Selamat Datang

Rabu, 7 Mac 2012

PAS Johor sasar menang 17 kerusi

Nazri Abdullah, 07 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 7 Mac: PAS Johor mensasarkan sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman (gambar) berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan perubahan positif rakyat negeri itu yang kini menyambut baik Pakatan Rakyat khususnya PAS yang disifatkan 'tidak pernah berlaku sebelum ini'.

Menurutnya, melihat mood positif rakyat, beliau bukan sahaja yakin PAS boleh menang di kerusi sasaran itu, malah Pakatan Rakyat secara keseluruhan juga tidak mustahil akan menerajui negeri itu.

"Kita (PAS) kini sedang fokus kepada 17 Dun sasar.

"Mungkin orang kata saya bermimpi, atau angan-angan, tapi dengan sambutan kepada kita pada waktu ini, saya yakin kejutan akan berlaku, Johor mungkin jatuh kepada Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Pada PRU ke-12 lalu, PAS bertanding 39 daripada keseluruhan 56 kerusi, manakala PKR dan DAP masing-masing 9 dan 12 kerusi.

Dari jumlah ditandingi itu itu PAS hanya menang di dua kerusi iaitu di Dun Maharani dan Sungai Abong.

Menurut Mazlan lagi, perbezaan ketara sokongan rakyat Johor terhadap Pakatan rakyat berbanding 2008 boleh dilihat dengan sambutan terhadap program-program mereka di negeri itu sejak kebelakangan ini.
Sambutan luar biasa itu katanya, telah menyebabkan ada pihak 'tak senang duduk' sehingga mengupah kumpulan tertentu mengganggu dan membuat kecoh khususnya di ceramah-ceramah anjuran mereka.

Manifesto 15 perkara dasar


Menurut Mazlan lagi, PAS Johor juga telah selesai berbincang berhubung manifesto pilihan raya peringkat negeri yang akan ditawarkan.

Tanpa menjelaskan secara terperinci, beliau berkata ianya menggariskan 15 perkara dasar antara lain tawaran penyelesaian masalah tanah dan tawaran pengurusan pentadbiran lebih baik.

"Kita telah siap seminar manifesto, dan sedang timbang dengan PKR dan DAP.

"Kita yakin menifesto ini akan menjadi kekuatan utama kita untuk ambil Johor," katanya lagi.

Muhyiddin mula gusar

Mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya Johor masih 'tiang seri' BN pada PRU-13 akan datang, Mazlan berkata, ia sebenarnya menggambarkan kebimbangan timbalan perdana menteri itu.

"Kenyataan Muhyiddin tu menggambarkan kebimbangan beliau.

"Saya nak bagi tahu (kepada Muhyiddin), 'tiang seri' itu sudah dimakan anai-anai. Bila-bila pun boleh patah," katanya yang juga AJK PAS Pusat

Menurut Mazlan lagi, beliau mendapat maklumat Umno sememangnya gusar dengan kedudukan mereka di Johor sekarang ini.

Katanya, tidak pernah selama ini, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman turun berkampung di setiap kawasan parlimen seperti yang terpaksa dilakukan sekarang ini.

Malah katanya, selepas lawatan Muhyiddin semalam, Najib pula dijangka turun ke Johor dalam masa terdekat.

"Orang Johor ni dia pandai, dia senyap-senyap sahaja, dia tak tunjuk sokong kita," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails