Selamat Datang

Selasa, 20 Mac 2012

Pakatan Rakyat tidak akan sertai PSC Lynas


Anis Nazri, 20 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 20 Mac: Pakatan Rakyat memutuskan untuk tidak menyertai Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi mengkaji isu Lynas setelah mendakwa jawatankuasa itu tidak memberikan ruang kepada mereka untuk menyatakan pendapat.

Keputusan itu berikutan kekecewaan mereka apabila kerajaan tidak memenuhi syarat yang dicadangkan, iaitu kerajaan perlu mengeluarkan arahan henti kerja, tarik balik permit kerja sementara (TOL) dan hentikan 'import rare earth concentrate'.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, yang jelas kecewa dengan ucapan penggulungan menteri, berkata beliau mengharapkan penubuhan PSC ini akan menjadi satu platform bebas bagi memahami masalah rakyat.

Malangnya, kata beliau melihat dari perbahasan dan penggulungan menteri, harapan tersebut tidak akan menjadi kenyataan.


"Kita bersedia untuk terlibat dalam PSC, tetapi melihat kepada apa yang berlaku hari ini, kita tidak boleh bergantung kepada badan itu untuk menjadi satu platform kepada rakyat," tegas beliau pada sidang media, di lobi parlimen, hari ini.

Sebelum itu, ahli parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan setelah kecewa dengan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika penggulungan perbahasan mengenai penubuhan PSC.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata Pakatan Rakyat terpaksa menolak PSC memandangkan penubuhannya tidak memberikan sebarang makna kepada rakyat, khususnya rakyat Kuantan.

"Kita memang mahu berkongsi segala maklumat, tapi nampaknya ia tidak menjadi kenyataan.  Memang hari ini merupakan hari yang paling sedih kepada rakyat Malaysia," kata beliau.

Terdahulu, perbahasan tentang penubuhan PSC ini menjadi hangat apabila kebanyakan ahli parlimen kerajaan berucap seolah-olah menyokong projek Lynas, yang dibina di Gebeng, Pahang sebelum sidang berhenti rehat tengahari tadi.

Kemudiannya, selepas dewan kembali bersidang pada sebelah petang, kekecohan terus berlaku apabila ahli parlimen Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Nazri.

Ketika ditanya tindakan susulan Pakatan Rakyat ekoran keputusan tersebut, Fuziah berkata beliau menyerahkan kepada rakyat untuk bertindak selepas ini.

"Biarlah rakyat yang memutuskannya," kata beliau.

Turut serta pada sidang media itu ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; dan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat.

DAP sebelum ini membuat keputusan untuk tidak menyertai jawatankuasa itu kerana ia hanya akan menjadi fait accompli (yang telah diputuskan) atau alat untuk menghalalkan loji nadir bumi syarikat Australia itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, PSC juga akan menjadi alat Barisan Nasional untuk memaksa orang awam menerima loji Lynas tanpa mempedulikan soal keselamatan, alam sekitar dan kesihatan rakyat.

“DAP akan mencadangkan kepada kepimpinan Pakatan Rakyat supaya tidak membenarkan BN menggunakan penyertaan PR untuk menghalalkan loji Lynas, bagi memastikan PR tidak akan terlibat dengan apa-apa bencana alam sekitar yang mungkin berlaku pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails