Selamat Datang

Sabtu, 10 Mac 2012

1Care: Fahami kebimbangan rakyat

Harakahdaily, 10 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 10 Mac: PKR mengalu-alukan kenyataan terbaru Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa kerajaan masih lagi jauh daripada memuktamadkan model bagi sistem 1Care.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (gambar) berkata, Liow mesti memahami kebimbangan rakyat memandangkan kepentingan sektor kesihatan dan rekod buruk Barisan Nasional di dalam memperkenalkan reformasi secara telus dan berwibawa.

“Kami berharap Liow dapat menjelaskan proses perundingan berada pada tahap mana,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kerajaan mestilah mendengar input rakyat, bukan menjadikan proses perundingan itu sebagai satu gimik semata-mata sebagaimana Model Ekonomi Baru yang diwar-warkan Perdana Menteri.


Tambahnya, apa yang membimbangkan PKR ialah sama ada jaminan Liow itu bermakna apabila melihat isu terbaru kes Lynas.

Ini, katanya kerana selepas kerajaan memberi jaminan bahawa sisa radioaktif daripada Lynas adalah selamat untuk disimpan di Gebeng, Pahang, Liow kemudian mengumumkan bahawa sisa tersebut mesti dihantar ke Australia.

Walau bagaimanapun tidak lama selepas itu, ujarnya lagi PM mengumumkan bahawa sisa tersebut akan disimpan di lokasi jauh daripada penempatan tetapi turut menarik balik tawaran menghantarnya pulang ke Australia.

“Sebagaimana disebut di dalam kenyataan saya sebelum ini, kami mengambil maklum bahawa perbelanjaan kerajaan pada kadar 2.2 peratus sebagai peratusan kepada KDNK Malaysia pada 2008 masih lagi rendah berbanding kadar cadangan World Health Organisation (WHO) sebanyak 5 hingga 6 peratu,” ujarnya.

WHO juga, katanya menganggarkan bahawa 20 hingga 40 peratus perbelanjaan kerajaan dibazirkan kerana ketidakcekapan termasuk rasuah.

Justeru, beliau menambah peningkatan perbelanjaan kerajaan untuk sektor kesihatan beserta sebuah sistem yang lebih telus dan cekap akan memberi kesan positif yang besar terhadap sektor kesihatan negara tanpa perlunya 1Care.

“Kami turut menghargai persoalan yang dibangkitkan Institute of Democratic and Economic Affairs (IDEAS) tentang cadangan Pakatan untuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan yang dibentangkan di dalam Buku Jingga,” jelasnya.

Menurutnya, PKR menyokong penubuhan suruhanjaya bebas bagi memastikan kesihatan, sebagai satu hak rakyat yang asas dipelihara secukupnya.

“Sebagaimana disebut di dalam kenyataan awal saya juga, falsafah kami bahawa kesihatan merupakan hak asasi bukan bermakna kami menentang sektor swasta, yang telah memainkan peranan penting di dalam menyumbang kepada kesihatan negara hari ini.

“Namun kami mahukan jurang yang wujud hari ini dikurangkan agar kemudahan kesihatan bermutu dapat dirasai semua rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails