Selamat Datang

Ahad, 31 Oktober 2010

RM2.3 bilion wang judi dalam akaun Kerajaan Pusat?


Sabri Said

PULAU PINANG, 31 Okt: Para pemimpin Umno perlu menjelaskan hasil judi bernilai RM2.3 bilion yang terdapat dalam akaun hasil yang disatukan di Kementerian Kewangan pada tahun 2009.

Hasil inilah yang telah digunakan oleh kerajaan Pusat untuk membayar gaji kepada seramai 1.2 juta penjawat awam dan semua projek pembangunan termasuk untuk manfaat masyarakat Islam.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendesak perkara ini ekoran tuduhan bahawa kerajaan negeri menggunakan wang dari hasil judi untuk diberikan kepada warga emas di negeri ini.

Lim menegaskan sekali lagi, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak menggunakan wang judi untuk diberikan kepada warga emas di negeri ini sebagaimana dakwaan Umno.

"Sebenarnya ia dari hasil penjimatan yang kita lakukan. Sudah dua kali kerajaan negeri mendapat pengiktirafan dari Ketua Audit Negara tentang pengurusan kewangan yang terbaik dalam negara ini disamping mendapat pujian dari badan anti-rasuah antarabangsa iaitu Transparency International," tegasnya lagi.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya tidak akan terpengaruh dengan tekanan dan kempen Umno kononnya kerajaan negeri menggunakan wang judi untuk membantu rakyatnya.

"Kita tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba menakut-nakutkan Kerajaan Negeri melalui apa jua cara yang mereka persembahkan. Sebagai sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab kita akan terus membela dan memberi penghargaan kepada warga emas sebagai mengenang jasa mereka yang berusia lebih dari 60 tahun," katanya.

Lim Guan Eng berkata demikian ketika berucap semasa majlis penyampaian sumbangan kepada 153 waris warga emas yang telah meninggal dunia dalam daerah Seberang Perai Utara di Sungei Dua pagi tadi.

Dalam majlis tersebut sumbangan sebanyak RM153,000 telah diberikan kepada waris sebagai membantu meringankan kos pengurusan jenazah yang telah digunakan oleh mereka selepas kematian keluarga mereka.

"Walaupun terdapat ugutan dan usaha bagi menakutkan kepimpinan kerajaan negeri dengan pelbagai fitnah dan dakyah, kita tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak.

"Bagi warga emas yang beragama Islam, janganlah terpedaya dengan tohmahan parti pembangkang di Pulau Pinang iaitu Barisan Nasional (BN) yang cuba mempengaruhi warga emas dengan menuduh ianya dari sumber yang haram," katanya.

Tambahnya lagi selagi Kerajaan Negeri diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR) maka usaha murni yang dilaksanakan seperti penghargaan kepada warga emas dengan sumbangan sebanyak RM100 seorang serta sumbangan sebanyak RM1000 kepada waris warga emas yang meninggal dunia akan tetap diteruskan.

"Yang jelas di sini pembangkang seperti Umno dan BN di Pulau Pinang telah mulai merasa gerun dengan kebangkitan rakyat di Pulau Pinang apabila melihat kejayaan yang berjaya dicapai dalam sasaran kita memberi pembelaan kepada mereka yang memerlukan.

"Ekoran itulah Umno-BN akan terus membuat pelbagai fintah dan tohmahan bagi mengaitkan Kerajaan Negeri supaya dipandang serong oleh masyarakat khususnya orang Islam dan sekaligus memberi kredit dan sokongan kepada mereka, " ujarnya lagi.

Turut hadir dalam majlis penyampaian sumbangan tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain dan kepimpinan Pakatan Rakyat tempatan

Balik mengundi sekalipun merangkak


Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Pengundi Dun Galas di perantauan digesa pulang mengundi pada 4 November ini sekalipun terpaksa merangkak, kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, adalah menjadi satu kewajipan untuk menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin sama ada di peringkat negara, negeri mahupun Dun, di kalangan orang yang beragama.

"Saya mintak tuan-tuan balik, kalau tak dapat balik dengan kapal terbang, balik dengan kereta, kalau tak boleh dengan kereta, balik berjalan kaki, meranggakak sekali pun kena balik.

"Dosa besar kita biar orang kafir, orang munafik 'ghanya' (merosakkan) ekonomi kita, akidah kita," katanya yang juga Mursyidul Am PAS.

Beliau berkata demikian ketika berucap kepada lebih 100 anak-anak Dun Galas di perantaun pada Majlis Minum Teh bersama Menteri Besar Kelantan di sebuah hotel di ibu negara petang tadi.

Hadir sama pada majlis itu, exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa, Datuk Takiyuddin Hassan, Abdul Fatah Mahmood, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Halim Abdul Rahman serta pimpinan PAS kawasan Galas.

Calon PAS bagi PRK Galas, Dr Zulkefli Mohamad bagaimanapun tidak dapat hadir kerana jadual kempen di kawasan yang padat dan hanya menghantar wakil calon.

Tambah Tuan Guru Nik Aziz lagi, perebutan menjaga negeri antara hak dan batil sudah berlaku sejak zaman Nabi lagi, dan apa yang berlaku hari ini bukan rekaan PAS tetapi tuntutan agama.

Beliau juga menggesa agar orang Islam khasnya di Galas tidak percaya dengan dakwaan Umno bahawa urusan pentadbiran negara adalah urusan politik bukan urusan agama.

"Bukan PAS dengan Umno sahaja yang berebut, Nabi Muhammad SAW dulu berebut jaga negeri dengan adik beradik dia Abu Lahab, Abu Jahal dan Abu Sufian.

"Patutnya yang lawan kita MCA, MIC<>

Sementara itu, pada majlis sama, Tuan Guru turut menyerahkan bendera PAS kepada wakil anak-anak Galas di perantauan.

Beliau menyeru mereka agar memasang bendera tersebut pada kenderaan masing masing waktu pulang mengundi nanti.

Piala Malaysia: Hadiah sempena 20 tahun Kerajaan PAS

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan bola sepak Kelantan yang memenangi Piala Malaysia 2010 malam tadi.

Ustaz Hadi berkata, kemenangan itu merupakan hadiah kepada rakyat Kelantan sempena 20 tahun pemerintahan Islam di negeri itu.

"Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada rakyat Kelantan kerana telah menjuarai Piala Malaysia 2010.

"Jadikanlah ia sebagai hadiah sempena perayaan 20 tahun Kelantan Membangun Bersama Islam," tulis beliau di laman sosial facebooknya pagi tadi.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pasukan Negeri Sembilan yang telah menunjukkan permainan yang cemerlang dan semangat berpasukan sepanjang perlawanan berlangsung.

"Syabas untuk Negeri Sembilan yang bertungkus-lumus untuk mempertahankan kejuaraan," katanya lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang turut mengucapkan tahniah kepada The Red Warriors berharap kemenangan itu turut dibawa ke Galas dalam pilihan raya kecil (PRK) kali ini.

"Tahniah kepada Kelantan juarai Piala Malaysia. Galas Piala Malaysia lepas ni Galas untuk PAS dan Pakatan Rakyat," katanya.

Kemenangan Kelantan di Stadium Putra Bukit Jalil malam tadi menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali sebagai Piala H.M.S Malaya.

Negeri Sembilan memperolehi gol pertama seawal minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Shahurain Abu Samah.

Kelantan memperoleh gol penyamaan pada separuh masa kedua apabila hantaran luar Norshahrul Idlan Talaha tidak disia-siakan Hairuddin Omar yang menanduk dan merobek gol Negeri Sembilan pada minit ke-57.

Mohd Badri Mohd Radzi menambah jaringan pada minit ke-65 hasil hantaran cantik Mohd Norfarhan Muhamad.

Kedudukan kekal 2-1 sehingga wisel penamat, menggembirakan sekurang-kurangnya 60,000 penyokong Kelantan yang hadir ke stadium.

Turut mengucapkan tahniah, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

"Tahniah daripada DPPP Kelantan bawa pulang trofi Piala Malaysia. Ia jadi hadiah untuk pemerintahan Tok Guru Nik Aziz dan juga Sultan baru," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga turut berjanji akan memberi imbuhan wang tunai kepada pemain Kelantan ekoran berjaya ke saingan peringkat akhir akhir Piala Malaysia musim ini.

Julang Piala Malaysia: Kelantan isytihar cuti

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Kerajaan negeri Kelantan mengumumkan cuti peristiwa hari ini sempena kejayaan pasukan bola sepak The Red Warriors menjulang Piala Malaysia edisi ke 84 malam tadi.

Pengumuman dibuat Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini selepas menyaksikan sendiri detik gemilang Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1.

"Saya mewakili Menteri Besar Kelantan, mengumumkan esok cuti peristiwa supaya rakyat dapat tenang, gembira, bersyukur dan dapat balik ke Kelantan dengan selamat.

"Kita juga ucap terima kasih kepada semua yang memberi kejayaan kepada Kelantan khususnya kepada Presiden Kafa dan rakyat Kelantan," katanya.

Kemenangan itu turut menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun sejak kali pertama Kelantan mara ke pusingan akhir pada 1955, ketika piala tersebut dikenali sebagai Piala H.M.S Malaya.

Negeri Sembilan memperolehi gol pertama seawal minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Shahurain Abu Samah.

Manakala Kelantan memperoleh gol penyamaan hanya pada separuh masa kedua apabila hantaran luar Norshahrul Idlan Talaha tidak disia-siakan, Hairuddin Omar yang menanduk dan merobek gol Negeri Sembilan pada minit ke-57.

Mohd Badri Mohd Radzi menambah jaringan pada minit ke-65 hasil hantaran cantik Mohd Norfarhan Muhamad.

Kedudukan kekal 2-1 sehingga wisel penamat, mengembirakan sekurang-kurangnya 60,000 penyokong Kelantan yang hadir ke stadium.

Sementara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga turut berjanji akan memberi imbuhan wang tunai kepada pemain Kelantan ekoran berjaya ke saingan peringkat akhir akhir Piala Malaysia musim ini.

Jumaat, 29 Oktober 2010

Masjid mati dulu sebelum manusia angkara Umno

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Umno yang bekerjasama dengan bukan Islam mematikan majlis ilmu, meletakkan ahli jawatankuasa masjid bukan ahlinya sebagai orang yang mengendalikan masjid.

Akhirnya, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, masjid dan surau telah mati sebelum manusia mati.

Sehubungan itu, beliau menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan Tan Sri Muhyidin Yassin yang mengatakan bahawa PAS meniru Umno dalam soal kerjasama dengan parti bukan Islam.

“Perlu ditegaskan kerjasama PAS dengan bukan Islam ialah tahaluf siasi tanpa menggadaikan prinsip perjuangan yang dibawa oleh PAS, sedangkan kerjasama Umno dalam Barisan Nasional dalam dalam bentuk wala’, yang menggadaikan prinsip Islam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, PAS sebagai sebuah parti yang berdasarkan Islam, rujukannya pula ialah al-Quran,as-Sunnah, ijmak dan qias.

PAS, tegasnya sekali-kali tidak akan membuat sesuatu yang boleh menjerumuskan diri ke dalam neraka, semata-mata untuk mendapatkan kuasa kerana perjuangan yang menuntut mardhatillah tidak akan menggadaikan prinsip Islam.

“Jika dunia dan kuasa menjadi perhitungan, lebih baik PAS bekerjasama dengan BN untuk sama-sama menaja program mungkar yang terbaru seperti pusat hiburan malam yang bakal meruntuhkan tamadun negara ini,” ujarnya sinis.

Sehubungan itu, tegasnya PAS mencabar Muhyiddin jelaskan bila PAS menggadaikan prinsip Islam dan memusnahkan Islam di negara ini.

Katanya, tidak ada sebuah masjid dan surau yang ditutup dan diroboh ketika PAS bekerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, kata beliau Umno yang bekerjasama dengan bukan Islam dalam BN telah bertindak biadab dengan agama, antaranya ialah merobohkan Masjid Bujal Kemaman, Surau Kampung Berembang Ampang Jaya, menutup Surau al-Rahman Seksyen 8 Shah Alam dua minggu sebelum puasa 2007.

Jelasnya lagi, tahaluf siasi membolehkan PAS melaksanakan dakwah dengan lebih cergas di mana masjid dan surau meriah dengan majlis ilmu.

Harga kereta pasaran domestik lebih mahal


Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 29 Okt: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendesak pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengkaji semula polisi protektisme dalam industri automotif negara.

Menurut beliau, dasar melindungi kepentingan pasaran domestik Proton tersebut mengakibatkan konsumer terbeban oleh pinjaman hutang yang tinggi.

"Kita perlu menangani masalah ini supaya negara kita tidak terus terbeban dangan keperluan pinjaman," ujarnya di lobi Parlimen, petang semalam.

Ini kerana katanya, polisi itu memaksa konsumer membeli kereta di pasaran domestik dengan harga yang berlipat kali ganda lebih mahal berbanding harga di pasaran global.

"Ini semua adalah suatu masalah lanjutan pada dasar automobil negara yang telah pun kita laksanakan selama 25 tahun untuk lindungi Proton," ujarnya.

Walhal, beliau berkata, polisi 'protektisme' yang diperkenalkan Tun Dr. Mahathir Mohammad, bekas Perdana Menteri itu hanya menguntungkan Proton sahaja.

Akibat dari itu, katanya mengakibatkan impak berantai pada pertambahan peratus hutang isi rumah rakyat dalam negara.

"Sebagaimana yang kita tahu, hutang (isi rumah) untuk kereta berlaku oleh kerana harga kereta (domestik) adalah antara yang tertinggi di Asia," ujarnya.

CIMB Investment Bank Bhd, katanya mendedahkan, sebanyak 27 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah (76.6 peratus dari KDNK) konsumer adalah berpunca oleh hutang pinjaman kereta.

Akibat dari itu, beliau mendakwa polisi protektisme Proton adalah suatu polisi yang tidak membantu rakyat mengurangkan peratusan hutang isi rumah jika dinisbahkan pada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun ini.

"Masalah hutang kereta yang mahal, masalah gaji yang kecil seolah-olah menggambarkan kerajaan tidak menghiraukan masalah-masalah sampingan ini.

"Masalah Proton dengan kos pengeluarannya yang masih terlalu tinggi, maka kerajaan tidak melihat persoalan-persoalan ini untuk mengatasinya," beliau menambah.

Tuntas dari itu, beliau mendakwa Bajet 2011 yang dibentangkan Najib, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I pada 15 Oktober lalu sebagai suatu belanjawan yang gagal menangani masalah peningkatan peratusan hutang isi rumah rakyat.

Jentera Pakatan tawan hati masyarakat Tionghua


Mohd Nor Yahya

GUA MUSANG, 28 Okt: Kesungguhan jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membantu calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad begitu terserlah dalam pilihan raya kecil Dun Galas kali ini.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, kerjasama jentera Pakatan Rakyat dalam setiap pilihan raya menggambarkan keutuhan parti yang menakutkan Barisan Nasional.

“Kita tengok pergerakan jentera parti ini boleh memberi kelebihan dan keyakinan kepada semua pihak untuk menyokong calon PAS,” ujarnya.

Beliau ditemui ketika bersama Dr Zulkefli dalam siri kunjungan muhibbah ke Kampung Pulai yang mempunyai 471 pengundi, majoritinya kaum Tionghua.

Nurul Izzah juga berkata dalam masa berkempen, penerimaan masyarakat Tionghua terhadap calon PAS amat memberangsangkan seperti lawatan di Kampung Baru dan Kampung Pulai.

“Di Kampung Pulai sudah ada pos yang didirikan oleh kaum Tionghua dan mereka sanggup bertungkus lumus untuk memenangkan calon Pakatan Rakyat ini, saya ucapkan syabas kepada penduduk di kampung ini yang sanggup berubah dalam memberi sokongan,” katanya lagi.

Katanya, kempen kali ini akan digunakan oleh PKR untuk menjelaskan soal penindasan terhadap masyarakat Tionghua di Kampung Pulai yang sebelum ini menerima bantuan baja.

Namun, katanya setelah mereka tidak lagi berpihak kepada BN dan mendirikan pos untuk Pakatan Rakyat, nama mereka dengan serta merta dibuang dari senarai penerimaan baja tersebut.

Menurutnya, usaha jentera parti kali ini dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat Tionghua akan dapat meningkatkan jumlah undi kepada calon Pakatan Rakyat daripada PAS.

“Masyarakat Tionghua di Kelantan mempunyai pendirian politiknya tersendiri kerana mereka sudah lama berada di bawah kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dan mereka tahu apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk mereka,” kata beliau lagi.

Khamis, 28 Oktober 2010

Laporan Audit: ‘Hantu mana curi atau menipu wang zakat’, soal Asri

October 27, 2010

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menimbulkan persoalan sama ada pihak yang dipertanggungjawabkan tidak menguruskan wang zakat dan dana kewangan badan-badan agama dengan telus dan amanah.

Kata Asri (gambar), sejak sekian lama beliau dan beberapa orang lain menyebut tentang adanya perkara yang tidak kena dalam pengurusan harta dan kewangan badan-badan agama di negara ini.

“Ya, itu telah mengundang rasa tidak puas sesetengah pihak. Namun, kita terpaksa nyatakan,” kata beliau dalam tulisan blognya di bawah tajuk “Apa jadi dengan institusi agama kita?”

“Apa tidaknya, berbilion wang zakat dan selainnya diperuntukkan untuk umat Islam, tetapi keadaan yang kita lihat terus menyayat hati, sehingga ada keluarga yang terpaksa hidup di bawah jambatan di KL seperti yang dilaporkan media baru-baru ini,” kata beliau.

Asri mengulas pendedahan Laporan Audit berhubung perbelanjaan dan pelupusan harta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Isnin lalu didakwa “mengesahkan” wujudnya perkara yang tidak kena dalam pengurusan harta dan kewangan badan-badan agama di negara.

Laporan itu antaranya menyatakan hasrat MAIWP melupuskan 70 penghawa dingin yang masih baik.

Oleh itu soal Asri, “ke mana pergi segala peruntukan ini.”

“Kita kehairanan, wang zakat ratusan juta, namun si miskin terus menderita.

“Dapatan zakat berlipat-lipat, si miskin terus merempat. ‘Hantu’ manakah yang mencuri atau menipu wang zakat kita, sehingga yang berhak tidak memperolehinya?

“Tangan-tangan siapakah gerangan? Jembalang di hutan, atau lebai berserban yang menggunakan nama syaitan, atau yang menggunakan nama Tuhan? Akhirnya wang umat Islam ketirisan dan kecurian,” kata Asri lagi.

Sehubungan itu kata beliau, pihak-pihak yang terbabit perlu memuhasabah semula fungsi zakat dalam negara ini.

Beliau juga bertanya sejau mana kejujuran, kesungguhan dan ketelusan pengurusan zakat dan selain zakat yang sepatutnya telah lama membangunkan umat Islam.

“Artikel saya pada 2007 yang bertajuk ‘Zakat Berbaki Atau Kita Kurang Bijak Membahagi’ rasanya patut dianalisis,” kata Asri.

Selain itu kata beliau, apa yang berlaku di Wilayah Persekutuan adalah isu didedahkan.

“Kita tidak tahu bagaimana keadaan pengurusan kewangan umat Islam di negeri-negeri lain.

“Apa yang kita pasti laporan kemiskinan yang menyayat hati terus wujud dipelbagi negeri, sementara kemewahan PUZ juga ternyata di pelbagai negeri. Adakah wujud kesungguhan untuk mereka membaiki keadaan umat Islam?

“Atau jangan sampai ada mereka yang mengambil kesempatan atas nama asnaf ‘amilin’ (petugas zakat), sedang tugasan tidak setara mana, tapi habuan yang diambil berlebihan,” kata beliau.

Selain itu kata beliau, kewujudan kes-kes yang seperti ini mengikis keyakinan rakyat terhadap pengurusan atau integriti institusi-institusi yang berjenama agama.

“Ia akan menyebabkan rakyat berfikir mereka tidak patut menyerahkan urusan agama kepada institusi-institusi ini yang sentiasa terdedah kepada pelbagai persoalan yang meragukan,” katanya lagi.

Asri mengakui bahawa merubah institusi-institusi ini agar menjelma dalam peranan yang lebih berkesan dan baik amatlah sukar dan bukannya mudah.

“Ini kait-mengait antara satu sama lain. Kepentingan politik, istana, individu dan berbagai lagi.

“Merubah pemerintahan secara keseluruhan mungkin satu percubaan yang boleh dibuat dalam membaiki keadaan ini.

“Itupun jika pasukan kerajaan baru mempunyai pemikiran yang bersih, jujur dan terbuka. Jika tidak, hal yang sama akan berulang,” katanya

Protes bina Warisan Merdeka ‘muncul’ dalam kempen PAS di Galas

October 28, 2010
Hadi Awang memberikan ceramah di Kampung Baru Gua Musang malam tadi. — Gambar oleh Choo Choy May

GUA MUSANG, 28 Okt — Pelan membina satu lagi bangunan tertinggi — Warisan Merdeka — yang kini mendapat bantahan banyak pihak termasuk hampir 200,000 orang menerusi online, turut dibangkitkan dalam kempen DUN Galas dengan Presiden PAS menegaskan, pengumuman kerajaan BN itu tidak akan memberi sebarang manfaat kepada rakyat khususnya pengundi Gua Musang.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, adalah lebih baik kekayaan yang dimiliki negara itu diagihkan secara adil kepada rakyat di negara ini tanpa mengira kaum dan agama.

“BN cakap nak buat bangunan 100 tingkat (menara Warisan Merdeka), apa matfaatnya kepada rakyat di Gua Musang? Adakah ia untuk pelancong?

“Pelancong datang bukan nak tengok bangunan 100 tingkat, bukan nak tengok kapal selam tapi nak tengok alam semula jadi,” kata Hadi ketika memberikan ceramah di padang Kampung Baru Gua Musang di sini malam tadi.

Dalam Bajet 2011 yang dibentangkan dua minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembinaan projek bersepadu Warisan Merdeka dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015.

Warisan Merdeka akan menjadi menara tertinggi di Malaysia. Projek itu akan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai warisan negara.

Projek itu bagaimanapun ditentang hebat pelbagai pihak, terutama pemimpin Pakatan Rakyat.

Menurut Hadi, hasil kekayaan negara yang dimiliki tidak diagihkan dengan adil sebaliknya ia hanya memberikan faedah pemimpin-pemimpin BN sahaja.

“Kita tahu hasli negara kita banyak tapi kekayaan itu hanya berpusing di kalangan orang besar dan kaya sahaja.

“Tidak banyak hasil tersebut turun kepada rakyat. Dalam Islam harta dari negeri itu adalah satu amanah bukan milik pemimpin.

“Jadi ia perlu diagihkan bersama rakyat,” katanya.

Sebahagian penduduk tempatan yang mengikuti ceramah kempen PAS di Kampung Baru malam tadi. — Gambar oleh Choo Choy May
Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun mengakui hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipertikaikan.

“Walaupun dalam Perlembagaan (Persekutuan) kata hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera tidak boleh disentuh tapi kita tidak boleh nafikan hak kaum lain juga.

“Kita mahukan kekayaan itu diagihkan dengan adil, dengan itu baru kerajaan boleh membantu rakyat. Tapi dalam kerajaan BN ia tidak berlaku kerana pemimpin mereka tidak amanah dan mengamalkan rasuah,” katanya.

Beliau juga menekankan soal keperluan menukar kerajaan menerusi pilihan raya.

“Dalam Islam tiada kerajaan yang kekal, kita boleh tukar kerajaan. Kerajaan buat macam mana pun kita boleh jatuhkan juga,” kata beliau dalam ceramah hari kedua berturut-turut di sini.

Justeru bekas menteri besar Terengganu ini mahu semua rakyat di negara ini bersatu untuk menjatuhkan kerajaan BN yang diperintah Najib sekarang.

“Kalau Melayu nak jatuhkan BN tidak boleh, Cina nak jatuhkan juga tidak boleh dan India nak jatuhkan juga tidak boleh; kita semua Melayu, Cina dan India perlu bersatu untuk jatuhkan BN.

“Kita perlu beri mesej dengan jelas di Galas, BN modalnya mudah tabur duit, tabur janji. Itu sahaja, kita perlu bersatu untuk jatuhkan BN,” tegasnya.

Dalam ceramahnya itu, Hadi turut menjelaskan Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mampu menjadi sebuah kerajaan yang lebih baik daripada BN dengan berlandaskan kepada prinsip keadilan semua kaum.

“Justeru untuk Pakatan Rakyat memerintah Malaysia kita perlu menang dan kita tidak boleh perintah negara ini hanya dengan satu kaum.

“Semua kaum Melayu, Cina, India dan Asli berhak untuk mendapatkan keadilan yang sepatutnya. Inilah yang menjadi perjuangan bersama Pakatan Rakyat.

“Di Galas jelas menunjukkan pemimpin Pakatan Rakyat dari PAS, PKR dan DAP bekerjasama untuk memastikan kemenangan. Sama seperti kita membantu DAP di Sibu begitu juga sama seperti kita menolong PKR dulu. Kali ini rakan-rakan lain pula bantu kita di Galas,” katanya.

Beliau berkata walaupun kerajaan negeri Kelantan menghadapi sekatan daripada kerajaan pusat, namun PAS mampu memerintah negeri itu selama 20 tahun.

“Semua tahu PAS adalah parti Islam tapi dalam politik Islam perlu adil kepada semua. PAS telah memerintah selama 20 tahun di Kelantan walaupun menghadapi sekatan dan kepungan dari kerajaan pusat tetapi masih tetap bertahan.

“Walaupun banyak perkara tidak dapat dilakukan dalam tempoh 20 tahun ini kerana sekatan tapi PAS telah melakukan yang terbaik,” katanya.

Lawan PAS mainkan sentimen agama di Galas


Harakahdaily

GUA MUSANG, 27 Okt: Baru sehari penamaan calon Galas berlangsung dan hari ini, penduduk Gua Musang mula melihat lawan kepada PAS mula menyerang parti Islam itu dengan isu agama.

Padahal, baru semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein memberikan amaran agar juru kempen pilihan raya ini tidak menggunakan isu agama dan kaum dalam kempen mereka.

Di bandar Gua Musang, orang ramai terkejut banner yang mempermainkan sentimen agama digantung oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan lawan masing-masing yang terbukti ia termasuk dalam sentimen agama yang dihalang Hishamudin dari dipermainkan.

Banner itu yang mempamirkan apa yang dikatakan laporan akhbar yang dibuat oleh Karpal Singh lebih 10 tahun lalu yang bertajuk "Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat kami dulu- Karpal Singh".

Banner itu mempertikaikan kenapa PAS masih menyokong DAP yang disifatkan mereka sebagai harbi (kafir harbi).

Komen PAS

Koordinator Bilik Gerakan PAS, Mohd Nasir Daud ketika dihubungi mengenai perkara ini berkata, pihaknya akan bertindak segera ke atas bahan kempen seumpama ini.

Ini kerana, ia termasuk dalam senarai bahan-bahan kempen yang tidak dibenarkan oleh SPR dalam siri kempen pilihan raya ini.

"SPR telah membentuk Pasukan Pemantau Kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk mengawasi bahan dan kempen pilihan raya ini. Saya yakin, PPKPR akan bertindak segera menurunkan kempen sebegini," kata Nasir.

Dalam pilihan raya ini, tiga PPKPR telah ditubuhkan oleh SPR. Ketuanya adalah seorang pegawai penguatkuasa yang dilantik oleh Pegawai Pengurus pilihan raya ini.

Anggota PPKPR adalah seorang anggota polis yang pangkatnya tidak kurang dari inspektor, seorang wakil dari pihak berkuasa tempatan dan seorang wakil dari setiap parti politik yang bertanding.

Antara syarat bahan kempen adalah mesti ada penerbitnya pada bahan kempen tersebut.

Dalam kes banner yang mengecam PAS ini, tidak ada sebarang nama penerbit dinyatakan di atas banner atau kain rentang tersebut.

Komen DAP

Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Phua mempertikaikan apakah kain rentang ini lambang bentuk kempen gentlemen yang dijanjikan oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagi beliau, kempen yang dijalankan Umno di Galas ini tiada etika dan tiada kelas langsung.

"Umno tidak pernah berubah," kata Tony Phua melalui twitternya.

Umno BN tidak yakin media arus perdana


Mohd Nor Yahya

GUA MUSANG, 27 Okt: Keresahan Umno BN untuk mendapat sokongan pengundi di Dun Galas semakin terserlah apabila mereka terpaksa mengeluarkan sendiri bahan cetak SUARA GALAS pada hari penamaan calon untuk dijadikan bahan kempen.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sedangkan dalam masa yang sama, mereka telahpun mempunyai pelbagai saluran media cetak dan elektronik.

Ketika ditemui mengulas perkara tersebut, katanya penyebaran risalah empat muka yang diterbitkan oleh Badan Perhubungan Umno negeri itu jelas menggambarkan mereka tidak lagi menaruh keyakinan akhbar arus perdana milik mereka untuk menawan hati pengundi di Dun Galas.

Beliau berkata, perbuatan tersebut seolah-olah meniru langkah PAS yang telah mengeluarkan GALAS KITO pada edaran pertama sehari sebelum penamaan calon.

“PAS telah mengambil langkah proaktif dalam penyebaran maklumat kepada pengundi kerana kita sedar sebaran media terhadap pelbagai aktiviti kita amat terhad, kita hanya ada Harakah, dikeluarkan dua kali seminggu sahaja,” ujar beliau.

Sementara itu, Yamin Hamid, 35, dari Kampung Lembaga, Sungai Terah berkata, Umno BN yang menyebarkan risalah tersebut kerana mereka sedar akhbar arus perdana tidak mendapat sambutan di Gua Musang.

"Kalau dah orang umno-BN sendiri pun tak yakin dengan akhbar harian mereka, tak kanlah kita di Gua Musang ini pula nak percaya berita yang disebarkan oleh akhbar tersebut.

Bagi Nurul Hidayah Ahmad, 27, Batu Papan pula berkata, semasa berada di tempat pernamaan calon turut mendapat senaskah akhbar harian secara percuma.

“Nampak sangat pihak Umno BN ini terdesak untuk menyebarkan maklumat palsu mereka, sehinggakan sanggup mengedar akhbar secara percuma pada hari tersebut,” katanya lagi.

Ubah Seri Perdana: RM65j besar bagi rakyat Galas


Hafiz Irwan

GUA MUSANG, 27 Okt: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya berfikir dengan bijaksana terhadap tindakan kerajaan seterusnya menilai sendiri sejauh mana ketelusan kerajaan BN yang sebelum ini mengatakan membela rakyat.

Katanya, pengubahsuaian Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri yang dianggar menelan belanja puluhan juta ringgit membuktikan pemimpin Umno Barisan Nasional (BN) tidak berhemah dalam menangani sistem pengaliran ekonomi negara.

“Kita bayangkan alangkah besar nilai RM65 juta itu jika digunakan untuk bantu rakyat. Kalau di Galas ini sudah berapa ramai rakyat akan dapat faedah dari jumlah yang sebesar itu.

“Tapi malangnya keutamaan pemimpin BN yang lebih berkepentingan sendiri hanya suka ikut citarasa masing-masing sehingga sanggup melihat rakyat jelata dibelenggu kesusahan,” katanya ketika menyampaikan ceramah umum di Kampung Kerinting, dekat sini malam tadi.

Beliau berkata, bertindak tatkala fenomena kewangan tidak menunjukkan perkembangan positif kepada negara adalah satu langkah tidak bertanggungjawab.

“Inilah dasar kerajaan yang lebih pentingkan satu pihak. Mereka seolah-olah tidak fikir tentang ekonomi rakyat.

“Sedangkan kepada rakyat mereka nasihatkan supaya berbelanja secara berhemah,” katanya.

Beliau berkata, pengubahsuaian Seri Perdana dengan peruntukan yang begitu tinggi dianggap satu pembaziran dana rakyat.

Seri Perdana dibina pada tahun 1997 dengan kos RM24 juta dan siap dua tahun kemudiannya.

Bangunan itudiubah suai buat kali pertama pada tahun 2005 yang menelan belanja hampir RM6 juta.

Selasa, 26 Oktober 2010

Lintas langsung Galas: RTM beri 15 minit


Nazri Abdullah dan Mohd Nor Yahya

GUA MUSANG, 26 Okt: Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim bersetuju RTM memberi laluan selama 15 minit kepada Pakatan Rakyat dalam siaran mereka seperti yang diminta oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata demikian sewaktu berkunjung ke khemah Pakatan Rakyat dan berbual dengan Presiden PAS sewaktu menunggu pengumuman calon yang akan bertanding dalam PRK Dun Galas, pagi ini.

"Kita boleh bagi, asalkan program yang memberi kebaikan untuk rakyat.

"In fact bagi tau (beritahu) masa dan program kat mana," katanya.

11:30 pagi: Pegawai pengurus pilihanraya memaklumkan telah menerima pencalonan dari dua orang calon.

Calon BN, Abdul Aziz Yusoff menyerah borang pencalonan pada jam 9.07 pagi, manakala calon PAS, Dr. Zulkefli Mohamed pula 9.33 pagi.

SPR juga menerima satu bantahan, bagaimanapun tiada calon yang ditolak pencalonan.

Sehubungan itu PRK Galas akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya kecil Dun Galas pada 4 November ini.

11.00 pagi: SPR mengumumkan waktu bantahan, dan pameran borang pencalonan ditutup.

10.05 pagi: Borang penamaan mula dipamer untuk bantahan.

Hanya dua borang diterima SPR iaitu dari PAS, Dr Zulkefli Mohamed dan BN, Ab Aziz Yusoff.

Zulkefli dicadang oleh Mohamed Noor Awang Hamat dan disokong Abdullah Hussein.

Manakala Ab Aziz dicadang Mohd Azmi Mahmood dan disokong Chong Kam Siong.

10.02 pagi: SPR mengumukan masa penerimaan borang calon ditutup jam 10 pagi. Kini dibuka untuk bantahan sehingga jam 11 pagi.

9:45 pagi: Pengarah Pilihan Raya Kelantan, Datuk Abd Fatah Harun melahirkan kekesalan atas sekatan pasukan polis 100 meter sebelum sampai ke pintu pagar pusat penamaan.

Ianya ekoran dihalang sehingga berlaku kekecohan antara calon dan pemimpin parti dengan pihak polis sewaktu mahu menuju ke pintu masuk pusat penamaan.

"Kita bincang dengan SPR dan Polis sebelum ni lain, hari ni jadi lain.

"Dia hanya benarkan calon, pencadang dan penyokong sahaja, dia minta pengiring masuk kemudian.

"Mana boleh, kita bincang sebelum ni semua boleh masuk kecuali dalam dewan," katanya.

9.35 pagi: Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad memasuki dewan penamaan calon.

Pimpinan utama pakatan rakyat berkumpul di bawah khemah khas yg disediakan SPR sementara menunggu selesai proses penyerahan borang pencalonan.

9.30 pagi: Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad dan pimpinan utama Pakatan Rakyat dilihat memasuki pintu pagar pusat penamaan.

9:25 pagi: Calon melepasi sekatan, sedikit pergelutan berlaku antara penyokong dengan pasukan keselamatan.

Pimpinan utama sedang berasak-asak masuk melepasi sekatan yang agak sempit.

9.20 pagi: Perarakan mula tiba di sekatan pasukan keselamatan kira-kira 100 meter dari pintu masuk penamaan.

Menunggu ketibaan calon.

9.05 pagi: Perarakan dimulakan. Pimpinan utama mengiringi calon menuju ke pusat penamaan diiringi laungan selawat dan takbir.

Antara pimpinan lain yang hadir adalah Nasharudin Mat Isa, Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz, Nuridah Salleh, Nasrudin Hassan, YB Azmin Ali, Ronie Liu, Datuk Husam Musa, Datuk Taqiyuddin, Khalid Samad Dr. Mariah Mahmood, Datuk Kamaruddin Jaafar, Drs. Khalil Idham Lim dan Datuk Ngeh Ko Ham.

9.00 pagi: Tok Guru Nik Aziz menangis ketika membaca doa selepas selesai solat hajat diikuti laungan amin oleh para penyokong.

8.45 pagi: Lebih 5000 penyokong telah hadir dan berbaris sepanjang jalan bermula dari masjid menuju ke pusat penamaan di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, kira-kira 700 meter dari masjid.

8.40 pagi: Penasihat DAP, Lim Kit Siang tiba di Masjid

8.25 pagi: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz tiba di Masjid

8.20 pagi: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tiba di masjid.

8.15 pagi: Penyokong bukan Islam berkumpul di luar masjid menuggu solat hajat selesai.

8.00 pagi: Perhimpunan dimulakan dengan solat hajat di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra.

6.10 pagi: Selesai solat Subuh. Jemaah kini sedang mendengar tazkirah disampaikan imam yang bertajuk kepentingan ulama'.

5.45 pagi: Penyokong beragama Islam mula memenuhi ruang solat. Di dakwa solat Subuh hari ini lebih ramai berbanding jemaah Solat Jumaat.

Turut kelihatan penyokong DAP, mula berkumpul sementara menanti yang lain selesai solat Subuh.

5.30 pagi: Masjid kehabisan air sehingga mereka yang mahu berwuduk dan ke tandas perlu menggunakan air mineral.

5.00 pagi: Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, bandar Gua Musang mula dipenuhi Penyokong Pakatan Rakyat.

Beberapa pimpinan PAS dari pelbagai peringkat khusunya dari luar Kelantan juga mula tiba.

Kerja kuat pastikan PAS menang

Nazri Abdullah

GUA MUSANG, 26 Okt: Dr Zulkefli Mohamad menyeru semua petugas PAS dan Pakatan Rakyat supaya bekerja kuat bagi mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas pada 4 November ini.

Dalam ucapan sulungnya di hadapan ribuan penyokong selepas diisytiharkan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dalam PRK Dun Galas, beliau mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang hadir memberi sokongan.

"Saya mintak, selepas ini kita sama-sama bekerja kuat untuk memastikan kemenangan PAS di Galas ini," katanya.

Dalam sidang media, Dr Zulkefli berkata, tumpuan utamanya adalah menemui rakyat Galas menjelaskan agenda beliau.

Beliau memberitahu, akan berusaha meneruskan usaha yang telah dilaksanakan wakil rakyat terdahulu, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

"Saya akan teruskan usaha Allahyarham.

"Saya harap pengundi Galas bijak menilai dan akan memberi undi kepada saya mewakili Pakatan Rakyat," katanya.

Berhubung tuduhan pihak tertentu bahawa beliau pernah ditangkap khalwat, Dr Zulkefli menganggap isu tersebut telah selesai.

PRK Dun Galas menyaksikan pertandingan dua penjuru antara beliau dan calon BN, Abdul Aziz Yusof.

BERITA TERKINI : PERARAKAN BERMULA


· 0 comments

Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad mula berarak ke pusat penamaan calon diiringi pemimpin utama PAS termasuk Mursyidul Am, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Penyokong PR berselawat di selang seli dengan takbir bagi menaikkan semangat mereka. Dijangkakan lebih dari 10,000 penyokong PAS berarak bersama calon PAS kali ini.

Mereka berarak dari Masjid Tengku Fa-iz menuju ke Dewan Sivik Gua Musang.

Sementara itu penyokong BN yang berhimpun di Pejabat Umno Bahagian Bukit Cekati juga akan berarak bila-bila masa. Dianggarkan jumlah mereka adalah kira-kira 5,000 sahaja. Perarakan mereka diketuai oleh Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin dan Ku Li.

Urus tadbir ekonomi negara pincang


Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Urus tadbir kewangan negara tetap dianggap pincang walaupun kerajaan pada 2009 berjaya menyimpan baki tunai RM6.32 bilion berbanding 2008 hanya RM1.541 bilion.

Menurut Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar, baki tunai tersebut tidak wajar dianggap sebagai suatu kejayaan kerana jumlah pinjaman tunai yang dibuat Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I pada tahun lepas sebanyak RM107.171 bilion.

Sedangkan katanya, pinjaman tunai kerajaan pada tahun 2008 hanya RM75.156 bilion.

"Maka tak ada ertilah kalau kerajaan berjaya mendapatkan kurangan (baki) RM6.32 bilion kalau pinjaman kerajaan bertambah lebih RM35 bilion (RM35.015 bilion)," ujarnya petang tadi di lobi Parlimen.

Bagaimanapun, beliau merakamkan penghargaan kepada pasukan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang kerana telus mendedahkan kelemahan di sebalik urus tadbir kewangan negara pada majlis taklimat bersama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pagi tadi.

"Ketua Audit Negara telah menjalankan tugas mereka untuk mendedahkan segala kelemahan ini, maka perlu diambil iktibar dan ditangani serta-merta oleh kerajaan," ujarnya yang juga menganggotai PAC.

Bajet defisit 14 tahun berturut-turut

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula menyelar Bajet 2011 yang menunjukkan defisit secara 14 kali berturut-turut.

Khalid sewaktu membahaskan bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini berkata, Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) sudah kehilangan idea dan tidak mampu menghasilkan bajet yang mengandungi kaedah menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi oleh negara.

"Walaupun kerajaan menyebut defisit hanya 5 peratus lebih sedikit sahaja, hakikatnya peratusan itu bukan berdasarkan kepada jumlah bajet tetapi ianya berdasarkan kepada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 5.2 peratus atau 2 atau 3 peratus atau 4 peratus daripada KDNK, ia merupakan angka yang cukup besar," katanya.

Menurut beliau juga, berdasarkan bajet yang dibentangkan, pinjaman kerajaan menunjukkan angka yang sangat besar iaitu sebanyak RM46 bilion.

"Kalau kita lihat dalam buku ucapan Bajet 2011, kita akan melihat di muka surat yang mengadungi carta pai jumlah penjaman dan penggunaan daripada aset-aset kerajaan, ianya adalah sebanyak 22 peratus adalah daripada pinjaman.

"Jumlah pinjaman ini adalah sebanyak RM46 bilion. Ini merupakan satu jumlah yang cukup besar dan apabila kita lihat bahawa kita pun pada masa yang sama membayar hutang negara sebanyak RM18 bilion.

"Ini bermaksud kita pinjam untuk bayar pinjaman negara. Ini merupakan satu keadaan yang sangat parah kerana kalau tidak ada pinjaman RM46 bilion itu dengan cara pengurusan kewangan yang dilakukan oleh BN, kita tak akan ada duit untuk membayar pinjaman yang telah kita buat sebelum ini," jelasnya.

Tegasnya juga, kerajaan telah menunjukkan cara pengurusan kewangan yang sangat tidak bertanggungjawab apabila hutang negara melonjak melebihi RM400 bilion dalam keadaan pendapatan kerajaan dan negara semakin berkurangan.

"Hutang bertambah, peratusan wang yang kita gunakan untuk servis pinjaman semakin bertambah, pendapatan semakin menguncup," katanya lagi.

Ujarnya juga, meskipun laporan audit negara dikeluarkan pada setiap tahun, namun kerajaan tidak menunjukkan kesungguhan untuk memulihkan ekonomi negara.

"Bajet ini tidak mengambil kira masa depan anak cucu kita. Kita telah dianugerah Allah satu negara yang begitu kaya dengan hasil minyak dan sebagainya tapi kerana boros, pengurusan yang tidak cekap, penuh ketirisan, walaupun dilaporkan ketua audit negara setiap tahun, tapi tak ada kesungguhan BNuntuk mengubah keadaan ini," katanya.

Ke mana RM3 bilion untuk pengangkutan awam

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Dr Mohd Hayati Othman mempersoal status RM3 bilion yang sepatutnya dibelanjakan oleh kerajaan untuk membangunkan prasarana pengangkutan awam negara.

"Persoalan sekarang ini adalah RM3 bilion baki dari wang penjimatan hasil kenaikan harga minyak pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi jadi Perdana Menteri dulu, ke mana perginya," ujarnya di lobi Parlimen yang ditujukan kepada Najib.

Ini kerana penyata Parlimen hari ini mendedahkan bahawa sebanyak RM1.436 bilion telahpun diperuntukan oleh kerajaan untuk pembangunan prasarana pengangkutan awam negara sejak tahun 2006 hingga 2009.

Penyata Dewan Rakyat menjelaskan, kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta pada 2006 untuk Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengakutan Awam (JKKMPA) membangunkan prasaranan pengangkutan awam.

Pada 2007, sebanyak 569 juta diperuntukan untuk tujuan yang sama.

Manakala pada 2009, kerajaan sekali lagi memperuntukkan RM250 juta pada tahun 2009.

Turut dilaporkan, sebanyak RM567 juta telah disalurkan kepada projek-projek prasarana pengangkutan awam termasuk terminal pengangkutan, kajian pelan induk pengangkutan pengangkutan awam dan pembelian pelbagai jenis rolling stock keretapi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut membangkitkan suatu khabar bahawa Kementerian Pengangkutan bercadang membeli suatu model keretapi dari China yang menurutnya tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh kerajaan.

Lanjutan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa wujud unsur penyelewengan di sebalik pengurusan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pengakutan Awam (KWAPA) di bawah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

"Banyak kali isu kereta api yang nak dibeli dari China ini dibangkitkan (seperti) tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan, mungkin ini juga suatu penyelewengan yang cuba dilakukan," ujarnya.

Laporan langsung penamaan calon PRK N.45 Galas


Nazri Abdullah

Laporan langsung hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.45 Galas, Gua Musang.

6.10 pagi: Selesai solat Subuh. Jemaah kini sedang mendengar tazkirah disampaikan imam yang bertajuk kepentingan ulama'.

5.45 pagi: Penyokong beragama Islam mula memenuhi ruang solat. Di dakwa solat Subuh hari ini lebih ramai berbanding jemaah Solat Jumaat.

Turut kelihatan penyokong DAP, mula berkumpul sementara menanti yang lain selesai solat Subuh.

5.30 pagi: Masjid kehabisan air sehingga mereka yang mahu berwuduk dan ke tandas perlu menggunakan air mineral.

5.00 pagi: Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, bandar Gua Musang mula dipenuhi Penyokong Pakatan Rakyat.

Beberapa pimpinan PAS dari pelbagai peringkat khusunya dari luar Kelantan juga mula tiba.

Galas: Bandar Gua Musang mula sibuk


Nazri Abdullah

GUA MUSANG, 25 Okt: Menjelang hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas esok, bandar Gua Musang mulai sesak.

Biarpun hujan lebat mula turun siang tadi, kenderaan dari luar tidak putus-putus membanjiri pekan Gua Musang, sejak petang tadi.

Kenderaan dijangka bertambah menjelang pagi esok.

Bukan sahaja penyokong dari luar, malah penyokong tempatan dari seluruh Kelantan juga mula berkampung di sini sejak beberapa hari lalu.

"Petang ni baru jam ni, pagi tadi, tengahari tadi OK lagi.

"Beraya la orang Gua Musang sekali ni," kata Azman Said, seorang penduduk tempatan di sini.

Sementara itu, penyokong PAS dan Pakatan Rakyat diminta berkumpul di perkarangan Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra seawal jam 7 pagi esok bagi memudahkan urusan mengiringi calon PAS ke pusat penamaan.

Pimpinan utama Pakatan Rakyat termasuk calon, Dr Zulkefli Mohamad dijangka tiba jam 8.00 pagi.

Sebelum bergerak ke pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan jajahan Gua Musang, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka mengimamkan solat hajat di masjid berkenaan.

Perarakan mengiringi calon dijangka bermula jam 8.30 pagi sejurus selesai solat hajat.

Dalam pada itu, PAS malam ini mengadakan beberapa program menjelang esok.

Di peti undi Pulai, Tuan Guru Nik Aziz menghadiri satu majlis makan malam bersama masyarakat Cina.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub pula dijadual menyampaikan ceramah di Pasti Terasil.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad pula berceramah di Kampung Baru Gua Musang bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Husam Musa.

Manakala di Pusat Sivik pula berlangsung forum Bertani Satu Ibadah anjuran kerajaan negeri.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Noordin Che Ngah mengingatkan penyokong parti bertanding supaya mematuhi laluan yang ditetapkan bagi penyokong parti masing-masing.

Penyokong calon BN akan berkumpul di bilik gerakan parti di Bukit Cekati kira-kira 180 meter dari Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, tempat penyokong calon Pakatan Rakyat berkumpul.

Isnin, 25 Oktober 2010

'Sandwich kosong' untuk pelajar, sardin lesap


Regina Lee
Okt 25, 10
3:12pm
Kongsi 325
Kanak-kanak sekolah yang dijanjikan roti sandwich sardin tetapi hanya dibekalkan dua keping roti dengan marjerin.

Perkara itu didedahkan dalam laporan Ketua Auditor Negara 2009 yang mendapati Rancangan Makanan Tambahan oleh kerajaan tidak menepati apa yang serpatutnya seperti yang berlaku di SK Jeroco di Lahad Datu.

Selain sardin, sandwich yang dijanjikan itu sepatutnya juga mempunyai timun, tomato dan salad, tetapi kanak-kanak itu cuma dibekalkan dengan marjerin.

Selain SK Jeroco, pembekal makanan di lima sekolah rendah yang lainj sekitar Malaysia juga didapati membekalkan kualiti makanan yang jauh lebih rendah daripada menu yang dicadangkan mengikut Rancangan Makanan Tambahan di sekolah-sekolah.

"Selepas maklum-balas daripada pakar pemakanan daripada jabatan pemakanan, Kementerian Kesihatan, kami dapati makanan daripada menu yang dibekalkan boleh menyebabkan pemakanan yang tak seimbang dan akan membantutkan perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak,” petik laporan Ketua Audit Negara itu.

Bernilai lebih rendah

Enam lagi pembekal didapati menyediakan makanan yang langsung berbeza dengan apa yang dicadangkan dalam program itu, lazimnya makanan berkenaan bernilai lebih rendah daripada sepatutnya.

Rancangan Makanan Tambahan diperkenalkan 30 tahun lalu bagi memberi kanak-kanak kurang berkemampuan makanan percuma pada nilai RM1.80 (di Semenajung Malaysia) dan RM2.05 (di Sabah dan Sarawak).

Namun, laporan Ketua Audit Negara mendapati beberapa kontraktor terus menipu dalam pembekalan makanan kanak-kanak.

Antaranya adalah apa yang berlaku di SJK(C) Choong Hua 2 di Bidor, Perak. Pembekal makanan kantin menyediakan bungkusan mee segera kepada kanak-kanak, di mana sepatutnya mereka dibekalkan dengan bihun goreng.

Antara alasan lazim yang dikemukan oleh sekolah dan juga pembekal adalah “kesukaran mendapatkan bahan mentah, khususnya untuk sekolah di kawasan pedalaman.

Laportan Ketua Audit Negara itu juga mendedahkan kualiti makanan yang rendah di beberapa hospital.

"Dalam persampelan, kami dapati Hospital Sultan Ismail Hospital membekalkan makanan yang berkualiti rendah. Ayam gorengnya masih berdarah, manakala Hospital Besar Pulau Pinang pula menyediakan sup sayur yang mempunyai rambut di dalamnya,” petik laporan itu.

Isu tanah: Umno BN mesti ditumbangkan


PAS Tawau

SANDAKAN, 25 Okt: Kekejaman dan ketidakadilan dalam urus tadbir tanah di Sabah menjadi satu bukti kukuh mengapa Umno dan Barisan Nasional (BN) mesti ditumbangkan.

Umno BN yang menjanjikan "Sabah Baru" dan membawa perubahan dalam tempoh 100 hari melalui manifesto yang mereka canangkan pada pilihanraya lalu berubah menjadi mimpi ngeri yang tidak pernah dibayangkan oleh rakyat di negeri ini.

Rumah penduduk pribumi dibakar, kampung halaman dimusnahkan dan tanah yang telah diusahakan puluhan tahun dirampas.

Inilah menjadi sebab utama Himpunan Isu Tanah Rakyat Sabah (HEMPAS) berjaya menarik ribuan rakyat Sabah hadir di Dewan Hakka Sandakan, semalam.

Program yang dianjurkan oleh Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat dan Badan Perhubungan PAS Sabah telah dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Mengikut Islam, kerajaan adalah pemegang amanah bukan pemilik tanah kerana dalam Islam yang memiliki tanah hanya Allah SWT ,” katanya dalam ucapan perasmian.

Menurutnya, di dalam Islam, barangsiapa yang meneroka, membuka tanah, sama ada mendirikan rumah kediaman, kedai atau bercucuk tanam, maka wajib kerajaan memberikan geran tanah kepada mereka.

Kecuali, katanya kalau ada kepentingan umum seperti mahu dibina jalan raya atau membina hospital dan sebagainya, maka bolehlah ianya diambil dan digantikan dengan yang tanah lain atau nilai yang setimpal.

“PAS akan melaksana hukum ini dan meminta parti parti lain dalam Pakatan Rakyat mengikut hukum ini jikalau dapat memerintah negara kelak,” ujarnya.

AJK PAS Pusat yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman pula berkata: Kita berhimpun pada hari ini untuk menyalurkan maklumat dan memberi kesedaran kepada rakyat Sabah agar bangun berjuang untuk menuntut hak dan membuktikan komitmen PAS dan Pakatan Rakyat dalam membela nasib rakyat Sabah dalam menuntut hak dan keadilan buat semua yang telah teraniaya”.

Katanya, jkalau majoriti rakyat Sabah berani untuk berjuang, kerajaan yang zalim akan dapat ditumbangkan dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Tambahnya lagi, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang menjangkakan himpunan itu tidak akan berjaya dan kononnya hanya akan dihadiri sekitar 200 orang.

“Rakyat Sabah buktikan sebaliknya dengan kehadiran memeranjatkan dari seluruh Sabah sebagai tanda sokongan dan perjuangan mereka menentang kerajaan yang zalim,” ujarnya.

Dari Sandakan hingga ke Nabawan, dari Tawau hingga ke Pensiangan, penduduk pribumi diperlakukan seperti makhluk yang tiada nilai dan status kemanusiaan.

Di Sandakan, Kampung BDC yang diasaskan oleh Pertubuhan Islam (USIA) yang dahulunya dipenuhi hutan paya bakau akhirnya berkembang menjadi sebuah penempatan penduduk pribumi dengan keluasan melebihi 100 ekar dengan jumlah penduduk dianggarkan tidak kurang 20,000 orang telah dimusnahkan sekelip mata oleh kerajaan Umno BN pada tahun 2002.

Tanah yang telah diusahakan berpuluh tahun sejak tahun 80-an di Ulu Landau dan Cenderamata Merotai Tawau dirampas pada awal tahun ini.

Turut dimusnahkan ialah Kg Lupak Meluas, Kg Sundang, Kg Gas, Kg Koyah di Kinabatangan, perkampungan penduduk pribumi di Semporna, Kunak, Lahad Datu, Beluran, Ranau, Kg Labuan dan Kg Wakap di Kota Belud, Kg Bakau dan Kg Telipok di Kota Kinabalu.

Ini merupakan sebahagian kes yang pernah berlaku di Sabah.

Sehubungan itu, perhimpunan itu telah mencatatkan sejarah yang gemilang dan berjaya membuka mata rakyat Sabah diharap dapat menjadi senjata ampuh dalam menghadapi pilihan raya kecil Batu Sapi pada 4 November nanti dan pilihanraya umum ke-13 yang akan datang

Atasi guru dibebani tugas kakitangan sokongan


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 25 Okt: Ahli Parlimen Baling, Taib Azamudden meminta kerajaan memberikan perhatian terhadap masalah kekurangan kakitangan sokongan di sekolah-sekolah sehingga menyebabkan guru-guru dibebani dengan tugas pentadbiran.

Taib ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini memberitahu, di Kedah sahaja, lebih 3,000 pegawai dan kakitangan bukan guru diperlukan untuk melakukan tugasan di pejabat namun masih belum dapat dipenuhi.

"Kita terima bahawa kerja-kerja profesional memberikan nilai tambah kepada seseorang guru dalam perkhidmatan.

"Tetapi kita lihat ada dengan sebab mengutamakan nilai tambah ini menjejaskan tugas-tugas utama mereka sebagai seorang guru dan pendidik," kata beliau.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat turut mendakwa belum ada satu penyelarasan dari pihak kementerian mengenai pengambilan guru-guru di seluruh negara.

"Kita belum nampak satu penegasan atau satu ketetapan terutama sekali dari segi perangkaan guru-guru yang diperlukan di seluruh negara dan saya minta apakah kerajaan sedar dan akan mengatasi keadaan ini," katanya.

Sebelum itu, beliau dalam soalan asalnya meminta Mentri Pelajaran menyatakan adakah kerajaan sedar beban tugas guru-guru di sekolah bukan sahaja mendidik dan mengajar, tetapi juga dibebankan dengan tugas pengkeranian dan penjagaan stor.

Beliau ingin tahu sama ada perkara tersebut termasuk dalam bidang tugas perguruan dan langkah selanjutnya untuk mengatasinya.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Fuad Zarkashi dalam jawapannya memberitahu, KPM telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas menangani isu beban tugas guru (JKMIBTG) 2010 yang bertanggungjawab untuk mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan beban guru bertambah dan mencadangkan langkah-langkah penyelesaian bagi isu tersebut.

100, 000 anak muda tolak bangunan warisan 100 tingkat


Mohd Sabri Said

BUTTERWORTH, 25 Okt : Penentangan terhadap cadangan Perdana Menteri mahu membina bangunan Warisan 100 tingkat nampaknya merata di kalangan Pakatan Rakyat.

Kalau sebelum ini anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali mencadangkan wang RM5 bilion itu digunakan untuk membangunkan Kampung Baru, pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang berkata, lebih 100,000 anak muda membantah cadangan itu.

Apabila DAP membuat kajian dalam laman sosial Facebook mendapati sokongan penuh golongan muda agar Pakatan Rakyat membahas isu di parlimen sehingga Kerajaan Barisan Nasional (BN) akur, kata Lim.

"Saya nak umumkan di malam ini keputusan kajian dan Facebook saya jelas anak muda tidak kira bangsa menolak rancangan Najib nak bina bangunan setinggi 100 tingkat itu. Ia adalah pembaziran, " ujarnya di majlis makan malam Tabung DAP di Jalan Raja Uda, Butterworth baru-baru ini.

Menurut beliau, anak muda mahukan Najib gunakan wang RM5 bilion yang dicadangkan untuk bangunan tersebut bagi menambah baik perkhidmatan kesihatan, pelajaran, univesiti, lalu lintas, pembersihan tidak ketinggalan pembangunan luar bandar termasuk di kawasan ladang seluruh Malaysia.

Semasa sidang parlimen nanti beliau berjanji akan berjuang bagi suara anak muda menentang usaha Najib membina bangunan yang dianggap tidak berfaedah itu.

DAP, katanya, mahukan kewangan yang bakal dialirkan ke projek itu diagihkan kepada pembangunan lain yang nyata masih berada ditahap rendah.

"Kita akan berjuang sehingga mereka batalkan program berkenaan. Itu janji saya, " ujarnya di hadapan ribuan hadirin.

Datuk Seri Najib baru-baru ini mengumumkan, PNB akan membina bangunan Warisan 100 tingkat. Bagaimana selepas diserang dan dipertikaikan oleh pelbagai pihak, beliau berkata, idea pembinaan itu bukan datang dari beliau tetapi dari PNB sendiri.

PNB kemudiannya terpaksa menjelaskan, pembinaan bangunan itu tidak akan menggunakan wang pelaburan dari rakyat negara ini.

Ahad, 24 Oktober 2010

Najib umum 'rombakan' untuk pilihan raya


Jimadie Shah Othman & Salhan K Ahmad
Okt 23, 10
6:18pm
Kongsi 31
Demi menghadapi pilihan raya umum akan datang, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berjanji akan membuat perubahan kepimpinan parti itu di peringkat tertentu.

"Dalam masa terdekat ini saya nak buat perubahan pada kepimpinan Umno di peringkat tertentu. Moga akan lengkaplah (barisan kita)," katanya yang juga perdana menteri.

Dalam ucapan penggulungan dalam mesuarat agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini, Najib bagaimanapun berkata akan merundingkannya terlebih dahulu dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden parti itu.

"Bincang dengan Jawa, Turki dan lanun semua apa formula terbaik," katanya berseloroh, merujuk kepada tiga naib presiden - Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Shafie Apdal - yang masing-masing mempunyai darah bangsa dan kaum yang disebutkan itu.

Perkara itu ternyata mencuit hari ketiga-tiga pemimpin kanan Umno itu serta perwakilan yang hadir.

Najib bagaimanapun tidak menyebut secara jelas pada peringkat mana perubahan itu akan dilakukan.

Bagaimanapun, tambah Najib, kemungkinan besar ia melibatkan jawatan pengerusi perhubungan negeri ekoran beberapa teguran daripada perwakilan sepanjang tiga hari persidangan Umno pada tahun ini.

'Tutup buku' bincang hak Melayu

Najib juga menggesa anggota parti itu "tidak malas untuk menang di Galas dan tidak jadi batu api untuk menang di Batu Sapi."

Sementara itu, menyentuh soal hak istimewa Melayu yang disifatkankannya sebagai "terkunci kemas" dalam perlembagaan sebelum ini, Najib menyatakan kekesalannya terhadap pembangkang yang didakwa memutarbelitkan perkara itu.

Katanya, pembangkang berhujah, oleh kerana perkara itu telah terkunci, maka orang Melayu tidak lagi memerlukan Umno.

"Ini adalah satu pandangan yang tidak benar sama sekali. Walaupun peruntukan itu terkunci kemas tetapi kuasa politik, ia perlu di tangan Umno untuk mengetengahkan prinsip dan semangat perlembagaan itu," katanya sambil disambut tepukan gemuruh para perwakilan.

"Sebab itu, saya tutup ucapan dasar saya dengan berkata, dalam apa jua keadaaan pun, Putrajaya perlu kita pertahankan."

Sambil menyifatkan pembangkang sebagai bengap dan bangang, Najib sempat memperli PKR - parti utama dalam Pakatan Rakyat - dengan berkata:

"Dia dulu sibuk dengan reformasi, sekarang sibuk baling kerusi (dalam pemilihan cabang)".

Najib juga berharap soal hak Melayu tidak lagi dibangkitkan dan dianggap sudah "tutup buku".

2011 sama penting buat Najib, antara PRU-13 dan pemilihan Umno

October 24, 2010
Gandingan Najib dan Muhyiddin di akhir Perhimpunan Agung Umno 2010 petang semalam. Kedua-dua mereka akan turun padang untuk bertemu ahli dan penyokongnya tahun depan. — Foto Bernama
ANALISIS, 24 Okt — Sementara banyak pihak sudah bermain teka-teki sama ada 2011 yang akan menjelang tiba dalam dua bulan lagi sebagai tahun pilihan raya, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat tafsiran.

“Mereka boleh membuat pelbagai tafsiran, tapi apa yang penting ialah bagi kami untuk bertemu dengan rakyat,” kata Najib semalam mengulas sama ada kenyataannya turun padang ke negeri-negeri tahun depan bersama timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai membayangkan pilihan raya umum ke-13 semakin menghampiri.

Najib buat julung kali mengumumkan kepada publik bahawa beliau dan Muhyiddin akan turun padang ke seluruh negara mulai tahun depan, dipercayai antara lain untuk berjumpa dengan rakyat serta menyusun jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Beberapa penganalisis dan pemerhati politik membentuk tanggapan kemungkinan itu sudah mula kelihatan.

Penganalisis politik Profesor A. Aziz Bari mengakui beliau tidak menolak tahun 2011 sebagai tahun pilihan raya.

“Kita boleh lihat program tinjauan (turun padang) Datuk Seri Najib sebagai usaha awal mempersiapkan partinya dan BN untuk menghadapi pilihan raya umum,” kata beliau sambil menimbulkan persoalan sama ada pilihan raya negeri Sarawak dan umum akan diadakan serentak.

Pakar perundangan ini melihat kemungkinan pilihan raya negeri Sarawak akan diadakan awal.

Beliau juga bersetuju bahawa program turun padang pemimpin Umno itu akan mengambil masa tiga sehingga empat bulan untuk dilengkapkan.

“Ya, biasanya program turun padang akan mengambil masa sekitar tiga bulan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Mengimbas amalan-amalan lalu, program turun padang menjelang pilihan raya mengambil masa sekitar tiga bulan untuk dilengkapkan.

Pendekatan itu juga pernah digunakan oleh bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jika pilihan raya negeri Sarawak tidak diadakan dalam dua bulan ini, maka 2011 akan semakin menarik untuk diperhatikan dan ia akan menjadi semakin menarik, kata beliau.

Sebenarnya mandat semasa kerajaan negeri Sarawak akan berakhir Julai 2011. Di tengah-tengah spekulasi bila pilihan raya negeri ini akan diadakan, ramai meramalkan pilihan raya umum ke-13 kemungkinan akan diadakan tahun depan.

Selain itu, Umno juga dijadual untuk mengadakan pemilihan pertama tanpa berasaskan sistem kuota tahun depan, susulan pindaan perlembagaan parti itu tahun lepas.

Tanpa menyebut bila pilihan raya umum akan diadakan, Perdana Menteri berkata beliau juga mahukan para pemimpin Umno turut “turun padang dan sentiasa berada di atas padang”.

“Mulai tahun depan, kami akan turun ke negeri-negeri, jumpa dengan Umno dan rakyat.

“Saya nak Umno sediakan sebaik-baik supaya lawatan kami mendapat sambutan sebaik-baiknya. Balik buat persiapan,” tegas arahan kepada kepimpinan negeri dan bahagian.

Selaku Presiden Umno, Najib berkata, beliau juga akan membuat perubahan dalam kepimpinan Umno di peringkat tertentu supaya parti itu lebih bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum kelak.

Keperluan mengubah pucuk kepimpinan negeri khususnya di negeri-negeri yang pengerusinya diimport dari negeri lain juga dibangkitkan perwakilan.

Pada perhimpunan agung tahunan yang sama, Muhyiddin pula berkata Umno perlu meningkatkan kerjasama di kalangan anggota supaya proses transformasi politik dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau berkata inisiatif untuk melakukan transformasi itu merupakan langkah penting yang tidak boleh diabaikan kerana mahu atau tidak, Umno tetap akan berdepan dengan rakyat jelata yang akan menilai dan membuat keputusan dalam menentukan nasib parti pada pilihan raya akan datang.

“Masa yang ada di hadapan kita tidak banyak lagi, saya kurang pasti bila presiden parti nak umum tarikh pilihan raya, tetapi kalau pun tidak diumumkan pasti kita tahu tinggal beberapa bulan sahaja lagi ke hadapan,” kata timbalan perdana menteri.

Esok, Najib akan membuat pengumuman penting mengenai program Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

Pun begitu, Dr Mahathir berpendapat pilihan raya umum ke-13 tidak akan diadakan dalam masa terdekat meskipun terdapat gesaan daripada Najib agar perubahan-perubahan parti dilakukan dengan segera.

“Saya tak ingatlah akan cepat. Ada masa lagi,” katanya.

Mengambil kira kenyataan Najib, Muhyiddin dan Dr Mahathir itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian juga tidak menolak bahawa “tahun 2011 sama-sama penting bagi Najib.”

“Tahun 2011 akan kelihatan tahun persiapan Najib bagi menghadapi pilihan raya umum dan pemilihan parti,” kata beliau.

Mahu tidak mahu, Najib kena turun padang untuk menemui ahli-ahlinya.

Pokoknya, Najib sudah tidak boleh mengharapkan kelebihan sistem kuota, yang sudah pun dimansuhkan.

Jadi beliau tiada pilihan melainkan turun padang lebih awal sebelum mesyuarat cawangan dan persidangan bahagian bersama Muhyiddin untuk mencari sokongan atas faktor gandingan bersama — Najib-Muhyiddin.

“Jadi, bagi Najib sokongan ahli parti perlu diutamakan dalam menghadapi pilihan raya umum,” kata penganalisis ini.

Justeru beliau berpendapat BN memerlukan sekurang-kurangnya setahun sebelum boleh dianggap sudah bersedia.

“Pilihan raya Sarawak tidak wajar diadakan sekali dengan pilihan raya umum. Sarawak boleh menjadi penanda aras walaupun mengadakan pilihan raya negeri boleh memberi kelebihan kepada BN dari segi penyusunan strategi.

“Dalam satu tahun akan datang, BN perlu memahami apa keperluan dan kemahuan rakyat dan menilai cara fikir rakyat untuk memulihkan kepercayaan,” kata beliau yang turut menimbulkan persoalan apakah indikator yang digunakan BN untuk mengadakan pilihan raya dalam waktu terdekat.

“BN perlu bertanya mengapakah rakyat perlu mengundi mereka?

“Apakah keunikan BN yang memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat ke atas mereka?” katanya.

Sivamurugan berpendapat bahawa ia tidak boleh bergantung kepada kelemahan lawan tetapi kekuatan mereka sebagai persediaan pilihan raya.

“BN tidak boleh mengadakan pilihan raya sekarang tanpa ada hasil akhir pelan transformasinya (ETP dan GTP).

“Ia boleh dikatakan bersedia jika satu undi Najib diterjemah kepada satu undi kepada BN kerana populariti beliau mampu menjana sokongan terutama di kalangan pengundi bukan Melayu,” katanya.

Kata beliau, kenyataan hak Melayu di bawah perlembagaan mengukuhkan sokongan orang Melayu kepada beliau terutama pengundi tradisi.

Dengan menekankan bahawa Perhimpunan Agung Umno kali ini lebih banyak memfokus soal hak-hak orang Melayu yang tidak wajar dikhuatiri oleh mana-mana sebab ia termaktub jelas dan terkunci sebagaimana dikatakan oleh Najib, Aziz juga berpendapat bahawa Umno mahu memfokus menarik sokongan pengundi atas pagar agar beralih kepada Umno-BN.

Galas: Calon PAS ada kelebihan, kata Hadi

October 23, 2010

KUALA TERENGGANU, 23 Okt – PAS yakin calon mereka mempunyai kelebihan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas walaupun pernah dua kali tewas ketika bertanding kerusi Parlimen Gua Musang menentang Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kali terakhir bertanding kerusi Parlimen Gua Musang iaitu pada pilihan raya umum 2008, undi yang diperoleh Dr Zulkefli Mohamad di DUN Galas melebihi undi tokoh veteran Umno itu.

“Pada pilihan raya umum lepas Dr Zulkefli mendapat 300 majoriti undi di kawasan Galas walaupun beliau kalah di kerusi Parlimen Gua Musang kepada Tengku Razaleigh.

“Ini bermakna tidak mustahil untuk PAS menang di Galas pada pilihan raya kecil ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ijtima' Kepimpinan PAS Negeri Terengganu di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata bagaimanapun, PAS hanya meletakkan keyakinan 48 peratus peluang untuk menang pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian wakil rakyat dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, akibat kanser usus pada 27 September lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Okt sebagai tarih penamaan calon manakala pengundian pada 4 November. – Bernama

Sabtu, 23 Oktober 2010

Najib akui tuduhan terhadap PR, karut


Abd Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 23 Okt: Ucapan dasar Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno kelmarin jelas membuktikan, tuduhan bahawa Pakatan Rakyat akan mencabar hak Melayu jika memerintah adalah karut.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, ucapan Najib selaku Presiden Umno itu juga menjelaskan bahawa hak-hak orang-orang Melayu terjamin di bawah perlembagaan walau siapa pun yang memerintah.

"Jaminan di dalam perlembagaan yang dinyatakan oleh Najib dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno Ke-61 itu dengan sendirinya mendedahkan pembohongan dan khurafat Umno untuk menakut-nakutkan orang-orang Melayu kononnya mereka akan hilang kuasa jika parti yang disebut sebagai parti perasuah oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) itu tidak memerintah," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Dengan pengakuan Najib tentang jaminan dalam perlembagaan itu, Mahfuz yakin orang-orang Melayu tidak akan dapat lagi diperbodohkan oleh Umno yang tidak henti-henti mengugut kononnya mereka akan kehilangan kuasa jika pemerintahan Umno ditamatkan.

"Kita akan menjelajah seluruh negara untuk menggerakkan orang-orang Melayu supaya dengan tegas menyatakan "tidak" kepada penghinaan terhadap mereka.

"Umno menghina orang-orang Melayu melalui tindakan tanpa batasannya memperbodoh-bodohkan mereka semata-mata untuk menyalahgunakan kuasa dan meragut harta kekayaan negara dengan kuasanya sebagai pemerintah.

"Kita akan menyedarkan orang-orang Melayu bahawa hakikatnya mereka tidak ada apa-apa kuasa walaupun hanya sedikit di bawah pemerintahan Umno kerana semua kuasa terpusat di tangan para pemimpin parti yang dikatakan busuk hingga ke usus itu," katanya.

Malah, kata Mahfuz lagi, jika PR memerintah, hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan itu akan diperkukuhkan lagi dengan memberikan apa yang tidak diberikan oleh Umno kini, iaitu siri-siri reformasi yang bersifat institusional (institutional reforms) terutama pembebasan badan kehakiman, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan lain-lain pihak yang selama ini disalahgunakan oleh parti yang memerintah.

"Perkara itu telah lama dilaksanakan dalam negara-negara demokrasi yang lain tetapi Umno enggan melaksanakannya dalam negara ini demi kepentingan cengkaman kuasanya," kata beliau.

Dalam ucapannya itu, Najib yang memberikan penjelasan panjang lebar termasuk mengimbas sejarah moden negara dan Kesultanan Melayu Melaka berkata, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain Perezaban kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.

Najib macam yakin berlaku rampasan kuasa


Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 23 Okt: Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak Najib bahawa akan pertahan Putrajaya walau terpaksa hilang nyawa seolah-olah yakin akan berlaku rampasan kuasa secara keganasan.

Biarpun Najib tidak menyebut mahu mempertahankan Putrajaya dari dirampas pihak mana, namun dipercayai ditujukan kepada Pakatan Rakyat.

Ini kerana Pakatan Rakyat sejak tsunami politik 2008, telah meletakkan sasaran mahu menguasai Putrajaya menggantikan kerajaan BN.

Menurut Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar, kenyataan Perdana Menteri itu juga seolah-olah tidak faham amalan demokrasi di negara ini.

"Najib masih tak faham demokrasi, PR nak kuasai Putrajaya bukan dengan rampasan kuasa. Kita guna saluran pilihan raya, dengan rakyat yang tentukan.

"Mungkin juga dia lupa, yang merampas kuasa secara ganas ni Umno BN. Merekalah yang merampas Perak dari Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Najib ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno berkata, Umno perlu mempertahan Putrajaya dari pihak yang mahu merampasnya biarpun terpaksa hilang nyawa.

Firdaus bagaimanpun turut mempersoal niat Najib di sebalik berkata begitu, atau mungkin mempunyai agenda politik tersembunyi.

"Adakah dia cuba menggambarkan bahawa Pakatan Rakyat ini perampas kuasa secara ganas?" soalnya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan, kenyataan tersebut dilontar Najib hasil daripada perasaan takut melihat sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Tambahnya lagi, ianya juga mungkin menggambarkan Umno tidak boleh menerima jika Pakatan Rakyat benar-benar dapat menguasai Putrajaya.

"Atau Najib mahu ahli Umno bertindak ganas pada Pakatan Rakyat jika dapat menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti," katanya.

Bagaimanapun tegasnya, Pakatan Rakyat tetap bertekad dan sedang berusaha untuk menguasai Putrajaya, dengan sokongan padu rakyat negara ini.

Sementara itu, Presiden PKR, Datin Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan mahu Najib memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut yang disifatkan sebagai anti-demokrasi.

"Saya mewakili pimpinan dan anggota KEADILAN mendesak agar Presiden Umno menarik semula kenyataan beliau yang jelas sekali berniat jahat dan bersifat anti-demokrasi.

"KEADILAN juga menuntut supaya Datuk Sri Najib memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan memberi jaminan bahawa sekiranya perubahan Kerajaan Persekutuan benar-benar berlaku dalam Pilihan Raya Umum akan datang, maka Umno BN akan menyerahkan kuasa secara terhormat dan dalam suasana yang aman dan harmoni," katanya

Umno tetap perkauman selepas 50 tahun merdeka


Harakahdaily

KUALA TERENGGANU, 23 Okt: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ternyata setelah lebih 50 tahun merdeka, Umno tetap berwajah perkauman dan bersikap berpura-pura, bahkan menentang Islam.

“Justeru, kita tidak mempunyai pilihan dalam membangunkan negara yang makmur dan masyarakat yang adil, melainkan dengan mendaulatkan Islam dan ianya tidak akan tercapai melainkan dengan kita memperkasakan jihad,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu ke-14 di Kampung Tanjung, Batu Rakit, pagi ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Harun Taib turut berucap pada majlis itu yang dihadiri sama Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Mutakhir ini, katanya Umno BN sedang mengukuhkan strategi gerakan Islam Liberal melalui pengisytiharan kemasukan sekumpulan mereka yang dianggap sebagai ‘ulama muda’.

Menurutnya, mereka diharapkan oleh Umno menjadi barisan hadapan untuk menentang gerakan PAS di bawah kepimpinan ulama.

Mutakhir ini juga, tambahnya apabila PAS berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS, Umno BN menjadi sangat bimbang sehingga mereka mengambil langkah mempertajamkan semula gerakan perkauman dengan didokongi oleh beberapa NGO seperti Perkasa.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, seperti yang sedia maklum Kerajaan Umno BN telah menyalahgunakan undang-undang untuk menghalang pelaksanaan Islam yang syumul.

Mereka, katanya komited untuk menghalang kemaraan PAS di mana pada hari ini bersama Pakatan Rakyat atau menyekat PAS daripada memerintah.

Katanya lagi, Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA 1960, Akta Hasutan 1948, Akta Universiti dan Kolej Universiti AUKU 1971, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 merupakan undang-undang yang berkaitan.

Mereka, ujarnya sentiasa menakut-nakut dan memperbodohkan rakyat seperti yang digambarkan di dalam surah az-Zukhruf, ayat 54 yang bermaksud: (dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik derhaka.

“Di atas kenyataan seperti inilah kerajaan Umno BN menggunakan jentera-jentera kerajaan untuk menekan rakyat.

“Mereka mempunyai kuncu-kuncu dan agen-agen dari golongan tertentu yang sanggup menindas dan merampas hak rakyat demi survival kepentingan mereka,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyentuh mengenai media yang berat sebelah di Malaysia juga menjadi faktor besar penghalang kepada jihad yang didokongi PAS.

“Lihatlah siapa yang memiliki media elektronik negara kalau bukan Umno BN. Siapakah pemilik TV3, RTM, NTV9?

“Siapa pula pemilik akhbar arus perdana Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times kalau bukan Barisan Nasional?

Baginya, media itulah yang digunakan untuk memberi persepsi yang negatif terhadap PAS dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat di mana kerap kali PAS digambarkan sebagai parti ekstrimis.

Tambahnya lagi, dengan media itulah mereka menguasai minda rakyat yang mana propaganda demi propaganda dilancarkan melalui media demi meneruskan kezaliman mereka.

“Setiap waktu, musuh selalu menakut-nakutkan kita melalui media dengan menyebarkan berita-berita bohong dan membentuk persepsi negatif bagi memecahbelahkan saf perjuangan kita.

“Didiklah diri kita agar tidak mengikuti apa yang kita tidak ketahui tentangnya,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan pendukung PAS agar jangan tergolong dalam orang yang disebut oleh Nabi s.a.w. sebagai pembohong hanya kerana menceritakan apa sahaja yang dia dengar walaupun berita yang dibawa adalah bohong.

Beliau juga menyentuh mengenai rakyat dan pengundi yang jahil di mana pepatah ada menyebut "kamu adalah musuh kepada apa yang kamu jahil".

Ini, katanya kerana rakyat dan pengundi yang tidak mendapat maklumat yang sepatutnya menyebabkan persepsi mereka terhadap PAS menjadi negatif.

“Kejahilan inilah menjadi senjata Umno BN untuk memancing undi mereka setiap kali pilihanraya berlangsung,” ujarnya.

Menurutnya, punca rakyat menjadi jahil adalah disebabkan dua faktor penting iaitu malas membaca dan penguasaan media oleh Umno Barisan Nasional.

Tambahnya lagi, memang jelas bahawa antara penghalang kepada rakyat untuk bersama dengan jihad PAS ialah kejahilan mereka terhadap kebenaran jihad perjuangan PAS dek kerana tipudaya melalui propaganda media Barisan Nasional.

“Inilah gerak kerja golongan munafik yang sentiasa mencari jalan untuk melemahkan semangat juang umat Islam untuk berjihad menentang kebatilan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, tegasnya PAS haruslah memainkan peranan sebagai pendidik masyarakat melalui program-program ilmu seperti kuliah, ceramah, tazkirah dan seumpamanya yang hendaklah diatur dengan sebaiknya bagi menangani kejahilan masyarakat terhadap Islam dan perjuangan PAS itu sendiri

Jumaat, 22 Oktober 2010

Pemuda PAS yakin Zulkefli mampu galas amanah


Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong penuh calon pilihan PAS yang mewakili Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas, Dr Zulkefli Mohamad yang diumum malam tadi.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, pemuda PAS yakin Dr Zulkefli mampu menggalas amanah tersebut dengan jayanya dengan bantuan seluruh jentera parti pelbagai peringkat.

Ini kerana Dr Zulkefli mempunyai pengalaman luas dengan politik di Galas apabila pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 di Dun Galas dan pilihan raya umum 2008 bagi Parlimen Gua Musang.

“DPPP sokong penuh calon PAS yang diumum oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz semalam bagi mewakili PR di Dun Galas," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengerahkan seluruh jentera pemuda turun ke Galas bagi membantu memenangkan calon PAS tersebut.

Bagaimanapun katanya, pemuda PAS dinasihatkan agar berhati-hati dan tidak terpengaruh provokasi pihak lawan.

"Pemuda PAS perlu turun ke Galas dengan akhlak yang tinggi, semangat juang yang tabah serta elak diri dari terjebak dengan sebarang provokasi," tambahnya lagi.

Beliau juga optimis PAS mampu mengekalkan kerusi Dun tersebut jika jentera menjalankan tanggungjawab sebaiknya dan ikhlas dalam perjuangan.

"Perjuangan Islam pasti menang apabila Allah redha. Allah hanya redha pada yang ikhlas dan benar dalam perjuangan, kerana kedua-duanya itu adalah asas kepada kejayaan," katanya.

PAS malam tadi mengumumkan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.45 Dun Galas.

Pengumuman itu dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis pengisytiharan calon di Dataran Ilmu, Gua Musang.

Menurut Tuan Guru Nik Aziz, Zulkefli dipilih kerana diyakini mampu meneruskan kerja cemerlang yang telah diusahakan wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Hadir sama pada majlis tersebut, semua pimpinan utama PAS Pusat termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa. Turut serta ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham.

Dr Zulkefli dipilih penuhi hasrat penduduk Galas


Mohd Nor Yahya

GUA MUSANG, 22 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemilihan Dr Zulkefli Mohamad sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Dun Galas amat bertepatan dengan permintaan penduduk setempat.

Tambahan pula, Dr Zulkefli merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang juga memangku tugas Yang Dipertua berikutan kematian Chek Hashim Sulaima.

Menurutnya, Zulkefli dipilih kerana diyakini mampu meneruskan kerja cemerlang yang telah diusahakan wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat Melayu di Dun Galas akan memberi sokongan padu dan berganding bahu dengan kaum Tionghua, India dan Orang Asli bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS.

Bagi Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham, pemilihan Zulkefli Mohamad adalah bertepatan dengan kejayaan beliau yang telah memenangi undi bagi parlimen Gua Musang di Dun Galas dalam pilihan raya umum ke-12 dulu.

“Kami di pihak DAP mengucapkan tahniah di atas pemilihan beliau dan jentera DAP akan bergerak sebaik mungkin terutamanya dalam memberi penjelasan terhadap kewibawaan calon ini,” ujar beliau.

Ngeh juga berkata sebelum ini masyarakat Tionghua begitu takut untuk mengundi calon dari PAS kerana mereka telah termakan hasutan Umno yang mengatakan PAS sebuah parti yang menindas kaum lain.

“Kita akan mengambil pendekatan menjelaskan terhadap perkembangan di Perak semasa di bawah Pakatan Rakyat dulu yang mana Menteri Besarnya ialah dari orang PAS, tetapi kehidupan masyarakat lain terus mendapat pembelaan, lagi pun PAS di Kelantan sudah memasuki tahun ke dua puluh dan tiada pun kita dengan masyarakat lain ditindas atau dipinggirkan di sini,” katanya lagi.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, Dr Zulkefli telahpun dikenali ramai kerana sebelum ini pernah bertanding sebagai calon PAS bagi Parlimen Gua Musang dalam PRU 12.

Melalui tinjauan yang dibuat sebelum ini, ramai dari akar umbi bersetuju untuk menerima beliau sebagai calon.

“Pengisyitharan malam ini sebenarnya tidaklah mengejutkan pengundi di sini, kerana mereka telah menjangka dari segi jawatan dalam partipun beliau merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan,” ujar beliau.

Tuan Ibrahim juga berkata, dengan pengorbanan dan kesungguhan beliau bekerja untuk parti semasa Allahyarham Chek Hashim menjadi wakil rakyat telah terbukti.

“Jentera parti PAS akan meneruskan amanah ini dengan memperkemaskan setiap pelosok dan peti undi.

“Kita juga mengharapkan dengan sokongan masyarakat Tionghua, India dan Orang Asli dan dokongan orang Melayu akan berlaku perubahan besar dengan meningkatkan majoriti undi dan pengisytiharan malam ini juga adalah bersempena sambutan 20 tahun pentadbiran PAS di Kelantan,” katanya lagi.

Bagi Parti Keadilan Rakyat, kesepakatan dalam Pakatan Rakyat akan diterjemahkan dengan menggerakkan jentera pilihan raya kecil di Dun Galas.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun PKR kini sedang sibuk dalam urusan pemilihan parti, namun ia tidak menghalang usaha membantu calon yang telah mendapat mandat dari pimpinan Pakatan Rakyat.

“Insya Allah dengan jentera yang kita ada, kita akan membantu sebaik mungkin rakan-rakan kita yang lain seperti PAS dan DAP dalam usaha memberi penjelasan kepada masyarakat di sini dan usaha ini akan diteruskan dari masa ke semasa,” ujar beliau.

Bagi Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, jentera Pemuda PAS sudah lama bersiap untuk bergerak membantu calon PAS dalam pilihan raya kecil Dun Galas.

Menurut beliau lagi, Pemuda PAS telah berikrar untuk menyokong sesiapa sahaja calon yang dipilih walaupun ia bukan dari kalangan pemuda.

“Bagi kita dalam Pemuda PAS, setiap apa yang diputuskan oleh pimpinan parti itu jugalah keputusan kita dan jentera pemuda bersama dengan ulamak dan muslimat telah bersepakat untuk berjuang habis-habisan di sini bagi memastikan kemenangan dengan majoriti lebih selesa,” kata beliau lagi.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails