Selamat Datang

Rabu, 7 Mac 2012

PKR dakwa NFC beli 8 lot kedai di Bangsar

Hazayani Zakaria, 07 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 7 Mac: PKR hari ini mendedahkan bahawa Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) menggunakan dana awam sebagai jaminan pinjaman peribadi untuk membeli lapan unit hartanah mewah di KL Eco City, Bangsar.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli menampilkan bukti bercetak carian kredit rasmi beberapa bank-bank yang berurusan dengan Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Mohamad Salleh untuk membuat pembelian tersebut.

Mohamad Salleh didakwa mendepositkan sejumlah besar dana NFC ke bank-bank tertentu sebagai cagaran untuk membuat pembelian tersebut bernilai RM9.69 juta.

Rafizi berkata, harga pasaran semasa unit-unit tersebut boleh mencecah RM12 juta.
"Kaedah menyalahgunakan dana awam untuk mendapatkan pinjaman peribadi seperti ini adalah menyalahi mandat yang diberikan kepada NFC untuk membangunkan projek berkepentingan nasional," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Tropicana, hari ini.

Apa yang lebih membimbangkan kata beliau, apabila melihat rekod pembayaran pinjaman yang buruk, termasuklah tidak membayar bayaran pinjaman dalam bulan Julai dan Ogos 2011 dan berulang pada bulan Disember tahun yang sama.

Beliau berkata, pihak pengurusan NFC perlu memberi jaminan bahawa sebarang masalah pembayaran membabitkan pinjaman peribadi mereka tidak akan memberi apa-apa kesan kepda dana awam yang disimpan di bank yang sama.

"Ini kerana simpanan tetap NFC sebanyak RM71.4 juta berkait rapat dengan pembelian harta-harta peribadi ini," katanya.

PKR juga tegasnya mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunaikan janji beliau untuk membekukan semua aset NFC, termasuklah simpanan tetap berjumlah RM71.4 juta.

Pembangunan KL Eco City ketepi nasib rakyat miskin


Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah meminta Menteri Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat, datuk Seri Shahrizat Abd jalil membuat penjelasan mengenai pemindahan penduduk berpendapatan rendah di Kampung Abdullah Hukum akibat projek di KL Eco City.

"Dalam pendedahan terkini, Shahrizat wajar menerangkan kepda rakyat sama ada beliau memainkan apa-apa peranan yang mempengaruhi keputusan sehingga menyebabkan pemindahan penduduk berpendapatan rendah di Kampung Abdullah Hukum.

Katanya, jika Shahrizat mengambil sikap sambil lewa dalam membela nasib penduduk yang terlibat sejak sebuah syarikat usahasama diwujudkan dalam tahun 2007, ia juga menimbulkan pertanyaan sama ada ada kena mengena dengan kepentingan keluarga beliau yang berhasrat membeli hartanah di KL Eco City.

Beliau turut mengecam ketidakpedulian pimpinan pemuda Umno yang mendapat durian runtuh berjumlah RM75 juta daripada projek KL Eco City terhadap nasib rakyat yang terpaksa dipindahkan di Kampung Abdullah Hukum.

Beliau berkata, kepimpinan pemuda Umno terlibat secara langsung dalam pembangunan KL Eco city dan tindakan pemindahan penduduk melalui syarikat YGP Holdings Sdn Bhd, yang merupakan rakan kongsi awal KL Eco City Sdn Bhd.

Pengarah-pengarah YGP holdings Sdn Bhd termasuklah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan pimpinan Pemuda Umno seperti Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Megat Firdouz Megat Junid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails