Selamat Datang

Ahad, 29 November 2009

Wasilah dan Langkah-Langkah dakwah


Secara umumnya wasilah dan langkah-langkah dakwah tidak pernah berubah atau bertukar ganti. Malahan ia tidak pernah melampaui tiga perkara iaitu

1. Iman yang amiq (Iman yang mendalam)
2. Takwin daqiq (Pembentukan yang rapi dan kemas)
3. Amal Mutawasil ( Usaha dan Amal yang berterusan)

Dengan wasilah-wasilah inilah yang dilaksanakan secara berterusan dan beransur-ansur dalam membentuk individu yang muslim, rumahtangga yang muslim dan masyarakat yang muslim sehinggalah menjadi negara Islam yang sebenarnya. Semua ini dilakukan untuk menyediakan dasar dan asas Islamiyah yang teguh dan kuat untuk menegakkan pemerintahan Islam (daulah Islamiyah) disebuah negara umat Islam lalu dicantumkan denganya daulah-daulah Islam di seluruh dunia untuk membangunkan daulah Islamiyah alamiah iaitu merangkumi seluruh dunia Islam yang bersatu di bawah satu Khilafah Islamiyah'

Khilafah Islamiyah ini bertanggungjawab memimpin dunia seluruhnya, menjadi guru dunia dan mengarahkan perjalanannya demi kebahagiaan seluruh umat manusia dengan ayat-ayat Allah sehingga tiada lagi gangguan dan fitnah. Bahkan agama itu seluruhnya adalah hanya untuk Allah.

Firman Allah yang mafhumnya,
'Sehingga tiada lagi fitnah dan sehingga agama itu hanya untuk Allah belaka'(Al-Baqarah: 193)

Ketiga-tiga wasilah itu hendaklah berjalan secara serentak dan bergandingan bahu dalam persediaan membentuk individu muslim, rumahtangga muslim dan masyarakat muslim sebagai usaha penyebaran dakwah Islamiyah ditengah-tengah masyarakat. Di atas jalan dakwah kita tidak boleh mengambil jalan ringkas atau mengambil sebahagian sahaja untuk mencapai tujuan kita dan dapat menyempurnakan tugas kita.

Sesungguhnya tiada iman tanpa amal dan pembentukan. Tidak wujud masyarakat muslim tanpa anggota yang muslim dan rumahtangga-rumahtangga yang Islamiyah. Merekalah yang merupakan tiang-tiang yang akan membangunkan pemerintahan Islam.

Sebarang kecuaian dan kegopohan dalam mengukuhkan dasar dan memancangkan asas-asas yang teguh dan tiang-tiang yang kuat merupakan satu tindakan merbahaya yang mungkin membawa kepada keadaan yang sebaliknya atau tersongsang.Setiap waktu yang dicurahkan dan usaha yang berterusan untuk meletakkan asas sebuah bangunan tidak boleh dianggap sia-sia dan tidak boleh dihentikan kerana tidak menampakan sebarang hasil. Tetapi hendaklah diteruskan kerana bangunan yang besar memerlukan masa yang banyak dan usaha yang gigih untuk menyiapkan asas dan konkritnya.

Jumaat, 27 November 2009

PENGORBANAN


Apabila tiba hari raya aidil adha maka ramailah umat Islam melakukan ibadah korban dengan menyembelih lembu, kerbau, kambing atau unta. Ibadah korban yang dilakukan ini adalah untuk memenuhi perintah Allah swt kepada manusia. Peristiwa korban ini adalah berikutan pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Namun begitu sejarah pengorbanan ini dimulakan oleh anak-anak Nabi Adam iaitu Habil dan Qabil yang telah diperintahkan oleh Allah untuk melakukan korban. Allah hanya menerima korban terbaik sahaja dan menolak korban yang tidak berdasarkan keikhlasan kepada Allah.

Oleh itu pengorbanan yang dilakukan tidak semua diterima Allah kecuali yang benar-benar ikhlas keranaNya. Maka setiap muslim yang melakukan ibadah korban ini hendaklah melakukan dengan hati yang tulus dan suci kepada Allah swt semata-mata.

Walaupun begitu, bukan pengorbanan dilakukan hanya dengan menyembelih binatang ternakan sahaja boleh dilakukan dan dituntut dalam agama. Malahan makna pengorbanan yang sangat dituntut dan lebih besar lagi adalah pengorbanan dari segi nyawa, harta benda, masa dan sebagainya kepada umat Islam dalam memperjuangkan agama Allah di atas muka bumi ini. Umat Islam dituntut melakukan pengorbanan darah dan nyawa dalam memperjuangkan Islam. Tuntutan berjihad menentang musuh-musuh Allah merupakan kewajipan dalam kehidupan umat Islam sebagaimana yang dilakukan oleh umat islam di Palestin, Afghanistan, Iraq dan lain-lain.

Begitu juga pengorbanan harta benda dan wang ringgit untuk membantu saudara-saudara di sana. Semua umat Islam itu bersaudara. Jadi kita hendaklah membantu dan berkorban untuk saudara-saudara kita. Janganlah kita bakhil dan kedekut dengan harta dan wang serta rezeki yang Allah kuniakan kepada kita. Sebahagiannya hendaklah kita infaqkan ke jalan Allah. Moga-moga kita mencapai kejayaan dunia dan akhirat dengan pengorbanan jihad harta benda kita.

Tenaga dan masa kita juga hendaklah kita peruntukan untuk melakukan kerja-kerja Islam. Ini juga adalah satu pengorbanan yang wajib dilakukan untuk melihat kemajuan dan perkembangan dakwah. Apabila semua umat Islam masing-masing menyumbangkan tenaga dan masa mereka untuk perjuangan Islam, sudah tentulah agama Islam akan berkembang pesat dan bertambah maju. Akhirnya kalimah Allah di atas muka bumi ini dapat ditegakkan dan dunia akan menjadi bertambah makmur dan mendapat keredhaan Allah swt.

Sabtu, 21 November 2009

Gejala Sosial Tanggungjawab Bersama



Masalah gejala sosial yang melanda negara hari ini semakin bertambah buruk dan serius. Keadaan ini berlaku pada setiap hari. Gejala sosial ini merupakan masalah yang wujud dalam masyarakat tidak kira samada ia berlaku di kampung atau pun dibandar. Wujudnya ia kerana keruntuhan akhlak yang berlaku di kalangan anggota masyarakat tidak kira samada remaja atau orang dewasa. Antaranya adalah seperti kes perzinaan, pembuangan bayi, meminum arak, merempit, rogol, ragut, mencuri dan sebagainya.

Antara faktor yang menyebabkan berlakunya gejala sosial ini adalah kerana pegangan agama yang kurang dan cetek pada individu Islam. Akibatnya mereka ini tidak tahu antara yang halal dan haram, pahala dan dosa, kebajikan dan maksiat. Akhirnya mereka hanya hidup semata-mata hanya untuk memuaskan hawa nafsu tanpa mengikuti batas-batas atau larangan Allah swt dalam kehidupan. Kerja buat dan tindakan yang dilakukan hanya untuk memenuhi tuntutan kehidupan.

Kerjasama dari semua pihak hendaklah dibuat supaya masalah gejala sosial yang berlaku pada hari ini dapat di atas. Pertamanya adalah dari ibu-bapa. Para ibu-bapa mestilah menjadi contoh dalam mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian. In bermakna semua ibu bapa mestilah mengetahui dan mendalami ilmu agama masing-masing. Dengan demikian amalan-amalan Islam seperti ibadah khusus, solat, puasa dan sebagainya dapat dilihat oleh anak-anak apabila mereka mengerjakannya. Terdapat para ibu bapa sendiri yang tidak pernah solat samada di rumah atau di mesjid secara berjamaah. Begitu juga dengan ibadah khusus yang lain, ibu bapa tidak pernah melakukannya. Oleh itu keadaan ini menjadi ikutan anak-anak mereka yang dalam hidupnya tidak pernah mengabdikan diri kepada Allah swt.

Sekiranya para ibu bapa dapat melaksanakan dan menghayati Islam sebagai satu cara hidup, nescaya masyarakat yang ada secara tidak langsung menjadi sebuah masyarakat baik dan bertanggunjawab. Ini kerana peranan masyarakat adalah penting dalam mengatasi masalah gejala sosial ini. Tegur menegur dan saling nasihat-menasihati antara jiran tetangga adalah suatu kewajipan yang perlu diamalkan dalam kehidupan. Soal 'jangan jaga menjaga tepi kain orang' sudah tidak boleh digunakan kerana Allah swt telah berfirman yang mafhumya;

'Hendaklah ada dikalangan kamu satu golongan yang menyeru berbuat baik, menyuruh berbuat yang maaruf dan mencegah melakukan yang mungkar dan merekalah oranga-orang yang beruntung. (Ali Imran :104)

Apa juga yang berlaku disekeliling kita, sebagai anggota masyarakat kita wajib melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar. Oleh itu masalah gejala sosial dengan mudah dapat di kawal dan di atasi. Persoalannya berapa ramai dikalangan kita yang peka dengan fenomena ini. Ada kalanya maksiat yang berlaku dirumah jiran sebelah kita pun tidak pernah kita ambil peduli. Maka inilah keadaan yang menambahkan lagi gejala sosial pada hari ini. Jika kita berani menegur dan melaporkan kepada pihak berkuasa segala maksiat yang berlaku di sekeliling kita sudah tentulah gejala sosial ini dapat dihapuskan.

Begitu juga peranan pihak berwajib yang melaksanakan undang-undang hendaklah mengambil inisiatif yang tinggi bagi membenteras gejala sosial ini. Penguatkuasaan undang-undang hendaklah diperketatkan lagi. Jangan beri ruang langsung kepada segala bentuk hiburan yang melalaikan. Hiburan yang langsung tidak menyumbangkan kepada kebaikan hendaklah sekat kerana ia merupakan sumbangan kepada perkara-perkara maksiat sahaja.

Akhirnya dengan tangunggjawab yang boleh dimainkan oleh semua yang terlibat samada ibu bapa, masyarakat dan pihak kerajaan maka negara akan dapat mengatasi gejala sosial yang berlaku pada hari ini.

Selasa, 17 November 2009

Perkara Yang membatalkan Syahadahtain


3. Bekerja atau berkhidmat dengan tujuan selain daripada Allah.

Firman Allah yang mafhumnya; ' Katakanlah; sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan Semesta Alam.'(Al-An'aam: 162)

Berdasarkan ayat tersebut, telah ditegaskan bahawa tidak ada ibadat atau perhambaan yang disembah kecuali Allah. Tiada peribadatan yang disembahkan melainkan kepada Allah dan kerana Allah.

Pengertian ibadat tidak setakat solah,zakat,puasa dan haji bahkan segala pekerjaan yang dijalankan di atas syariat yang dimaksudkan atau dikosadkan kerana Allah adalah ibadah. Sebarang pekerjaan yang dikosadkan kerana hendak berbakti kepada selain daripada Allah yang memang dimurkai Allah adalah syirik.

Disini dijelaskan beberapa amalan yang boleh membawa syirik. Antaranya berkhidmat untuk menegakkan dan menjadikan cita-cita kebangsaan itu sebagai matlamat utama di dalam perjuangan hidup seperti berperang kerana untuk mempertahankan bangsaberkempen supaya orang menyokong cita-cita ini serta melaburkan khidmat untuknya disamping menanam semangat taksub atau fanatik kebangsaan yang mendalam.

Konsep hidup seumpama ini merupakan pandangan atau pegangan hidup yang syirik kerana Allah menyuruh kita berkhidmat dan bekerja semata-mata keranaNya serta berjihad dan berperang keranaNya. orang-orang Islam hanya dibolehkan berusaha membaiki kebaikan bangsanya di atas apa yang diperintahkan oleh Allah sahaja.

Begitu juga bekerja semata-mata untuk kemajuan negara adalah syirik.Orang-orang Islam tidak boleh meletakkan pergantungan kepada negaranya kecuali tujuan negara dan orang-orang di dalam negaranya semuanya Islam kepada Allah. Apabila kita meletakkan kenegaraan sebagai matlamat perjuangan didalam pekerjaan kita dan tidak bersedia meniatkan kerana Allah maka adalah juga syirik.

Sesuatu pekerjaan atau perkara yang dibuat di atas kepentingan meninggikan imej negara, penyatuan negara dan berjuang habis-habisan untuk menjaga kepentingan negara adalah syirik. Demikian juga satu-satu pekerjaan yang dibuat atas muslihat kemanusiaan sahaja adalah syirik.

Isnin, 16 November 2009

Perkara Yang Membatalkan Syahadahtain



Terdapat dua puluh perkara yang boleh membatalkan syahadahtain atau menyebabkan menjadi kafir.

1. Bertawakal dan bergantung selain daripada Allah.

Firman Allah yang mafhumnya; 'Dan hanya kepada Allah hendaklah kamu bertawakal, jika kamu benar-benar orang yang beriman'.(Al-Maidah:23)

Tawakal bukanlah bererti meninggalkan kerja, malah Allah menyuruh kita bekerja tetapi janganlah kita meletakkan pergantungan hidup kepada pekerjaan itu. Kita perlu bekerja dan berusaha dan Allah menyuruh kta beriman bahawa hanya Allah sahaja yang memberi rezeki. Allah menyuruh kita berubat apabila sakit dengan syarat kita pastikan bahawa yang menyembuhkannya adalah Dia. Allah menyuruh kita mencari segala sebab dengan syarat meletakkan pergantungan dan tawakal kepadaNya.

Tegasnya sesiapa yang berusaha dan berikhtiar serta bekerja dengan tidak bertawakal dan bergantung kepadaNya ia telah mencacatkan salah satu syarat tadi dan sebaliknya jika sesaorang itu hanya bertawakal dan bergantung kepada Allah tanpa daya usaha ia juga telah mencacatkan satu syarat.

Bergantung dengan sebab-sebab tetapi lupa bahawa Allahlah yang mengizinkan adalah maksiat. Bergantung dengan sebab-sebab disamping mendakwa tiada hubungan dengan Allah adalah syirik, yang meruntuhkan syahadahtain. Mestilah kita percaya bahawa Allah telah menjadikan sebab-musabab di dunia ini yang mempunyai fungsi iaitu ada peranan dan tugasnya. Kita jua mestilah percaya bahawa Allah yang menjadikan sesuatu.

Sesiapa yang ingkar dengan sebab-sebab dan menganggapnya tiada gunanya maka adalah kafir dan sebaliknya sesiapa yang mengiktiqadkan ia memberi kesan maka adalah syirik.

2. Ingkar ni'kmat Tuhan samada yang terang atau yang tersembunyi, yang mudah difikir atau yang memerlukan kajian.

Segala ni'kmat itu adalah datang dari Allah kerana Dialah pemberi ni'kmat. Bahkan juga kita mesti beriman bahawa sesuatu bencana yang menimpa itu juga datang dari Allah. Bukanlah bidang kuasa manusia dalam urusan memberi dan menahan rezeki sesaorang tetapi hak Allah dengan kehendaknya juga.

Firman Allah yang mafhumnya: ' Sekiranya kamu menghitung ni'kmat Tuhan tidaklah dapat kamu menghitungnya, sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari.' (Ibrahim:34)

Pandangan sebenar Terhadap Masa


Islam mempunyai pandangan yang sebenar yang meliputi tiga keadaan iaitu masa yang lalu, masa sekarang dan masa akan datang.

Masa yang lalu merupakan sejarah yang berlaku kepada manusia dan umat terdahulu. Ia adalah satu sunnah Allah ke atas mereka. sejarah ini boleh mendatangkan pengajaran buat generasi yang akan datang atau selepasnya. Firman Allah swt yang mafhumnya;

'Sesungguhnya telah berlalu sunnah-sunnah Allah sebelum dari kamu. Kerana itu berjalanlah kamu di atas muka bumi ini dan perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan rasul-rasul.....(Ali imran: 137...)

Setiap sejarah yang berlaku wajar dikaji dan selidiki agar dapat dijadikan iktibar dan pengajaran yang dirasakan perlu dan sesuai buat masa ini. Mengambil sejarah silam adalah suatu yang perlu kerana ada barang atau perkara yang sangat bernilai dan tidak boleh ditukar ganti seperti Al-Quran yang sentiasa sesuai disepanjang zaman untuk dijadikan panduan manusia.

Masa sekarang perlu diberi perhatian oleh setiap muslim. Sesaorang itu perlulah berusaha dengansedaya upaya untuk memenuhi masa sekarangnya dengan beribadah dan mengingati Allah swt. Jika masa berikutnya tidak kunjung tiba sudah pasti seseorang itu tidak merasa kecewa kerana dia telah melaksanakan tugasnya sebagai hamba Allah dengan mengerjakan perintah-perintah Allah tanpa bertangguh-tangguh.

Masa yang akan datang pula hendaklah dibuat perancangan dan azam dalam meningkatkan lagi amalan-amalan soleh dalam hidup individu muslim. Mengutamakan bekalan akhirat merupakan suatu yang penting walaupun dunia ini juga perlu dipenuhi keperluannya. Oleh itu hendaklah diseimbangkan antara dunia dan hendaklah akhirat diperbanyakkan.

Ahad, 15 November 2009

Adab dalam perbezaan pendapat

Dalam Islam perbezaan pendapat adalah dibenarkan tetapi janganlah sampai membawa kepada perpecahan ummah. Apa yang berlaku sekarang ini, perbezaan pendapat tidak membawa keuntungan kepada masyarakat Islam. Malahan ia boleh mengelirukan masyarakat apabila perbezaan pendapat ini dilakukan oleh orang-orang yang dihormati dalam masyarakat Islam itu sendiri.

Tambahan pula isu yang diperselisihkan hanyalah perkara-perkara cabang seperti bacaan talkin, bacaan yasin di malam Jumaat dan sebagai. Apa yang sangat menyedihkan, pertikaian ini telah membawa kepada keluarnya kata-kata kesat dan cacian diantara satu sama lain di dalam majlis-majlis yang diadakan.

Seharusnya apabila ada perselisihan pandangan dan pendapat, hendaklah masing-masing berlapang dada dan bersikap terbuka. Kita hendaklah menerima dengan hati yang ikhlas, pandangan orang lain dan berlapang dada andainya pandangan kita tidak dipersetujui oleh orang lain. Inilah adap kita dalam perbezaan pendapat.

Isnin, 9 November 2009

10 tanggungjawab muslim dalam sehari






Setiap muslim disarankan supaya tidak lupa dan mengabaikan tanggungjawabnya kepada 10 perkara dalam kehidupan sehariannya. Firman Allah swt yang mafhumnya:

'Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim,orang-orang miskin, tetangga yang berdekatan, tetangga yang jauh, teman sejawat, pengembara dan hamba sahayamu.'(An-Nisa':36).

Hak utama yang wajib diagungkan ialah hak Allah swtsebagai pencipta,pemerintah, pemberi nikmat kepada semua makhluk. Oleh itu tidak sewajarnya setiap muslim itu mengabaikan dan lalai dari melaksanakan tanggungjawab ini. Solat adalah rukun asasi yang wajib semua orang Islam menunaikannya pada setiap hari. Firman Allah swt yang mafhumnya:

' Maka Neraka 'wil' tarhadap orang-orang yang meringan-ringankan waktu sembahyang mereka.'(Al-Ma'un; 4-5).

Al-Quran juga sangat memberi perhatian kepada kedua ibu-bapa kerana tanggungjawab mengasuh dan mendidik anak-anak amat berat. Oleh itu sebagai anak hendaklah ibu bapa dihormati dan dlayani dengan baik setiap hari. Begitu juga dengan kaum keluarga, saudara-mara samada yang dekat atau yang jauh hendaklah diambil berat dan diberi perhatian kepada mereka.

Malahan di dalam mana-mana masyarakat juga golongan fakir miskin, jiran tetangga samada lelaki atau perempuan juga perlu dihormati dan diberi perhatian. Begitu juga hak hmaba sahaya yang kini dikenali sebagai para pekerja dan sebagainya hendaklah diberi perhatian berkaitan dengan kebajikan dan amanah.

Kesemua hak-hak tersebut hendaklah dimuhasabah setiap hari oleh setiap muslim agar dihari akhirat kelak kita tidak dituntut oleh golongan-golongan tersebut.

Rabu, 4 November 2009

Marhalah dari jalan dakwah


Permulaan dakwah Islam di zaman Rasulullah saw, Islam telah menjadi asing dan dagang dan jahiliah terus berleluasa. Pendukung-pendukung dakwah ditindas, dikotak-katikan dan dikepung dari setiap penjuru untuk dihancur-leburkan. Musuh-musuh dakwah Islam dipimpin oleh golongan musyrikin di Semenanjung Tanah Arab, penyembah api di Parsi dan kerajaan Romawi bersama Yahudi.

Musuh-musuh dakwah Islam hari ini di pimpin oleh golongan kristian dan zionis yang sekular. Jahiliah moden ini juga disertai oleh boneka-boneka dikalangan muslimin yang telah diracuni hati dan fikiran mereka. Malah mereka ini lebih kejam dan lebih sesat dari jahiliah di zaman permulaan dakwah Islam di zaman Rasulullah saw.

Ini semua memberi peringatan bahawa muslimin di zaman Nabi Muhammad saw sentiasa bertahan dan bersabar sehingga Allah swt memberi pertolongan kepada mereka dengan menghina para pendukung syirik,kufur dan jahiliah serta mengalahkan mereka. Lalu berkibarlah dan berkuasalah kalam Allah dan turun dan lemahlah kalimah kufur.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails