Selamat Datang

Selasa, 20 Mac 2012

Isu gadai tanah seperti cerita kedai kopi

M Faqih , 20 Mac 2012
PASIR MAS, 20 Mac: Bagi ramai pemerhati politik akhbar Umno yang dianggap lambang perjuangan Melayu telah kehilangan identiti sebenar berbanding ketika diasaskan pada 1939.

Ketika itu hasil pengorbanan sekelompok kecil orang Melayu di Singapura, Utusan Melayu dilahir bagi memperjuangkan nasib orang Melayu dalam aspek sosial, ekonomi, pelajaran dan politik.

“Sebaliknya hari ini akhbar Melayu itu menjadi alat propaganda bagi memburukkan negeri orang Melayu yang bukan diterajui Umno,” kata Bendahari PAS Kelantan, Hanifa Ahmad.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah melahirkan rasa hairan bagaimana akhbar terbabit boleh mendakwa tanah rizab Melayu di Kelantan tergadai.


“Ini hanya satu propaganda yang bersifat murahan. Ia pasti muncul setiap kali menjelang pilihan raya.

“Agenda mereka cukup jelas bagi mengelirukan rakyat. Namun sekarang perkembangan media baru rakyat boleh mendapat maklumat dengan cepat dan mudah,” katanya di sini.

Akhbar terbabit dalam siri laporan khas hari ini dan semalam mendakwa banyak tanah rizab Melayu di Kelantan tergadai.

Dalam laporan semalam akhbar itu menyebut status quo tanah rizab Melayu di Kelantan kini menjadi tanda tanya apabila semakin banyak dipajak kepada syarikat bukan bumiputera.

Dan hari ini pula didakwa hampir 60,000 hektar tanah milik Ladang Rakyat dipajak kepada syarikat swasta sehingga menyebabkan penduduk kampung teraniaya.

Hanifa yang juga Adun Pengkalan Pasir berkata, tidak ada satu pun tanah yang dibangun agensi kerajaan negeri dengan usahasama pihak swasta diberi milik kepada syarikat.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi menafikan laporan akhbar Umno terbabit dan menjelaskan  Ladang Rakyat tidak pernah memajak tanah kepada mana-mana syarikat swasta.

Katanya, syarikat swasta hanya diberi izin mengusaha hasil tanaman kelapa sawit di atas tanah tersebut dalam tempoh tertentu.

“Tanah-tanah tersebut adalah milik Ladang Rakyat dan tidak timbul sama sekali tanah berkenaan dipajak kepada syarikat swasta. Laporan berkenaan tidak berasas,” katanya.

Bekas pegawai kanan kerajaan di Kota Darulnaim pula berkata, laporan khas dibuat Utusan hanya sekadar persepsi dan tanggapan tanpa ada fakta yang menyakinkan.

Menurutnya laporan seperti itu lebih mirip kepada cakap-cakap kedai kopi yang tidak mampu membina minda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails