Selamat Datang

Selasa, 13 Mac 2012

PAS Selangor abai kerusi Melayu?

Ahmad Lutfi Othman, 13 Mac 2012
Khamis 1 Mac, saya, isteri dan wartawan Harakah Selangor, Saidah Hairan ke Tanjong Karang dan kawasan sekitarnya, sehingga melewati kawasan Sungai Besar. Meskipun agak kerap ke sana menziarahi keluarga sebelah 'orang rumah', namun kunjungan kali ini lebih kepada tinjauan rambang Harakah terhadap situasi politik Selangor, negeri yang menjadi idaman Najib Razak.
Setiap kali melewati pekan Tanjong Karang, Sekinchan dan Sungai Panjang, ia  mengingatkan saya peristiwa lebih sepuluh tahun lalu, tentang pendedahan salahguna kuasa dan rasuah membabitkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo.

Bersama rakan-rakan yang pernah mengusahakan penerbitan tabloid politik tanpa permit, kami waktu itu mengutip maklumat dan menjejak bukti, termasuk untuk menyiapkan laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (sekarang Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

Tidak cukup dengan itu, saya bersama Dinsman dan pengarah Nasir Jani turut merakamkan pengambaran video di sekitar Tanjong Karang -- termasuk rumah sewa Khir di Sekinchan, jalan termahal merentasi bendang dan juga mencari reban ayam --  bagi memperkukuhkan dakwaan kami bahawa Khir terbabit dengan pelbagai bentuk penyelewengan dan korupsi.

Seingat saya, Ketua Pembangkang Dun Selangor, Dr Hasan Ali, yang juga Adun Sungai Burong 1999-2004, terbabit sama. Beliau turut membuat aduan rasuah Khir di Ibu Pejabat BPR, di Putrajaya.

Kini, ketika banyak pihak ghairah berbicara (dan berteka-teki) dengan kecenderungan politik pengundi Melayu, bagi saya, kerusi-kerusi yang ditandingi PAS di empat kawasan Parlimen, iaitu Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam, perlu didekati dengan lebih rapat.

Selepas tsunami politik empat tahun lalu, ramai beranggapan pengaruh PAS masih tersekat di kawasan majoriti pengundi Melayu dan kampung-kampung tradisi tertentu. Justeru, saya kira Harakah sebagai lidah rasmi parti wajar menjadikan kerusi-kerusi seumpama itu, termasuk di Selangor, sebagai kawasan fokus.

Dalam Pilihan Raya Umum 2008, di kawasan berkenaan, PAS bertanding lima kerusi Dun: Jeram, Sungai Burong, Sungai Panjang, Sabak dan Sungai Air Tawar. Manakala bagi kerusi Parlimen, PAS diberi kepercayaan untuk menyaingi BN di Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sungai Besar.

Bagaimanapun PAS hanya menang di Kuala Selangor, melalui wakilnya, Dr Dzulkefly Ahmad, dengan majoriti 862 undi, tetapi tewas di semua kerusi lainnya.
"Kita perlu menunjukkan prestasi yang baik dalam PRU13 di lima kerusi Dun yang diserahkan kepada PAS itu. Selain memperkukuhkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, kita juga dapat menangkis tohmahan bahawa PAS hanya menang dengan sokongan pengundi bukan Melayu," kata seorang aktivis PAS yang saya temui.

Jadual 1 menunjukkan peratusan pengundi Melayu dan majoriti kemenangan calon BN untuk lima kerusi Dun berkenaan.

Kerusi                     % Melayu  Majoriti BN
Sungai Air Tawar   83.6        123
Sabak                      79.7         117
Sungai Panjang      85.4       5,828
Sungai Burong       86.1       2,710
Jeram                      73.1       1,476

Pertemuan pertama diatur bersama Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Ustaz Mohamad Judi Sarjo di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sungai Burong.
Beliau yang mudah diajak bersembang menekankan keyakinannya bahawa jentera parti akar umbi sudah bersedia berdepan misi getir menghadapi PRU13, khusus bagi memenangi kembali Dun Sungai Burong, sekali gus memberikan cabaran sengit kepada Noh Omar, Timbalan Pengerusi Umno Negeri dan menteri kabinet, di Parlimen Tanjong Karang.

Namun begitu, Ustaz Judi mengakui, ia bukan tugas mudah, apatah lagi untuk berdepan pelbagai taktik dan strategi licik BN, termasuk penggunaan politik wang. Noh sebagai ahli Parlimen dan pembantu Najib di Selangor pastinya akan memperalatkan apa sahaja untuk mempertahankan kerusinya.

Jika Noh tewas di kampung halaman sendiri, bermakna operasi tawan Selangor berkecai dengan begitu mudah. Justeru, Ustaz Judi mengakui tanggungjawab besarnya, terutama untuk menggembleng setiap potensi kekuatan PAS Kawasan. Saya perhatikan, semangatnya untuk mencipta sejarah cukup tinggi.

Semasa makan tengahari dengan Dr Mohd Yusof Abd Wahab di sebuah restoran berdekatan kliniknya, di pekan Tanjong Karang, bekas calon PAS yang pernah menentang Noh pada 1999 ini, turut menaruh keyakinan bahawa perubahan boleh dicatatkan pada PRU13.

Saya mengenali Dr Yusof lebih sepuluh tahun lalu; kes berkaitan rasuah Khir Toyo yang menemukan kami. Seperti lazimnya, beliau agak kritikal terhadap persiapan jentera parti. Dr Yusof membayangkan program Umno ada kalanya lebih rancak dan berterusan berbanding PAS.

"Umno bukan saja anjurkan karaoke dan acara sukan tetapi juga kuliah-kuliah agama. Kita harus lebih ke depan jika mahu memberi cabaran sengit. Apa pun, saya yakin, jika segalanya direncanakan dengan baik, terutama dengan sokongan pengundi muda yang lebih celik politik, kita boleh menang," ujarnya.

Hasrat saya untuk menemui Ustaz  Mohd Fadzlin  Taslimin, Yang Dipertua PAS Sungai Besar tidak kesampaian. Aturcara programnya hari itu agak padat sehingga jam 4 petang. Saya pula terpaksa berkejar pulang kerana ada temujanji lain sebelum Maghrib.

Ustaz Fadzlin hampir dapat menewaskan Khir Toyo pada pilihan raya 1999 di Dun Sungai Panjang, apabila hanya ketinggalan 165 undi. Bagaimanapun, pada PRU 2008, majoriti Khir, ketika itu MB Selangor, meningkat kepada 5,828 undi.

Di Markas PAS Sungai Besar, saya menemui orang kuat Ustaz Fadzlin, Setiausaha Kawasan, Samsuri Abdul Karim. Beliau yang kaya dengan pengalaman ternyata tidak memandang ringan cabaran Umno setempat meskipun Khir mungkin tidak dicalonkan lagi berikutan keputusan mahkamah baru-baru ini.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri, Ustaz Sallehen Mukhyi, yang turut merancakkan perbualan kami, melontarkan pelbagai input menarik, khusus untuk menangani kawasan-kawasan luar bandar bermajoriti Melayu.

Sallehen juga saya kenali semasa era reformasi ketika beliau menjadi Adun dan Ketua Pemuda Negeri; seperti Dr Yusof, isu Khir Toyo tambah mendekatkan kami.  Dalam PRU12, beliau hanya kalah 117 undi kepada calon BN di Dun Sabak, Warno Dogol.

Meskipun Umno Sabak Bernam berdepan problem dalaman dan dilihat sukar menampilkan calon berwibawa, Sallehen tetap merendah diri. "Kita mesti fikirkan pendekatan lebih baik untuk golongan muda. Saya kira kita ada masalah dalam hal ini," katanya.

Beliau mengakui pimpinan PAS perlu lebih menumpukan usaha di kawasan Melayu secara sistematik, dan bukan sekadar berpuas hati melancarkan program. "Tidak mudah menyusun aktiviti di kampung-kampung. Masyarakat juga tidak begitu terdedah dengan isu-isu mutakhir. Anak-anak muda juga satu cabaran besar," tambahnya.

Untuk kawasan luar bandar yang menjadi gelanggang aktivitinya, Sallehin kelihatan agak bimbang dengan tindakan agresif kerajaan BN yang menyalurkan pelbagai bantuan 'one-off'. Dan saya kira kerisauannya itu, berdasarkan faktor sosio-ekonomi di Sabak Bernam, adalah berasas. Namun tentulah segalanya ada jalan keluar, 'kan?

Sementara itu, dalam konteks keseluruhan Selangor, ada beberapa kerusi Dun yang dilihat berpotensi untuk dimenangi PAS, merujuk keputusan PRU12, seperti ditunjukkan dalam

Jadual 2

Kerusi %                Melayu  Majoriti BN
Seri Serdang           52.1      45
Morib                      61.0     286
Taman Templer      55.1     613
Paya Jaras               60.0     642

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails