Selamat Datang

Sabtu, 27 November 2010

Ekspo Cheng Ho berjaya


Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 27 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan penganjuran Ekspo Cheng Ho 2010, Kelantan-China International Trade Fair, berjaya mencapai matlamatnya.

Ianya berdasarkan sambutan di luar jangkaan sepanjang tempoh tujuh hari penganjuran yang berakhir semalam.

Kejayaan itu juga diukur bukan sahaja dari kunjungan rakyat negeri ini, namun juga pelancong dari luar negara.

Gambar: Tuan Guru menyampaikan cenderamata kpd Imam Besar Daerah Guongzao sewaktu Jamuan Perdana kerajaan negeri kepada delegasi expo Cheng Ho.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Jamuan Perdana Ekspo Cheng Ho 2010, di Kota Darulnaim di sini malam tadi.

Majlis berkenaan dianjurkan bagi meraikan delegasi dari China serta tetamu luar negara tanda berakhirnya program berkenaan.

Sambutan luar biasa itu juga katanya menyebabkan banyak kedai ditutup ditutup awal kerana kehabisan barang jualan.

Beliau juga melahirkan kesyukuran kerana sepanjang tempoh penganjuran, tiada sebarang unsur hiburan melampau diketengahkan penganjur.

“Saya juga bersyukur kerana program yang dianjur tidak membabitkan hiburan,” ujarnya.

Sempena majlis ini juga persembahan seni silang budaya dipersembahkan yang membabitkan kebudayaan Kelantan dan China.

Kelantan mempersembahkan permainan gasing dan dikir barat, manakala China persembahan shaolin dan Khairat Aziz yang telah mencipta nama diperingkat dunia dengan kehabatan akrobatiknya.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, Datuk Takiyuddin Hassan dan lain-lain lagi

Khamis, 25 November 2010

Pakatan Rakyat bahagi kerusi selepas konvensyen


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, proses persiapan pilihan raya Pakatan Rakyat bermula dengan perhimpunan penyokong parti di Pulau Pinang, 18 Disember depan dan disambung dengan Konvensyen Pakatan Rakyat pada keesokan harinya.

"Pada peringkat ini, kita mahu memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan selepas itu membawa kepada pembahagian kerusi di kalangan komponen Pakatan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat Ketua Pembangkang parlimen, petang ini.

Ia juga, katanya sebagai menunjukkan kekuatan Pakatan Rakyat walaupun diasak dengan pelbagai dakwaan melalui media massa.

"Kami juga telah memutuskan untuk membuat persiapan pilihan raya di Sarawak, contohnya telah ada jawatankuasa yang telah ditubuh yang akan melangsungkan keputusan yang telah dibuat sebelum ini.

"Segala program yang sedang kami rancang adalah satu manifestasi kepada pengukuhan Pakatan Rakyat itu sendiri sebagai alternatif kepada rakyat," katanya yang juga ahli Parlimen Bachok.

Selain itu, mesyuarat itu turut memutuskan untuk mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan pengundi awam menjadi pengundi pos.

"Ada maklumat tambahan mengenai pemindahan nama orang awam menjadi pengundi pos dan cara pendaftaran yang masih belum diperbaiki.

"Kita akan selaraskan mesyuarat di antara jawatankuasa pilihan raya Pakatan Rakyat dengan pihak Bersih supaya maklumat ini dapat mereka teliti.

Sementara itu, Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen kali kedua Disember depan bagi membincangkan beberapa isu penting termasuk soal tanah, Felcra dan Felda.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ianya akan diakan pada 19 Disember di Dewan Milennium Seberang Perai, setelah mendapat persetujuan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Antara isu pokok yang akan dibahaskan ialah isu tanah termasuk Felda, Felcra dan tanah adat, soal air, tol, pelaburan,masalah pekerja, wanita Sabah dan Sarawak.

"Kita juga putuskan pimpinan Pakatan Rakyat mulai Disember ini akan melancarkan majlis penerangan di beberapa buah negeri sebagai permulaan," kata beliau selepas mempengerusikan Majlis Pakatan Rakyat.

Anwar juga memberitahu, menteri-menteri besar dan ketua menteri negeri Pakatan Rakyat akan bersidang di Shah Alam Isnin ini juga bagi membincangkan beberapa perkara khususnya mengenai ekonomi negeri.

"Persidangan menteri besar dan ketua menteri negeri Pakatan Rakyat akan diadakan pada 29 November di Shah Alam dan di antara isu yang akan dibangkitkan termasuk soal menjana koridor dan kekuatan ekonomi, infranstruktur pelaburan, megimbangi kepentingan antara kaum dan dasar pertanian, federalisme dan perhubungan kerajaan pusat dengan negeri, pembangunan masyarakat dan komunikasi massa," katanya.

Turut hadir dalam mesyuarat itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, Setiausaha Agung PAS dan PKR, Datuk Mustafa Ali dan Saifuddin Nasution Ismail serta beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

Ancak: Pemuda PAS Perak sedia berdebat


Harakahdaily

IPOH, 25 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mencabar semua pengendali laman web atau blogger pro Umno BN agar berdepan bersama di atas satu pentas untuk mengemukakan hujah-hujah mereka jika benar-benar berani bersemuka berhubung ancak tiang seri.

Ketuanya, Zawawi Hassan berkata, ini kerana pihaknya melihat trend penyokong Umno BN yang mengendalikan laman web atau blog pro parti itu sedang menunjukkan mereka di pihak benar dengan memberikan hujah-hujah terutama berkaitan tindakan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semasa menghadiri dan melakukan upacara meletakkan ancak ke tiang seri program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar, Manong pada 17 Oktober yang lalu.

DPPN Pk, katanya mengalu-alukan terutama pengendali laman web peraktoday.com dan juga blogger taipingmali.blogspot.com agar menerima saranan berdebat tersebut.

Beliau menambah, DPPN Pk merasakan trend hujah satu hala itu tidak profesional dan menganggapkan berdebat atas satu pentas adalah lebih matang lagi bersifat profesional.

“Mengapa takut jika mereka benar-benar mampu mengemukakan sebarang hujah berkaitan kenyataan DPPN Pk?” soalnya dalam satu kenyataan di sini.

Di atas pentas tersebut, tambahnya masing-masing boleh mengemukakan hujah dan lebih matang serta bersifat berani dengan hujah tersebut.

Tegasnya, DPPN Pk akan menunggu persetujuan bersama untuk berdebat atas satu pentas nanti.

“DPPN Pk berharap mereka tidak takut malah berani untuk menyahut cabaran ini. Bagi DPPN Pk, sama-samalah kita menanti apakah hujah mereka selepas ini,” katanya lagi.

Rabu, 24 November 2010

Najib bimbang, siasatan Scorpène semakin meluas


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya mula bimbang sekarang ekoran siasatan yang lebih meluaskan terhadap skandal rasuah dalam pembelian kapal selam buatan Perancis, Scorpène.

Selain Najib, turut mula bimbang adalah pemimpin dari India, China dan Brazil serta pemimpin Perancis termasuklah bekas Presiden, Jacques Chirac, bekas Menteri, Dominique de Villipin dan Edouard Balladur di samping Presiden Perancis sekarang, Nicholas Sarkozy.

Demikian menurut laporan Asian Sentinel semalam dalam laporan yang ditulis oleh Gavin M. Greenwood, seorang konsultan keselamatan yang berpejabat di Hong Kong John Berthelsen, editor Asia Sentinel.

Mungkin persiapan ke arah itulah, pejabat kedutaan Malaysia di Perancis penuh dengan bekas pegawai tentera termasuk dutanya, Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal, 58, yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera. Dr Abdul Aziz menerima watikah perlantikan itu awal Mei 2010 lalu.

Menurut seorang rakyat Malaysia yang berkunjung ke pejabat kedutaan Malaysia di Perancis baru-baru ini dalam urusan kerjanya, apa yang mengejutkan beliau adalah ramainya bekas tentera yang menjadi kakitangan di pejabat kedutaan itu termasuk dutanya.

Beliau tertanya-tanya, kenapa ramai sangat bekas tentera di situ, lalu dia teringat kes kapal selam yang tidak boleh menyelam kat Malaysia dan wanita Monggolia yang mati kerana dibom dengan C4.

Menurut Asian Sentinel, para peguam kepada keluarga 11 jurutera Perancis yang mati dalam serangan bom di Karazchi tahun 2002 lalu, akan memfailkan dakwaan pembunuhan terhadap Chirac dengan mendakwa kejadian itu berpunca dari pembatalan rasuah kepada tentera Pakistan dalam pembelian tiga kapal selam Agosta 90-class untuk tentera laut negara itu.

Sarkozy adalah Menteri Bajet Perancis ketika kerajaan negara itu menjual kapal selam yang dibina oleh gergasi pertahanan Perancis, DCN ( yang kemudiannya dikenali sebagai DCNS) kepada Pakistan dengan nilai USD950 juta.

Pendakwaraya mendakwa, ahli poltik, pegawai tentera dan orang tengah Pakistan menerima jumlah komisyen sehingga Euro2 juta yang kembali semula ke Paris untuk membantu kempen Balladur yang tidak berjaya mengalahkan Chirac itu.

Menteri Bajet, Sarkozy didakwa meluluskan elemen kewangan dalam penjualan kapal selam itu. Ketika itu, beliau adalah jurucakap pasukan kempen presiden Balladur dan menurut media Perancis, mereka telah membuka dua syarikat di Luxembrg untuk menguruskan wang rasuah itu, lapor Sentinel.

Adalah didakwa, apabila Chirac dipilih semula, beliau telah membatalkan pembayaran rasuah itu kepada Pakistan, menyebabkan tindakan serangan membalas dendam ke atas kenderaan yang dinaiki oleh para jurutera Perancis dan tiga rakyat Pakistan itu. Beberapa tahun lamanya, Pakistan menyalahkan serangan itu kepada militan Islam termasuk Al Qaeda.

Salah seorang peguam itu berkata, pihaknya akan menyiasat bagaimana keputusan memghentikan komisyen itu dicapai. Beliau juga mahu memanggil Sarkozy untuk memberikan keterangan namun Presiden Perancis itu dengan marahnya menafikan dakwaan itu.

Sebagai Presiden beliau mempunyai umuniti dan berhak untuk menolak dari dipanggil memberikan keterangan.

DCNS telah menjual Scorpènes kepada Pakistan pada tahun 1994. Malaysia melalui usaha Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak membayar USD1 bilion kepada DCNS untuk memesan kapal selam itu dan pada tahun yang sama, iaitu 2002, ketika para jurutera Perancis itu dibunuh, lapor Sentinel.

Sebagai timbal balas, syarikat yang dimiliki rakan Najib, Abdul Razak Baginda telah dibayar Euro114 juta sebagai 'komisyen'. Ia disahkan dalam satu jawapan di Parlimen Malaysia.

Isu ini menjadi semakin panas apabila Altantuya Shaariibuu, wanita Monggolia yang mendakwa teman wanita Abdul Razak dibunuh dan diletupkan badannya sehingga berkecai dengan C4, peledak yang selalu digunakan oleh tentera.

Altantunya datang ke Malaysia untuk menuntut hak yang dijanjikan kepadanya iaitu USD500,000 dari komisyen yang mereka perolehi ekoran peranannya dalam urusan jual beli kapal selam ini.

Abdul Razak bersama dua pengawal peribadi Najib telah didakwa ekoran kejadian itu namun Abdul Razak telah dibebaskan manakala dua lagi pegawai polis yang menjadi pengawal peribadi itu dijatuhkan hukuman bunuh.

Mata Lebam: 2 menteri diarah soal Gani Patail


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, Nov 24: Dua menteri kabinet telah diarahkan menyoal Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung dengan dakwaan beliau terlibat dalam salah lapor kepada kabinet berikutan tragedi Mata Lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim 12 tahun lalu.

Keputusan itui dicapai kabinet dipercayai selepas surat terbuka bekas Pegawai Penyiasat kes itu, Datuk Mat Zain Ibrahim kepada Ketua Polis Negara yang mendakwa Gani terlibat dalam salah lapor kepada kabinat itu.

“Sekarang saya telah diarahkan (oleh Kabinet), Datuk Rais dan saya sendiri agar bercakap dengan Peguam Negara. Kami menunggu beliau pulang dari Mekah,” kata Nazri kepada laman web The Malaysian Insider.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberitahu, Kabinet mahu mendengar sendiri daripada Gani sendiri mengenai dakwaan terbaru Mat Zain dalam satu lagi surat terbukanya kelmarin sebelum mengambil tindakan susulan.

“Kami mahu mendengar daripada Peguam Negara sendiri (mengenai surat terbuka).

“Ini perkara yang serius. Jika beliau (Mat Zain) bercakap benar, kita kena mendapatkan maklumat lanjut... tetapi sehingga itu, tiada apa-apa keputusan,” kata Nazri.

Semalam Harakahdaily menyiarkan berita surat terbuka yang dihantar oleh Mat Zain itu kepada Ketua Polis Negara.

Dalam surat itu Mat Zain mendakwa, Gani telah dua kali membuat salah lapor atau menipu kepada kabinet.

"Apa yang pasti ialah, pertuduhan menipu Jemaah Menteri terhadap Tun LLS (Ling Leong Sik) itu tidak adil kepada beliau, jika Peguam Negara pula tidak dituduh, kerana beliau juga pernah menipu Jemaah Menteri, sekurang-kurangnya dua kali," tulis Mat Zain dalam surat itu.

Menurut surat Mat Zain itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor telah bersedia untuk mengambil tanggungjawab berikutan kes Mata Lebam dan mahu melepaskan jawatannya.

Persetujuan itu dicapai dalam satu perbincangan antara beliau (Mat Zain) dengan Rahim dan timbalannya ketika itu, Tan Sri Norian Mai di pejabat Rahim.

"Malah beliau sambil bersahaja menanyakan kepada Tan Sri Norian, sama ada beliau (Rahim) layak membeli staff-car Mercedes yang sedang beliau gunakan itu, dan jika boleh beliau minta tolong, untuk repair sedikit-sedikit mana yang rosak," tulis Mat Zain.

Namun, keputusan itu berubah selepas Peguam Negara ketika itu, Datuk Mohtar
Abdullah bersama timbalannya, Datuk Abdul Gani Patail datang berjumpa dengan Rahim di pejabat Ketua Polis Negara itu.

Ekoran itu, pasukan polis didakwa gagal menyiasat siapa di belakang tragedi Mata Lebam menyebabkan kerajaan telah menubuhkan satu Suruhanjaya untuk menyiasatnya dan mendapati Rahim adalah pihak yang memukul Anwar sehingga lebam matanya.

Bagi Mat Zain, ini adalah satu tragedi kepada pasukan polis dan ia perlu dipulihkan segera.

Beliau membayangkan, satu tribunal diperlukan untuk menyiasat orang berkedudukan seperti Gani.

"Setakat yang saya telah dinasihatkan dan sesungguhnya percaya;bahawa jika seorang Peguam Negara didapati tidak lagi berupaya diatas apa sebab pun, untuk melaksanakan tugasnya dengan sempurna, atau didapati telah melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan beliau dipecat daripada jawatannya,maka pihak yang berkuasa mengadili/ menghakimi beliau ialah suatu Tribunal yang dilantik oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong sahaja, sepertimana perbekalan Artikel 125 Clause (4) Perlembagaan; setelah dinasihatkan oleh Perdana Menteri mengikut Artikel sama Clause (3)," tulis beliau dalam suratnya kepada Ketua Polis Negara 22 November lepas.

Umno hadapi krisis kepercayaan serius



Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa tindakan BN membuka keahlian langsung dan bersekutu membuktikan parti itu berdepan krisis kepercayaan rakyat yang serius.

Mengulas 'perubahan' baru dalam BN itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga yakin ianya tidak membantu BN memulihkan semula imej mereka.

"Itu bermakna bahawa BN telah mengaku parti-parti komponen mereka termasuk Umno, berdepan dengan krisis kepercayaan dari pelbagai kaum khususnya generasi muda," katanya kepada Harakahdaily semalam.

Beliau mengulas demikian berdasarkan pandangan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah, yang mendakwa perubahan itu bagi membolehkan pertubuhan atau individu yang tidak suka kepada parti komponen BN, menyertai BN sebagai ahli bersekutu.

Namun katanya, adalah mustahil jika satu pihak itu tidak menyukai mana-mana komponen BN, akan menjadi ahli bersekutu BN.

"Sebab dia tak suka pemimpin Umno, bagaimana dia nak sertai BN yang Umno sendiri terajui.

"Kalau dia tak suka Chua Soi Lek, macam mana dia nak masuk BN sedangkan dia tahu Chua ada dalam tu," katanya.

Selain itu, beliau juga tidak melihat perkara tersebut satu ancaman kepada Pakatan Rakyat khususnya kepada PAS.

Ini kerana, NGO atau individu yang mahu menyertai BN sememangnya menyokong parti itu dari asal, dan bukan pertambahan sokongan baru kepada BN.

"Kita tengok Tan Sri Rozali Ismail bila dia menyertai BN, dia tu Umno dah, bukan pertambahan baru pada BN," tambahnya mengulas pengumuman Rozali membawa Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) menyertai BN.

"Ini tidak tambah kekuatan BN, dan tidak mengurangkan kekuatan Pakatan," katanya.

Selasa, 23 November 2010

Penghulu seluruh Perak dihasut benci Pakatan



Harakahdaily

IPOH, 23 Nov: PAS Perak melihat Umno BN kini sedang berada dalam ketakutan sehingga menghimpunkan para penghulu supaya membenci Pakatan Rakyat.

Buktinya, kata Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abu Bakar Hussain, Umno BN cuba meracuni pemikiran rakyat dengan doktrin hanya Umno BN sahaja yang mampu dan boleh memerintah Perak dan negara sebaliknya negara akan hancur sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara.

Bagi PAS Perak, tegasnya Umno BN sememangnya sudah terdesak dengan situasi politik Perak dan seluruh negara, mereka tidak yakin mampu mempertahankan kerajaan Perak yang dirampas mereka.

“Buktinya ialah para penghulu dihimpunkan oleh Umno BN untuk ditanam bibit-bibit kebencian kepada Pakatan Rakyat,” ujarnya pada sidang media, hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Menurut sumber yang diperolehi oleh PAS Perak, baru-baru ini seluruh penghulu-penghulu negeri Perak telah dikumpulkan di Cameron Highlands dalam satu program anjuran Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Program tersebut diisi oleh Majlis Keselamatan Negara.

Program yang asalnya berupa taklimat isu-isu keselamatan negara menjadi medan politik kepada para penceramah untuk memastikan Umno BN terus kekal memerintah negeri Perak.

Menurut sumber para penceramah telah menyentuh isu-isu yang boleh dianggap menghasut para penghulu dengan membangkitkan perasaan perkauman.

Kerajaan Pakatan Rakyat yang telah memerintah Perak hampir setahun telah diburukkan imejnya oleh mereka di hadapan penghulu-penghulu, antara dakwaan yang berbentuk perkauman dan fitnah mereka ialah mereka menimbulkan kebencian peserta kepada Pakatan Rakyat Perak dengan mendakwa kononnya DAP lah yang menguasai Perak, PAS dan Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar Perak hanya boneka semata-mata.

Selain itu PAS Perak juga mendapat maklumat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menjadi sasaran mereka. Para penceramah tidak segan silu memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PAS Perak melihat Umno BN Perak kini sedang berada dalam ketakutan. Buktinya Umno BN cuba meracuni pemikiran rakyat dengan doktrin hanya Umno BN sahaja yang mampu dan boleh memerintah Perak dan negara sebaliknya negara akan hancur sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara.

Bagi PAS Perak, Umno BN sememangnya sudah terdesak dengan situasi politik Perak dan seluruh negara, mereka tidak yakin mampu mempertahankan kerajaan Perak yang dirampas mereka. Buktinya ialah, para penghulu dihimpunkan oleh Umno BN untuk ditanam bibit-bibit kebencian kepada Pakatan Rakyat.

Program yang dilakukan itu menggambarkan Umno BN meletakan harapan agar para penghulu boleh mamainkan peranan bagi memastikan Umno BN kekal mengekalkan kuasa mereka, inilah bukti salahguna kuasa yang dilakukan oleh Umno BN dam menguruskan kakitangan awam di negara ini.

PAS Perak melihat bahawa Adun-Adun Umno BN Perak sudah tidak dapat menarik sokongan rakyat untuk menyokong mereka. Adun-Adun Umno BN kini sudah tidak yakin dengan kapasiti Umno BN samada mereka masih boleh terima oleh rakyat Perak atau tidak, kerana itulah para penghulu diperdaya kononnya menghadiri taklimat isu-isu keselamatan negara, pada hal mereka dihasut oleh para penceramah untuk membenci Pakatan Rakyat.

Bagi PAS Perak, perkara yang berlaku ini amat dikesalkan sama sekali, duit rakyat yang besar bagi membiayai program tersebut digunakan untuk program politik Umno BN atas nama Majlis Keselamatan Negara.

Menurut sumber yang didapati oleh PAS Perak juga, selepas ini ketua-ketua kampung seluruh Perak juga akan dikumpulkan bagi tujuan program yang sama, begitu juga para pengetua dan guru-guru besar sekolah-sekolah seluruh Perak juga akan dikumpulkan bagi menabur fitnah kepda Pakatan Rakyat khususnya di Perak bagi memastikan Umno BN terus kekal memerintah Perak.

Selepas 12 tahun, Mata Lebam terus hantui polis


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Walaupun sudah 12 tahun berlalu, tragedi 'Mata Lebam' Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menghantui pasukan polis dan hari ini Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sediri dikaitkan dengan tragedi ini.

Bekas Pegawai Penyiasat polis terhadap kes ini, Mat Zain Ibrahim semalam (22 November) menghantar satu surat terbuka kepada Ketua Polis Negara meminta beliau membersihkan pasukan polis dan mendakwa pihak yang patut dipersalahkan dalam isu ini adalah Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail.

Menurut surat panjang Mat Zain kepada Tan Sri Ismail Omar itu, sekurang-kurangnya sudah dua kali Gani menipu Jamaah Menteri.

"Apa yang pasti ialah, pertuduhan menipu Jemaah Menteri terhadap Tun LLS (Ling Leong Sik) itu tidak adil kepada beliau, jika Peguam Negara pula tidak dituduh, kerana beliau juga pernah menipu Jemaah Menteri, sekurang-kurangnya dua kali," tulis Mat Zain dalam surat itu.

Menurut Mat Zain, beliau pernah diminta menemui Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober 2008 ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri. Dalam pertemuan itu, beliau berkata, Najib telah memarahi beliau apabila memberitahu satu penal telah dibentuk bagi mengkaji siasatan SPRM terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Gani Patail.

"Dalam perbualan sama, saya memberitahu YAB PM mengenai maklumat yang saya perolehi; dimana pihak Kerajaan telah melantik satu Panel bagi mengkaji siasatan yang dijalankan oleh SPRM. Saya juga telah menyebutkan nama dua orang yang telah dilantik sahaja yang saya ketahui pada masa itu.

"Secara sepontan YAB PM bangun daripada tempat duduknya dan menyatakan dengan serious bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai perlantikan Panel yang saya nyatakan kepadanya. Beliau selanjutnya menyatakan bahawa sekiranya benar sesuatu Panel telah dilantik, beliau pasti telah ditaklimatkan mengenainya.

"Malahan YAB PM telah menasihatkan saya supaya tidak percaya dengan khabar angin sedemikian kerana perkara itu adalah tidak benar. Setelah berbual satu dua perkara lain saya telah meninggalkan Pejabat YAB PM," tulis Mat Zain menceritakan bagaimana PM telah memarahi beliau.

Namun, katanya, terbukti selepas itu, Penal itu memang diwujudkan oleh Jabatan Peguam Negara sebagaimana jawapan rasmi kerajaan di Parlimen.

Pada 11.3.2009, Datuk Seri Nazri Aziz telah membuat pengumuman di-Parlimen mengenai keputusan siasatan SPRM tersebut, tulis Mat Zain.

Nazri mengumumkan bahawa siasatan SPRM telah diteliti oleh tiga orang Ahli Panel bebas yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya(DPP) mengikut Kanun Prosidur Jenayah(CPC) oleh Peguam Cara Negara(SG) padahal sebelumnya, PM Najib telah menafikan penubuhan penal itu.

Beliau juga memberikan nama-nama tiga orang Ahli Panel bebas tersebut iaitu; Datuk Abdul Kadir Sulaiman, Datuk Wira Mohd.Noor Ahmad dan Datuk Mohd.Noor Abdullah,masing-masing mantan Hakim Mahkamah Persekutuan dan seorang mantan Hakim Mahkamah Rayuan.

Selanjutnya beliau mengumumkan bahawa Ahli Panel sebulat suara (3-0) mendapati Tan Sri Musa Hasan tidak terlibat dalam sebarang salah laku jenayah manakala keputusan majoriti (2-1) terhadap Tan Sri Gani Patail (TSGP) yang bermakna seorang dari Ahli Panel tersebut mendapati terdapat keterangan mengaitkan TSGP dalam suatu salah-laku.

Namun begitu kedua-dua TSGP dan TSMH dibersihkan daripada sebarang salah laku jenayah, tulis Mat Zain.

Menurut Mat Zain, cara Peguam Negara mengendalikan isu P I Balasubramaniam dan dakwaan terhadap Ling Leong Sik "mengesahkan tanpa ragu lagi, bahawa beliau tidak menghiraukan langsung hak kesamarataan individu dari sudut undang-undang, yang dijamin oleh Perlembagaan."

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar Peguam Negara dihadapkan kehadapan Tribunal untuk disiasat.

"Sekiranya Ketua Hakim Negara boleh dibawa kehadapan Tribunal,jika bekas Timbalan Perdana Menteri,Menteri Besar,Menteri-Menteri kanan termasuk Tun LLS,Ahli-Ahli Parlimen,Ketua Polis Negara,Panglima dalam Tentera Darat, Ketua Setiausaha Kementrian,Ketua Pengarah-Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan dan lain-lain, mampu dihadapkan kemuka pengadilan oleh Kerajaan,malah ada diantara mereka yang telah menjalani hukuman,dibuang kes dan ada yang masih menunggu perbicaraan selain daripada telah diaibkan. Apa istimewanya Peguam Negara?" tulis beliau.

Mat Zain juga mengaitkan kes Mata Lebam dengan Peguam Negara.

Menurutnya, persetujuan telah dicapai oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Nor dengan timbalannya, Tan Sri Norian Mai dan beliau selaku Pegawai Penyiasat kes itu agar ia ditutup dengan penuh hormat.

"Sebenarnya persetujuan untuk penutupan sepenuhnya insiden mata-lebam itu, dicapai antara jam 2.30 petang hingga 3.30 petang hari Khamis 8.10.1998," katanya.

Persetujuan ini dicapai diantara Tan Sri Abdul Rahim Noor (TSRN), Ketua Polis Negara ketika itu,Tan Sri Norian Mai,Timbalan Ketua Polis Negara dan saya selaku Pegawai Penyiasat,didalam bilik Pejabat TSRN sendiri

"Setelah memberi persetujuan tersebut saya lihat wajah TSRN begitu tenang,dan menerusi “body language” beliau, saya dapati seolah beliau begitu lega, setelah beban diatas bahunya dilepaskan.

"Malah beliau sambil bersahaja menanyakan kepada Tan Sri Norian, sama ada beliau(TSRN) layak membeli staff-car Mercedes yang sedang beliau gunakan itu, dan jika boleh beliau minta tolong, untuk repair sedikit-sedikit mana yang rosak," tulisnya.

Keputusan yang dicapai, berdasarkan tulisan Mat Zain itu, Tan Sri Rahim akan mengaku memukul Anwar sehingga lebam matanya dan meletakkan jawatan kerana kesalahan itu.

Namun semua itu berubah apabila Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohtar Abdullah diiringi orang kuatnya Datuk Abdul Gani Patail telah menemui Rahim Noor.

"Manusia hanya boleh merancang, tetapi Allah sahaja yang boleh menentukanNya. Saya mendapat tahu kemudiannya, iaitu pada jam lebih kurang 5.00 hingga 5.30 petang 8.10.1998 itu,Tan Sri Mohtar Abdullah (Allahyarham) diringi oleh orang kuatnya Datuk Abdul Ghani Patail ,telah menemui TSRN dibilik Pejabat KPN," tulis Mat Zain.

"Lebih kurang jam 6.00 petang itu saya dipanggil untuk berjumpa dengan Tan Sri Norian dan beliau cuma memberitahu saya “untuk meneruskan siasatan seperti biasa”,dan apabila melihat beliau membuat gesture bahunya sedemikian,saya faham bahawa persetujuan yang dicapai antara kami beberapa jam sahaja sebelum itu telah dibatalkan.

"Saya harus menyatakan bahawa saya terkejut dan hampa dengan perubahan ini, tetapi siapalah saya untuk menghalangnya, oleh kerana kita sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok," tulisnya lagi.

Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan kerajaan untuk menyiasat tragedi Mata Lebam itu mendapati Rahim yang bersalah kerana memukul Anwar.

Namun sebelum itu, siasatan polis tidak pernah mendedahkan Rahim yang bersalah bahkan Tun Dr Mahathir pernah mendakwa Anwar mencederakan dirinya sendiri.

BACA SURAT PENUH MAT ZAIN DI SINI

Malaysia perlu berani tegur kuasa besar


Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu kerajaan Malaysia lebih berani menegur dan menyatakan keadilan terhadap sikap double standard kuasa-kuasa besar dunia.

Bercakap sewaktu Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Luar (Hubungan Dua Hala), Ahli Parlimen Marang itu berkata, Malaysia masih tidak memainkan peranan sewajarnya khususnya melalui Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

Beliau merujuk kepada isu penindasan Israel terhadap rakyat Palestin, isu nuklear Iran dan isu cadangan penggunaan Dinar oleh Lapan Negara Membangun (D8) pada satu masa dahulu.

"Kerakusan Yahudi Israel sangat melampau sehingga halau rakyat Islam di sekitar Baitul Maqdis, merobohkan rumah-rumah mereka, membakar kampung halaman dan kebun-kebun mereka tanpa perhatian masyarakat antarabangsa.

"Perlu Malaysia sebagai sebuah negara ahli dalam OIC dan negara berkecuali, mengambil sikap lebih proaktif agar masalah ini tidak terus meruncing," katanya yang juga Presiden PAS.

Tambahnya, jika tindakan kejam itu dibiar terus berlaku, dikhuatiri ancaman keselamatan antarabangsa lebih besar akan berlaku.

Dalam isu nuklear Iran pula beliau mahu Malaysia bersikap adil dalam menyatakan pendirian.

"Kementerian Luar tidak tegas, kadang menyokong dan kadang-kadang menentang," katanya lagi.

Iran, katanya telah menjelaskan pengkayaan uranium mereka hanya sebagai sumber tenaga untuk kegunaan rakyat negara itu.

Sangat double standard, katanya jika Malaysia tidak pula menentang penggunaan nuklear oleh kuasa besar lain termasuk Israel dan Amerika Syarikat yang jelas diguna untuk persenjataan.

"Kita perlu sedar, kuasa barat begitu tidak adil dalam hal ini. Mereka membenarkan Israel guna nuklear untuk persenjataan sejak tahun 60an.

"Terbukti mereka guna bahan radio aktif dalam peperangan di Lubnan dan Gaza," katanya.

Dalam isu penggunaan Dinar yang dicadang negara D8 pula, Malaysia katanya gagal berperanan mempertahan cadangan itu sehingga ianya gagal dilaksanakan.

Cadangan tersebut juga, katanya sebelum ini turut disokong mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu melihat ekonomi Islam diperkukuhkan.

"Saya tidak tahu mungkin ada tekanan dari kuasa barat dan kita tidak berani hadapi tekanan ini padahal anggota yang ramai dalam OIC.

"Kenapa kita tidak manfaatkan kedudukan kita dalam OIC untuk bergabung menjadi satu kekuatan?" katanya

Negeri Pakatan tidak akan bersama dalam PRU 13?


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Ketika berita angin bertiup kencang pilihan raya umum ke 13 (PRU 13) akan diadakan awal tahun depan, pelbagai pihak dalam Pakatan Rakyat pula membuat andaian negeri-negeri mereka tidak semestinya bersama dalam pilihan raya itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan jelas berkata, Pakatan akan berbincang terlebih dahulu sesama mereka iaitu PKR, DAP dan PAS sebelum membuat keputusan untuk menyertai pilihan raya itu atau tidak.

Ini kerana, mereka yang menguasai empat negeri, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan berhak membuat keputusan sebaliknya iaitu pilihan raya berasingan dengan tarikh yang diumumkan oleh kerajaan pusat.

Lim Guan Eng, ketika berucap di Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang semalam berkata, ketiga-tiga parti komponen Pakatan itu akan mengadakan konvensyen mereka sendiri sebelum membuat keputusan untuk menyertai pilihan raya itu atau tidak.

Pendapat beliau disokong oleh anggota Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

"Kita ada negeri yang hendak diuruskan selepas diberikan mandat pada tahun 2008 lalu. Kita akan cukupkan penggal kita. BN di peringkat pusat mempunyai masalah kredibiliti sendiri. Jika mereka mahukan pilihan raya, biarkanlah mereka," kata Dr Hatta kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa membuat cadangan yang serupa.

Beliau mencadangkan agar negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak mengikut secara membabi buta cadangan kerajaan pusat dan negeri BN membubarkan Parlimen dan Dun mereka.

"Kita mesti ada kuasa tawar menawar. Kalau kita ikut sahaja kehendak mereka bermakna, mereka sentiasa menetapkan kehendak mereka dan kita mengikut mereka sahaja," kata Husam dalam satu kenyataannya.

PRU 13 dikatakan akan diadakan pada awal tahun depan iaitu antara Mac atau April 2011.

Bendahari PKR yang juga anggota Parlimen Selayang, William Leong berkata, pihaknya mendapat maklumat ia akan diadakan April tahun depan iaitu serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Para media BN pula diarahkan agar memainkan berita baik untuk BN bagi melahirkan rasa senang rakyat kepada parti yang memerintah negara itu di samping memburuk kerajaan Pakatan Rakyat.

Tindakan Datuk Zaid Ibrahim meninggalkan PKR selepas tertinggal dalam pemilihan timbalan presiden telah dijadikan modal oleh media BN untuk menghuruharakan PKR.

Pemilihan dalam PKR juga dihebohkan kononnya berlaku kekecohan besar dalam parti itu, walaupun PKR menegaskan ia hanya kekecohan kecil sahaja.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein juga menyerang Pakatan apabila menolak usahanya untuk mendaftarkan simbul bersama dalam pilihan raya negeri Sarawak kononnya Pakatan hanya bersatu dari segi simbul sahaja tetapi berpecah.

Negeri-negeri Pakatan juga didakwa gagal melaksanakan manifesto pilihan raya mereka namun begitu manifesto yang mana gagal dilaksanakan tidak dinyatakan oleh beliau.

Khamis, 18 November 2010

Falsafah korban - Cinta Allah Mengatasi Cinta Makhluk



Bulan Zulhijjah ialah antara bulan Islam yang banyak merakamkan beberapa peristiwa besar dalam sejarah Islam. Peristiwa terpenting yang berlaku, di antaranya seperti ibadah haji dan peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dengan anaknya demi ketaatan baginda kepada perintah Allah s.w.t. Rentetan daripada peristiwa itu, amalan ibadah korban telah menjadi sebahagian daripada syariat Allah s.w.t. yang dituntut terhadap umat Islam untuk melaksanakannya.


Bulan Zulhijjah ialah antara bulan Islam yang banyak merakamkan beberapa peristiwa besar dalam sejarah Islam. Peristiwa terpenting yang berlaku, di antaranya seperti ibadah haji dan peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dengan anaknya demi ketaatan baginda kepada perintah Allah s.w.t. Rentetan daripada peristiwa itu, amalan ibadah korban telah menjadi sebahagian daripada syariat Allah s.w.t. yang dituntut terhadap umat Islam untuk melaksanakannya. Nabi s.a.w. menjelaskan lagi syariat tersebut dalam sebuah hadis yang bermaksud:


Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata: Suatu hari sahabat Rasulullah s.a.w. bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?'' Jawab Rasulullah: "Ia adalah sunah bapa kamu, Ibrahim.'' Mereka berkata: "Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah?'' Rasulullah menjawab: "Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.'' Mereka berkata: "Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?'' Rasulullah s.a.w. menjawab: "Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.'' (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)


Untuk sama-sama kita memahami falsafah pengorbanan besar di sebalik kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail itu, Allah s.w.t. merakamkannya di dalam al-Quran ayat 99-112 surah as-Shaffat yang bermaksud: Dan Ibrahim berkata: "Sesungguhnya aku pergi menghadap kepada Tuhanku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku..... Dan Kami beri dia khabar gembira dengan (kelahiran) Ishak, seorang nabi yang termasuk orang-orang yang soleh.


Di sebalik kisah yang dirakamkan itu, terdapat dua dimensi pengorbanan yang boleh dijadikan iktibar untuk renungan kita bersama. Pertama, pengorbanan seorang ayah yang begitu lama menantikan seorang anak, kemudian apabila sudah memilikinya terpaksa pula mengorbankan perasaan cinta dan kasih tersebut, demi kepatuhan dan keredhaannya terhadap perintah Allah Taala. Kedua, ketaatan dan keyakinan penuh Nabi Ismail terhadap pengorbanan yang dituntut oleh ayahnya untuk dilakukan. Sebagai seorang anak, baginda sanggup pula mengorbankan kasihnya kepada ibu dan ayahnya dan zaman keseronokan remajanya, malah ke tahap sanggup mengorbankan nyawanya sendiri, semata-mata kerana ketaatan baginda terhadap perintah Allah s.w.t. dan perintah seorang ayah. Kedua-dua pengorbanan ini sebenarnya berpusat daripada hubungan cinta sejati mereka kepada Allah s.w.t. yang tidak berbelah bahagi.


Dalam kes di atas, logik naluri kita akan bertanya, mengapa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sanggup mengorbankan cinta dan kasih sayang mereka demi perintah Allah Taala? Bukankah Nabi Ibrahim sudah lama mengidamkan seorang anak? Mengapa setelah dikurniakan anak, diperintahkan pula supaya menyembelihnya? Dalam keadaan itu, tentu baginda berdua boleh berdalih dengan pelbagai alasan. Tetapi mereka tidak berbuat begitu, kerana cinta mereka kepada Allah s.w.t. mengatasi cinta kepada makhluk. Tetapi persoalannya, sejauh manakah kita dapat memahami falsafah korban seperti yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail itu? Bolehkah tahap pengorbanan umat Islam hari ini setinggi itu? Sanggupkah seorang Muslim itu menerima takdir dengan pasrah seperti kematian atau kehilangan orang yang disayanginya? Atau adakah kita lebih banyak mempertikaikan takdir yang telah Allah Taala aturkan? Mungkinkah ada lagi pada zaman serba canggih ini, remaja sehebat Nabi Ismail yang sanggup berkorban nyawa, kasih dan keseronokan zaman remajanya demi ketaatan dan kecintaan kepada Allah Taala?


Sesungguhnya seandainya seorang Muslim itu apabila mereka mendahulukan cinta Allah daripada cinta makhluk, mereka pasti akan beroleh jaminan besar sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud: Ada tujuh golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan Allah s.w.t. iaitu imam yang adil, pemuda yang mengabdikan diri untuk beribadah kerana Allah, lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid, dua orang lelaki yang bersahabat, mereka bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah, lelaki yang digoda oleh seorang wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan kemudian menolaknya lalu berkata: "Sesungguhnya aku takutkan Allah'', lelaki yang bersedekah sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang tangan kanannya sedekahkan dan lelaki yang menitiskan air mata, beribadah menyebut nama Allah ketika bersendirian. (Riwayat Muslim)


Sehubungan itu, Islam menjelaskan bahawa cinta seseorang hamba kepada Allah s.w.t. itu haruslah berlandaskan kepada ittiba' (ikutan) dan ketaatan sebagai bukti kecintaan mereka kepada Allah s.w.t. seperti mana yang diamalkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam cerita tersebut.


Hal ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. melalui firman-Nya yang bermaksud:


Katakanlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah Aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Ali Imran:31)


Sesungguhnya sumber cinta daripada Allah Taala merupakan sumber cinta yang paling tinggi dan utama. Apabila berlaku pertembungan antara cinta Allah Taala dengan cinta makhluk, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memenangkan cinta mereka untuk Tuhannya tanpa ragu-ragu. Baginda mengetahui bahawa meletakkan cinta Allah pada tempatnya adalah satu kedudukan cinta yang tinggi yang hanya akan lahir bagi orang yang sudah cukup kenal akan Allah Taala. Menurut Imam al-Ghazali bahawa ma'rifah (ilmu pengetahuan) itu akan mendahului cinta sebab, cinta tanpa ma'rifah tidak mungkin berlaku. Ini kerana manusia hanya dapat mencintai sesuatu yang dikenalinya sahaja. Pepatah Melayu ada menyebut, 'Tak kenal maka tak cinta'. Ia seolah-olah membenarkan pendapat Imam Ghazali tersebut.


Dalam kisah tersebut, demi membuktikan cinta mereka adalah benar, lalu Allah s.w.t. menguji mereka dengan bentuk ujian yang sukar diterima oleh akal manusia biasa. Oleh itu, benarlah bahawa cinta yang tulus ikhlas itu memerlukan pengorbanan yang mesti ditempuh melalui sesuatu ujian dan dugaan terlebih dahulu. Apakah bukti cinta mereka? Tidak lain dan tidak bukan mereka telah mengorbankan cinta mereka yang sementara kepada cinta yang kekal abadi.


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:


Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah s.w.t. mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta. (Al-Ankabut: 3)


Oleh itu, Muslim yang benar-benar kenal akan Allah Taala sanggup menggadaikan harta dan wang ringgit. Mereka juga sanggup mengorbankan kasih mereka terhadap anak-anak dan keluarga sendiri, malah nyawa sekalipun semata-mata kerana mendahului cinta Allah s.w.t. Apabila cinta Allah Taala sudah memenuhi hatinya, maka barulah datang cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan makhluk-makhluk-Nya yang lain. Itulah kedudukan cinta yang betul yang menerbitkan kemanisan iman yang tiada taranya. Malangnya umat Islam hari ini tidak memahami konsep 'al-Aulawiyat' ini. Mereka dengan mudah terjerumus dengan cinta makhluk-Nya sehingga sanggup dikongkong oleh nafsu tamak, rakus, bakhil dan mengutamakan keuntungan dunia tanpa had dosa atau pahala. Akhirnya kebinasaan dan kerugian yang terpaksa diratapi dan disesali apabila jasad mereka menjadi bahan makanan kepada cacing dan ulat di dalam tanah.


Di dalam al-Quran Allah s.w.t. memberi amaran kepada manusia melalui firman-Nya

Katakanlah (wahai Muhammad) jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq. (At-Taubah: 24)


Hal ini kerana cinta yang hakiki bukan diukur berdasarkan pandangan mata makhluk atau kerana tuntutan hawa nafsu semata, tetapi lebih mengikut pandangan Allah Taala yang dialirkan ke dalam hati setiap makhluk-Nya. Malah semua anugerah Allah Taala kepada manusia seperti nikmat kebaikan, kemewahan, hidup dan mati semuanya adalah rahmat dan kasihan belas-Nya pada kita yang kadang-kadang gagal difahami falsafah sebenar di sebalik pemberian tersebut. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita melalui sabdanya yang bermaksud: Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan dan mengerumuni talam hidangan mereka.'' Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?'' Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu ramai sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan.'' Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu wahai Rasulullah?'' Nabi s.a.w. menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati. (Riwayat Abu Daud)


Justeru itu Islam telah menyusun dan mengatur tatacara berkorban dengan kemas dan sempurna supaya kita memahami pengajaran di sebalik peristiwa agung tersebut. Falsafah daripada pensyariatan ibadat ini nanti akan mengekalkan ingatan kita kepada lambang cinta agung Nabi Ibrahim yang mengorbankan puteranya Nabi Ismail demi cinta dan taqarrub mereka kepada Allah s.w.t.


Firman-Nya yang bermaksud:


Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. (Al-Baqarah : 186)

Kedai tutup: Presiden MCA salahkan Aidil Adha


Harakahdaily

KOTA BHARU, 18 Nov: Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek sekali lagi cuba mencetuskan isu untuk membelasah PAS semalam apabila mempersoalkan mengapa kebanyakan kedai di Kota Bharu tutup sempena sambutan Aidil Adha.

“Disebabkan Hari Raya Haji, semua kedai nampak tertutup untuk sambutan ataupun ini adalah arahan daripada majlis tempatan? Ia sunyi di Kota Bharu,” soal Chua di Twitter walaupun sememangnya umum diketahui bahawa sambutan Hari Raya Haji di Kelantan dan beberapa negeri lain adalah jauh lebih meriah berbanding Hari Raya Aidilfitri.

Kenyataan bekas Menteri Kesihatan yang pernah terpalit dengan skandal seks apabila videonya dengan seorang wanita tersebar di khalayak ramai, menerima kritikan keras daripada ahli parlimen Batu, Tian Chua yang menyelar Chua cuba menjadikan cuti sambutan Aidil Adha sebagai satu isu.

Kenyataan Chua turut dibidas oleh para pengikutnya di Twitter sehingga beliau dituduh sebagai seorang ahli politik yang bangkrap idea.

“Reportlah polis. Minta suruhanjaya diraja. Buat demo ke,” cabar seorang pengguna Twitter Noor Azam yang juga kelihatan tersinggung dengan kenyataan Chua.

Ini bukan kali pertama presiden MCA itu menonjolkan kedaifannya terhadap hal-hal berkaitan Islam.

Pada bulan Ogos yang lepas, Chua telah menimbulkan kontroversi apabila mengatakan antara negara yang mengamalkan rasuah terdiri daripada negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam.

Beliau turut mendakwa pertarungan keIslaman antara Umno dan PAS sebagai punca utama negara terperangkap dalam golongan negara berpendapatan sederhana untuk sedekad yang lalu.

Kenyataan Chua tersebut menerima kritikan pedas dari ahli politik kedua-dua sisi dan disebabkan itu, sebagai jalan keluar bekas menteri Kesihatan telah menyalahkan online portal Malaysiakini dan The Malaysia Insider kerana 'salah memetik' kenyataannya.

Selasa, 16 November 2010

PAS: Media tidak beretika perlu diajar


Nov 16, 10 1:07pm

Ketua Dewan Pemua PAS Pusat, Nasrudin Hasan menegaskan, memang layak media yang tidak beretika mesti diajar sebagai teladan untuk mereka mengkaji semula laporan yang berat sebelah, lapor HarakahDaily.

Berucap pada malam penutup Karnival Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum malam semalam, beliau berkata tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah melarang media pro Umno membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) merupakan reaksi biasa sebagai protes bukanya menghalang kebebasan media.

"Tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan memang patut sebab media pro-Umno buat liputan berat sebelah berkaitan banjir. Media hanya tumpukan pada sumbangan Kerajaan Pusat, seolah-olah menidakkan bantuan kerajaan negeri. Lepas tu hentam tanpa bagi peluang Menteri Besar menjawab," terangnya.

Sebagai contoh, katanya ketika bantuan Dewan Pemuda PAS Pusat yang berkampung di Kubang Rotan di mana mangsa banjir diberikan sumbangan dan disajikan gulai daging lembu pada hari pertama, pada hari kedua pula ayam masak merah manakala hari ketiga gulai telur ikan masin.

“Bila hari ketiga, datang TV3 dan terus menemu ramah mangsa yang dihidangkan gulai telur ikan masin. Mereka buat cerita bukan-bukan kononnya mangsa diberikan hidangan yang tidak seberapa, ada pilih kasih dan seumpamanya.

"Itulah kejahatan yang dibuat, mereka mencipta isu demi kepentingan Umno dan Barisan Nasiona (BN). Mereka meninggalkan etika yang mengkehendaki bersikap jujur dan tulus pada sebarang laporan," jelasnya kecewa.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyifatkan, laporan yang dibuat oleh media pro-Umno itu didalangi oleh beberapa individu yang sengaja mengambil kesempatan berlakunya banjir terburuk yang melanda Negeri Kedah.


Beliau juga yakin peristiwa yang berlaku itu tidak akan mendorong rakyat untuk kembali ke pangkuan Umno yang telah membohongi mereka sejak 50 tahun lalu.

"Rakyat Kedah pasti tahu cerita sebenar apa yang berlaku. Semua itu pembohongan media pro Umno yang senantiasa mencari ruang untuk mereka mengucar-kacirkan pemerintah Pakatan Rakyat,” katanya.

Jumaat, 12 November 2010

Pemain billiard terkenal dunia pula peluk Islam


Harakahdaily

MASHAD (Iran), 12 Nov: Pemain billiard terkenal dunia, David John (gambar) mengumumkan dirinya memeluk agama Islam dalam satu upacara di bandar Mashad, Iran timur laut.

Upacara itu turut dihadiri oleh Ketua Pendidikan Jasmani, Ali Saeid Lou dan Imam Sayyed Reza Taghavi, menurut Taqrib News Agency (TNA).

David pernah menajdi juara EBSA, kejohanan billiard yang penting di peringkat dunia, pada tahun 2002 dan 2003.

Sebelum ini, adik ipar bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair, Lauren Booth, memeluk Islam selepas menziarahi makam Fatimah al-Masumeh di bandar Qom, Iran sekembalinya ke Britain enam minggu lalu.

Booth, 43, wartawan penyiaran di Press TV, saluran berita bahasa Inggeris Iran adalah adik kepada Cherie Blair, isteri bekas perdana menteri Britain itu.

"Setelah menziarah makam Fatimah Al-Masumeh itu, saya merasa suatu kejutan spiritual, nyaman dan tenteram," katanya kepada akhbar The Mail.

David John menukar namanya menjadi Davood setelah memeluk Islam (Davood sama dengan David mengikut nama Iran) dan berkata, "Revolusi terjadi dalam diri saya ketika saya sampai di Mashad. Saya berharap bahawa selama ini saya boleh menjadi seorang Muslim lebih baik lagi belajar," katanya.

"Saya pernah menjadi jurulatih di Dubai, Qatar dan Bahrain untuk beberapa tahun dan selama itu saya sudah begitu akrab dengan Islam," tambah David.

"Ketika saya datang ke Iran, saya tertawan dengan budaya Iran dan setelah menuju ke Mashad saya memutuskan untuk memeluk Islam," tegas David.

Ketika upacara, Imam Sayyed Reza Taqhavi mengucapkan selamat kepada kemasukannya dalam Islam sambil menyebut, "pandangan kita terhadap Non-Muslim dan Muslim adalah humanistik."

"Menghormati semua manusia adalah salah satu peraturan dalam Islam," kata Imam Sayyed Reza Taqavi.

PAS harap SPRM berani tangkap 'jerung'


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Nov: Rakyat sekali lagi sedang memerhati apakah akan ada sebarang tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pesalah 'jerung' seperti yang didedahkan Ketua Audit Negara dalam laporan audit 2009 baru-baru ini.

Bagi PAS, mereka mahu SPRM berani berani bertindak khususnya terhadap 15 kes penyelewengan termasuk di Kementerian Pertahanan yang melibatkan sejumlah RM310,000 wang rakyat digunakan untuk persiapan bilik VVIP.

Ianya termasuk kos set lampu (chandelier) RM10 000, home theatre RM12,000, kertas dinding (wallpaper) RM95,800 dan set sofa RM13,000.

"Setiap kali laporan audit dikeluarkan menyebabkan rakyat yang prihatin sesak dada kerana memikirkan bagaimana wang negara dibelanjakan semacam harta emak bapa mereka, tanpa memikirkan rakyat yang masih ramai menderita.

"Kita tentu masih ingat bagaimana Pendedahan yang dipetik dari Laporan Ketua Audit Negara 2006 tentang perbedaan ketara harga pasaran dengan harga yang dibayar untuk beberapa peralatan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), kata Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad.

Tambahnya, ramai terkejut bagaimana harga set screw driver boleh menjadi RM224.94 sedangkan harga pasaran hanya RM40, harga kamera digital kodak melonjak kepada RM8,254.29 (harga pasaran RM2,990), set pasu plastik RM42.80 (harga pasaran RM5.20), set tea 6 kerusi RM9,075 (harga pasaran RM1,500) dan 2 tonne jack RM5,741.69 (harga pasaran RM50).

Lebih menarik lagi katanya apabila pihak audit tahun 2006 tidak dapat mengesahkan 14 bayaran kemajuan 6 buah kapal peronda (Petrol Vessel – PV) Tentera Laut Diraja Malaysia yang berjumlah RM943.46 juta kepada kontraktor bagi tempoh Disember 1999 hingga Januari 2002 disebabkan baucer bayaran dan dokumen sokongan yang berkenaan telah hilang daripada simpanan Kementerian Pertahanan.

"Kos membina 6 buah PV ini ialah RM5.35 bilion. Baucer yang hilang bukan bernilai RM10, tetapi hampir RM1 bilion. Jika pegawai kerajaan yang buat tuntutan tol sebanyak RM 3 pun perlukan dokumen, tiba-tiba wang rakyat sebanyak RM 1 bilion diberi kepada kontraktor tanpa dokumen. Apa sudah jadi dengan negara kita?," soalnya.

"Apa makna laporan audit yang saban tahun melaporkan cukup baik, malangnya yang memimpin negara tidak sensitif untuk memperbaiki penyelewengan," tambahnya lagi.

Pada laporan audit negara 2008 juga melaporkan berlaku ketirisan sebanyak RM 28 bilion.

Sehubungan itu, PAS tegasnya mengharapkan SPRM bertegas dan mengheret mereka yang bertanggungjawab atas kewangan awam mesti ke muka pengadilan, termasuklah jerung yang bertaraf menteri.

Pengerusi Kada lebih minat tumpu bola sepak


Wartawan Kita

KOTA BHARU, 12 Nov: Sepatutnya Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) memberi fokus kepada pembangunan tanaman padi, namun pengerusinya sekarang memberi tumpuan lebih kepada bola sepak.

Keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri dan pihak lain terpaksa membantu Kada dengan mengambil inisiatif memperluaskan tanaman padi.

Usaha tersebut termasuk dilakukan Kijang Care dengan menanam padi organik menggunakan kaedah SRI (Sistem of Rice Intensification) di bendang Tunjung.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, kawasan seluas 20 ekar di Tunjung dikhususkan bagi menanam padi organik dan sekarang memasuki musim keempat.

“Kawasan itu tetap dikekalkan sebagai kawasan penanam padi biar pun di kawasan sekelilingnya sedang pesat membangun,” katanya menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (PAS- Kemuning) pada persidangan Dun, semalam.

Husam berkata, peranan bagi membangunkan tanaman padi sebenarnya berada di bawah Kada, namun pengerusinya sekarang Tan Sri Annuar Musa nampaknya memberi tumpuan kepada bola sepak.

“Jadi kita bantu popularkan tanaman padi organik yang sepatutnya diusahakan oleh Kada,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Nik Mazian Nik Mohamad (PAS-Gaal), kata beliau kerajaan negeri dicadang menyediakan tempat khusus sebagai membangunkan ladang padi secara besar-besaran.

Menurutnya kawasan berbukit juga boleh dimanfaatkan dengan tanaman padi seperti di Indonesia yang diusaha secara optimum oleh penduduk.

Pada persidangan Dun Isnin lalu Datuk Omar Mohamad (PAS-Perupok) mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Kelantan bagi membolehkan sektor pertanian dibangunkan dengan lebih tersusun.

Hujah itu turut disokong Hanifa Ahmad (PAS-Pengkalan Pasir) dan Datuk Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubur) supaya Perbadanan Kemajuan Pertanian benar-benar diwujudkan bagi mencapai hasrat menjadikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara.

Ketika menjawan soalan asal Noor Zahidi, Husam berkata, Perbadanan Kemajuan Tunjung diwujudkan sebagai agensi yang mengawal pembangunan di kawasan berkenaan.

“Namun tugas bagi membangunkan bandar baru itu di bawah Tunjung Development Corporation iaitu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan,” katanya.

Menurutnya juga kerajaan negeri akan menyediakan ruang perniagaan kepada peniaga kecil di Dataran Rakyat di Tunjung.

Kata beliau bangunan setinggi tiga tingkat akan dibina bagi menyediakan 300 lot perniagaan berkeluasan 10 x 13 kaki persegi ditawar dengan harga RM75,000.

Peniaga kecil yang berminat boleh mendapat pinjaman bank dan hanya perlu menjelaskan bayaran bulanan sebanyak RM519.

Sementara itu pagi tadi Adun baru Galas, Abdul Aziz Yusoff mengangkat sumpah dan ikrar taat setia di hadapan Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim.

Pada pilihan raya kecil Dun Galas 4 November lalu, Abdul Aziz mengatasi calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed dengan majoriti 1190 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima dari PAS

Khamis, 11 November 2010

Kerajaan penting ubah suai kediaman PM dari naikkan Cola


Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 11 Nov: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar membidas jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa negara akan mengalami implikasi kewangan yang besar jika menaikkan elaun sara hidup (Cola) kepada kakitangan awam.

Mahfuz berkata, kerajaan sering memberikan alasan sedemikian apabila melibatkan keperluan rakyat namun berbelanja besar untuk kepentingan pemimpin Barisan Nasional.

"Saya kesal dengan pendirian kerajaan itu. Untuk kakitangan awam,kerajaan selalu berhujah ia akan beri implikasi yang besar kepada negara.

"Bila Ceupacs minta bonus,alasan yang sama diberikan,mereka kata akan menelan belanja RM3.1 bilion. Tapi kerajaan tak kisah pun untuk beri peruntukan RM65 juta untuk ubah suai kediaman Perdana Menteri," kata Mahfuz dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Naib Presiden PAS itu turut menegaskan, beliau tetap berpendirian bahawa elaun Cola mesti dinaikkan untuk meringankan beban kakitangan awam.

"Saya tetap pertahankan bahawa kerajaan harus beri bayaran Cola tambahan kepada kakitangan awam.

"Saya cadangkan paling kurang kenaikannya sebanyak RM100. Itu paling kurang kerana beban yang ditanggung kakitangan awam ini dengan kos hidup yang meningkat.

"Tidak memadai dengan kerajaan memberikan bayaran penuh sebanyak RM500 yang diumumkan dalam bajet 2011 kononnya untuk bantu persekolahan.

Petang semalam, Nazri sewaktu penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 di peringkat Jabatan Perdana Menteri memberitahu cadangan kenaikan elaun itu tidak dapat dipertimbangkan kerana memberi kesan kepada kewangan negara.

Banjir: Kedah bantu sampai pakaian dalam


Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 11 Nov: Dr. Hayati Othman (PAS-Pendang) menjelaskan, kerajaan negeri Kedah bukan sahaja menyediakan dapur gas, bantuan makan, malah juga keperluan-keperluan lain termasuk pakaian dalam kepada mangsa banjir negeri itu.

Beliau berkata demikian sebagai menambah celahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2011 di Dewan Rakyat pagi ini.

"Kita bukan sahaja bagi gas, benda-benda lain pun kita bagi, tuala wanita, kain batik, seluar dalam, baju dalam pun kita bagi.

"Saya terlupa nak bawa hari ini," katanya.

Mencelah sekali lagi, Mahfuz berkata, "nanti kita bawa kat menteri sekeping".

Kedua-dua mereka membangkit perkara itu bagi menjawab tuduhan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil bahawa kerajaan PAS Kedah lepas tangan dan lambat bertindak membantu mangsa banjir.

Mahfuz sewaktu mencelah sebelum itu berkata, tindakan Muhyiddin dan Shahrizat itu bukan sahaja menghina kerajaan negeri Kedah, malah juga kakitangan awam negeri itu.

Katanya, pemimpin Umno di peringkat pusat seolah-olah langsung tidak menghargai kakitangan awam yang bertungkus lumus menyampaikan bantuan yang disalur kerajaan negeri.

"Kita ucap terima kasih kerana tuduhan itu menyebabkan kemarahan kakitangan kerajaan negeri Kedah kepada Umno BN.

"Mereka pagi, malam berendam air bah tetapi dinafikan pimpinan Umno pusat," katanya.

Kerajaan Pusat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jelasnya hanya membantu mangsa banjir tidak lebih dari beras, sardin dan telur, namun tidak menyediakan dapur gas untuk memasak.

(Gambar: Ketua kampung Pakatan Rakyat, Saudara Leman (berbaju hitam berkain pelikat) bersama Pemuda PAS Kampung Belukar, Changloon, membantu angkatan tentera dari kem 305 bukit kayu hitam menurunkan bot untuk membantu mangsa banjir di kampung mereka pada malam pertama baniir besar menyerang Kedah. Foto Azlan Jan)

Kerajaan negeri bagaimanapun bertindak segera menyediakan kemudahan tersebut bagi memudahkan mangsa yang dipindahkan.

"Masalah dia, dapur tak bagi. Saya tak tahu la kerajaan masih fikir orang kampung masak pakai kayu api.

"Sedangkan kerajaan negeri sedia dapur gas" katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Bagi Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian), tindakan mengatakan kerajaan Kedah lepas tangan adalah keterlaluan.

"Kita masih ingat, banjir di Johor 2006. Kita bantu sana dua fasa, kita tak pernah pun mengeluarkan perkataan kata kerajaan BN Johor tak ambik tahu. Tak pernah begitu.

"Kami bukan nak mintak puji sangat kerajaan Kedah, kita cuma mahu keadilan diberikan, jangan sampai kata lepas tangan," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semalam memaklumkan kerajaan negeri telah membelanjakan hampir RM2 juta membantu mangsa banjir.

Bandar Satelit Islam dijangka siap 2012


Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 11 Nov: Kemajuan Projek Bandar Stalite Islam, Pasir Tumboh kini telah sampai ke tahap 40 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2012 atau pun awal 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata, projek itu sebagai penambahbaikan kepada Pondok Pasir Tumboh, dengan mengekalkan struktur asalnya.

“Dijadikan sebagai tempat ibadat, pusat pengajian agama Islam, dilengkapkan dengan hotel serta kedai,” katanya pada persidangan Dun, kelmarin.

Beliau berkata, Projek Bandar Satelit Islam satu projek usahasama antara Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dengan sebuah syarikat swasta, MSO Corporation Sdn Bhd.

Sementara Produk Pelancongan Kandis, Bachok seluas tujuh ekar dalam kawasan Pondok Moden (Pusat Pengajian Pondok), Bachok pula dibangunkan dengan kos RM18 juta.

Dibangunkan hotel apartmen yang ketinggiannya 16 tingkat, mempunyai 107 unit bilik apartmen, sama ada berbentuk satu bilik, dua bilik dan juga tiga bilik bagi satu-satu unit, terletak di dalam kawasan Pondok yang berkonsepkan berkonsepkan ‘Bakti Katil’ dan ‘Perkongsian Masa’ (times sharing syarie) di samping disediakan untuk pesara-pesara dan pelajar IPTA.

“Dengan konsep ‘Bakti Katil’ di mana sasarannya ialah untuk jutawan anak-anak Kelantan yang berada di perantauan, mereka boleh menempatkan keluarga mereka, manakala konsep ‘Perkongsian Masa’ pula membolehkan pembeli memberi sewa kepada orang lain atau menetap sendiri dalam tempoh beberapa hari atau waktu.

“Sementara ‘Hotel Untuk Pesara’ pula membolehkan sama ada pesara berkenaan menetap di situ atau menetap ketika pulang dari perantauan.

“Dan pembinaan hotel itu ‘mengadunkan’ suasana antara masjid dan pondok serta antara laut dan kawasan rekreasi untuk percutian,” katanya.

Mengenai pelancongan kesihatan, Takiyuddin menjelaskan bahawa pihak kerajaan negeri tidak bermasalah dalam membangunkan sektor itu.

“Setakat ini kerjasama dengan pihak Kementerian Pelancongan tidak timbul masalah,” katanya.

Kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini pada 2009 ialah seramai 4.8 juta orang yang terdiri daripada 4.2 juta pelancong domestik, manakala pelancong antarabangsa ialah 0.6 juta.

Sementara itu, jumlah kemasukan pelancong bagi 2010 ialah 78.76 peratus.

Selasa, 9 November 2010

Umno anjur karaoke di penempatan Orang Asal


Wartawan Kita

KOTA BHARU, 8 Nov: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini diberitahu Umno didakwa menganjur program tidak sihat di penempatan Orang Asal semasa kempen pilihan raya kecil Dun Galas baru-baru ini.

Wakil kerajaan negeri mendedahkan program terbabit iaitu disko dan karaoke yang diadakan di penempatan terbabit.

Sedangkan kata anggota Exco, Abdul Fattah Mahmood kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam cuba mendekatkan penduduk di penempatan terbabit dengan kefahaman agama.

Malah satu sumber lain pula memberitahu ada pihak dipercayai didalangi Umno membawa minuman arak dan disaji kepada penduduk Orang Asal.

“Kita membawa ustaz untuk mengajar mengenai agama kepada Orang Asal di penempatan mereka. Namun dalam masa yang sama Umno menganjurkan karaoke dan disko.

”Ini menggambarkan di satu ketika kerajaan bimbang gejala sosial begitu parah sekarang, dan dalam masa yang sama menganjur pula program menjurus kepada keruntuhan akhlak,” katanya menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (PAS-Kemuning).

Sepanjang kempen pilihan raya kecil Galas, enam daerah mengundi membabitkan penduduk Orang Asal iaitu Lojing, Sungai Ber, Belatim, Balar, Bihai dan Hau dikawal ketat agensi kerajaan pusat diketuai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Jabatan itu difahamkan turut dibantu pasukan tentera dan Rela serta beberapa agensi lain milik kerajaan pusat.

Ketika menjawab soalan asal Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok) Abdul Fattah berkata, kerajaan negeri telah menggubal beberapa enakmen bagi mengekang masalah sosial di negeri ini.

Katanya, enakmen tersebut memberi kuasa bagi mencegah kegiatan maksiat berlaku di negeri ini.

”Ketika kerajaan negeri berusaha keras bagi menangani gejala maksiat, sebaliknya perdana menteri pula mencetus idea mewujudkan hub hiburan malam.

”Biar pun program itu dicadangkan dalam bajet yang dibentangkan perdana menteri bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, namun kesan kepada keruntuhan gejala sosial akan menjadi lebih parah.

”Apa yang dcadangkan itu secara tidak langsung akan menghancurkan masa depan generasi muda yang bakal menjadi pemimpin pelapis pada masa depan,” katanya.

Abdul Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ihsan, Belia, Sukan dan NGO berharap Datuk Seri Najib Razak mengkaji balik cadangan tersebut kerana impak negatif lebih besar.

Malah katanya, ramai pelajar Malaysia yang berada di luar negara menyatakan bantahan terhadap cadangan perdana menteri mewujudkan hub hiburan malam.

Amalan terbaik di bulan Zulhijah

Sempena kedatangan bulan zulhijah,apa kata kita perbaiki diri dan dekatkan diri pada Allah SWT.Bulan Zulhijah adalah antara bulan yang mulia dalam Islam..Bulan Zulhijjah bukanlah bulan hanya bagi tetamu Allah tetapi bulan istimewa bagi seluruh umat Islam yang peka dengan waktu-waktu yang dimuliakan oleh Allah dan bijak mengambil peluang bagi meraih curahan rahmat, maghfirah (keampunan) dan keredaan-Nya.

Sesungguhnya pada kejadian Allah SWT terdapat benda-benda, masa-masa, tempat-tempat dan insan-insan yang dibesarkan dan dimuliakan oleh-Nya.

Di antaranya ialah kaabah, Hajar Aswad, zamzam, bulan Ramadan, hari Jumaat, 10 terawal bulan Zulhijjah, Mekah, Madinah, Baitul Maqdis, para Nabi, Rasul dan sebagainya. Antara amalan yang dianjur Islam dalam bulan ini ialah:

1.Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya :
Sabda Nabi Salla Allah alaihi wa sallam : Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga.

2.Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah – . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Taala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi :
Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu.

Dari Abu Said al Khudri Radhia Allah anhu berkata : Rasulullah Salla Allah alaihi wa sallam bersabda :
Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun (muttafaq alaih).

Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah anhu bahawa Rasulullah Salla Allah alaihi wa sallam bersabda :
Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

Kita juga disunatkan berpuasa pada hari Arafah kerana Rasulullah SAW bersabda:“Puasa pada hari Asyura akan mengkafarahkan dosa setahun (sebelumnya). Manakala puasa hari Arafah, akan mengkafarahkan dosa dua tahun; setahun sebelumnya dan setahun selepasnya yang akan datang”.

3.Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Taala yang bermaksud :
(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum),

Hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu Umar Radhia Allah anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya :
Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).

Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha (ahli feqah) di kalangan Tabiin (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu [Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Taala yang bermaksud :

(Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas nimatNya menghidayat kamu).
Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala doa yang baik.

4.Bertaubat dan meninggalkan segala masiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana masiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah anhu, Baginda Nabi Salla Allah alaihi wa sallam bersabda :

Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya (muttafaq alaihi).

5.Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Taala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6.Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.

7.Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Taala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah anha bahawa Nabi Salla Allah alaihi wa sallam bersabda :

Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya

dan di dalam riwayat lain :

Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Taala, maksudnya :

(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya).

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklahberusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan masiat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan denganketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.

Di antara dua solat hari raya, solat Aidil Adha lebih afdal daripada solat Aidilfitri kerana terdapat nas dari al-Quran yang menyebut tentangnya, sebagaimana firman Allah SWT: Oleh itu, kerjakanlah solat (Aidil Adha) kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (al Kauthar: 2)

Dalil ini juga menunjukkan bahawa ibadah yang dituntut pada Aidil Adha bukan setakat ibadah jasad iaitu solat tetapi juga ibadah yang melibatkan pengorbanan harta iaitu melakukan korban.

Isnin, 8 November 2010

Sultan Kelantan, Nik Aziz dan Mustapa berlepas menunaikan haji rabu ini


November 08, 2010
Sultan Kelantan dan Nik Aziz (kanan) akan berlepas ke Mekah Rabu ini. — gambar fail
KOTA BARU, 8 Nov — Sultan Kelantan Sultan Muhammad Ke V akan berangkat ke Mekah untuk menunaikan haji Rabu ini, menurut Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad.

Baginda akan berangkat bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Ini menunjukkan sikap Tawadak KDYMM Tuanku yang begitu memberi perhatian kepada agama,” kata Abdul Halim dalam kenyataan di sini hari ini.

Sultan Kelantan, Nik Aziz dan Mustapa yang akan ke Mekah menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) dijangka pulang ke tanah air pada 23 November ini, katanya. — Bernama

Tiada pegawai Kelantan rasuah sejak 1990


Wartawan Kita

KOTA BHARU, 8 Nov: Sejak PAS menerajui Kelantan pada Oktober 1990 sehingga sekarang tidak ada pegawai kerajaan yang didapati terbabit dengan kesalahan rasuah.

Nombor sifar itu diberitahu Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob (gambar) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.

Pegawai terbabit dari golongan profesional dari gred N41 hingga N54.

Bagaimanapun menurutnya bilangan kakitangan sokongan dari gred N1 hingga 28 yang terbabit dengan kesalahan rasuah dicatat sebanyak 15 kes.

“Bagi kes jenayah pula hanya mencatat lima kes membabit pegawai profesional negeri sejak 1990 sehingga 2010.

“Manakala bagi kakitangan sokongan pula sebanyak 14 kes bagi kesalahan jenayah,” katanya menjawab soalan Zulkifli Mamat (PAS-Pulai Chondong).

Timbalan Menteri Besar berkata, kejayaan itu adalah hasil daripada dasar Membangun Bersama Islam yang diterap kerajaan negeri kepada kakitangan awam sejak 1990 sehingga sekarang.

Katanya, dasar itu berjaya diselami dalam jiwa setiap kakitangan kerajaan negeri sehingga mengelakkan diri daripada kegiatan rasuah dan jenayah.

Menjawab soalan tambahan Mohamed Mustapha (PAS-Demit) katanya, buku panduan dasar Membangun Bersama Islam akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Kita lakukan selaras dengan tuntutan agama,” katanya.

Khurafat: Zambry dinasihat segera bertaubat


Harakahdaily

IPOH, 8 Nov: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain (gambar) menasihatkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir segera bertaubat dan mengakui kesilapannya yang terpalit dengan perkara khurafat.

Menurutnya, adalah tidak wajar jika Menteri Besar Perak itu masih mempertahankannya sedangkan ianya jelas bercanggah dengan akidah umat Islam.

Zambry juga jelasnya cuba mengalihkan kesilapannya meletak ancak di tiang seri rumah dengan membangkitkan isu menyalakan lilin memperingati kematian Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock yang disertai Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dan Khalil Idham Lim (Adun Titi Serong).

"Zambry sepatutnya mengakui kesilapan dia dan segeralah bertaubat.

"Perbuatan meletak ancak ke tiang seri, mengantungkan buah kelapa muda di tiang seri rumah, menanam tahi besi, emas, perak, tembaga pada setiap tiang seri rumah dan menepung tawar sebagai upacara memulih rumah tersebut adalah khurafat.

"Sebenarnya upacara tersebut tidak lebih daripada upacara menjamu jin dan tidak ada kena mengena dengan keselamatan dan kesejahteraan penghuni rumah itu," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar rakyat Perak menjauhi amalan tersebut, atau mana-mana amalan yang boleh menggugat akidah umat Islam.

"Akidah merupakan perkara teras dalam kehidupan umat Islam, jika akidah tergugat maka seluruh amalan yang lain turut tidak diterima Allah SWT," katanya.

Zambry semasa program Projek Infra Bina Upaya di Kampung Guar, Manong di Kuala Kangsar pada 17 Oktober lalu dilaporkan meletak ancak di tiang seri rumah kononnya untuk mengelakkan gangguan jin dan syaitan.

Ekoran itu juga, Dewan Pemuda PAS Perak mendesak Mufti negeri, Tan Sri Harussani Zakaria memberi teguran kepada Zambry yang didakwa telah mengadakan upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

Mereka juga telah menyatakan kesediaan bertemu Menteri Besar Perak itu bagi menjelaskan juga beza antara ritual yang lakukan Zambry dengan program menyalakan lilin yang disertai Nizar.

Banyakkan cawangan, aktif sebar maklumat



Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 8 Nov: Kekalahan PAS di Galas memerlukan parti itu memperbanyakkan cawangan aktif di kawasan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Cawangan yang aktif, katanya penting bukan sahaja dalam usaha menyampaikan maklumat tepat, malah sebagai duta PAS mendampingi masyarakat.

"Pengajaran besar adalah kita perlu banyak cawangan bergerak.

"Saya harap PAS negeri banyakkan cawangan," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas faktor kekalahan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas 4 November lalu.

Pada PRK itu Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed mendapat 4,134 undi berbanding calon BN, Abdul Aziz Yusof 5,324 undi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, kebanyakan PAS kalah adalah di kawasan pedalaman di mana parti itu tidak mempunyai cawangan yang aktif.

Sebaliknya, rakyat bandar dan pinggir bandar masih mengekalkan sokongan kepada PAS seperti PRU 2008 lalu.

"Trend rakyat bergantung kepada maklumat. Bila rakyat tidak dapat maklumat, kita sukar untuk menang," katanya lagi.

Faktor tersebut juga, ujarnya membezakan kenapa PAS mampu mengekalkan pemerintahan Kelantan namun tidak di Terengganu.

"Saya bangga PAS Kelantan mampu bertahan lebih 20 tahun walaupun dikepung segenap penjuru.

"Bezanya dengan Terengganu adalah kerana Kelantan mempunyai banyak cawangan yang bergerak," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Selain maklumat tidak sampai, faktor besar kekalahan PAS, katanya adalah padang permainan tidak sama rata.

PAS, katanya bukan sahaja berdepan BN, malah berdepan kerajaan itu sendiri.

"Kita tak rasa hairan dengan keputusan itu, bahkan kita merasa hairan jika kita menang.

"Kita ada pengalaman, kita pernah kalah pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, tapi bila pilihan raya umum, kita menang.

"Pilihan raya kecil tidak boleh menjadi ukuran sebenar pilihan raya," katanya.

Beliau bagaimanapun turut mengucapkan terima kasih kepada petugas PAS dan Pakatan Rakyat yang bertungkus lumus menjayakan kempen PAS di Galas.

Beliau juga menolak pendapat sesetengah pihak yang mendakwa tsunami politik 2008 berhenti di Galas.

Menurutnya, arus perubahan khususnya di kalangan pengundi muda masih berlaku dan akan terus berlaku jika mereka mendapat akses maklumat.

"Kita lihat mereka yang berpendidikan tinggi, tidak suka kepada BN. Ini satu perkembangan yang baik," katanya

Zaid tarik diri, letak semua jawatan PKR


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Nov: Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dan meletak semua jawatan dalam parti itu.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan membuat keputusan itu kerana tidak ada usaha dari pimpinan parti untuk mengatasi pelbagai masalah manipulasi dan amalan pemilihan yang tidak adil, walaupun isu itu diungkit berkali-kali.

“Saya ditawarkan untuk bergabung dengan parti ini di bawah kepercayaan bahawa saya boleh mempromosikan politik progresif, memelihara dan mengembangkan nilai-nilai politik berprinsip dan budaya yang saya anggap penting bagi perkembangan demokrasi dan tata pemerintahan yang baik di negara ini.

“Aku salah,” tulisnya di dalam blognya http://www.zaiduntukrakyat.com hari ini.

Selama pemilihan parti, katanya peristiwa telah menunjukkan bahawa kepimpinan secara aktif membenarkan tindakan penyelewengan dan penipuan untuk mencapai tujuan yang dirancang.

Beliau yakin bahawa setiap parti politik dengan nilai-nilai munafik dan palsu tidak akan boleh menawarkan reformasi yang bererti bagi rakyat.

Begitupun, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang telah menyokongnya dan menempatkan mereka di jalan reformasi.

Keputusan yang diambil itu, ujarnya adalah kekecewaan sepenuhnya bahawa beliau tidak boleh meneruskan proses pemilihan yang cacat.

“Saya tetap komited untuk menyebabkan pembangkang dan akan terus bercakap tentang isu-isu rakyat jelata. Kita akan terus bersama meneruskan perjuangan terhadap kerajaan yang lebih baik untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau berharap para peminat Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi menganggapnya sebagai spoiler menyekat perjalanan ke Putrajaya.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails