang dalam media arus perdana, termasuk yang dikuasai kerajaan.

Seluruh negara gempar dengan komitmen luar biasa ditunjukkan rakyat menuntut keadilan demokrasi. Pada suatu peringkat Barisan Nasional (BN) kelihatan seolah-olah bakal meraikan tuntutan itu. Beberapa aspek perjalanan pilihan raya dikatakan lebih telus dan adil ketika pilihan raya umum lalu.

Namun, tsunami politik yang terhasil daripada proses lebih demokratik itu tidak memihak kepada BN. Ia tumbang di lima negeri dan hilang penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen.
.
“Inilah bukti, apabila demokrasi dilaksanakan dengan sebenarnya, rakyat diberi peluang memilih secara adil, BN boleh ditumbangkang. Betul atau tidak?”, terjah Mohamad Sabu, dengan gaya yang menjadi ‘trademark’ beliau itu.

Menurutnya, ekoran keputusan mengejutkan itu BN seakan hilang punca. Riak dan tingkahnya selepas itu hingga kini tidak menampakkan ia bersedia mengulangi proses pemilihan setelus pilihan raya 2008. Ia jelas tidak menguntungkan BN.

Justeru, rakyat tidak meletakkan harapan tinggi untuk melihat proses demokrasi lebih baik dalam pilihan raya nanti. Setakat ini BN bukan sahaja tidak menunjukkan komitmen meyakinkan untuk memenuhi tuntutan rakyat.

Pendaftaran pengundi secara automatik masih dalam perbahasan. Penggunaan dakwat kekal belum diterima, pembersihan daftar pemilih tidak dilakukan. Keadilan media untuk pembangkang pula suatu yang masih terlalu jauh untuk direalisasikan.

Paling mengusik kesabaran rakyat ialah pendirian kerajaan berhubung undi pos. Jangan dikatakan ia bakal dihapuskan, kerajaan sebaliknya berura-ura memperkasa dan memperbanyakkan lagi kategori pemilih yang layak didaftarkan sebagai pengundi pos.

Sebelum ini yang disenaraikan sebagai pengundi kategori itu majoritinya adalah anggota pasukan keselamatan, iaitu polis dan tentera. Namun kedengaran kebelakangan ini hasrat menjadikan suami atau isteri mereka pula sebagai pengundi pos. Bahkan, kecenderungan itu juga diura-ura turut melibatkan anggota pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

“Jika benar anggota Rela pun nak dijadikan pengundi pos, ini terang-terang usaha menyelamatkan BN. Awas! Kita memberi amaran, kita tidak akan teragak-agak untuk sekali lagi turun ke jalan raya,” Mohamad Sabu memberi amarannya, disambut laungan takbir hadirin.

Beliau menafsirkan pendirian meragukan ditunjukkan kerajaan, terutama pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang seakan berusaha menukar status anggota Rela daripada pemilih biasa kepada pengundi pos yang banyak diperkatakan masyarakat sebelum ini.

Semua kita akui undi pos setakat ini tidak pernah memihak kepada pembangkang. Ia bagaikan deposit tetap buat BN. Sebab itu sebarang usaha memperluaskan kategori pemilih yang layak didaftarkan sebagai pengundi pos secara mudahnya memang boleh dianggap usaha menambah undi tetap untuk BN. Logik, bukan?

Ertinya undi pos adalah perkara yang sering menjadi bahan utama pertikaian. Ia dikaitkan sebagai lambang ketidaktelusan dan taktik jahat BN mengekalkan kuasa. Ia juga dilihat medan paling subur untuk penipuan BN demi mendapatkan undi tinggi.

Apatah lagi kumpulan pengundi pos berada dalam persekitaran yang tertakluk sepenuhnya kepada manipulasi kuasa dan kawalan sepenuhnya oleh pihak-pihak yang menguntungkan BN selaku kerajaan.

Justeru, jika benar Rela turut dijadikan undi pos, ia sebenarnya menambahkan kekecewaan rakyat dan memburukkan persepsi tidak telus perjalanan proses demokrasi negara.

Apakah rakyat harus berdiam diri melihat penodaan itu di depan mata? Apakah menjadi kesalahan sekiranya rakyat sekali lagi menggunakan jalan raya untuk menuntut keadilan pilihan raya?

Itulah intipati persoalan dilontar Mohamad Sabu malam tadi. Beliau menjelaskan apa yang bakal dilakukan PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat adalah bagi memastikan demokrasi terpelihara.

Justeru, kemungkinan demonstrasi jalan raya yang disebutnya adalah dalam rangka memulihkan proses demokrasi dan menuntut keadilan pilihan raya, tidak lebih dari itu.

Sebelum ini Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Harakah 1618, 28 Februari lalu) membayangkan kemungkinan mengadakan himpunan Bersih ke-2 jika kerajaan BN gagal memperbaiki kelemahan sistem pilihan raya diamalkan kini.

Khamis, 17 Mac 2011

Orang Cina faham Kelantan haram premis judi


M Faqih

KOTA BHARU, 17 Mac: DAP hari ini menjelaskan aktiviti perjudian yang memerlukan premis seperti Magnun atau Nombor Ekor tidak lagi berbangkit sekarang kerana semua rakyat Kelantan sudah faham.

Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua bangsa di negeri ini telah menerima larangan kegiatan tersebut sudah melewati 20 tahun.

”Masyarakat Cina telah menerima pentadbiran PAS dalam tempoh 20 tahun. Dasar PAS sudah diketahui termasuk bukan Islam.

”Itu tidak lagi menjadi isu, yang ditimbul sekarang hanya penjualan tiket loteri sahaja. Ini kerana ada pihak berhujah loteri tidak memerlukan premis dan diberi kelulusan kerajaan pusat.

”Dan apabila kerajaan negeri menguatkuasa larangan itu seolah-olah melampaui batasan kuasa kerajaan pusat. Dan kerajaan Kelantan menjelaskan isu ini akan dikaji Penasihat Undang-Undang,” katanya pada persidangan media selepas perjumpaan dengan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Darulnaim hari ini.

Hadir sama perjumpaan itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan PKR, Dr Muhd Nor Manuty dan anggota parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Sebelum ini ada pihak mempertikaikan tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam menyerbu premis yang disyaki menjual tiket loteri.

Loke berkata, beliau dan Liew menyatakan pandangan DAP terhadap isu loteri kepada Menteri Besar.

”Hanya penjualan loteri yang jadi isu baru-baru ini. Dan kita berpuas hati dengan perbincangan hari ini. Kita menghormati judi adalah haram kepada orang Islam.

“Hanya menjadi persoalan kepada bukan Islam membeli loteri kerana ia dibenarkan di peringkat pusat, dan kerajaan negeri bersedia mengkaji spesifik isu loteri.

”Dan kalau dibenarkan selepas dilihat dari aspek undang-undang kita perlu melihat semula bagaimana melaksanakan perkara ini,” ujarnya.

Beliau juga berkata, loteri sudah menjadi kebiasaan kepada masyarakat Tionghua sejak sekian lama.

Beliau yang juga anggota parlimen Rasah berkata, dalam isu judi bola sepak DAP awal-awal lagi menentang ketika perbahasan di parlimen.

Mustafa pula kerajaan Kelantan menyerah kepada Penasihat Undang-Undang (LA) untuk mengkaji isu penjualan tiket loteri yang tidak membabitkan premis.

Ini kerana kegiatan perjudian yang memerlukan premis memang tidak boleh di Kelantan, tetapi dalam konteks tanpa premis lesen judi itu diluluskan kerajaan pusat.

“Kuasa kerajaan negeri premis di bawah peraturan PBT, tetapi kalau kegiatan judi yang tidak memerlukan premis inilah yang LA hendak kaji.

“Kalau mereka jual di tepi sungai kita pun tidak tahu, macam mana hendak buat. Itu maksudnya. Tengok dahulu apa hasil yang dikaji LA,” ujarnya.

Beliau juga berkata, pertemuan dengan Menteri Besar hari ini bagi menerangkan keputusan mesyuarat Pakatan Rakyat yang lepas berkaitan isu berkenaan.

Cuma kata beliau apa yang dilaporkan beberapa akhbar tidak tepat berkaitan kenyataan dikeluarkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dakwaan mengatakan Anwar menegur Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak berbangkit sama sekali kerana apa yang dilaporkan media berlainan.

”Keputusan diambil kita serah kepada kebijaksanaan negeri Pakatan masing-masing. Pulau Pinang macam mana pendekatan yang mereka hendak diambil.

”Kelantan sudah lama diketahui sikapnya. Tidak semesti apa yang dilakukan Kelantan negeri Pakatan Rakyat lain pula hendak ikut, jadi terpulang di atas kebijaksanaan dan autoriti negeri terbabit,” tambahnya.

Dalam kenyataan sebelum itu Menteri Besar berkata, isu larangan penjualan tiket-tiket loteri Big Sweep yang dikatakan tidak memerlukan premis tetap, kerajaan negeri sedia menelitinya.

“Kita serahkan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk melihat dari sudut perundangan yang ada,” katanya.

Kenyataan media itu dibaca Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari.

Kerajaan digesa bela nasib generasi kedua Felda


Khairil Abdul Rahim

KUANTAN, 17 Mac: Kerajaan digesa mengambil serius nasib dan masa depan generasi kedua Felda daripada terlalu berpolitik dengan menjanjikan pelbagai imbuhan dan wang kepada komuniti itu.

Anak seorang peneroka Felda dari Kota Gelanggi 1, Kamarul Hatta Mohamed Ali, 42, berkata, selain peneroka generasi kedua di tanah-tanah rancangan yang berjaya juga sepatutnya diberi banyak peluang supaya mereka tidak berhijrah.

Tambahnya, apabila mereka yang mendapat pendidikan formal dan berkemahiran tinggi tidak diberi ruang akhirnya terpaksa membina kerjaya dan kehidupan di luar Felda sehingga tinggallah generasi kedua yang sesetengahnya bermasalah.

Menurut Kamarul, pengalaman berkempen di kawasan Felda pada pilihan raya kecil (PRK) Kerdau baru-baru ini beliau banyak bertemu generasi kedua dan ketiga yang pulang ke Felda untuk mengundi, rata-rata tidak puas hati kerana tiada peluang pekerjaan di tanah rancangan sehingga terpaksa berhijrah ke ibu kota mencari rezeki dengan meninggalkan ibu bapa yang telah tua.

“Anak peneroka sepatutnya diberi peluang membina kerjaya dalam rancangan Felda seluruh negara melalui peningkatan peluang pendidikan dan kemahiran dengan misi agar pengurusan Felda kelak akan di tadbir oleh anak-anak peneroka.

“Anak-anak peneroka yang telah terbukti berjaya di luar patut dibenarkan lebih ramai bekerja dalam anak-anak syarikat Felda. Apa yang berlaku tidak begitu, contohnya kontrak-kontrak yang diserahkan oleh Felda Plantation dan Technoplant kebanyakannya dijalankan oleh orang-orang luar,” ujarnya

Tambah Kamarul, akibatnya anak-nak peneroka terpaksa bekerja sebagai kuli kepada kontraktor luar yang mengusahakan ladang-ladang bapa mereka.

Dalam pada itu, beliau meminta semua pihak mengambil berat pendedahan daripada Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye bahawa kadar jenayah di Felda semakin meningkat setiap hari.

“Isu ini tidak boleh di pandang remeh. Dimana peranan pengurusan Felda didalam menyelesaikan masalah ini? Sehingga kini tiada satu usaha pun dilihat bagi membendung masalah gejala sosial dan maksiat.

“Tidak adakah rasa simpati dengan sesetengah generasi kedua dan ketiga yang masih terpaksa menumpang sebumbung dengan ibu bapa walaupun sesetengahnya sudah berkeluarga. Jadi Felda yang sudah maju dengan hasil titik peluh peneroka sepatutnya memberi kemudahan perumahan untuk mereka.

“Bagi menjamin pengeluaran hasil berterusan di samping nasib anak Melayu terbela, anak-anak peneroka patut digalakkan terlibat dalam pengurusan ladang dan persekitaran melalui agihan dan memajukan lot-lot tanah kosong untuk keperluan mereka,” katanya.

Dalam pada itu Kamarul mendesak kerajaan negeri Pahang supaya mempercepatkan proses pemberian geran tanah setelah peneroka menjelaskan bayaran kembali dan menaik taraf penempatan Felda yang telah mendapat hak milik.

Katanya, beliau diberitahu kerajaan Selangor di bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah bertungkus lumus menyelesaikan masalah geran kepada peneroka

Rabu, 16 Mac 2011

Gagal bangun insan, tak capai matlamat negara membangun


Wednesday, 10 Rabi'ul Akhir 1432

Ucapan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 14 Mac lepas.

Tuan Yang Dipertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, pertama-tama saya bersama dengan rakan-rakan, Ahli-ahli Parlimen seluruhnya sama ada di pihak kerajaan ataupun Pakatan Rakyat mengucapkan takziah kepada negara Jepun, kerajaan dan rakyat di atas bencana alam tsunami yang menimpa negara tersebut.

Bagi melahirkan simpati kepada mangsa dan negara yang ditimpa bencana itu, adalah baik pihak kerajaan menghantar rombongan kemanusiaan sebagai simbolik simpati kemanusiaan walaupun kita menyedari negara Jepun mempunyai kemajuan dan kemampuan teknologi dan tenaga manusia untuk menangani dan mengatasi bencana yang menimpa mereka. Akan tetapi sifat-sifat kemanusiaan mengatasi perbezaan kaum dan agama perlu diserlahkan dengan cara yang nyata dan terbuka melalui penghantaran rombongan tersebut.

Seterusnya saya ingin menyertai perbahasan Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Saya hendak memberi penekanan kepada perkara-perkara pokok dan dasar yang diucap dan dititahkan.

Baginda menegaskan supaya semua pihak menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Kedaulatan Raja-raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan istimewa orang-orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain, meliputi hal kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hendaklah tidak dipersoalkan bagi mengelak perpecahan. Amaran supaya langkah diambil bagi mengelak perpecahan, menandakan di sana ada tanda-tanda negatif yang tidak sihat, yang boleh menjejaskan kewibawaan negara yang berdaulat yang berasaskan kepada Perlembagaan tersebut.

Kita perlu menyedari betapa Perlembagaan masih lagi mengalami kelemahan-kelemahan yang perlu dibaiki. Berhajat kepada pindaan.

Kita menyedari sejarah Perlembagaan dilahirkan daripada Suruhanjaya Reid. Mereka yang terlibat di dalam menggubal Perlembagaan itu tidak ada seorang pun daripada anak negeri ini.

Oleh kerana itu masih banyak perkara yang perlu dikaji semula, melakukan muhasabah dengan menyedari bahawa di dalam Perlembagaan itu sudah disebut perkara-perkara yang menjadi rukun, tonggak kepada negara yang sangat penting.

(i) Islam agama Persekutuan;

(ii) keluhuran Perlembagaan; dan

(iii) kedaulatan undang-undang, kedaulatan Raja-Raja, hak istimewa Melayu dan bumiputera, hak bangsa lain.

Akan tetapi mengapa masih wujud gejala-gejala yang menyebabkan Baginda telah menyampaikan titah amaran tersebut? Bagi orang Islam dan rakan-rakan yang bukan Islam menyedari kedudukan Melayu, orang Islam di dalam negara ini adalah golongan majoriti yang semua pihak, kaum lain menerima hakikat bahawa Melayu yang beragama Islam adalah majoriti yang berada di dalam tonggak kepimpinan negara. Soalnya sejauh mana Islam dapat menjadi roh kepada perlembagaan. Apa yang berlaku, kefahaman kita terhadap Islam itu sendiri masih lagi terlalu sempit, masih lagi belum merdeka, masih lagi dijajah.

Perlembagaan tiada roh Islam

Kita tidak menjadikan Islam sebagai agama yang menangani cara hidup termasuk kepada negara dan segala amalannya menyebabkan Perlembagaan kita tidak ada roh. Kita perlu menyedari perbezaan amalan negara yang berasaskan kepada Islam dengan negara yang lain.

Ini kerana tidak ada pemisahan di antara perhitungan dosa dan pahala dengan amalan negara. Inilah yang diajar oleh Islam. Inilah yang memelihara keadilan yang dapat menyatupadukan rakyat dan memberi hak kepada semua rakyat yang menjalinkan hubungan yang baik di kalangan mereka. Adakah keluhuran Perlembagaan itu masih wujud?

Di sana masih terdapat percanggahan-percanggahan di antara kuasa negeri dan pusat. Bukan sahaja di dalam urusan pentadbiran yang mencelarukan bahkan kadang-kadang di dalam urusan agama Islam itu sendiri. Walaupun dinyatakan di dalam Perlembagaan bahawa bidang kuasa agama yang disebut Enakmen Pentadbiran Agama adalah di bawah kuasa negeri tetapi negeri tidak boleh melaksanakan kuasa agama Islam yang luas kerana bercanggah dengan kuasa Perlembagaan pusat.

Ini menimbulkan kecelaruan di dalam melaksanakan Islam melalui konsep Perlembagaan itu sendiri. Bahkan terdapat percanggahan undang-undang Syariah di kalangan negeri-negeri itu sendiri padahal semua negeri menganut Mazhab Shafie. Sepatutnya diselaraskan, menandakan masih wujud kelemahan di dalam Perlembagaan itu sendiri yang menyebabkan kelemahan kepada urusan pentadbiran agama Islam di negeri-negeri. Ada pun kedaulatan undang-undang, kita melihat kedaulatan undang-undang agak terjejas dengan tidak adanya pemisahan kuasa di antara penggubal undang-undang mahkamah dan pentadbiran.

Masih wujud kecelaruan dan campur tangan, masih wujud sistem keadilan yang tidak stabil dengan cara yang tepat. Peristiwa-peristiwa yang menyayat hati dan boleh memalukan kita. Contohnya Teoh Beng Hock yang mati dalam siasatan dan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang disebarkan melalui media dengan cara yang memalukan.

Mengikut kaedah perundangan Islam dan kaedah perundangan Islam ini diamalkan oleh undang-undang British kerana orang-orang British ketika menjajah negara umat Islam, mereka bukan sahaja mengumpulkan hasil bumi. Mereka juga mengumpulkan hasil ilmu Islam melalui kitab undang-undang yang dikarang oleh ulama’-ulama’ Islam dalam segala mazhab sehingga mereka memakai kaedah orang yang dituduh tidak bersalah selagi tidak disabitkan. Apa yang berlaku hari ini, menunjukkan orang dituduh telah bersalah dan dihukum. Mati dalam tahanan walaupun dia seorang yang bukan Islam. Allah mengajar kita adil kepada semua manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah, menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah kepada orang yang adil dapat menunaikannya”. Sama ada amanah politik ataupun amanah kehakiman dan pentadbiran. Apabila melakukan urusan hukuman di kalangan manusia tidak disebut Islam dan bukan Islam juga tidak disebut bangsa yang tertentu di kalangan manusia hendaklah berlaku adil. Apa yang berlaku hari ini, kita tidak boleh menunjukkan contoh kebaikan Islam daripada Islam yang kita jadikan sebagai agama persekutuan. Ini satu hal yang perlu disedari oleh pihak kerajaan sebelum banyak lagi perkara buruk yang berlaku. Insiden-insiden undang-undang yang berlaku dalam negara kita.

Kedaulatan Raja-raja, Raja-raja adalah sebahagian daripada negara kita. Nabi kita Muhammad SAW telah meletakkan garis panduan dalam hal ini yang bermaksud, “Apabila Allah mengehendaki keadaan seseorang raja itu menjadi baik, maka Allah jadikan di sisi raja itu menteri-menteri yang benar dan baik. Sekiranya raja itu lupa diperingatkan. Sekiranya raja itu ingat ditolong raja itu. Sekiranya Allah mengehendaki raja itu dalam keburukan maka Allah jadikan di sisinya menteri yang jahat dan bohong. Sekiranya raja itu lupa, tidak diperingatkan. Sekiranya raja itu ingat tidak ditolongnya”.

Apa yang berlaku dalam negara ini? Melahirkan pengampu-pengampu kepada Raja-Raja kita. Dia bukan menjadi penasihat yang baik apabila kita merasakan kedudukan kita terancam, defend on Perlembagaan. Perlembagaan bukan untuk memperbaiki Institusi Raja-raja tetapi mendapat kuasa laksana kuasa tikus membaiki labu. Ini keadaan yang berlaku.

Hak istimewa orang Melayu

Hak istimewa orang Melayu, Islam, dan bumiputera diakui oleh semua kaum yang ada dalam negara ini kerana mereka menyedari bahawa majoriti rakyat negara ini adalah orang Melayu Islam dan bumiputera. Kerana menyedari bahawa majoriti orang miskin dan ketinggalan dalam hak berekonomi dan hidup dengan selesa adalah orang Melayu dan bumiputera.

Mereka menyedari hakikat ini, dalam masa yang sama sangat baik. Kita telah letak dalam Perlembagaan. Hak kaum lain juga hendaklah dipelihara, dijaga, dan mengikut Islam sama adil dengan puak orang Islam.

Hak untuk hidup dan juga ekonomi. Oleh kerana jumlahnya Melayu bumiputera lebih besar, maka kita letakkan atasnya. Bahkan kami dalam Pakatan Rakyat atau konvensyen telah memutuskan satu resolusi menerima apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

Akan tetapi apa yang merisaukan kita ialah hak istimewa ini tidak dijaga dengan cara yang baik dan betul menyebabkan fanatik kepartian berlaku di dalam parti yang memerintah sendiri. Sepatutnya parti yang memerintah hendaklah menjadi contoh kepada seluruh rakyat.

Para ulama’ mengatakan...bermaksud, “Rakyat mengikut langkah pemimpin-pemimpin mereka”.

Apa yang berlaku hari ini, hak bumiputera yang dipentingkan ialah Bank Bumiputera yang menyokong Umno dan parti yang memerintah di Sabah dan Sarawak. Kemudian, ditambah lagi kroni-kroni pemimpin yang tertentu.

Dalam parti yang sama pun dinafikan. Ini merupakan kemalangan yang berlaku dalam apa yang disebut dengan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera. Ia tidak dilaksanakan dengan betul.

Saya ingin mengulangi apa yang disebut dalam Dewan ini. Bank Bumiputera yang telah ‘meninggal dunia’. Di mana ada Bank Bumiputera di situ ada pejabat Umno. Mengapa Bank Bumiputera telah ‘meninggal dunia’? Siapa yang mematikan bumiputera atau pun jadi anak angkat kepada bank lain? Ini kerana pengurusan dan cara yang tidak betul. Apabila kita orang Islam Melayu telah diterima sebagai tunggak kepimpinan negara, apa yang penting kita mesti menunjuk satu contoh yang baik. Modul ajaran Islam yang bersih daripada rasuah dan menyalahgunakan kuasa. Apa yang berlaku hari ini, pimpinan utama Umno sendiri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyebut dalam kenyataan yang terbuka bagaimana parti yang memerintah dihujani oleh penyakit rasuah di dalam pemilihan-pemilihan mereka. Bagaimana kita dapat mewujudkan sebuah kerajaan menjadi model mengikut ajaran Islam daripada orang Melayu yang beragama Islam ini?

Sekiranya dalam pemilihan kepimpinan kita berdasarkan kepada politik wang dan politik wang ini diketahui oleh umum. Ia dilakukan dalam masa pilihan raya sehingga rakyat tidak boleh menjadi hakim yang adil.

Demokrasi

Ini kerana mengikut amalan demokrasi yang sebenar rakyat adalah hakim untuk menghukum parti yang memerintah. Sekiranya parti memerintah dalam keadaan yang baik, rakyat terus menyokong. Sekiranya parti yang memerintah dituduh dengan tuduhan yang tidak betul, dia boleh bela dan membersihkan diri. Apa yang berlaku hari ini? Rakyat tidak boleh menjadi hakim yang betul kerana media yang menjadi saksi kepada rakyat untuk pilihan raya untuk membuat laporan yang tidak sepenuh dan berat sebelah. Demokrasi ialah untuk memilih kerajaan yang sihat dan kuat.

Di Amerika tidak selama-lamanya Republican atau Democrat. Di Britain tidak selamalamanya Conservative, Parti Liberal atau Parti Buruh. Mereka bertukar dan beralih bila satu parti mengalami kelemahan dalam kepimpinan negara. Ia didedahkan oleh media. Pemimpin parti memerintah tidak boleh jawab, rakyat hukum dalam pilihan raya dan kepimpinan parti memerintah itu menerima hakikat dia dihukum oleh rakyat. Dia tunggu pulih diri dia, setelah dia baik barulah dia menang pilihan raya balik. Apa yang berlaku dalam negara kita hari ini? Mahu memerintah sehingga nyanyuk dan kiamat walaupun kita mengalami kelemahan-kelemahan.

Apa yang membimbangkan Tuan Yang di-Pertua ialah gejala perpecahan. Perpecahan di dalam masyarakat kerana titah Baginda menyebut tentang perpecahan di kalangan rakyat.

Islam menganjurkan perpaduan, perpecahan perkara biasa berlaku di kalangan manusia kerana mereka mempunyai pandangan-pandangan yang berbeza, tetapi mereka boleh disatukan dengan semangat dan roh yang ada dalam diri mereka. Islam menganjurkan perpaduan di kalangan orang Islam dan perpaduan di kalangan sesama manusia yang berbagai-bagai agama. Ia menganjurkan perpaduan dari semua kalangan ini. Perpaduan di kalangan orang Islam, Allah menyatakan perpaduan mereka ialah dengan tali Allah. Firman Allah bermaksud, “Berpeganglah kamu semua dengan tali Allah, jangan kamu berpecah belah”. Perpaduan di kalangan manusia Allah menyatakan bermaksud, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, berbangsa-bangsa, dan berpuak-puak supaya kamu berkenalan di antara satu sama lain”.

Perpaduan di kalangan manusia lita’arafu, supaya berkenalan di kalangan manusia dan bertukar-tukar kepentingan di antara satu sama lain.

Dalam sejarah Islam pernah berlaku perbezaan pendapat yang mencetuskan pergaduhan. Akan tetapi boleh disatukan, boleh didamaikan dan boleh diselesaikan walaupun melahirkan berbagai-bagai mazhab, mazhab dalam ilmu fiqah, bahkan mazhab di alam politik.

Kalangan Sunni, Syiah dan Khawarij, ini alam mazhab dalam politik yang lahir di kalangan umat Islam. Ada yang betul dan ada yang salah dalam mazhab ini. Timbulnya gejala perpecahan dalam politik setelah wafatnya Nabi SAW. Quran tidak menentukan siapa penggantinya.

Nabi Muhammad SAW tidak menentukan siapa penggantinya menyebabkan timbul berbagai-bagai pandangan dan mereka bermusyawarah.

Ada kalangan yang mengatakan bahawa ketua negara mestilah dari kalangan Ansar, dari kalangan orang Madinah kerana mereka tuan punya tapak kepada negara Islam yang awal itu. Ada yang mengatakan ketua negara mestilah dari kalangan Ahlul-Bait, keluarga Nabi SAW. Ada yang mengatakan kepimpinan negara mestilah dari kalangan seorang pemimpin yang berwibawa, yang paling kuat pengaruhnya di kalangan rakyat. Akhirnya mereka menerima bahawa kepimpinan negara mestilah dari kalangan yang berwibawa di kalangan rakyat yang mempunyai bangsa yang majoriti yang hebat di kalangan kaum yang ada dalam negara itu.

Ini pendapat umum yang diterima oleh para sahabat Radiallah Anhu walaupun pendapat Ansar menjadi pandangan golongan Khuwarij dan pandangan Ahlul-Bait menjadi pandangan golongan Syiah yang ditolak oleh ilmu politik dan fiqah politik Islam. Tidak dinafikan dan kita telah menerima semangat itu.

Bahkan dalam Perlembagaan ini sudah ada kita meletakkan hak keistimewaan orang Melayu kerana menerima hakikat orang Melayu adalah majoriti orang Islam yang wujud dan diakui oleh kaum lain. Akan tetapi, kita mesti ingat bahawa jati diri orang Melayu dan kewibawaan mereka terletak kepada sejauh mana mereka berpegang dengan ajaran Islam itu.

Allah SWT memberi amaran yang bermaksud, “Jika sekiranya kamu yang berbangsa, yang menganut Islam itu berpaling daripada ajaran Islam, maka Allah menukar kaum yang lain daripada kamu.”

Dalam sejarah Islam, yang memimpin pemerintahan bukan sahaja orang Arab, bertukar ke bangsa Kurdish, bertukar ke bangsa Turki dan bangsa-bangsa yang lain apabila bangsa yang telah menganut Islam itu tidak kuat dan kukuh berpegang dengan ajaran Islam. Di sinilah Islam meletakkan kepimpinan, bukan ketuanan.

Ini kerana kita tidak boleh memperhambakan di kalangan rakyat. Kepimpinan boleh beralih. Kepimpinan Melayu hendaklah diwujudkan dengan kita berpegang dengan jati diri yang berlandaskan kepada ajaran Islam. Ini sangat penting. Melayu selamat kalau Islam ditegakkan. Kalau Islam tidak ditegakkan, Melayu akan lebur sebagaimana bangsa lain yang lebur dalam dunia ini.

Allah SWT telah menyebut, bangsa yang mempunyai tamadun yang hebat dalam sejarah manusia, mereka hancur lebur walaupun mempunyai pembangunan yang hebat dengan bangunan-bangunan yang mencakar langit. Firman Allah Taala bermaksud, “Adakah kamu tidak tahu, kamu tidak melihat apa yang telah menimpa kaum ‘Ad yang telah mendirikan bandar Iran dengan bangunan-bangunan pencakar langit? Adakah kamu tidak melihat kaum Tsamud yang telah memahat bukit-bukit batu pejal untuk dijadikan bangunan? Adakah kamu tidak melihat kaum Firaun yang mendirikan Piramid, yang mendirikan bangunan Piramid yang hebat dan bala tentera yang ramai apabila mereka telah melakukan fasad, melakukan kejahatan.”

Kejahatan itu sama ada maksiat ataupun kezaliman dalam pemerintahan. Maksiat ataupun kezaliman. Kemungkaran berlaku, maka Allah memusnahkan kaum itu walaupun mempunyai pembangunan kebendaan yang sangat hebat.

Tanpa dinafikan bahawa peranan manusia di atas muka bumi bukan sahaja mengabdikan diri kepada Allah, dalam masa yang sama manusia ditugaskan untuk membangunkan bumi dengan pembangunan-pembangunan yang menggunakan bahan-bahan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka dia atas muka bumi. Akan tetapi untuk melakukan pembangunan itu, hendaklah dibina insan. Dalam ucapan Seri Paduka Baginda disebut pembangunan insan. Akan tetapi, tidak disebut apakah acuan pembangunan insan itu.

Kemusnahan negara-negara yang maju di abad yang lalu dan yang terkini seperti Soviet Union ialah kerana gagal dalam pembangunan insan walaupun mempunyai muka bumi yang luas, kekayaan yang melimpah ruah, pembangunan kebendaan yang begitu hebat, bangunan yang mencakar langit seperti di Dubai sekarang, bangunan pencakar langit banyak tetapi orang tidak ada.

Pembangunan yang tidak berasaskan kepada pembangunan insan dalam erti kata yang sebenar untuk membangunkan insan bukan sahaja mengilmukan mereka dalam bidang sains dan teknologi yang sangat diberi penekanan. Tidak dinafikan bahawa pengilmuan dalam sains dan teknologi adalah penting. Akan tetapi, manusia yang mengendalikan pembangunan sains dan teknologi itu hendaklah dibina roh dan akal mereka. Kalau roh dan akal mereka tidak dibina dengan tepat, maka sains dan teknologi membawa kemusnahan kepada diri mereka sendiri.

Dengan sebab itu maka Islam menganjurkan bahawa bagi membangun diri manusia hendaklah mengikut acuan fitrah, naluri dan sifat semula jadi manusia yang disebut dengan Maqasid al-Syariah, tujuan hukum syariah diturunkan oleh Allah kepada manusia tepat dengan ciri-ciri dan sifat keperluan yang ada bagi diri manusia. Mereka memerlukan enam perkara yang penting:

(i) agama;

(ii) nyawa;

(iii) akal;

(iv) maruah;

(v) keturunan; dan

(vi) harta.

Ini tiga rukun. Dalam kehidupan manusia, manusia tidak boleh hidup dengan tepat, dengan baik sekiranya tidak memenuhi ketiga-tiga rukun ini. Pertama, agama. Islam meletakkan agama menjadi dasar dan payung kepada pembangunan insan. Meletakkan manusia menjadi hamba kepada Allah. Pimpinan negara adalah menunaikan amanah bukannya tuan yang memperhambakan rakyat dan mana-mana kaum. Ini yang diajarkan oleh Islam.

Segala projek pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan memberi kesenangan kepada rakyat hendaklah ditunaikan dengan amanah dan di atas sifat menunaikan amanah, dia tidak boleh berbangga dengan apa yang dia buat dengan hendak menunjuk-nunjuk sahaja ini aku buat, ini aku buat, ini aku buat seolah-olah harta dia, dia yang punya. Apabila merasakan ini dia yang punya, harta dia, maka berlakulah salah guna, berlakulah mengambil kesempatan, berlakulah tidak ada perhitungan dosa dan pahala, berlakulah tidak boleh mengawal tamak dan haloba dalam kegiatan politik dan ekonomi. Pembangunan itu bukan sahaja tidak memberikan kebahagiaan kepada rakyat, bahkan menjadi kemusnahan kepada negara dengan sebab pengurusan ekonomi tidak teratur, perjalanan tidak teratur dengan cara yang baik.

Islam menjadikan agama pengawas kepada kegiatan-kegiatan yang lain. Oleh sebab itu Islam meletakkan perhitungan dosa dan pahala dalam semua tindak-tanduk yang dilakukan oleh manusia. Bukan sahaja di masjid, bukan sahaja atas tikar sembahyang, bukan sahaja di Makkah termasuklah bila dia menjadi ketua negara, menjadi pemimpin negara, di office bergaul dengan rakyat, segala tindak-tanduknya ada kaitan dengan agama. Apa yang berlaku hari ini seolah-olah agama tidak ada kaitan dengan masalah hidup. Kita buat macam-macam, berbagai-bagai langkah, rasuah, menyalah guna kuasa, selepas itu pergi umrah. Selesa dengan itu sahaja, seolah-olah cukup dengan umrah sahaja dengan tidak melakukan muhasabah bahawa semua tindakan adalah dihisab. Bukan umrah itu sahaja.

Ini kerana kita memisahkan agama dengan urusan kehidupan. Kedua menjaga nyawa. Nyawa adalah penggerak kepada anggota yang bertugas bagi diri manusia. Nyawa hendaklah dipelihara dengan cara yang baik. Oleh kerana itu Islam menjadikan hak nyawa bukan sahaja hak Allah Taala termasuk juga hak manusia. Maka Islam meletakkan hukuman qisas dalam memelihara nyawa.

Firman Allah Taala yang bermaksud, “Dan bagi kamu dalam melaksanakan hukuman qisas itu, membawa kehidupan wahai orang-orang yang mempunyai akal fikiran yang betul supaya kamu bertakwa kepada Allah.”

Qisas ini yang berkait dengan kesalahan membunuh, termasuklah kesalahan mencederakan dengan sengaja dan tidak sengaja, semuanya ada dalam Islam termasuklah undang-undang kemalangan jalan raya. Berkait dengan qisas. Di mana undang-undang Islam lebih berkonsepkan mendidik bukan untuk mendera dan memungut hasil.

Saman ekor

Apa yang berlaku hari ini contohnya saman ekor. Saman ekor adalah satu undang-undang di atas nama mengapa tidak saman kepala terus? Saman ekor sahaja. Di atas nama hendak mengawal keselamatan jalan raya tetapi undang-undang ini tidak bersifat mendidik lebih bersifat mendera, lebih bersifat mencari duit. Setelah diumumkan ramai yang beratur hendak bayar saman ekor diberitahu berapa juta dapat minggu ini. Termasuklah undang-undang yang berkait dengan dadah. Ini juga undang-undang yang mendidik. Apa yang berlaku hari ini kita gagal dalam menangani masalah dadah. Ini sangat mendukacitakan. Maka perlu dikaji semula, dibawa undang-undang takzir yang mendidik rakyat supaya menangani masalah dadah.

Kesimpulan Tuan Yang Dipertua, sekiranya kita tidak dapat membangunkan insan mengikut acuannya yang tepat, maka kita gagal mencapai matlamat negara yang membangun, mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat, menjadi wawasan kepada umat Islam dan ketamakan manusia seluruhnya. Sekian, terima kasih.

SPR tidak bebas, Pakatan kalah


Suhaimi Mokhtar

PAS-Pakatan kalah lagi dalam pilihanraya kecil Dun Kerdau,Pahang dan Dun Merlimau,Melaka ,apabila calunnya di Kerdau, Hassanuddin Salim tewas ditangan calun Umno-BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad,dan calon PAS-Pakatan, Yuhaizad Abdullah kecundang di Merlimau di tangan calon Umno-BN,Roslan Ahmad.

Di Kerdau,calun PAS mendapat 2,336 undi berbanding Umno-BN 5,060 sementara di Merlimau PAS mampu meraih 2,319 undi berbanding Umno-BN mendapat 5,962 undi.

Dua kekalahan serentak dipilihanraya kecil Dun ini adalah dijangkakan,kerana kedua-dua Dun ini merupakan kubu kuat Umno-BN.PAS hanya menaruh harapan untuk memenangi kedua-dua Dun itu dengan harapan momentum pilihanraya umum Mac 2008 berterusan akan menyebelahi PAS-Pakatan.

Bagaimana pun harapan ini tidak kesampaian disebabkan pelbagai faktor antaranya pertandingan yang tidak setara dalam padang permainan demokrasi yang tidak sama rata.Kekalahan PAS dalam pilihanraya sebelumnya di Dun Tenang ,Johor dan di Dun Galas,Kelantan juga berpunca dari kepelbagaian faktor yang sama.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak bebas,pasukan keselamatan terutama pasukan polis juga kelihatan tidak bebas,bahkan menyebelahi Umno-BN dalam pretex masing-masing mengawal ketenteraman awam, keselamatan dan keamanan disamping kononnya untuk menjamin pilihanraya yang licin dan teratur.

Selagi anasir-anasir ini wujud,maka selagi itu tidak mudah bagi PAS-Pakatan untuk memenangi pilihanraya dikerus i-kerusi yang dikuasai oleh Umno-BN.Kemenangan PAS- Pakatan dalam pilihanraya umum lalu sehingga mampu menguasai beberapa negeri tidak dapat dibendung oleh apparatus yang mengaturselia dan mengawal pilihanraya,SPR dan pasukan keselamatan, apabila arus mahukan perubuhan begitu besar yang tidak dapat ditampung oleh perbuatan-perbuatan penyelewengan dalam pilihanraya.

Pilihanraya Kerdau dan Merlimau diadakan serentak, dengan waktu kempen yang pendek.Segala peraturan baru yang diperkenalkan SPR,semuanya untuk kepentingan memberi kemenangan kepada Umno-BN.Umno-BN bukan setakat menggunakan apparatus atau peralatan jentera kerajaan ini untuk menjamin kemenangannya,tetapi turut menggunakan media,akhbar dan saluran TV yang mampu berkempen lebih panjang,berulangkali dan menerima audience khalayak lebih ramai.

Inilah padang permainan demokrasi yang tidak setara dan samarata yang dihadapi PAS-Pakatan.Dalam keadaan ini mana mampu PAS-Pakatan yang mempunyai sumber yang terbatas dapat menyiangi Umno-BN.

Jika proses demokrasi negara ini berlaku secara adil,telus,saksama dalam padang permainan demokrasi yang setara dan samarata,tiada penggunaan jentera kerajaan untuk membantu kempen Umno-BN,SPR dan pasukan keselamatan yang bebas,maka sudah lama kuasa Umno-BN dikuburkan.

Kalau Umno-BN tidak percaya dan meragui hakikat ini,cuba kendalikan pilihanraya umum ke-13 ini dalam suasana yang lebih kondusif,nescaya Umno-BN akan melihat hasil keputusan pilihanraya yang lebih jelas.

Diharapkan dalam pilihanraya ke-13 nanti segala anasir-anasir peraturan negatif dalam pilihanraya dimansukhkan dan digantikan dengan peraturan-peraturan yang memperlihatkan ketelusan dan keadilan serta pilihanraya bersih yang tidak diselaputi dengan penyelewengan dan perbuatan merasuah rakyat seperti menjadi amalan sekarang.

Pilihanraya ke-13 yang dianggap paling kritikal dalam sejarah pilihanraya negara ini sejak negara ini mengenali erti pilihanraya bermula sebelum merdeka lagi pada tahun 1955,hendaklah dilaksanakan dengan penuh keadilan,supaya nanti t iada sesiapa yang mampu mempertikai dan mempersoalkan keputsan pilihanraya.

Adalah dibimbangi bahawa selepas pilihanraya ke-13 nanti selepas keputusan telah dibuat, ada pihak yang mempersoalkan ketelusan,kebersihan pilihanraya dari sebarang penyelewengan , yang kesan balasnya nanti membahayakan, apabila rakyat tidak lagi mempercayai keputusan plihanraya,lalu rakyat keluar beramai-ramai kejalan-jalanraya mendesak pilihanraya diadakan semula dan tidak mengiktiraf keputusan pilihanraya.

Kemungkinan seperti ini berlaku bukanlah sesuatu yang diluar perhitungan.Ia akan lebih memudaratkan negara.Adalah lebih wajar perkara seperti ini dielakkan lebih awal dengan mengadakan pilihanraya yang betul-betul bersih.adil,telus serta tanpa kelihatan sebarang penyelewengan , sama ada ketara atau tidak,besar atau pun kecil.

Kalau pilihanraya diadakan tanpa sebarang penyelewengan,penuh kredibaliti dan keadilan serta bersih,maka tiada sesiapa nanti yang akan mempersoalkan keputusan pilihanraya yang diumumkan.Apa yang berlaku dibeberapa buah negara yang sehingga sekarang masing-masing pihak mendakwa kemenangan masing-masing telah membawa negara kepada keadaan huruhara,apabila tiada kerajaan yang sah dapat dibentuk.Iktibar ini sangat perlu dihayati oleh semua pihak.

Pihak pembangkang mendakwa kemenangan berpihak kepada mereka,sementara regim yang mempertahankan kuasa kerana mahu terus bergantung dan berpaut kepada kuasa yang dinikmati, mereka mendakwa bahawa kemenangan berpihak kepada mereka.

Malaysia perlu mengelakkan keadaan sebegini dari berlaku.Dibimbangi kerana sudah begitu lama berkuasa dengan segala nikmat kuasa yang dikecapi,ada pihak yang tidak mahu berundur walaupun kecundang,kerana mahu terus berpaut dan bergantung kepada kuasa.

Walau apapun,apa yang perlu difokuskan bahawa pilihanraya ke-13 yang diadakan nanti perlu diperlihatkan pilihanraya yang ada kredibalitinya.Bagi menjamin pilihanraya yang berkredibaliti,SPR dan pasukan keselamatan termasuk polis hendaklah dilihat bebas dan berkredibaliti.Cukoplah menggunakan jentera kerajaan untuk kepentingan politik pemerintah.Cukoplah merasuah rakyat dengan projek-projek pilihanraya.

Faktor-faktor inilah yang menyumbang kepada kekalahan PAS-Pakatan dalam pilihanraya kecil Dun dan parlimen yang sejak mutakhir ini dimenangi Umno-BN,Mic-BN berturut-turut sebanyak lima kali.Setakat ini selepas 16 kali pilihanraya kecil Dun dan Parlimen diadakan , BN dan PAKATAN masing-masing memenangi lapan kerusi dalam pilihanraya kecil.

Kelihatan di peringkat awal pada tahun 2009 selepas pilihanraya umum 2008,Pakatan berjaya memenangi kerusi-kerusi pilihanraya kecil.Ini mungkin kerana momentum yang masih kuat berpihak kepada Pakatan ketika itu,walau parti manapun yang bertanding sama ada PAS,PKR atau DAP.Tetapi di tahun 2010,BN nampaknya bangkit memenangi kerusi-kerusi pilihanraya kecil yang ditandangi.

Dalam pilihanraya kecil yang keputusannya tidak melibatkan pembentukan kerajaan,maka segala ketidakadilan peraturan pilihanraya,walaupun tidak disenangi,ia tidak akan mengheret keputusan kepada konflik yang terbuka,tetapi jika keadaan yang sama wujud dalam pilihanraya umum ke-13 nanti,suasana akan bertukar menjadi konflik terbuka,apabila rasa tidak puashati bertukar untuk diluahkan dijalan-jalanraya.

SPR,pasukan keselamatan yang mempunyai perisikannya perlu berwaspada dan mengendalikan keadaan ini dengan adil dengan mengadakan pilihanraya yang berkredibaliti ,supaya tiada sesiapa pun yang boleh mempertikaikan atau mempersoalkan keputusan pilihanraya nanti.

Guru perlu ubah lanskap politik negara


Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 16 Mac: Para guru termasuk pesara guru seluruh negara diminta melakukan perubahan drastik terhadap lanskap politik tanah air untuk menghindarkan daripada terus dihinggapi anasir pengkhianatan, kata bekas calon PAS pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang, Normala Sudirman.

Perubahan itu jelasnya, amat penting kerana negara sekarang seolah-olah hilang kawalan penguasaan ekoran politik yang tidak menentu serta terlalu banyak campur tangan yang membawa kepada tiadanya kebebasan.

"Guru merupakan pendidik yang setia, maka buatlah perubahan ke arah yang lebih baik kerana landkap politik masa kini telah musnah kerana campur tangan pihak tertentu.

“Apa salahnya kita yang dididik mewujudkan keharmonian anak bangsa menjadi lebih dihormati lakukan sedikit lonjakan pembaharuan pada pilihanraya umum ke 13 kelak," terangnya pada majlis pidato bersama Cikgu Mala di perkarangan Pusat Khidmat Dun Permatang Pasir. malam tadi.

Sebelum itu, beliau dijemput memberikan motivasi Menjana Kecemerlangan Pelajar Anak-Anak Ahli PAS di Dewan Haji Zabidi, Permatang Pauh dan sebelah petangnya menghadiri program Sepetang Bersama Cikgu Mala, bertempat di Balai Islam Berapit, Bukit Mertajam.

Pada rangka lawatan selama dua hari ke Pulau Pinang bermula semalam dan berakhir hari ini, beliau juga diajak bersama dalam program menjejaki pejuang muslimat anjuran Dewan Muslimat Permatang Pauh manakala sebelah malam nanti beliau sekali lagi berada di pentas pidato srikandi di Pusat Pendidikan Islam Padang Menora, Tasek Gelugor.

Beliau yakin jika guru yang pernah menjadi pelopor politik satu waktu dulu boleh bangun kembali mengatasi golongan politik yang acapkali menggunakan kesempatan peribadi, masalah negara dapat diatasi.

"Dulu rata-rata golongan guru mempelopori politik di mana sahaja tetapi sekarang seolah lenyap begitu sahaja. Kenapa jadi begitu sebab kewujudan golongan yang tidak amanah sering mencari peluang untuk membina kekayaan," tambahnya.

Katanya, guru perlu membuang semua kerisauan bilamana politik berubah tangan kepada Pakatan Rakyat kerana Pakatan Rakyat nyata berjaya melakukan yang terbaik untuk rakyat contohnya di empat negeri yang dikuasai.

Tambahnya, banyak lagi tuntutan guru masih dibekukan tetapi apabila menjelang pilihanraya kecil, ia dimainkan semula seakan-akan 'durian runtuh' padahal jika disiasat, masih terpahat janji lama.

"Bila ada pilihanraya kecil, pasti terpancul keluar dari mulut Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddn Yassin kononnya jika rakyat atau guru memberikan kemenangan pada BN, masalah mereka akan dselesaikan," katanya.

Turut sama berceramah pada program malam tadi ialah Ketua Dewan Muslimat Permatang Pauh, Puan Suraya Saat dan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri, Aida Yusuf Rawa.

Selasa, 15 Mac 2011

Bekas OCPD diarah bayar RM200 ribu


Harakahdaily

KUANTAN, 15 Mac: Mahkamah hari ini memerintahkan bekas Ketua Polis Rompin, Hanafi Daud membayar kepada Dr Hatta Ramli dan dua pimpinan PAS Pahang, Mazlan Yassin dan Nazri Ahmad sebanyak RM200,000 sebagai ganti rugi dan kos akibat daripada penangkapan dan penahanan yang tidak sah ke atas mereka bertiga di Markas PAS Rompin di Muadzam, Pahang pada 10 Mei 2004 lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuantan, Puan Sazlina Safie membuat keputusan tersebut hari ini setelah Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili defendan menyatakan kepada mahkamah bahawa anak guam beliau bersetuju membayar plaintif-plaintif RM200 ribu.

Kes hari ini ditetapkan untuk perbicaraan taksiran gantirugi.

Pada 26 Ogos 2009, Hakim Datuk Mariana Yahya telah memutuskan bahawa defendan telah menyalahgunakan kuasanya apabila membuat serbuan ke atas markas PAS dan menangkap serta menahan Dr Hatta, Mazlan dan Nazri.

Hakim juga memutuskan bahawa ceramah PAS yang diadakan di dalam kawasan markas tersebut adalah satu perhimpunan yang sah dan tidak memerlukan permit polis kerana ia bukan tempat awam.

Mahkamah juga memutuskan bahawa defendan juga telah melanggar Artikel 5 (3) Perlembagaan Persekutuan kerana gagal memberitahu plantif-plaintif atas alasan apa mereka ditangkap.

Setakat ini, inilah kali pertama pihak OCPD disaman oleh pimpinan PAS di atas gangguan yang dilakukan oleh pihak polis ke atas ceramah PAS, hatta hakim sendiri menemplak defendan kerana mengganggu ceramah PAStersebut sedangkan ia berjalan secara aman dan telah banyak kali dijalankan di markas tersebut.

Dr Hatta yang juga Bendahari PAS Pusat dan ahli Parlimen Kuala Krai, Mazlan dan Nazri diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin manakala Hanapi Daud diwakili oleh Kamal Azira Hassan.

Isnin, 14 Mac 2011

Selangor mahu Umno Selangor, Yayasan Kelana Ehsan disiasat


Harakahdaily
SHAH ALAM, 13 Mac: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat Umno Selangor dan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) yang menyumbang lebih setengah juta dalam misi menghantar pelajar Malaysia kembali ke Mesir.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata, tindakan itu sangat menghairankan kerana Umno Bahagian Shah Alam masih mempunyai hutang tertunggak melebihi RM236,000 dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sejak lebih setahun lalu.

"Jika Umno Selangor berkobar-kobar membelanjakan lebih setengah juta untuk sumbangan itu, mengapa tidak pula bersungguh-sungguh untuk melunaskan hutang dengan MBSA.

"Kerajaan Selangor akan meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyenaraikan semua hutang UMNO kepada PBT dan melakukan tuntutan dalam tempoh dua minggu," katanya.

Beliau mengulas tindakan kedua-duanya yang didakwa menyumbang wang tunai RM500 kepada pelajar yang dihantar kembali ke Mesir oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu menghantar 1,200 pelajar dari negeri ini termasuk membelanjakan lebih RM2 juta untuk membiayai kos menghantar pulang mereka menggunakan pesawat yang ditempah khas.

Ujarnya lagi, kes ini juga turut menuntut tindakan SPRM untuk menunjukkan amalan telus dan kebertanggungjawaban mereka agar tidak lagi dilihat 'double standard'.

Apatah lagi katanya, SPRM begitu bersemangat menyiasat laporan Umno yang menuduh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) membelanjakan wang meraikan tetamu-tetamu Kerajaan Negeri dari Sabah dan Sarawak sebelum ini.

"Kita mahu bertanyakan isu yang sama kepada Umno Selangor, dari manakah mereka dan YKE memperoleh begitu banyak dana untuk membiayai sumbangan ini?

"Apakah aset dan perniagaan yang dijalankan oleh YKE sehingga mampu untuk bekerjasama dengan Umno Selangor menghulurkan sumbangan?, "soal Faekah.

Ahad, 13 Mac 2011

Pemuda bertanggungjawab gerak perubahan rakyat


Khairul Izwan

ALOR SETAR, 13 Mac: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) berkata, pemuda mempunyai tanggungjawab dalam menggerakkan perubahan terhadap rakyat.

Beliau mengambil contoh golongan pemuda di Mesir yang berjaya menggerakkan kebangkitan rakyat sehingga menumbangkan Hosni Mubarak yang berkuasa lebih 30 tahun.

“Saya bukan nak suruh tuan-tuan tunjuk perasaan macam tu, tapi nak cerita tanggungjawab pemuda dalam menggerakkan perubahan terhadap rakyat,” katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana belia di Kedah masih di tahap terkawal yang dibuktikan dengan penurunan indeks jenayah dalam masa tiga tahun terakhir ini.

Beliau yang hadir merasmikan Majlis Belia Sejahtera yang diadakan sempena sambutan Kedah Sejahtera memaklumkan kerajaan negeri telah memperuntukkan RM3.6 juta untuk membina Kem Belia Sejahtera.

Ia, katanya bertujuan melahirkan belia yang bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat serta belia yang mengelakkan gejala tidak sihat.

Beliau mengumumkan demikian dalam perasmian Majlis Belia Sejahtera di Stadium Darul Aman petang semalam.

“Kita akan bina Kem Belia Sejahtera untuk semua kaum.

“Bila saya pimpin kerajaan (Kedah), saya mahu belia di beri perhatian istimewa, bukan sahaja soal bola sepak dan bina gelanggang badminton saja, tetapi soal membentuk belia bertanggungjawab,” katanya.

Sambutan Kedah Sejahtera yang menggunakan tema ‘Perkasakan Kedah Sejahtera’ berlangsung selama 5 hari bermula 10 Mac hingga 14 Mac bertempat di Stadium Darul Aman.

Pelbagai acara diadakan untuk mengeratkan hubungan antara kaum dan budaya di Kedah serta program- program untuk remaja juga diadakan.

Setakat hari ketiga, Sambutan Kedah Sejahtera dikunjungi ramai.

Sabtu, 12 Mac 2011

Saman Ekor: Fahami isu sebenar


Zulhazmi Shariff

Saya ingin merujuk kepada siaran akhbar Berita Harian bertarikh 11/3/2011 yang memetik ulasan seorang Pakar Perlembagaan Profesor Dr Rohimi Shapiee. Saya amat dukacita dengan perkembangan dan ulasan tersebut yang melabelkan pihak-pihak yang tidak menggalakkan rakyat membayar saman sebagai sebagai nakal dan menggalakkan pemandu supaya terus melanggar undang-undang.

Saya ingin tegaskan pendirian kami di Jawatankuasa Kempen Anti saman Ekor (KASE) bahawa kami tidak sekali-kali bersetuju dan menggalakkan pemandu-pemandu kenderaan memandu tidak mengikut peraturan. Setiap pemandu mestilah memandu dengan berhemah kerana jalanraya bukan harta persendirian tetapi hak bersama. Kami juga tidak bersetuju dengan penguatkuasaan yang tidak mengikut peraturan sedia ada. Atas hujah dan pendirian ini, kami melancarkan Kempen Anti Saman Ekor (KASE) iaitu bertujuan memberikan penerangan tentang hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan, prinsip keadilan dan pematuhan peraturan serta prosedur tindakan undang-undang.

Tidak pernah pada bila-bila masa dan ketika, Kami menyatakan bahawa Saman Ekor yang dikeluarkan oleh PDRM adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan Akta. Jika ada, saya merasakan kenyataan dan pendirian kami telah disalah tafsir. Saya ingin memperbetulkan pemahaman dan persepsi sesiapa sahaja termasuk Pakar Perlembagaan tersebut supaya sebelum membuat sebarang ulasan atau komen, FAHAMI dahulu apa isu yang dibawa dan ditimbulkan.

Saya ingin menegaskan bahawa Saman Ekor yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi hanya sekadar notis meminta maklumat pemandu daripada pemilik kenderaan yang dikeluarkan mengikut Seksyen 115 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Notis ini disebut sebagai Pol 170A. Fakta ini tidak pernah disangkal malah diakui oleh Kementerian Dalam Negeri, PDRM malah Timbalan Menteri Pengangkutan di dalam Dewan Rakyat. Saya mohon kerjasama pihak-pihak yang ingin membuat ulasan supaya lebih rajin membaca daripada membuat ulasan dan komen berasaskan lojik akal fikiran. Pernahkah pihak-pihak yang membuat ulasan ini meneliti setiap patah perkataan yang terkandung di dalam notis Pol 170A tersebut sebelum membuat komen? Baca dan fahami kandungannya dahulu kemudian nyatakan komen dan ulasan.

Mengikut Seksyen 115 (1) APJ 1987 setiap pemilik kenderaan apabila diberikan notis Pol 170A ini hendaklah memberikan maklumat pemandu yang disyaki telah melakukan kesalahan yang dinyatakan di dalam notis tersebut dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh notis diterima. Kegagalan memberikan maklumat boleh dianggap melakukan kesalahan melainkan pemilik memuaskan hati mahkamah bahawa beliau tidak tahu siapa yang memandu. Maksud memuaskan hati mahkamah tersebut ialah seseorang pemilik jika ingkar menjawab notis tersebut maka pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini hendaklah mengeluarkan suatu notis (Saman) di bawah Seksyen 53(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Persoalannya adakah semua prosedur ini diikuti oleh pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini?

Bersama Notis Pol 170A ini juga dikepilkan Notis Pol 171 iaitu menawarkan kompaun kepada pemilik kenderaan jika pemilik mengakui kesalahan dan ingin menerima tawaran kompaun, pemilik boleh menjelaskannya. Perlu diambil perhatian bahawa tawaran kompaun ini diberikan melalui Seksyen 120 (1) APJ 1987. Kompaun ini hanyalah semata-mata tawaran. Bukan suatu bentuk hukuman atau denda. Kompaun ini juga mempunyai tempoh sah laku kerana di dalam Notis Pol 171 di perenggan 4 dinyatakan begini “Tawaran ini berkuatkuasa sehingga (tarikh). Sekiranya tiada jawapan selepas tarikh ini, tindakan saman akan diambil”. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa kompaun tersebut hanyalah suatu tawaran, dan jika pemilik atau yang disyaki melakukan kesalahan tidak menerima tawaran kompaun tersebut dan enggan membayar, maka mereka hendaklah disaman supaya hadir di Mahkamah menjawap pertuduhan ke atas mereka. Saman ini dikeluarkan mengikut Seksyen 53(1) APJ 1987 yang disebut sebelum ini.

Persoalannya, adakah prosedur ini juga diikuti oleh pihak berkuasa?

Perkembangan yang berlaku sekarang ialah pihak berkuasa iaitu Kementerian dalam Negeri melalui PDRM telah menghukum orang yang disyaki melakukan kesalahan lalu lintas sedangkan mereka tidak pernah dibuktikan melakukan kesalahan. Mereka dihukum dengan alasan tidak membayar kompaun sedangkan kompaun hanyalah tawaran. PDRM pula mengambil kesempatan di atas kurangnya pemahaman rakyat tentang undang-undang dan peraturan telah menghukum dengan meminta JPJ menyenarai hitam kenderaan bertujuan memaksa mereka membayar kompaun. INILAH TINDAKAN YANG BERTENTANGAN DENGAN PERLEMBAGAAN!

Kenapa ia bertentangan dengan Perlembagaan?

a) Kesalahan yang dikatakan telah dilakukan tersebut belum dibuktikan.

Rujuk kembali kepada ulasan asal di atas. Jika Pemilik kenderaan ingkar notis, sepatutnya mereka dihadapkan ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka ingkar notis tersebut. Pelbagai persoalan akan timbul di sini. Adakah notis tersebut telah dikeluarkan? Adakah notis tersebut telah diserahkan dengan sempurna?

Notis boleh diserahkan kepada pemilik kenderaan mengikut Seksyen 118 APJ 1987 iaitu dengan pos berdaftar. Jadi pihak berkuasa perlu membuktikan terlebih dahulu notis itu telah dikeluarkan. Kemudian buktikan notis itu telah diserahkan iaitu dengan bukti pengeposan daripada pejabat pos berkaitan. Jika ada bukti tersebut barulah pemilik perlu buktikan kenapa beliau ingkar. Jika beliau telah memuaskan hati mahkamah dengan alasan-alasannya maka kemungkinan akan dilepaskan. Jika tidak dapat memuaskan hati Mahkamah, kemungkinan akan dijatuhkan hukuman kerana ingkar notis. Belum lagi soal memandu melebihi hadlaju. Adakah ini dilakukan dalam situasi sekarang ini? Jawapannya tidak kerana Timbalan Menteri Pengangkutan sendiri mengakui di Dewan Rakyat pada 8/3/2011 bahawa jika seseorang ingkar Notis Pol 170A ini maka mereka secara automatik dianggap melakukan kesalahan. Ini suatu anggapan yang salah di sisi undang-undang.

Jika pemilik atau pemandu disyaki memandu melebihi hadlaju, mereka sepatutnya disaman hadir ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka telah melakukan kesalahan tersebut. Adakah ini dilakukan? Tidak! Mereka terus disenarai hitam kerana tidak membayar kompaun. Sepatutnya PDRM membawa mereka ini ke Mahkamah, buktikan mereka memandu melebihi hadlaju. PDRM sentiasa mengatakan mereka mempunyai bukti, jadi buktikan di Mahkamah. Bukan dengan bekerjasama dengan JPJ untuk menyenarai hitam supaya pemilik kenderaan membayar kompaun. Ini salah! Kenapa PDRM tidak membawa mereka ini ke Mahkamah untuk dibuktikan kesalahan? Mungkin PDRM tahu bahawa mereka tidak dapat membuktikan kesalahan tersebut.

Perlu diambil perhatian bahawa APJ 1987 tidak memperuntukkan sebarang penggunaan imej yang dirakam untuk diterima pakai sebagai bukti di Mahkamah. Setelah APJ 1987 dipinda pada 22/12/2010 dan mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 barulah imej yang dirakam diterima sebagai bukti di Mahkamah. Ini disebut di dalam seksyen 117 (11) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 seperti berikut : Dalam mana-mana prosiding di mana-mana mahkamah, apa-apa imej yang dirakamkan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi apa-apa kesalahan di bawah Akta ini hendaklah diterima sebagai keterangan, dan hendaklah menjadi bukti prima facie bagi fakta yang dinyatakan di dalamnya.

Akan ada pula pihak yang akan mengatakan bahawa gambar boleh diterima sebagai keterangan di Mahkamah mengikut peruntukkan Akta Keterangan 1950. Betul, tetapi gambar bagaimana, bagaimana gambar diambil. Jika boleh digunakan peruntukkan Akta Keterangan 1950, kenapa kerajaan bersusah payah meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk memasukkan penggunaan gambar (imej) sebagai bukti yang boleh diterima?

Apa yang menyedihkan lagi, sudahlah gambar tidak boleh diterima sebagai bukti, para pemandu dan pemilik telah dikenakan bayaran RM10 untuk melihat dan mendapatkan salinan gambar tersebut oleh PDRM. Sudah lah tidak dibuktikan lagi mereka bersalah, mereka dikenakan bayaran untuk membuktikan mereka tidak bersalah. Sistem keadilan apa yang kita guna???

b) Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Ada dua (2) isu di sini :

a) Pembuktian bersalah; dan

b) Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah.

Pembuktian salah.

Seperti yang diulas sebelum ini, adakah semua yang dituduh dan dikeluarkan Saman Ekor ini telah dibuktikan melakukan kesalahan oleh PDRM dan JPJ? Di Mahkamah mana mereka ini dibuktikan bersalah? Jika tidak pernah dibuktikan bersalah, kenapa menghukum?

Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah?

Kuasa untuk menghukum ini adalah kuasa Mahkamah. Inilah tujuannya diwujudkan tiga (3) cabang dalam kerajaan iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Polis tiada kuasa menghukum. JPJ tiada kuasa menghukum malah kerajaan tiada kuasa menghukum. Hanya Mahkamah sahaja mempunyai kuasa ini. Justeru tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan ini adalah suatu hukuman. Siapa yang menyenarai hitam? Bukan Mahkamah tetapi JPJ. Adakah JPJ telah mendapat perintah Mahkamah untuk menyenarai hitam pemilik kenderaan?

JPJ akan menyatakan mereka mempunyai kuasa di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 untuk menghalang transaksi. Bagaimana kuasa tersebut perlu dibuat? Peruntukkannya menyebut bahawa Pengarah JPJ hendaklah berpuashati bahawa seseorang itu tidak mempunyai “perkara yang belum selesai”. Bagaimana JPJ hendak berpuashati? Mestilah membuat suatu siasatan seperti memberikan peluang membuat representasi kepada pemilik. Ini disebut di dalam Seksyen 17(2) APJ 1987. Adakah ini dibuat? Tanyalah JPJ.

Senario sekarang ini adalah hukum dahulu buktikan kesalahan kemudian. Ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan.

c) Menyenarai hitam bermaksud menghalang rakyat menggunakan harta.

Perkara ini diulas dengan terperinci di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280.

Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuching tersebut telah memutuskan bahawa “perkara yang belum selesai” yang dimaksudkan di dalam Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 ialah perkara yang telah dibawa ke mahkamah di mana yang dituduh tidak membela diri.

Mahkamah juga memutuskan bahawa tindakan JPJ Negeri Sarawak menyenarai hitam di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang. Malah tindakan tersebut juga dianggap bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap rakyat menggunakan harta mereka.

Akhirnya Mahkamah Tinggi telah membenarkan tuntutan gantirugi terhadap JPJ kerana telah menyebabkan kerugian kepada pemohon di dalam kes itu akibat kehilangan penggunaan harta beliau iaitu kereta yang disenarai hitam.

Justeru saya ingin mengambil peluang ini untuk memperbetulkan persepsi dan pemahaman sesetengah pihak supaya apa yang diperjuangkan dan dibahaskan ini adalah isu penyalahgunaan proses keadilan. FAHAMI ISU SEBENAR! ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!


ZULHAZMI SHARIFF

Penasihat Undang-Undang

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

11/3/2011

PAS dakwa polis, tentera diberi MyKad semasa PRK

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 11 Mac: PAS mempersoalkan tindakan kerajaan BN yang memberikan MyKad kepada polis dan tentera semasa PRK Merlimau dan Kerdau 6 Mac lalu, memandangkan mereka sudah mempunyai kad polis dan tentera masing-masing.

Tindakan tersebut menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada pelbagai pihak, memandangkan setiap anggota tentera terutamanya tidak dibenarkan memegang MyKad masing-masing sepanjang mereka masih berada dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin ketika mempersoalkan perkara itu menegaskan, walaupun MyKad-MyKad itu sememangnya kepunyaan anggota polis dan tentera itu sendiri, tetapi tindakan tersebut jelas di luar kebiasaan dan menyalahi undang-undang.

Menurut beliau, setiap anggota polis dan tentera sepatutnya tidak lagi dibenarkan menyimpan MyKad masing-masing, sebaliknya dipegang oleh unit tertentu sepanjang mereka berada dalam perkhidmatan, disebabkan mereka telah mempunyai kad polis dan tentera yang lengkap dengan nombor masing-masing.

"Tetapi semasa pilihanraya kecil (PRK) Merlimau dan Kerdau 6 Mac lalu, polis dan tentera turut diberikan MyKad masing-masing. Ini menjadikan mereka mempunyai dua kad pengenalan diri dalam suatu masa.

"Kenapa Kerajaan BN bertindak begitu? Apakah tujuannya? Inilah yang menjadi tanda tanya kepada kita dan perlu dijelaskan oleh Kerajaan BN," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, semalam.

Setiap anggota tentera terutamanya, menurut beliau, lazimnya mengundi secara pos, tetapi dengan memberikan MyKad kepada mereka yang terbabit, mereka juga boleh mengundi seperti orang awam.

Jadi dengan tindakan itu, anggota polis dan tentera terbabit sememangnya berpeluang mengundi dua kali. Satunya dengan mengundi secara pos (undi pos) dengan menggunakan kad polis dan tentera masing-masing dan satu lagi mengundi seperti orang ramai dengan menggunakan MyKad masing-masing.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan BN menjelaskan matlamat sebenar penyerahan MyKad-Mykad tersebut kepada anggota polis dan tentera terbabit kerana ia amat menghairankan pelbagai pihak.

Beliau juga mendesak SPR memberikan jawapan yang benar sama ada pegawai-pegawai dan anggota-anggota polis dan tentera terbabit sememangnya mengundi dua kali pada PRK Dun Merlimau dan Kerdau 6 Mac lalu.

Terdahulu dari itu, beliau menyuarakan rasa kesalnya dengan tindakan pihak polis dan SPR yang membenarkan ceramah dari pihak Umno BN dan PAS diadakan di tempat berhampiran, semasa kempen kedua-dua PRK itu.

"Semua itu jelas mengganggu program Pakatan Rakyat dan ia tidak sepatutnya berlaku," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Rabu, 9 Mac 2011

Kerajaan tak tahu beza notis dengan saman


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Kegagalan pihak kerajaan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membezakan di antara notis dan saman dianggap sebagai memalukan.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan juga gagal mematuhi tafsiran yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuching berhubung Akta Undang-undang Pengangkutan Jalan Seksyen 17 (1) (D).

"Kita agak terkejut bagaimana pihak kerajaan sendiri khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan tidak boleh memahami persoalan pokok yang terdapat dalam Akta Pengangkutan Jalan itu sendiri dan mereka tidak boleh membezakan antara saman dengan notis.

"Kalau kerajaan tidak boleh membezakan antara notis dan saman satu perkara yang sangat memalukan apabila dia menganggap notis itu sebagai saman.

"Kerajaan sendiri tak boleh akur kepada tafsiran yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuching berhubung Akta Undang-undang Pengangkutan Jalan Seksyen 17 (1) (D)," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuching mentafsirkan Akta Undang-Undang Pengangkutan Jalan Seksyen 17 (1)(D) merupakan perkara yang dianggap perkara belum selesai, merujuk kepada perkara yang belum diselesaikan di peringkat mahkamah.

Mahfuz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman Ekor (Kase) sebelum itu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Sebelum itu, Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) meminta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia mempunyai kaedah tertentu atau mencari jalan penyelesaian secara pantas semasa berurusan di kaunter Pembaharuan Cukai Jalan dan Pembaharuan Lesen Memandu dalam kes-kes saman Polis atau JPJ di mana berlakunya pemalsuan nombor kenderaan tanpa pengetahuan pemilik kenderaan - kesalahan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penasihat Undang- Undang Kase, Zulhilmi Shariff dalam sidang media sama berkata, rakyat perlu faham kuasa menghukum semua pesalah tertakluk pada mahkamah dan bukannya pihak kerajaan.

"Persoalan yang paling besar ditimbulkan dalam isu saman ekor ini, Ketua Trafik Bukit Aman atau Timbalan Menteri menyebut, kita beri peluang untuk rakyat membayar saman sehingga 10 Mac. Persoalannya di sini, siapa yang suruh bayar? Itu yang paling penting," katanya.

Saman ekor dera bukan didik rakyat - Abdul Hadi


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta kerajaan mencari pendekatan lain yang lebih sesuai berbanding saman ekor kerana ia lebih mendera rakyat bukannya mendidik.

"Sepatutnya kerajaan mendidik rakyat supaya mematuhi peraturan jalan raya bukannya mendera rakyat sebagaimana berlaku dalam kes saman ekor ini," kata beliau.

Sekurang-kurangnya dua kali beliau membangkitkan perkara ini dalam dua program berbeza. Pertama ketika bercakap kepada wartawan di Kerdau Selasa lepas dan sekali lagi ketika bercakap dengan kakitangan editorial Harakah Rabu lepas.

Beliau mengulas kesusahan yang dihadapi oleh beribu-ribu rakyat negara ini yang terpaksa beratur di balai-balai polis untuk membayar saman bagi mengelakkan kenderaan mereka di senarai hitamkan.

"Ini mendera rakyat bukan mendidik rakyat," kata Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang sambil menyokong tindakan yang diambil oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menganjurkan Kempen Anti Saman Ekor (Kase).

Baru-baru ini, Kase menyeru Kementerian Pengangkutan bersedia mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk Kase bagi membincangkan dan menjelaskan beberapa isu yang ditimbulkan seperti penswastaan penguatkuasaan peraturan lalu lintas dan kos-kos terlibat.

"Ini bagi memastikan wang rakyat digunakan untuk kepentingan rakyat sendiri, bukan syarikat-syarikat kroni," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada sistem penguatkuasaan automatik (AES) iaitu penggunaan kamera statik dan bergerak untuk mengambil gambar kesalahan memandu melebihi had laju, melanggar arahan lampu isyarat dan memandu di lorong bas bagi kenderaan selain bas.

Sistem ini dikendalikan dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd yang mendapat pulangan 35 peratus daripada setiap enam juta saman yang dikeluarkan manakala kerajaan mendapat 65 peratus pulangan.

"Apa maksudnya ini? Ini bermaksud proses penguatkuasaan peraturan lalu lintas di bawah akta ini telah diswastakan. Apa rasionalnya peraturan lalu lintas diswastakan oleh Kerajaan?" soalnya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Pengunaan AES ini mula berkuatkuasa hari ini di seluruh negara.

Selasa, 8 Mac 2011

Barang naik: PAS pastikan rakyat tidak terbeban


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Mac: PAS akan memastikan rakyat tidak akan terus terbeban dengan kenaikan harga barang dengan mencadangkan perkara yang boleh memperkemaskan subsidi kerajaan dan akan membasmi amalan rasuah dan penyelewengan wang rakyat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) berkata demikian sebagai mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang mengingatkan rakyat agar bersedia menghadapi situasi harga barang.

"Tuanku telah menyatakan kebimbangan terhadap kenaikan harga barang dan sebagainya. PAS akan berperanan memastikan apa yang dititahkan terutamanya mengenai subsidi kita perkemaskan lagi dan cuba hapuskan unsur-unsur penyelewengan dan rasuah dalam projek kerajaan selama ini," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Tumpat itu juga berkata, PAS sebagai parti yang telah lama bertapak di negara ini diberi peluang yang sewajarnya untuk mengutarakan pandangan dan cadangan dalam usaha memajukan negara.

"PAS sebagai parti yang konstruktif menyambut baik titah Tuanku dan kita akan mengutarakan cadangan perbahasan yang berkesan.

"Saya harap ahli Parlimen PAS akan dapat peluang yang sepenuhnya untuk memberi input yang berkesan dalam perbahasan demi masa depan negara," katanya.

Semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen hari ini, Tuanku Mizan menyeru rakyat agar menjadi pengguna yang bijak dan berjimat cermat dalam berbelanja.

"Sejak akhir-akhir ini telah berlaku situasi kenaikan harga bahan-bahan makanan di seluruh dunia yang disebabkan oleh pemanasan global, bencana alam, perubahan polisi negara pengeluar dan peningkatan penduduk dunia sebanyak empat peratus setahun berbanding pengeluaran makanan dunia sebanyak satu hingga dua peratus.

"Ia adalah krisi makanan global. Sebagai negara pengimport makanan, Malaysia terdedah kepada kenaikan harga barang dan ini sememangnya di luar kawalan kerajaan.

"Dalam keadaan ini, Beta menyeru rakyat supaya lebij bersedia untuk menghadapi fenomena ini, jadilah pengguna yang bijak, amalkan perbelanjaan secara berhemat dan berusaha melindungi kepentingan sendiri dengan tidak terlalu bergantung kepada erlindungan kerajaan," titah Tuanku Mizan.

TG Nik Aziz mahu bertemu Harussani


Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 8 Mac: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantar surat rasmi menyatakan hasrat mahu bertemu dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Surat yang dihantar pagi tadi itu antara lain mahu mufti Perak itu menjelaskan kenyataannya sebelum ini yang mendakwa Mursyidul Am PAS itu pernah berkata 'undi PAS masuk syurga'.

Tulisan mufti itu disiarkan akhbar Mingguan Malaysia 6 Mac lalu, iaitu hari pengundian bagi PRK Kerdau dan Merlimau.

"Hari ini saya telah menghantar surat rasmi kepada sohibus samahah Tan Sri Harussani, mufti Perak memohon penjelasan di atas tulisan beliau di dalam Mingguan Malaysia 6 Mac 2011.

"Saya memohon supaya beliau menjelaskan bilakah saya menyatakan bahawa undi PAS masuk syurga," katanya melalui Facebook pagi ini.

Jika benar, pertemuan kedua-dua tokoh yang sering bercanggah pendapat melalui media ini adalah kali pertama berlaku.

"Semoga beliau memberikan respon,"tambah Tuan Guru lagi.

Semalam juga Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah menghantar surat jemputan kepada Harussani berhubung paerkara sama.

Mereka menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi merialisasikan pertemuan tersebut.

Menurut mereka, sudah tiba masanya untuk kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.

Mereka berpendapat, dengan menghormati ilmu Harussani, pihaknya merasakan kaedah itu adalah yang terbaik bagi menidakkan semua pandangan yang telah dikemukakan secara terbuka.

Pemuda PAS Perak juga sebelum ini antara yang tidak senang dengan beberapa pandangan mufti itu khususnya dalam isu ancak membabitkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Belakangkan demokrasi umpama bom jangka


Rizal Tahir

KOTA BHARU, 7 Mac: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pemimpin Umno dan BN, tindakan mereka membelakangkan demokrasi bakal menjadi bom jangka yang akan meletup bila-bila masa.

“Ia bakal menjadi bom jangka yang dilemparkan oleh golongan ini kemudian hari nanti, jadi beringat-ingatlah, jangan berbuat sesuka hati,”ujarnya.

Sambungnya, sekiranya Hosni Mubarak seorang yang berkuasa besar akhirnya digulingkan oleh rakyat sendiri, apa lagi di Malaysia, ia juga boleh berlaku.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengingatkan pemimpin tertinggi Umno tidak perlu bermegah dengan kemenangan calon mereka di dua pilihanraya kecil, Merlimau dan Kerdau, kerana perlawanan itu tidak berlandaskan demokrasi.

Menurutnya, PAS bukan menentang calon Umno sebaliknya parti kerajaan yang disokong oleh segala gentera kerajaan negeri dan Persekutuan.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas keputusan dua pilihanraya kecil di Dun Merlimau dan Kerdau, selepas mesyuarat Ecer tengahari tadi.

Beliau berkata, di Malaysia walaupun mengamalkan demokrasi, namun hakikatnya ‘dia mahu kerasi’ sehingga pilihanraya sebenar sudah tidak wujud di Negara ini.

Menurutnya, PAS sebagai sebuah parti telah menentang calon kerajaan pemerintah dan bukannya menentang calon parti Umno atau BN.

“Ini amat tidak adil, ia berdosa dunia akhirat. Kerana itu golongan muda sekarang semakin memahami masaalah demokrasi semakin tiada di negara ini sehingga mereka menjadi ‘pendendam’ akibat membelangkan demokrasi yang mereka pelajari.

Menurutnya, beliau sebagai anggota PAS sekali-kali tidak meredhai dunia akhirat pada mana-mana pemimpin negara terhadap pengkhianatan demokrasi dalam apa juga perkara terutama dalam pilihanraya.

Walaupun akur dengan keputusan pilihanraya terbabit, namun hakikatnya keputusan sebenar tidak sedemikian.

“Tengok semalam sebagai contohnya, bagaimana seorang penyokong Umno yang telah menyertai PAS tiba-tiba mengisytiharkan semula menyertai Umno.

“Kenapa perkara ini berlaku sekiranya tiada tekanan demi tekanan, ini bukan demokrasi,”ujarnya.

Langkah ini dianggap sama dengan kes seorang bekas pegawai polis yang membuat kenyataan hemat diri mempertikaikan Perdana Menteri dalam kes Altantuya Shaariibuu tetapi tiba-tiba keesokannya menukar balik kenyataannya itu.

Ketika ditanya adakah pengundi Melayu turut menolak PAS pada pilihanraya kecil baru-baru ini di peti undi tertentu apabila didapati kurang sokongan, beliau berkata apa yang dipertikaikannya sekarang ialah soal demokrasi.

Beliau turut mendakwa rakyat masih disogok dengan pembangunan walaupun ianya dibuat apabila tiba waktu pilihanraya sahaja.

“Pembangunan akan muncul hanya bila ada pilihanraya, khususnya pilihanraya kecil,”ujarnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails