Selamat Datang

Rabu, 30 Jun 2010

CARA BARU NAK TAKUTKAN PR


SPRM panggil dua Adun PKR: Satu serangan baru
Harakahdaily

SHAH ALAM, 30 Jun: Kerajaan negeri Selangor menyifatkan langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil dua Adun PKR Selangor untuk memberikan keterangan sebagai satu lagi serangan baru kepada mereka.

Pengarah Penerangan kerajaan negeri Selangor yang baru dilantik, Badrul Amin Baharom dalam kenyataannya berkata, SPRM telah mengeluarkan notis pemeriksaan kepada dua orang ADUN Pakatan Rakyat Selangor untuk hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM, Putrajaya esok.

Surat dikeluarkan kepada ADUN Batu Caves Amirudin Shari dan ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafie pada Isnin lalu mengarahkan kedua-dua mereka untuk bantu siasat di bawah kesalahan 17(A) Akta SPRM.

"Kami yakin langkah SPRM ini ketika spekulasi berkenaan empat ADUN Parti Keadilan Rakyat akan meninggalkan parti baru-baru ini merupakan satu lagi serangan baru daripada siri percubaan untuk menjatuhkan pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Kami juga tidak menyangkal kemungkinan SPRM dipergunakan untuk menjayakan agenda Umno-Barisan Nasional merampas kuasa pentadbiran Selangor, sepertimana berlaku dalam insiden rampasan kuasa Kerajaan Negeri Perak pada tahun 2009.

"Kami menggesa SRPM professional dalam menjalankan tugas dengan turut menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Barisan Nasional yang terang-terang melakukan rasuah seperti bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Badrul, kedua-dua ADUN itu akan hadir bersama peguam masing-masing ke Pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 3 petang esok (1 Julai) untuk memberi kerjasama yang sewajarnya kepada pihak SPRM.

INI KERJA MEREKA RUPANYA.



Umno Putera keringkan wang Felda
http://cetusan-hati.blogspot.com/

Saya boleh membantu menjelaskan, sebahagian, bagaimana ceritanya rizab tunai Felda dikeringkan.

Sejumlah setengah billion, (RM 512 juta) dibelanjakan melalui projek-projek (tak perlu dan di luar tugas Felda) yang disiapkan oleh firma arkitek yang sama.

Firma arkitek diterajui seorang Ketua Pemuda Umno Bahagian di Terengganu ini sudah pasti ada hubungan kekeluargaan yang rapat dengan tokoh dari Terengganu juga yang memayungi Felda.

Kasih sayang kekeluargaan mereka diluaskan dengan mencari jalan bersama bagaimana wang Felda boleh 'diuruskan'. Jumlahnya bukan sedikit, demi warga Felda tercinta....

Lantaran itu, projek bukan bidang tugas Felda sama sekali, turut dibiayai oleh Felda atas sifat pemurahnya. Seperti Kolej Komuniti di Terengganu (RM 18 juta) dan Sabah (RM 22 juta), Menaik Taraf Bekalan Air Di Pahang (RM 200 juta) dan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (RM 120 juta).

Apa kena mengena Mara dan Felda? Kos Maktab ini ialah RM 120 juta dan Felda dengan segala senang hatinya membiayai sepenuhnya. Mungkin kerana wang tunainya terlalu banyak, Felda berbesar hati membiayai projek bukan bidang tugasnya sekalipun.

Kononnya pula Felda sudah memasuki alaf moden dan untuk itu, bentuk impian Felda akan datang dibina dengan ciri-ciri peneroka Felda masa depan. Ia dipanggil Feldajaya.

Rumah bungalow mewah berharga mahal, rumah kedai dan lain-lain ciri bandar baru dalam satu kawasan 'masa depan' di bina. Setakat ini, empat Feldajaya telah dibangunkan (Mempaga, Trolak, Serting dan Cini) dengan reka bentuk oleh firma arkitek yang sama. Setakat ini, kosnya ialah RM 152 juta.

Samada rumah kedai dan bungalow ini laku dijual atau tidak, Felda tidak peduli sangat. Yang penting, itulah rumah peneroka masa depan Felda!

Asal dikata moden, wang habis tak mengapa. Itulah bagusnya bila ada wang melimpah.

RM setengah billion oleh firma arkitek bertuah ini.

Sebelum ini, saya telah tunjukkan, RM 800 juta pelaburan Felda di US dan Kanada. Pegawai Felda tak sampai setengah dozen yang membeku dek kedinginan di Quebec di musim sejuk, barangkali ada cerita boleh dikongsi dengan kami di Malaysia.

Maknanya, di sini sahaja, saya telah membantu Felda menjelaskan bagaimana sebanyak RM 1.3 billion rizab tunai Felda dibelanjakan!

Selebihnya, Felda sendiri boleh tolong jelaskan.....

Kalau Felda tak ada masa untuk jelaskan untuk tunjukkan pengurusannya telus dan amanah warga Felda menjadi taruhannya, saya tak ada masalah untuk jelaskan sedikit demi sedikit.

Datuk Paduka Husam Musa,
Exco Kerajaan Kelantan.

Selasa, 29 Jun 2010

TINDAKAN YANG WAJAR


Pakatan lantik penasihat undang-undang sendiri
Jun 29, 10 4:28pm


Negeri-negeri Pakatan Rakyat akan melantik penasihat undang-undang mereka sendiri dan memberhentikan amalan sekarang yang mana jawatan berkenaan diisi oleh perwakilan daripada Pejabat Peguam Negara.

Pada sid
ang media oleh pemimpin Pakatan di parlimen, hari ini, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu perlu berikutan 'kecuaian' oleh penasihat undang-undang yang dilantik oleh kerajaan persekutuan.

"Kita akan mencadangkan negeri-negeri Pakatan supaya melantik sendiri peguam mereka sebagai penasihat undang-undang,” kata Anwar.

"Ini kerana pejabat peguam negara tidak berkecuali. Mereka mewakili kepentingan kerajaan Umno-BN. Ini menyebabkan banyak masalah kepada pentadbiran negeri-negeri, sebagai contoh di Kelantan seperti yang dijelaskan oleh exconya hari ini,” katanya.

Bagaimanapun Anwar tidak mengulas lanjut masalah yang dihadapi di Kelantan itu.

Penasihat undang-undang di negeri-negeri Pakatan Rakyat sejak pilihan raya umum 2008 seringkali bertindak dan membuat keputusan yang bercanggah dengan kerajaan negeri. Paling ketara, ia berlaku di Perak sebelum kerajaan negeri Pakatan ditumbangkan.

Di Selangor pula, penasihat undang-undang negeri didakwa melenggahkan hasrat kerajaan negeri menjadikan dokumen konsei perjanjian air sebagai dokumen awam.

Mengulas laporan Berita Harian semalam yang memetik kenyataan Pemuda Umno bahawa nisbah kaum Melayu yang mendaftar sebagai pengundi berbanding Cina adalah 40:1, Anwar berkata, Suruhanjaya pilihan Raya (SPR) seharusnya mengeluarkan angka tepat dan tidak menimbulkan rasa takut di kalangan masyarakat.

Beliau berkata, dalam keghairahan SPR menyokong kenyataan Pemuda Umno, SPR seakan-akan lupa bahawa laporan sebegini hanya memperlihatkan kegagalan badan itu dalam menarik minat rakyat yang layak untuk mendaftar sebagai pengundi.

"Ini memperlihatkan kegagalan SPR dalam menjalankan tugas mereka dengan berkesan," kata Anwar.

Anwar sebulat suara menyokong pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengesyorkan SPR supaya melaksanakan daftar pengundi secara automatik.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula mencabar SPR untuk memberikan angka yang sebenar bagi membuktikan apa yang diperkatakan Umno adalah benar.

SIAPA YANG BENAR !!!


Hosni ulama tak diundang Umno'
Jimadie Shah Othman
Jun 28, 10
7:35pm
Ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahaya - antara 40 ahli agama yang menyertai parti itu - menafikan terdapat antara mereka yang 'diperdaya' bagi menghadiri majlis serahan borang keahlian kepada Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Menurut Fathul, pihak mereka, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai pengelola majlis itu tidak pernah mengundang Hosni Mubarak Abdul Hamid bagi tujuan itu.

"Beliau (Hosni) tiada dalam senarai kami," katanya mengulas laporan Harakahdaily hari ini yang memetik Hosni sebagai berkata beliau dan rakan-rakannya dijemput hadir untuk bertemu Najib dan bukannya hendak menyertai Umno.

Akhbar web PAS itu juga melaporkan Hosni, 27, mendakwa beliau dan tiga lagi ulama lepasan universiti di Jordan diminta beratur menyambut Najib sebelum gambar mereka diambil bertalu-talu oleh jurugambar.

"Kemudian diumumkan kepada media bahawa inilah 40 ulama muda yang menyertai Umno, benar ada yang menyertai Umno tetapi ramai yang tertipu melihat kepada reaksi mereka yang asyik menunduk sahaja," Hosni dipetik sebagai berkata dalam sebuah ceramah.

Fathul pula ketika dihubungi Malaysiakini hari ini berkata pihaknya masih hairan dengan kehadiran Hosni dan rakan-rakannya.

"Kami tidak tahu siapa jemput," jelas anak bekas mufti Perlis itu.

Katanya, penafian pihaknya hari ini "bukanlah soal masuk Umno atau tidak" tetapi sebagai ulama, Hosni tidak harus membuat kenyataan sebegitu.

"Kami juga mahu nama Shahidan dibersihkan (daripada tuduhan itu)," kata anak kepada Mat Jaya Hussin yang berkhidmat sebagai mufti dalam era kepimpinan Shahidan di Perlis.

Mempersoalkan tindakan Hosni itu, Fahtul berkata: "Kalau ditipu, kenapa tidak balik terus? Kami tengok selepas program masuk dok makan."

Ditanya tentang dakwaan yang dilaporkan dalam akhbar sama bahawa seorang lagi ulama Wahab Abdullah yang mendakwa turut 'diperangkap', Fahtul bagaimanapun tidak tahu tentang status perkara itu.

"Yang ini saya kena semak dahulu," kata Fathul, ulama lulusan pengajian hadis daripada Jordan dan Madinah.

Ahad, 27 Jun 2010

SYUKUR, MASIH DI JALAN YANG BETUL.


Jumpa Najib, bukan semua masuk Umno
Bashir Ishak @ Harakah

KANGAR, 27 Jun: Walaupun begitu gah Umno mencanangkan di media massa bahawa seramai 40 orang ulama muda telah menyertai parti itu kelmarin, namun maklumat yang diperolehi hanya sebahagian sahaja yang benar-benar berbuat demikian.

Sebaliknya pula, ada sebahagian daripada mereka yang berada di dalam majlis tersebut telah terpedaya dengan mainan politik bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menurut Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman, ada beberapa orang yang datang dari Perlis untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tujuan yang lain, sebaliknya telah terperangkap dengan sandiwara politik mainan Shahidan.

"Shahidan telah mengambil kesempatan dengan kehadiran mereka untuk tujuan politiknya. Mereka mewakili Persatuan Al-Islah Perlis yang pergi untuk berjumpa Najib bagi membersihkan nama persatuan mereka yang turut dikaitkan dengan isu terkini iaitu Jemaah Islamiah (JI) dan keganasan.

"Salah seorang mereka adalah tenaga pengajar di sekolah kita di Jejawi, Ustaz Wahab Abdullah. Dia bukan pergi serah borang Umno, tapi untuk membersihkan nama persatuannya dari dilabel sebagai pengganas. Maklumat yang kita dapat bukan sampai 40 orang pun yang menyertai Umno," jelasnya dalam majlis ceramah di Markas Tarbiah PAS Padang Besar di Santan dekat sini malam tadi.

Ustaz Wahab adalah tenaga pengajar di Al-Madrasah Ad-Dinniah Al-Islamiyah (MADI), salah sebuah sekolah kelolaan PAS Perlis.

Sabtu, 26 Jun 2010

IKTIBAR DAN AMALAN SEWAKTU GERHANA BULAN




Selaku seorang Muslim, apatah lagi yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita seharusnya peka dengan fenomena alam ini. Seterusnya berusaha memahami iktibar dan pengajaran di sebalik setiap yang berlaku.

Ketahuilah, bahawa kejadian gerhana ini dijadikan oleh Allah bagi menakutkan hamba-hamba-Nya dan mengingatkan mereka tentang kebesaran-Nya.

Di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi Bakrah r.a, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan itu merupakan dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. (Matahari dan bulan itu) tidak menjadi gerhana kerana kematian seseorang ataupun kelahiran seseorang, tetapi Allah menakutkan hamba-hamba-Nya dengan kedua-duanya.“

Allah mengingatkan melalui firman-Nya yang bermaksud: Dan biasanya Kami tidak menghantar turun tanda-tanda melainkan untuk menjadi amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau mereka tidak beriman). (al-Israk: 59)

Adalah wajar kejadian gerhana dianggap sebagai suatu peristiwa yang menakutkan, kerana tiada siapa pun yang mengetahui apa yang Allah kehendaki daripada kejadian gerhana ini.

Namun, cukuplah sabda Rasulullah SAW dalam khutbah gerhananya ini mengingatkan kita tentang kehebatan Allah dan peringatan-Nya yang tersirat di sebalik peristiwa ini: “Wahai umat Muhammad! Demi Allah! Sekiranya kalian mengetahui apa yang saya ketahui, sudah pasti kalian akan ketawa sedikit dan banyak menangis.”

Malangnya, betapa ramai umat Islam pada zaman ini yang memandang remeh dan tidak gentar bertemu dengan kejadian gerhana ini. Sedangkan ia adalah saat-saat yang begitu mencemaskan penghulu sekelian manusia, Nabi Muhammad SAW.

Berapa ramai yang leka dan asyik dengan pekerjaannya, sedangkan para salafussoleh begitu cemas dan gentar. Mereka berkejaran dan bersegera mengerjakan solat dan berdoa apabila menyaksikan fenomena ini sehinggalah kejadian yang mencemaskan ini berakhir.

Diriwayatkan, bahawa seorang Ahli ‘Arifin bernama Tawus, apabila melihat kejadian gerhana matahari, beliau menangis ketakutan hingga hampir-hampir menemui maut. Beliau berkata, “Matahari itu lebih takutkan Allah daripada kita.”

Ikutan kita yang agung, Rasulullah SAW gementar dan luruh hatinya semasa melihat kejadian ini. Terdapat banyak hadis yang meriwayatkan tentang reaksi cemas Baginda tatkala berlaku gerhana matahari dan bulan.

Di dalam Sahih Muslim diriwayatkan, ketika berlaku gerhana matahari pada zaman Rasulullah SAW, terkejut dan bingkas bangun ingin mengambil selendangnya untuk dipakai tetapi terambil baju besinya kerana fikiran dan hatinya yang sibuk dan cemas memikirkan kejadian gerhana yang sedang berlaku.

Baginda SAW menjadi begitu cemas kerana takut sekiranya Allah menurunkan bala atau mengisyaratkan akan berlakunya kiamat berikutan gerhana tersebut.

Kebimbangan Nabi SAW ini menyebabkan Baginda memanjangkan doanya dan mencucurkan air mata, lebih-lebih lagi memikirkan nasib umatnya.

Hal ini disebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam al Syamail al Muhammadiah, Abdullah ibn ‘Amru r.a berkata: “Pada masa Rasulullah SAW (hidup), pernah terjadi gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW mengerjakan solat hinggakan seolah-olah Baginda SAW tidak akan rukuk (kerana terlalu lama berdiri). Kemudian Baginda SAW rukuk, seolah-olah Baginda SAW tidak akan mengangkat kepalanya.

“Kemudian Baginda SAW mengangkat kepalanya, seolah-olah Baginda SAW tidak akan sujud. Kemudian Baginda SAW sujud, seolah-olah Baginda SAW tidak akan mengangkat kepalanya (dari sujud). Kemudian Baginda SAW menghembuskan nafasnya dan menangis seraya berdoa:

“Wahai Tuhanku! Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku, bahawa Engkau tidak akan mengazab mereka selagi aku berada bersama mereka. Bukankah Engkau telah berjanji kepadaku bahawa Engkau tidak akan menyiksa mereka, selagi mereka memohon keampunan, sedangkan kami memohon keampunan kepada-Mu”.

Apabila Baginda SAW selesai melakukan solat dua rakaat, matahari terang kembali. Baginda SAW pun berdiri, lalu mengucapkan pujian kepada Allah. Kemudian Baginda SAW pun bersabda, “Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya tidak akan gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahiran seseorang. Apabila terjadi gerhana, bersegeralah kalian berzikir mengingati Allah”.

Sesungguhnya Baginda SAW tidak mengalirkan air mata kerana dirinya sendiri, tetapi Baginda mengalirkan air mata semata-mata kerana mengenang dan kasihkan umatnya serta bimbang Allah akan mengazab mereka disebabkan dosa dan maksiat yang mereka lakukan.

Lihatlah betapa dalam dan suci kasih Rasulullah SAW terhadap umatnya. Walaupun berada dalam keadaan cemas dan ketakutan, Baginda SAW tidak pernah melupakan kita.

Justeru, renungilah, apakah yang kita lakukan demi Baginda SAW? Apakah pengorbanan yang pernah kita lakukan demi mempertahankan agamanya yang tercinta?

Allah SWT dengan segala keperkasaan dan keagungan-Nya, mampu menjadikan atau tidak menjadikan kejadian gerhana matahari dan bulan. Namun, dari perspektif ilmu saintifik yang dicanang oleh sebahagian saintis moden mengatakan semua itu berlaku secara nature yang mesti berlaku mengikut kiraan ilmu bintang yang mereka cipta.

Semuanya itu tidak diyakini dengan pasti, malah berdasarkan sangkaan semata-mata, menurut agakan dan ukuran fikiran mereka yang masih rendah. Sedangkan Nabi SAW menyebut bahawa matahari dan bulan adalah tanda kebesaran Allah dan peristiwa gerhana dijadikan oleh Allah sebagai menakutkan dan mengingatkan hamba-Nya.

Hikmah di sebalik kejadian gerhana

Terlalu banyak hikmah tersirat di sebalik kejadian ini sebagaimana yang banyak disebut oleh ulama. Di antaranya ialah:

Menzahirkan penguasaan dan pentadbiran Allah terhadap matahari dan bulan.

Menerangkan kejelikan dan kebodohan orang-orang yang menyembah matahari dan bulan. Firman Allah yang maksud-Nya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah kejadian malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, sekiranya benar kamu hanya beribadat kepada Allah. (al-Fussilat: 37)

Menggementarkan hati orang-orang yang berasa tenang dengan kelalaian dan dosa-dosa yang dilakukannya.

Memperlihatkan kepada manusia contoh-contoh peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat sebagaimana firman Allah: Maka (hari Kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), dan bulan hilang cahayanya, dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama. (al Qiyamah 7-9)

Menggambarkan Allah mungkin akan mengazab orang yang tidak berdosa.

Merenung hikmah-hikmah ini, terlintas di fikiran saya, apakah kejadian gerhana matahari yang Allah datangkan sejurus selepas sambutan Israk dan Mikraj merupakan peringatan daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya yang masih lagi lalai dan belum juga insaf dengan segala maksiat yang dilakukan sama ada maksiat zahir atau batin.

Sekalipun telah diperingatkan tentang kekuasaan-Nya melalui peristiwa Israk dan Mikraj?

Apakah telah hampir masanya untuk Allah menunjukkan kehebatan dan kekuasaan-Nya yang sebenar? Moga-moga Allah menggolongkan kita di antara hamba-Nya yang sentiasa sedar dan terselamat daripada kemurkaan-Nya

Amalan sunat semasa gerhana

Menerusi sekian banyak hadis berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:

Solat dan berdoa. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi”.

Berzikir dan beristighfar. Abu Musa berkata: “Telah berlaku gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW berdiri dalam keadaan cemas kerana bimbang akan berlaku Kiamat. Lalu Baginda SAW tergesa-gesa pergi ke masjid dan solat dengan berdiri yang terlalu panjang serta rukuk dan sujud yang panjang, yang tidak pernah aku lihat Baginda SAW melakukan seperti itu.

Berlindung daripada azab kubur. Diriwayatkan oleh Aisyah ra: “Setelah Nabi SAW selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda SAW memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur.”

Bersedekah. Sabda Rasulullah SAW: “Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, mengerjakan solat dan bersedekah.”

Memerdekakan hamba. Asma’ ra berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. “Dalam satu riwayat: “Gerhana bulan.”

Inilah sunnah Baginda SAW ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari.

Marilah bersama-sama kita menghidupkan sunnah Nabi kita SAW kerana inilah jalan hakiki menuju kesejahteraan di dunia dan akhirat. Tinggalkanlah sunnah ahli bidaah kerana inilah jalan yang membawa kecelakaan di dunia dan akhirat.

Jumaat, 25 Jun 2010

KESIAN MEREKA, TERSALAH PILIH JALAN


40 ulama muda sertai Umno
Abdul Rahim Sabri
Jun 25, 10
9:31pm
Anak bekas mufti Perlis - Fathul Bari Mat Jahaya adalah antara 40 ulama muda yang menyertai umno malam ini.

Borang kemasukan kumpulan pertama itu, telah diserahkan oleh ketua kumpulan tersebut, Fadlan Mohd Othman kepada Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di PWTC malam ini.

Fadlan merupakan pensyarah fakulti pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Seramai 16 daripada mereka hadir malam ini.

Manakala dalam sidang media yang diadakan selepas penyerahan borang tersebut, ahli MT Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidi , yang diura-urakan akan menyertai parti itu akan berbuat demikian "bila sampai masanya".

"(Kemasukan dalam Umno) ini berperingkat-peringkat. Dalam Umno ini ada ahli Umno, dan ada penyokong Umno... Melihat dari aspek tersebut, saya rasa (Asri) tak ada masalah. Ini peringkat pertama.

"Beliau (Asri) akan masuk dalam kumpulan yang kedua," katanya dalam sidang media itu.

ESOK GERHANA BULAN, INGATLAH KEBESARAN ALLAH


Gerhana bulan separa Sabtu ini
2010/06/23

KUALA LUMPUR: Orang ramai berpeluang menyaksikan gerhana bulan separa antara jam 7.22 malam hingga 10.20 malam Sabtu ini.

Gerhana bulan itu akan bermula 4.57 petang tetapi orang ramai tidak dapat melihatnya disebabkan bayangan penumbra Bumi yang kurang gelap dan bulan belum terbit dari ufuk

Ia hanya boleh dilihat apabila bulan mulai terbit pada 7.22 malam, kata kenyataan Bahagian Komunikasi Korporat Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) di sini hari ini.

Pada amnya, gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa sama bulan melintasi bayang bumi.

Kali terakhir gerhana bulan separa berlaku 1 Januari lalu.

ANGKASA akan menyediakan beberapa teleskop untuk orang awam menyaksikan gerhana bulan separa secara percuma dari jam 8 malam hingga 10 malam di Planetarium Negara.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Planetarium Negara di talian 0322734301/4303/5484 atau layari laman web www.angkasa.gov.my/planetarium. - BERNAMA

Khamis, 24 Jun 2010

RAKYAT UNTUNG JIKA ADA PRK

Najib: K'jaan belanja RM37.7 juta di Sibu
Jun 23, 10 6:53pm
Sejumlah RM37.7 juta dana dibelanjakan pada pilihan raya kecil Sibu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat hari ini.

“Bagi pilihan raya kecil Sibu, kerajaan meluluskan 107 program atau rancangan yang bernilai RM37.7 juta untuk dilaksanakan di seluruh kawasan parlimen itu,” kata Najib.

Dana itu untuk dibelanjakan bagi infrastruktur fizikal, sumbangan dan bantuan tunai sertai program sosial.

Menurut carta yang dibekalkan oleh Najib sejumlah RM28.7 juta dibelanjakan bagi sumbangan dan bantuan tunai semata-mata.

“Kerajaan tidak pernah menjanjikan program atau projek kepada rakyat semasa kempen pilihan raya di seluruh negara termasuk di Sibu,” katanya.

“Program dan projek yang dilaksanakan semasa pilihan raya kecil dirancang oleh kerajaan terlebih dahulu sebelum pilihan raya kecil tersebut diadakan sama seperti di kawasan parlimen dan dewan undangan ngeri (DUN) lain di seluruh negara.”

Najib menjawap soalan daripada Wong Ho Leng (DAP-Sibu), yang berjaya merampas kerusi Sibu daripada BN dengan majoriti tipis pada pilihan raya kecil 16 Mei lalu.

Bercakap kepada wartawan di lobi Parlimen, Wong membidas kerajaan kerana gagal membekalkan senarai pecahan penuh berhubung bagaimana wang berkenaan disalurkan.

Katanya, 66 sumbangan kewangan amat dicurigai dan kerajaan sepatutnya memberi penjelasan terperinci.

“Kita tidak tahu apa 66 barangan ini. Adakah ia termasuk RM5 juta yang dijanjikan? Adakah ia termasuk RM18 juta yang diberikan kepada sekolah vernakular? Bagaimana pula wang untuk gereja?

“Ada yang disalurkan ke kategori 'fizikal' dan 'program'. Rakyat berhak tahu mengenai pecahan perbelanjaan itu,” katanya.

“Yang nyata, dana RM37 juta ini menunjukkan bahawa BN akan hanya berbelanja semasa pilihan raya kecil. Justeru, tidak menghairankan rakyat suka pilihan raya kecil.”

Najib sebelum ini dikecam selepas menjanjikan RM5 juta projek tebatan banjir kepada pengundi di Rajak Park dengan syarat BN memenangi pilihan raya itu.

Selasa, 22 Jun 2010

BANYAKNYA WANG NEGARA HABIS?

Mindef: Kontrak Scorpene bernilai RM6.7 bilion
Aidila Razak
Jun 22, 10
7:52pm
Kerajaan membayar sejumlah 1.341 bilion euro (kira-kira RM6.7 bilion) untuk dua kapal selam Scorpene yang pembeliannya kini disiasat oleh mahkamah di Perancis kerana dipercayai mempunyai unsur rasuah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi mendedahkan jumlah itu dalam jawapan bertulisnya kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli parlimen Batu, Tian Chua di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya lagi, sejumlah RM600 juta dibayar untuk perkhidmatan penyelenggaran bagi tempoh enam tahun.

“Kontrak penyelenggaraan masih dibincangkan dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” kata Zahid.

Daripada jumlah itu, 114.96 juta euro dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd, yang dimiliki oleh Abdul Razak Baginda, yang mempunyai kaitan rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bayaran untuk “penyelarasan dan perkhidmatan bantuan” yang dibekalkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia, termasuk untuk latihan mewakili 10 peratus daripada harga dua kapal selam itu, iaitu sebanyak 969.15 juta euro (RM4.85 billion).

Chua dalam soalannya juga meminta menteri menteri pertahanan memberikan butiran perbelanjaan perbelanjaan kerajaan membeli dua kapal selam Scorpene dan juga butiran pembelian peluru berpandu kapal selam dari Itali dan Perancis.

Menjawab soalan kedua itu, Zahid mendedahkan kerajaan membayar 219.265 juta euro (RM1.1 bilion) for peluru berpandu berkenaan yang dijangka akan dibekalkan menjelang tahun 2013.

Isnin, 21 Jun 2010

BETUL KE DR MAZA NAK MASUK UMNO

Beberapa pemimpin Umno telah menemui Dr Mohd Asri Zainul Abidin bagi melamar bekas mufti Perlis itu bagi menyertai parti mereka.

Menurut sumber-sumber yang rapat dengannya, pertemuan melibatkan beberapa pemimpin kanan Umno itu telah beberapa kali berlangsung.

"Beberapa lagi siri pertemuan akan diadakan selepas ini," kata sumber-sumber yang maklum tentang usaha Umno itu.

Sabtu lalu, akhbar web Umno Online melaporkan Dr Mohd Asri bersama 100 ulama berkelulusan tinggi, termasuk PhD akan menyertai Umno Jumaat depan.

Memetik setiausaha kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusof, Dr Mohd Asri dilaporkan akan menyertai Umno menerusi cawangan dataran Merdeka dalam bahagian Bukit Bintang.

Menulis dalam blognya selepas itu Dr Mohd Asri bagaimanapun menjelaskan belum membuat apa-apa keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, sumber-sumber itu bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut berhubung pertemuan itu.

Buat masa ini, tambahnya, belum jelas status rundingan itu sama ada Dr Mohd Asri benar-benar akan menyertai parti Melayu itu pada Jumaat ini.

Difahamkan juga, selain bantahan bertubi-tubi terhadap ura-ura penyertaan Dr Mohd Asri itu, ulama muda itu turut menerima sokongan daripada sebahagian penyokongnya yang ingin turut sama mengikuti jejak-langkahnya.

Jika perkara tersebut benar-benar menjadi kenyataan, penyertaan ulama kontroversi itu bakal memberikan tamparan hebat kepada pembangkang yang sebelum ini turut berusaha melamar beliau.

Sabtu, 19 Jun 2010

Kenapa syarikat Felda ditutup selepas Najib ambil alih


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Jun: Datuk Zaid Ibrahim meminta kerajaan menjelaskan berhubung beberapa syarikat berkaitan Felda yang telah ditutup dalam tempoh lima tahun terakhir semenjak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil alih Felda.

"Syarikat-syarikat berikut telah ditutup: Felda Karet, Sutera Jaya dan Felda Herbal. Harus ada penjelasan terperinci kenapa ianya ditutup dan apakah hal ini disebabkan kelemahan pengurusan," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR mendakwa penjelasan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berhubung kejatuhan sumber kewangan Felda tidak jelas dan boleh dipertikai.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, kenyataan Datuk Ahmad Maslan Ahmad di Dewan Rakyat Rabu lalu juga tidak menyentuh keuntungan pelaburan yang diperolehi Felda.

"Dia gagal untuk menjelaskan nilai keuntungan Felda melalui pelaburan selain menggunakan wang tersebut untuk 'tujuan kesejahteraan', seperti yang dinyatakan," katanya.

Felda mengalami kejatuhan sumber kewangan sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun.

Rabu lalu, Ahmad ketika menjawab soalan di parlimen memberitahu, kejatuhan nilai kewangan Felda dari RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada 2009 adalah kerana digunakan untuk tujuan kebajikan.

RM2 bilion, jelasnya untuk penanaman semula tanaman, RM603 juta untuk pinjaman rumah tanpa faedah, RM253 juta bagi tabung pembasmian kemiskinan Sabah dan RM662 juta diperuntukkan untuk pembangunan ibupejabat baru Felda.

Menurut Zaid, jumlah RM2 bilion untuk penanaman semula adalah besar dan Ahmad sewajarnya memberi penjelasan lebih terperinci.

"Timbalan Menteri harus memperincikan bagaimana RM2 bilion diperuntukkan termasuk jumlah peneroka yang terlibat, luas kawasan dan adakah ianya termasuk wang pendapatan penduhuluan untuk para penduduk dalam program ini dan apakah ianya menggunakan kaedah penanaman yang standard.

Beliau juga turut mempersoal bagaimana RM253 juta yang dinyatakan oleh timbalan menteri untuk dana pemberantasan kemiskinan Sabah.

"Adakah wang tersebut disalurkan terus kepada penduduk miskin, atau apakah itu disalurkan kepada kerajaan negeri Sabah yang kekurangan wang?

"Jika ini dianggap 'kesejahteraan masyarakat', kita harus bertanya apakah tugas wajib Felda dan adakah termasuk membantu kerajaan BN yang kekurangan wang," katanya lagi.

Berhubung ibu pejabat baru Felda di Taman Platinum pula, Zaid mempertikai mengapa Felda perlu membayar 40% deposit (berbanding asal 10%) kepada Naza TTDI untuk bangunan baru itu yang bernilai RM662 juta.

Turut dituntut penjelasan berhubung jumlah sejumlah RM4 juta ke RM5 juta dihabiskan untuk kemudahan Felda Football Club.

"Saya menyeru Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak untuk melepaskan Felda dan membiarkan organisasi profesional ini dikendalikan secara telus," katanya

Jumaat, 18 Jun 2010

SOKONG NEGERI PAKATAN UMUM AWAL TARIKH PILIHANRAYA NEGERI KE 13

Pakatan disaran umum awal tarikh p'raya negeri
Abdul Rahim Sabri
Jun 18, 10
12:39pm
Kerajaan negeri Pakatan Rakyat disarankan supaya mengumumkan tarikh pilihan raya negeri lebih awal untuk "menghapuskan monopoli penentuan tarikh pilihan raya" dan "ia merupakan tindakan demokratik untuk kesaksamaan kepada semua pihak".

"Sebelum (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) membubarkan Parlimen, kita mengumumkan tarikh pilihan raya kita sekarang," tulis exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Muda dalam blognya.

"Ini bermakna, tarikh pilihan raya DUN di empat negeri itu berbeza dari tarikh pilihanraya Parlimen jika sekiranya Najib memilih mengadakan pilihanraya berbeza dari tarikh yang telah kita umumkan.

"Mereka bubarkan Parlimen tetapi kita tidak bubarkan DUN sampai tarikh yang telah kita isytiharkan," tulis Husam yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau mengulas kenyataan Najib kelmarin bahawa kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen berdasarkan pendapat rakyat yang menyokong beliau dan tarikhnya "akan mengejutkan semua pihak".

Mengulas lanjut, Husam berkata, pilihanraya DUN dan Parlimen tidak akan berjalan serentak, kecuali kerajaan pusat menjadualkan sama dengan jadual di negeri Pakatan Rakyat.

"Ada dua kemungkinan, pertama, mereka ikut tarikh kita atau mereka berunding bersama untuk menetukan tarikh lebih awal dan terbuka seperti yang selama ini kita kehendaki. Ini bermakna, tarikh pilihanraya bukan lagi teka-teki dan memberikan kelebihan kepada mereka semata-mata.

"Atau, mereka terus berdegil dan membubarkan Parlimen tak bersamaan tarikh dengan kita," tulisnya dalam blog yang ditulis semalam.

"Namun, kita telah mulakan satu precedent (duluan) baru iaitu tarikh pilihan raya ditetapkan secara terbuka. Bukan bermisteri dengannya. Bukan pula dijadikan senjata yang menguntungkan parti pemerintah semata-mata".

Husam yang juga ADUN Salor berkata pilihan tarikh pilihan raya boleh dibuat "atas berbagai asas".

"Jika nak genapkan lima tahun, bermakna DUN empat negeri Pakatan hanya akan dibubarkan awal 2013. Jika empat tahun nak digunakan sebagai asas, DUN boleh dibubarkan pada awal 2012.

"Akhir 2012 boleh juga dipilih untuk memberikan masa yang cukup untuk negeri ini ditadbir tanpa terlalu banyak politiking pilihanraya.

"Paling penting, Najib perlu tahu, mengejut atau tidak, bukan beliau seorang sahaja berhak untuk tentukan," katanya.

UKURAN KASIH SAYANG ANAK KEPADA IBU BAPA


Ibu bapa merupakan orang yang perlu diberi perhatian dan sangat penting kepada anak-anak. Mereka telah memberi kasih sayang dan melakukan pengorbanan yang besar kepada kehidupan anak-anak sejak dari kecil hinggalah menjadi dewasa. Anak-anak dididik dan dipelihara serta dijaga dengan penuh tanggungjawab oleh kedua ibu bapa.

Ketika anak dalam kandungan ibu, betapa susah payah akan ditanggung oleh ibu dalam waktu yang panjang kira-kira Sembilan bulan lamanya. Kemana sahaja ibu pergi, pasti dibawa bersama anak yang dikandungnya itu samada sewaktu makan, tidur, membuat keja-kerja dan sebagainya. Kesusahan dan kepayahan ditanggung oleh ibu dan menerima dengan redha kerana kasih sayang yang wujud dalam dirinya kepada anak yang dikandungnya itu.

Kesengsaraan dan kesakitan terjelma ketika hendak melahirkan anaknya. Setiap nafas yang keluar itu bagaikan seperti menunggu masa tercabutnya nyawa dari jasad. Begitulah keadaan ibu apabila melahirkan anak. Namun kesakitan tersebut hilang setelah melihat anak yang dikasihi berada didepan mata. Bermulalah kerja ibu untuk menyusukan anak kecilnya dengan penuh kasih saying. Anak akan dipastikan membesar dengan sewajarnya. Suapan makanan, penjagaan dan kebersihan si anak menjadi tugas ibu yang berterusan sehinggalah anak menjadi dewasa.

Begitulah juga bapa merupakan orang yang bertanggungjawab mencari rezeki untuk kehidupan keluarganya. Semua pengorbanan yang dilakukan oleh ibu bapa ini tidak mengharapkan sebarang balasan dari anaknya. Apa yang penting ialah anaknya dapat membesar dengan sebaiknya.

Oleh itu sewajarnyalah sebagai seorang anak dapat membalas jasa ibu bapa apabila mereka ini telah lanjut usia. Penat lelah mereka selama ini haruslah disanjungi dan dihormati. Walaupun mereka tidak meminta dibalas tetapi sebagai anak yang soleh, kebaktian kepada ibu bapa merupakan antara perintah dari Allah kepada manusia. Bukan sahaja anak perlu membalas jasa tetapi juga hendaklah mengelakkan dari menjadi anak derhaka kepada ibu bapa.

Hati kedua ibu bapa hendaklah dijaga dan sudah dianggap sebagai anak derhaka jika berkata ohh kepada ibu bapa. Apatah lagi jika memaki hamun dan memukul ibu bapa sudah menjadi perbuatan yang sangat keji dan dikutuk oleh Allah.

Di dalam hadis, ada menyatakan kewajiban umat Islam adalah untuk melakukan solat pada waktunya, berbuat baik kepada ibu bapa dan berjuang dijalan Allah. Dapat diambil pengajaran bahawa mentaati ibu bapa lebih utama dari berjuang di jalan Allah ketika ibu bapa masih hidup dan memerlukan bantuan anak-anak.

Kebaikan yang dilakukan oleh anak akan diperolehi dan diterima oleh ibu bapa sama semasa masih hidup atau setelah mati. Dikatakan bahawa roh ibu bapa yang baik akan sentiasa melihat perbuatan dan amalan anak-anak mereka yang masih hidup di dunia. Jika kebaikan yang dilakukan oleh anak-anak maka mereka juga mendapat kebaikan tetapi jika kemaksiatan dilakukan maka roh mereka juga akan merasai kesakitan dan kesengsaraan.

Akhirnya sebagai anak, hendaklah kita melakukan amal-amal yang soleh agar kedua ibu bapa kita sentiasa mendapat kebaikan samada semasa mereka masih hidup atau telah mati. Inilah ukuran kasih sayang kita kepada mereka.

JAGA KESELAMATAN DIRI


Keselamatan diri lebih penting dari bola
Nur Wani Ahmat

“Bola, bola juga…jangan sebab bola perkara yang wajib kita tinggal”, masih saya ingat pesanan emak kepada anak-anak lelakinya ketika musim perlawanan Piala Dunia.

Di kesempatan ini saya ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar tidak menjadikan bola segala-galanya sehingga meninggalkan perkara wajib yang utama iaitu sembahyang. Ada yang meninggalkan sembahyang Subuh gara-gara berjaga malam menonton perlawanan Piala Dunia. Ada juga yang tidak sempat menunaikan sembahyang fardhu yang lain disebabkan terlalu khusyuk di hadapan televisyen menonton Piala Dunia.

Bukan setakat wajibnya sembahyang yang perlu ditunaikan tetapi ada juga yang meningggalkan peranan wajib mencari rezeki gara-gara bola. Ada yang sanggup ponteng kerja dan membeli cuti sakit akibat kurang tidur di sebelah malam. Semuanya sebab Piala Dunia yang hadir 4 tahun sekali.

Buat para lelaki yang bergelar ayah dan merupakan ketua rumahtangga, urusan mencari rezeki adalah wajib dan sekiranya kesempatan pada Piala Dunia ini disalah gunakan, maka di manakah datangnya keberkatan rezeki dalam kehidupan? Ada sesetengah antara kita yang merasakan bola lebih penting dari bercakap soal keberkatan mencari rezeki untuk keluarga tercinta.

Tidak salah menonton perlawanan bola sepak dan taksub dengan Piala Dunia sehingga ada antaranya yang tidak boleh tertinggal satu perlawanan sekalipun. Tetapi apa yang penting adalah tanggungjawab mencari nafkah lebih diutamakan dan tidak perlu diwujudkan sebarang alasan kepada majikan untuk tidak hadir ke tempat kerja ura-ura Piala Dunia.

Bila berlangsungnya Piala Dunia, ada sesetengah organisasi yang menjangkakan mengalami penurunan dari segi produktiviti tenaga kerja terutamanya industri perkilangan. Pekerja lebih suka bercerita tentang bola di tempat kerja dari bercerita tentang bagaimanakah strategi untuk meningkatkan prestasi syarikat.

Apa yang lebih merisaukan lagi ialah aspek keselamatan diri terutamanya buat pekerja industri yang mengendalikan jentera-jentera atau mesin-mesin yang mana risiko untuk berlakunya kemalangan industri adalah lebih tinggi apabila kurangnya penumpuan ketika bekerja. Tindakan yang tidak selamat dan keadaan diri yang mengantuk akibat berjaga malam serta kurang fokus merupakan beberapa faktor berlakunya kemalangan sama ada dalam perjalanan untuk ke tempat kerja mahupun di kawasan tempat kerja.

Justeru itu, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang bergelar pekerja supaya menjaga etika dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tugas dalam musim Piala Dunia ini. Jangan disebabkan bola, maka kita lupa akan segala-galanya dan ada yang sanggup hilang kerja, mempertaruhkan keselamatan diri gara-gara bola. Maka jangan kita gadaikan keselamatan di dunia dan keselamatan di akhirat hanya kerana Piala Dunia yang hadir hanya empat tahun sekali.

Nur Wani Ahmat,

Negeri Sembilan.

Rabu, 16 Jun 2010

TOK GURU TAK HADIR.


Karnival Kelantan: MB, Exco tidak akan hadir malam ini
Rizal Tahir
KOTA BHARU, 16 Jun: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama dengan Exco-Exco dan pegawai-pegawai kerajaan negeri tidak akan menghadiri majlis perasmian Karnival Kelantan Fiesta 2010 yang akan berlansung pada malam ini.

Ini kerana, pengurus acara berkenaan, Red Carpet Worldwide, didakwa telah melanggar dan tidak menghormati persetujuan yang diberikan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Demikian ditegaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan pada sidang media selepas mesyuarat Exco sebentar tadi.

Berikut adalah kenyataan beliau berhubung perkara itu.

Adalah dengan rasminya melalui sidang akhbar yang disertai oleh pengerusi-pengerusi bersama Kelantan Fiesta 2010, Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Datuk Mejar (B) Mohd Anizam Abd Rahman, Dr Fadzli Hassan dan Abd Fatah Mahmood menyatakan bahawa pihak Kerajaan Negeri Kelantan melalui Persidangan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini memutuskan Kerajaan Negeri tidak terlibat dengan penganjuran Kelantan Fiesta atas sebab-sebab pengurus acara program tersebut telah meminggirkan kerajaan negeri dan dianggap menghina YAB Datuk Bentara Setia Menteri Besar Kelantan kerana dihalang daripada berucap.

Pihak istana juga telah mengesahkan hari ini bahawa Yang Maha Mulia Pemangku Raja tidak memperkenankan diri untuk berangkat merasmikan program tersebut.

Pihak pengurus acara telah didapati tidak menepati janji dengan menamakan pihak mereka sebagai penganjur dan hanya meletakkan kerajaan negeri sebagai pihak yang memberi kerjasama.

Selasa, 15 Jun 2010

YAHUDI LAGI....

Bank Rothschild Bertapak di Malaysia

oleh Ibnuyaacob


Setelah sekian lama membiarkan Malaysia dikuasai penjajah-penjajah Freemason UK, kini pada tahun 2010 barulah bapa segala konspirasi Yahudi antarabangsa, House of Rotshchild membuka pejabatnya di Kuala Lumpur.

Ketibaan raksasa konspirasi di Malaysia ini adalah kesinambungan dari pengumuman Perdana Menteri Malaysia yang memberi kebenaran kepada agen Rothschild iaitu Goldman Sachs Bank untuk membuka pejabatnya di Kuala Lumpur buat pertama kali.

Di dalam laporan yang dikeluarkan oleh FinanceAsia, ia menyebut Datuk Seri Najib tun Razak telah mengeluarkan lesen kepada bank Yahudi ini pada 8 Disember 2009 sebagai isyarat membenarkan pembukaan cawangannya di Malaysia.

Walaupun di dalam laporan tersebut menyebut bahawa Goldman Sachs hanya dibenarkan menguruskan institusi kewangan (yang berkaitan Malaysia) di luar negara tetapi pembukaan pejabatnya di sini sudah memberi spekulasi ekonomi yang kritikal dikalangan para pelabur tempatan.

Seterusnya disini</span>

TERBALIK PULA ADUN PAKATAN YANG MELOMPAT?


ADUN Malim Nawar keluar DAP
Jun 15, 10 1:27pm
Ahli dewan undangan negeri Malim Nawar, Perak, Keshvinder Singh a/l Kashmir Singh dari DAP hari ini mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan parti itu.

Keshvinder berkata, beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada DAP kerana kecewa dengan kepimpinan Pakatan Rakyat di negeri Perak yang terlalu banyak berpolitik sehingga mengabaikan tugas sebagai wakil rakyat.

"Saya menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan amat tertarik dengan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Keshvinder adalah Adun DAP kedua keluar parti itu selepas Adun Jelapang, Datuk Hee Yit Foong, awal tahun lalu, yang menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang.

Beliau mengumumkan keputusan untuk berpaling tadah itu pada sidang akhbar di Hotel Holiday Villa, di Subang, tengah hari tadi.

Pada pilihan raya negeri 2008, Keshvinder Singh mengalahkan calon Barisan Nasional Dr Chai Song Poh dengan majoriti 1,362 undi.

Dengan keputusan itu, bilangan pembangkang di dewan undangan negeri Perak sekarang ini adalah 27 orang berbanding 28 yang dikuasai oleh Barisan Nasional manakala wakil Bebas pula adalah 4 orang.

VIDEO: PENGKEBUMIAN ALMARHUM USTAZ HASSAN

BULAN REJAB


Kelebihan Bulan Rejab

Diriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda:

“Ketahuilah bahawa bulan Rajab itu adalah bulan ALLAH, maka barangsipa yang berpuasa satu hari dalam bulan Rajab dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keredhaan yang besar dari ALLAH SWT.

Barangsiapa yang berpuasa dua hari dalam bulan Rajab mendapat kemuliaan di sisi ALLAH SWT.

Barangsiapa berpuasa tiga hari dalam bulan Rajab, maka ALLAH akan menyelamatkannya dari bahaya dunia, seksa akhirat, dari terkena penyakit gila, penyakit putih-putih di kulit badan yang menyebabkan sangat gatal dan diselamatkan dari fitnahnya syaitan dan dajjal.

Barangsiapa berpuasa tujuh hari dalam bulan Rajab, maka ditutupkan tujuh pintu neraka Jahanam.

Barangsiapa berpuasa lapan hari dalam bulan Rajab, maka dibukakan lapan pintu syurga baginya.

Barangsiapa yang berpuasa lima hari dalam bulan Rajab, permintaannya akan dikabulkan oleh ALLAH SWT.

Barangsiapa berpuasa lima belas hari dalam bulan Rajab, maka ALLAH mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan menggantikan kesemua kejahatannya dengan kebaikan, dan barangsiapa yang menambah (hari-hari puasa) maka ALLAH akan menambahkan pahalanya.”

Sabda Rasulullah SAW: “Pada malam Mikraj, saya melihat sebuah sungai yang airnya lebih manis dari madu, lebih sejuk dari ais dan lebih harum dari minyak wangi, lalu saya bertanya Jibril as: “Wahai Jibril untuk siapakah sungai ini?”

Berkata Jibril as: “Ya Muhammad sungai ini adalah untuk orang yang membaca selawat untuk engkau dibulan Rajab.”

Dalam sebuah riwayat Tsauban bercerita:

“Ketika kami berjalan bersam-sama Nabi SAW melalui sebuah kubur, lalu Nabi berhenti dan Baginda menangis dengan amat sedih, kemudian baginda berdoa kepada ALLAH SWT. Lalu saya bertanya Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah SAW, mengapakan anda menangis?”

Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Tsauban, mereka itu sedang diseksa dalam kubur mereka, dan saya berdoa kepada ALLAH, lalu ALLAH meringankan seksa ke atas mereka.”

Sabda Rasulullah SAW lagi: “Wahai Tsauban, kalaulah sekiranya mereka ini mahu berpuasa satu hari saja dalam bulan Rajab, dan mereka tidak tidur semalam sahaja di bulan Rajab nescaya mereka tidak akan diseksa dalam kubur.”

Tsauban bertanya: “Ya Rasulullah SAW, apakah hanya berpuasa satu hari dan beribadah satu malam dalam bulan Rajab sudah boleh mengelakkan dari seksa kubur?”

Sabda Rasulullah SAW: “Wahai Tsauban, demi ALLAH Zat yang telah mengutus saya sebagai nabi, tiada seorang muslim lelaki dan perempuan yang berpuasa satu hari dan mengerjakan solat malam sekali dalam bulan Rajab dengan niat kerana ALLAH, kecuali ALLAH mencatatkan baginya seperti berpuasa satu tahun dan mengerjakan solat malam satu tahun.”

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Rajab adalah bulan ALLAH, Sya’ban adalah bulan aku (Rasulullah SAW) dan bulan Ramadhan adalah bulan umatku.”

“Semua manusia akan berada dalam keadaan lapar pada hari kiamat, kecuali para nabi, keluarga nabi dan orang-orang yang berpuasa pada bulan Rajab, Sya’ban dan bulan Ramadhan. Maka sesungguhnya mereka kenyang serta tidak ada rasa lapar dan haus bagi mereka.”

KELEBIHAN BULAN REJAB

Beberapa hadis lagi Rasulullah saw menunjukkan kelebihan bulan rejab:

1. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah memuliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat.

2. Bulan Rejab bulan Allah, bulan Sya’ban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku.

3. Kemuliaan Rejab dengan malam Isra’ Mi’rajnya, Sya’ban dengan malam nisfunya, dan Ramadhan dengan Lailatul-Qadarnya.

4. Puasa sehari dalam bulan Rejab mendapat syurga yang tertinggi (Firdaus). Puasa dua hari dilipatgandakan pahalanya.

5. Puasa 3 hari pada bulan Rejab, dijadikan parit yang panjang yang menghalangnya ke neraka (panjangnya setahun perjalanan).

6. Puasa 7 hari pada bulan Rejab, ditutup daripadanya 7 pintu neraka.

7. Puasa 16 hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga, dan menjadi orang yang pertama menziarahi Allah dalam syurga.

8. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan ialah seperti kelebihan Al-Quran ke atas semua kalam (perkataan).

9. Puasa sehari dalam bulan Rejab seumpama puasa empat puluh tahun dan diberi minum air dari syurga.

10. Bulan Rejab Syahrullah (bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada-Nya. Puasa dalam bulan Rejab, wajib bagi yang berpuasa itu:

a. Diampunkan dosa-dosanya yang lalu.

b. Dipelihara Allah umurnya yang tinggal.

c. Terlepas daripada dahaga di akhirat.

11. Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan pada akhirnya, seperti puasa sebulan pahalanya.

12. Siapa bersedekah dalam bulan Rejab, seperti bersedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya pada setiap helai bulu roma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjah, dihapus seribu kejahatan.

JENAZAH SELAMAT DIKEBUMIKAN, ALFATIHAH.

Jenazah bekas timbalan presiden PAS, Hassan Shukri selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Taman Selaseh 2, Gombak di Kuala Lumpur pada jam 9.55 pagi.

Hassan Shukri funeralTanah perkuburan itu terletak kira-kira tiga kilomreter dari rumahnya di Taman Melewar.

Kira-kira 300 orang hadir ke tanah perkuburan ini termasuk beberapa pemimpin PAS, antara mereka Idris Ahmad, Mujahid Yusuf dan Hanipa Maidin.

Sebelum itu, lebih 500 orang menunaikan solat jenazah bekas tokoh PAS itu di tanah lapang di hadapan rumahnya.

Ia diimami oleh Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang.

hassan shukri funeral - nik aziz sobbingSebelum majlis solat jenazah bermula, Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang turut hadir kelihatan sebak dan mengalirkan air mata.

Ramai pemimpin PAS hadir termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom hadir pada majlis solat berkenaan.

Turut hadir ialah Tmbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, ketiga-tiga naib presiden - Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar - serta beberapa ahli jawatankuasa PAS pusat seperti Dr Dzulkefly Ahmad dan Hashim Jasin.

Sementara itu, seorang jawatankuasa PAS pusat yang ditemui selepas pengebumian, Hanipa Maidin berkata kematian Hassan adalah kehilangan besar bagi PAS kerana allahyarham merupakan seorang tokoh yang berpengalaman serta berilmu.

"Beliau adalah orang parti yang istiqamah dengan perjuangan sehingga akhir hayat dia.

hassan shukri funeral"Saya banyak belajar tentang perlembagaan PAS dengan beliau,walaupun saya seorang peguam. Beliau tidak pernah lokek," kata Hanipa.

Katanya, Hassan adalah seorang yang sayang kepada parti dan sentiasa bersungguh-sungguh untuk memajukan parti.

Hassan meninggalkan enam cahaya mata - lima perempuan dan seorang lelaki.

Sebelum menjadi timbalan Presiden PAS, Hassan pernah menjadi naib presiden dan juga setiausaha agung parti itu.

Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.

Isnin, 14 Jun 2010

JASA YANG TAK DILUPAKAN

Ustaz Hassan Shukri dalam kenangan
Azamin Amin


Pemergian Ustaz Hassan Syukri mengejutkan ramai pihak khasnya di dalam PAS. Ia merupakan satu kehilangan besar kepada PAS dan negara. Berikut adalah tulisan yang pernah dibuat wartawan AZAMIN AMIN yang disiarkan oleh akhbar Siasah Oktober 2009.

Belum sempat pun pejuang-pejuang Sungai Manik tiba di Kuala Selangor untuk turun ‘bermandi darah’ di Kuala Lumpur dalam peristiwa 13 mei, dia sudah terpacul tegap menantikan kedatangan mereka. Ketika berdiri di jeti Feri Kuala Selangor dengan badan tegap laksana panglima, dia secara tenang meminta para pejuang itu pulang semula ke Perak.

Niatnya hanya satu, mengelakkan lebih banyak nyawa yang terbunuh dan tidak mahu Sungai Klang bertukar merah. Tanpa perlu berpencak atau menghunus sunding yang tersisip di pinggangnya, dia bersuara penuh tertib dan tegas gayanya.

Tidak ada satu biji mata pun melainkandia yang mampu berdepan para pejuang yang digeruni itu. Bimbang suasana akan lebih kecamuk Pengerusi majlis Gerakan Negara ketika tragedi 13 mei 1969, Allahyarham Tun Abdul Razak secara peribadi meminta dia menahan pendekar-pendekar dari kumpulan ‘parang terbang dan selempang merah’ untuk mara ke ibu kota.

Dek kerana menghormati ayahnya yang pernah terlibat dan bertempur dalam beberapa siri dengan peperangan di Sungai Manik pada zaman dulu, para pejuang yang sedang mengelodak jiwa dan amarah itu akhirnya akur dengan permintaannya lalu kembali ke kampung halaman masing-masing.

Namanya cukup tersohor dan hebat di mata kawan dan lawan. malah ketika negara dilanda krisis, Tun Razak sendiri menghubunginya setiap
hari. Sehari kadang-kadang sampai dua kali! Kini nama Hassan Shukri yang selalu meniti di bibir pejuang dan penyokong PAS selama
ini agak kelam dan menyepi. entah mengapa, bekas Timbalan Presiden PAS yang juga antara pejuang terawal parti tertua di malaysia ini
umpama membawa diri. Namun rajuknya tidak ke mana kerana batang tubuhnya masih sebati dengan perjuangan ini.

Hassan Shukri yang dipanggil ‘ustaz’ masih dekat di hati kebanyakan ahli PAS malah kelibat beliau sering kelihatan, sekiranya ada acara rasmi dan majlis ilmu yang dianjurkan di markas PAS Taman melewar, Gombak. Kadang-kadang tanpa segan, beliau menebas dan mencangkul di depan markas walaupun para pemimpin dan ahli PAS sedang menyertai aktiviti di situ.

Baginya kerja-kerja kebun dan kampung sudah berakar umbi dalam dirinya apatah lagi kediaman dan lamannya pula bersebelahan markas itu. Markas yang dahulunya dikenali sebagai Pejabat Agung PAS dan Pusat Tarbiyah sebelum berpindah ke Jalan Raja laut Kuala lumpur, begitu sinonim
dengan Hassan Shukri.

Masakan tidak idea penubuhan markas itu, datang dari hati nurani ikhlasnya. Bermula dengan modal Rm20,000, beliau membeli sebidang tanah di situ, sebagai tapak awal untuk membina markas.

Kemudian beliau berbincang pula dengan Yang Dipertua PAS, Allahyarham Yusuf Rawa, Pesuruhjaya PAS Perlis, ustaz Hashim Jasin dan ustaz Nakhaei untuk mereka samasama membeli tanah dengan harga sekitar Rm26,000 bagi meluaskan kawasan markas sekitar tahun 1982. Selain menerima sumbangan wang, markas itu turut didirikan secara bergotong royong pada peringkat awalnya.

Kemudian dengan kebijaksanaan Hassan, beliau mengarahkan setiap satu cawangan PAS menyiapkan satu tiang bangunan tanpa menggunakan jengkaut untuk menggali lubang tapak asas.

Semenjak itu, markas PAS Taman melewar telah menjadi tempat persinggahan atau bermalam paling murah di Kuala lumpur kepada orang ramai yang mahu melancong atau berurusan di ibu kota malah hari minggu atau cuti sekolah, banyak bas persiaran serta bas sekolah singgah dan memenuhi laman markas itu.

Lebih menarik, ia menjadi persinggahan paling penting kepada rombongan haji sebelum melapor diri di lapangan Antarabangsa Subang sebelum wujudnya KlIA dan Pusat Transit Tabung Haji Kelana Jaya.

Cetusan idea Hassan itu kemudiannya menjadi buah mulut orang dan menjadikan PAS terkenal di setiap pelosok negara. Hassan dikenali sebagai tokoh yang membangunkan markas PAS dan ramai yang tidak tahu, beliau adalah individu penting di sebalik perlembagaan PAS dan merupakan “buku undang-undang PAS” yang masih hidup serta sentiasa menjadi rujukan.

Menceritakan kisah penyertaannya secara tidak rasmi dengan PAS sewaktu berusia 14 tahun pada 1951; Hassan memberitahu tindakannya itu didorong oleh satu peristiwa unik yang mencetuskan semangatnya untuk mendekati PAS.

“Sebabnya ialah loteri kebajikan yang saya terima daripada guru saya dan saya bawa pulang ke rumah.

“Akhirnya saya dimarahi dan dihamun oleh ayah saya...disebabkan itu, saya mula berjinak-jinak dengan mengikuti aktiviti PAS di kampung dan mula menyertai secara aktif pada tahun 1951,” ujarnya penuh semangat.

Hassan yang memegang nombor keahlian PAS 12,016 itu kemudiannya diberi peluang untuk bertanding di kawasan Parlimen Sabak Bernam pada pilihan raya umum tahun 1969.

Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah usaha memujuk, mengugut, ancaman dan merasuah beliau untuk tidak bertanding, namun ditolak mentah-mentah Hassan dengan memberi kata dua yang cukup meninggalkan bekas kepada pencabar dan lawan politiknya. “Saya katakan kepada mereka, kalau nak masukkan guni, cubalah...!” katanya tegas laksana pahlawan yang bermaksud seolah-olah ‘jangan mencari pasal’ dengan beliau.

Beliau turut mengimbau kembali kejadian ceramahnya di Sabak Bernam didatangi oleh beberapa orang berketurunan Jawa Penegoro sambil
menghayunkan senjata parang.

Kebetulan kawannya, Hassan Adli boleh berbahasa Jawa, maka orang-orang yang berparang itu akhirnya “ditumpaskan” hanya melalui kata-kata berbisa.

Hassan juga menceritakan bagaimana musuh politiknya berusaha menjatuhkan maruah dan nama baiknya dengan cuba memerangkap beliau dengan dua orang wanita yang tidak dikenali di Kampung Parit, Sabak Bernam. Dengan kecekapan perisik-perisik PAS, beliau dinasihatkan untuk tidak memberhentikan keretanya suatu malam apabila diminta
oleh dua wanita terbabit.

“malam itu di tepi jalan berhutan, sudah siap kamera dan beberapa jurugambar mahu memerangkap jika saya memberhentikan kereta untuk ditumpangi oleh dua wanita itu,” katanya sambil menasihati bahawa insiden dan taktik musuh itu masih diguna pakai sehingga sekarang.

Oleh sebab itulah, setiap kali bermesyuarat di Pejabat Agung PAS Pusat di Jalan Raja laut, berdekatan lorong Haji Taib itu, Hassan tidak pernah menggunakan jalan belakang bangunan PAS itu, kerana bimbang ‘diperangkap’ oleh kamera-kamera musuh yang cuba mengaitkannya dengan
penghuni atau pekerja seks lorong hitam itu.

“Saya selalu menasihati beberapa pimpinan PAS untuk berhati-hati berjalan di lorong belakang itu bagi mengelakkan fitnah dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab,” katanya tersenyum.

Setelah tewas dalam pilihan raya itu, beliau kemudiannya menunaikan haji di makkah dan kisah perjalanannya menuju tanah suci itu, penuh liku-liku dan peristiwa indah yang tidak upaya diluahkan memandangkan masa yang terbatas. memadai katanya, perjalanan itu memakan masa 6 bulan
3 hari!

“Dari Pulau Pinang naik kapal laut. Sampai di madras, kami terus menggunakan jalan darat untuk ke makkah. “Dalam perjalanan ke sana, saya sempat menubuhkan Persatuan melayu Iraq di Baghdad dan setelah menunaikan haji, saya mengahwini isteri tercinta dan dikurniakan 6 orang anak,” katanya bangga dengan pencapaian anak-anaknya itu, meskipun beliau bukanlah seorang yang berharta.

Semasa beliau penuh aktif dalam PAS, Hassan pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung PAS di bawah tiga orang Presiden PAS iaitu Datuk Asri muda, ustaz Yusof Rawa dan Almarhum Datuk Fadhil Noor. Beliau merakamkan semula detik-detik manis selama berada dalam perjuangan
PAS ini sambil menceritakan beberapa kisah mencuit hati yang tidak dapat dilupakannnya.

Antaranya, beliau terpaksa mengendong atau mengangkut pembesar suara (speaker) sejauh empat batu menggunakan basikal, manakala ada perwakilan yang jatuh ke gaung dalam perjalanan ke muktamar PAS tapi tidak mengalami kecederaan.

“Saya pernah merasa pengalaman tidur di Balai Raya Datuk Keramat. Ahli-ahli di situ menyediakan segala kelengkapan seperti bantal, tilam dan selimut untuk para perwakilan dan ahli PAS yang menyertai muktamar ketika itu,” katanya lagi.

Pada sekitar tahun 50-an, muktamar pada ketika itu, nama awalnya lebih dikenali sebagai kongres dan ditukarkan supaya ia tidak menyamai dengan parti-parti lain pada masa itu.

Bezanya dahulu, apabila muktamar berlangsung, semua perwakilan dan ahli-ahli yang datang menumpang teduh di merata-rata sekitar madrasah, pondokpondok agama, balai raya berhampiran dan juga rumah-rumah ahli yang secara sukarela menjadikan rumah mereka sebagai tempat tumpangan.

Beliau dalam masa sama menasihati supaya pemimpin dan ahli melahirkan semangat persatuan dan berpasukan di samping kerjasama yang mantapdan ada peningkatan dalam soal pemikiran dan kerja di semua peringkat.

“Apa jua kekuatan adalah kesatuan dan sahabatsahabat (ahli-ahli PAS) kena tahu ‘style’. Kena faham cara orang kampung bekerja berbeza dan tidak sama dengan orang Shah Alam (bandar) bekerja. “Tulis khutbah pun kena beza. Takkan nak baca yang sama. Begitu juga pendekatan, ada
yang berhemah, tegas dan adakalanya secara berseloroh,” katanya lagi.

Beliau menasihati pemimpin PAS atasan atau pertengahan, mesti mengetahui serba sedikit suasana dan keadaan masyarakat di malaysia dan
menambah di Nusantara terdapat 6,832 suku seperti Jawa, mandeling, Banjar dan lain-lain yang berjaya disatukan melalui Islam.

“Jangan lupa turun padang dan dekati orang bawahan akar umbi ini. mereka ini kita sapa dan senyum cukup besar hati dah...” kata Hassan yang juga bekas Senator. Selain itu, Hassan sebagai orang lama dalam PAS menyarankan segala masalah atau perselisihan pendapat antara pimpinan-pimpinan PAS disuarakan melalui syura atau mesyuarat dan perbincangan agar ia tidak dipergunakan oleh musuh untuk melaga-lagakan antara satu sama lain.

“Dengan cara itu tidaklah keluar kenyatan yang bercanggah. Kenapa media memainkan isu tertentu, supaya orang Cina dan India berhenti menyokong PAS...itu saja. Jadi jangan biarkan kita terdedah dengan perkara macam itu,” katanya ketika diminta pandangan berhubung isu-isu
semasa.

“malah masuk PAS bukan kerana ikut orang, kalau ikut orang, sudah lama PAS ini terkubur. Sertai dan sokong PAS sebab hendakkan kepada Islam.

“Kita sudah lama tarbiyah ahli-ahli PAS bahawa jangan memuja pemimpin tetapi menjunjung perjuangan Islam,” kata bekas Timbalan Presiden PAS itu yang turut merujuk beberapa kepimpinan yang keluar parti itu seperti Datuk Asri muda dan Haji Ahmad Fuad yang tidak sedikit pun menjejaskan PAS sehingga kini.

Kini Hassan masih menyumbang buah fikiran dan pandangannya kepada PAS sebagai Ahli majlis Syura. Beliau juga masih lagi menyampaikan kuliahnya di Sabak Bernam serta memenuhi pelbagai jemputan majlis-majlis agama dan ceramah.

Walaupun usia telah menjangkau 70-an, Hassan masih kelihatan gagah dan berupaya mengingati satu persatu sejarahnya bersama PAS. Wawancara yang berlangsung hampir dua jam itu terasa begitu singkat, memandangkan kepetahan dan nada selorohnya, membuatkan penulis terpegun dan
asyik dengan kisah lamanya.

“Tulislah dan saya suka bila orang mahu tahu sejarah saya dan PAS. “Bukan apa, setelah saya tiada nanti, apa yang anda tulis itu akan jadi satu dokumentasi sejarah,” katanya tersenyum semula.

Mengakhiri perbualan yang “berlangsung” di kediamannya sendiri Jumaat, 2 Oktober lalu, Hassan sempat menyuntik semangat kepada ahli-ahli PAS seluruh negara supaya sentiasa mengukuhkan perjuangan dan menolak sama sekali fikiran jumud bahawa jika bersama PAS, mereka akan menemui kesukaran dan kepayahan hidup.

“Percayalah...sesiapa yang memperjuangkan Islam, dia tidak akan susah. mungkin tidak kaya tetapi tidak ada yang susah atau tidak makan...Saya sendiri tidak pernah rasa gaji besar tetapi kehidupan saya tidak susah dan alhamdulillah makin bertambah baik.

“Bagi pejuang Islam, apa jua cabaran dan dugaan akhirnya Allah akan tolong juga dan bantu kita untuk teruskan kehidupan...,” katanya sambil mencebiskan nasihat kepada pemimpin agar sentiasa merapatkan saf antara satu sama lain termasuk dengan golongan bawahan supaya parti
akan terus kukuh, disegani dan bertambah kuat di masa mendatang

PERGINYA SEORANG PEJUANG: ALFATIHAH

Ustaz Hassan Shukri kembali ke rahmatullah

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sekejap tadi.

Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana. Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman.

Ustaz Hassan telah berada di Kota Bharu sejak Rabu 9 Jun lagi kerana menyertai mesyuarat Majlis Syura Ulama pada petang hari tersebut. Pada malamnya beliau menyertai majlis perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am di Putik dan pada hari Khamis beliau menyertai Muktamar Dewan Ulama di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.

Menurut Puan Naznah Taha, isteri Haji Subky, Ustaz Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada.

Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.

Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang.

Jenazah allahyarham dibawa keluar dari hospital kira-kira jam 3.40 petang. Hadir sama di hospital ialah Ketua Penerangan dan bendahari PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Naznah yang merupakan rakan rapat keluarga Ustaz Hassan ketika bercerita kepada Harakahdaily berkata, buat pertama kalinya beliau dan isteri Ustaz Hassan, Puan Hamidah tidak mengiringi bersama suami masing-masing ke muktamar.

"Kali ini, Kak Midah berbolak-balik antara hendak pergi atau tidak ke muktamar kerana ada kenduri dekat sini. Hasilnya dia tidak pergi dan saya hanya pergi ke muktamar Dewan Muslimat dan terus pulang," cerita Naznah.

Sebelum Timbalan Presiden, Ustaz Hassan pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung PAS. Allahyarham pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh Kerajaan PAS Terengganu selepas Pilihan raya Umum kesepuluh lalu.

Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.

Semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa adalah antara pemimpin parti yang awal menziarahi allahyarham di kediamannya di Taman Melewar.

Turut menziarah ialah Datuk Kamaruddin Jaffar, Mohd Hanipa Maiden, Khalid Samad serta Datuk Nakhaie Ahmad.

Ustaz Nasharudin menyifatkan parti kehilangan tokoh yang merupakan kamus dan rujukan parti berikutan kematian Ustaz Hassan Shukri.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bachok berkata, baru dua hari lepas, allahyarham menerangkan struktur Perlembagaan PAS kepada tetamu luar PAS di JKR 10, Kota Bharu.

“Saya kenal Ustaz Hassan sejak awal perjuangan di Malaysia,” kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menziarahi petang ini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menyifatkan allahyarham adalah tokoh perjuangan Islam yang asal dan kekal hingga kini.

“Kita hilang satu sumber rujukan yang besar,” katanya.

Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Selangor kehilangan seorang tokoh yang berjuang untuk rakyat.

“Saya pernah berbincang dengan beliau bagaimana nak bantu rakyat yang tiada rumah dengan menggunakan wang zakat di atas tanah kerajaan,” ujarnya yang juga Menteri Besar Selangor.

Katanya, Selangor telah memilih beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah sebelum ini.

Jenazah Ustaz Hassan akan disembahyangkan jam 8.30 pagi esok di Surau Taman Melewar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selaseh 2

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails