Selamat Datang

Khamis, 8 Mac 2012

Kemelut Kedah: Biduk lalu kiambang bertaut

08 Mac 2012


1.            Saya merakamkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT di atas penyelesaian yang telah berlaku di Kedah setelah melalui kemelut dalam isu perlantikan exco baru-baru ini. Kesediaan kedua-dua orang exco untuk menggalas tugas yang sebelum ini enggan menerima jawatan mereka saya kira merupakan satu titik noktah terhadap krisis yang melanda PAS Kedah ini.

2.            Saya minta kepada semua pendokong perjuangan Islam agar dapat bangun pada malam ini untuk menunaikan qiyamullail dan mendirikan solat tanda syukur kepada Allah SWT terhadap penyelesaian yang sungguh bermakna ini.

3.            Kemelut ini saya kira sungguh istimewa, yang biasa didengar khususnya berlaku dalam kelompok sekular ialah pihak-pihak bertelagah kerana inginkan jawatan, tapi di Kedah, kemelut berlaku apabila ada pihak yang menolak jawatan. Di dalam silibus pengajian sekular, jawatan ialah lubuk untuk mencari kekayaan, membina empayar perniagaan dan pengaruh, justeru mana mungkin ia boleh ditolak begitu sahaja. Bahkan jika terbukti melakukan penyelwengan sekalipun, masih enggan untuk meletakkan jawatan!

4.            Saya simpati terhadap 'tupai-tupai' yang melompat keseronokan ketika kemelut ini berputik kerana mereka menjangka akan dapat 'menikmati buahnya'. Sayangnya, putik tidak menjadi masak, tupai pula jatuh kehampaan.

5.            Alhamdulillah, inilah kaedah PAS melakukan penyelesaian. Krisis boleh ditangani dengan pertemuan dan mendengar luahan semua pihak. Di Kelantan, pernah beraku krisis melibatkan pertembungan antara Menteri Besar dan wakil rakyat kerajaan iaitu pada tahun 1978, jalan yang diambil bukannya perbincangan dan pertemuan, tetapi MAGERAN yang menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan pada masa itu. Berbezanya antara dua penyelesaian membuktikan berbezanya dasar yang digunakan, satu dasar Islam dan satu lagi dasar sekular!



HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails