Selamat Datang

Isnin, 26 Mac 2012

PAS sokong demo hapus hutang PTPTN sebelum p'raya


Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu berkata PAS akan menyokong tindakan kumpulan pelajar yang akan mengadakan satu perhimpunan untuk menuntut supaya Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan.

Katanya, PAS juga akan menyokong tuntutan supaya hutang PTPTN yang ditanggung pelajar kini dihapuskira oleh kerajaan menjelang pilihan raya akan datang.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan memandangkan kerajaan sanggup menghapuskira pinjaman mudah yang diberikan kepada golongan korporat yang mempunyai kaitan dengan Umno.

Mohamad berkata, kerajaan perlu menghapuskira hutang berkenaan sebagai tanda "kasih sayang" kepada para pelajar dan juga sebagai satu bentuk pelaburan kepada golongan muda ini.
Beliau mengaitkan perkara itu dengan tindakan kerajaan melupuskan pinjaman sebanyak kira-kira RM589 juta yang ditanggung tokoh korporat Tan Sri Tajudin Ramli daripada Pengurusan Danaharta Nasional Bhd.
"PAS akan menyokong (perhimpunan) kerana bila Tajudin Ramli seperti dilaporkan Malaysiakini, hampir RM600 juta (hutang) dilupuskan. Kenapa pelajar yang berhutang RM3,000, RM4,000, RM6,000 tak boleh dihapuskira?

"Golongan korporat yang diberi pinjaman mudah boleh dihapuskira.  Tapi pelajar yang akan berkhidmat kepada negara dipaksa untuk membayar hutang dengan begitu rakus dan kasar," kata Mohamad lagi dalam satu sidang media hari ini.

Mohamad berkata, perhimpunan berkenaan akan dirancang oleh kumpulan pelajar dan PAS akan menyokong usaha itu.
Ketika dihubungi selepas itu, Mohamad berkata perhimpunan tersebut antara lainnya akan diketuai kumpulan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan juga Solidariti Mahasiswa Malaysia.
"Tarikhnya mereka belum tahu lagi bila," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata PAS juga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan Terengganu yang menarik balik biasiswa ke atas sembilan orang pelajar tajaan negeri itu.
Pelajar di universiti Mesir itu dikenakan tindakan berkenaan kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan BERSIH 2.0 pada Julai tahun lalu.
Katanya, PAS mengutuk tindakan kerajaan Terengganu merupakan tindakan keterlaluan, zalim dan menganiaya anak Melayu.
Tambahnya, Dewan Pemuda PAS akan menghantar satu memorandum "dalam masa terdekat" untuk menyampaikan tuntutan berkenaan.
"Kalau tidak ada apa-apa perubahan daripada tindakan menarik biasiswa maka kita akan bincang peguam untuk ambil tindakan," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails