Selamat Datang

Sabtu, 31 Oktober 2009

Tabiat Jalan dakwah


Jalan dakwah merupakan jalan yang susah dan panjang. Wujud pertentangan yang di antara yang hak dan batil di atas jalan ini. Oleh itu ia memerlukan kesabaran dan ketekunan dalam memikul bebanan yang berat. Malah ia memerlukan kemurahan hati, pemberian dan pengorbanan tanpa mengharapkan balasan hasil yang segera tanpa putus asa dan putus harapan.

Fiman Allah swt yang mafhumnya;
' Alif Lam Min. Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan kami telah beriman pada hal mereka tidak diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka. Lantaran itu Allah mesti mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta.'(Al-Angkabut:1-3).

Sesungguhnya apa yang ditemui oleh para duat di jalan Allah adalah berupa gangguan dan penyiksaan dari golongan thaghut dan musuh-musuh Allah yang mahu menghapuskan mereka, memusnahkan dakwah mereka atau menghalang mereka itu dari jalannya. Mereka ini takut kuasa mereka tergugat dan akan musnah apabila yang hak bangun dan tegak untuk menghapuskan kebatilan.

Firman Allah swt yang mafhumnya,
'Sebenarnya Kami melontarkan yang hak kepada yang batil, lalu yang hak itu menghancurkannya, maka drngan serta merta yang batil itu lenyap'(Al-Anbiyaa:18).

Bagi menghalakan terkaman dan cengkaman mereka ke atas jalan dakwah danpara pendukung dakwah, mereka terlebih dahulu akan mereka-reka berbagai tuduhan yang paling keji dan dusta.Tuduhan-tuduhan yang jahat dan dusta itu mereka lemparkan kepada para pendukung dakwah. Merka menggambarkan kepada manusia bahawa para pendukung dakwah ini adalah musuh bangsa dan musuh orang ramai supaya orang ramai akan bangun menentang mereka seperti apa yang dilakukan oleh Firaun dan pembesar-pembesarnya terhadap Nabi Musa.

Firman Allah swt yang mafhumnya;
'Dan berkatalah Firaun (kepada pembesar-pembesarnya): Biarkanlah aku membunuh Musa dan hendaklah dia memohon kepada Tuhannya, kerana sesungguhnya aku khawatir dia akan menukarkan agamamu atau menimbulkan kerosakan di muka bumi ini(Al-Mukmin:26).

Jumaat, 30 Oktober 2009

Kufur Ni'mat , Negara Tenat


Dizaman yang serba maju dan canggih ini, tidak hanya orang yang miskin dan tidak berharta sahaja yang berhutang. Malahan mereka yang kaya dan berharta juga menanggung bebanan hutang. Keadaan ini berlaku kerana terlalu mengikut kehendak hawa nafsu yang berlebih-lebihan. Dalam kata lain, mereka ini telah berbelanja melebihi kemampuan atau berbelanja berlebih-lebihan dengan membeli barang-barang yang tidak perlu. Mereka juga berbelanja bagi barang-barang yang tidak sesuai dengan kehidupan dan kemampuan mereka.

Mereka ini sanggup berhutang bagi membeli rumah, kereta, peralatan hiasan dan perabot yang mewah. Rumah yang telah sempurna diubahsuai lagi menjadi lebih besar dan luas. Kenderaan yang baik ditukar dengan kereta yang lebih besar atau lebih mewah. Perabot rumah yang sedia ada digantikan dengan yang mahal dan lebih cantik lagi. Semuanya ini menambahkan lagi perbelanjaan dan hanya semata-mata untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu sahaja. Dalam keadaan kewangan atau pendapatan yang tidak mencukupi terpaksalah pembelian tersebut dibuat secara berhutang.

Akhirnya hutang menjadi beban yang sudah tidak lagi dapat ditanggung lagi. Maka bebanan hutang yang tidak dibayar sudah menjadi hutang lapuk. Hutang ini seterusnya ditanggung oleh negara seperti hutang cukai tanah, hutang peribadi, hutang pinjaman perniagaan dan sebagainya. Jumlah hutang ini sangat besar dan sekiranya ia dibayar maka ia dapat menjana ekonomi negara dengan lebih besar lagi.Oleh itu waspadalah dengan perbelanjaan yang dibuat agar tidak dibebani oleh hutang.

Khamis, 29 Oktober 2009

Jalan Dakwah


Jalan dakwah adalah jalan yang satu. Di atas jalan inilah Rasulullah saw dan para sahabat baginda berjalan dengan taufiq dari Allah swt. Mereka berjalan dengan berbekalkan iman,amal,kasih sayang dan persaudaraan. Rasulullah menyeru mereka kepada iman, amal dan kemudiannya menyatukan hati-hati mereka di atas dasar cunta dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan iman dan kekuatan aqidah dengan kekuatan persatuan. Jadilah jamaah mereka jamaah contoh tauladan. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya mesti menang walaupun ditentang oleh semua penghuni muka bumi ini.

Seruan dakwah Rasulullah saw tersemat kukuh di hati mukminin sehingga mereka berusaha untuk menanamkan keimanan di hati umat Islam supaya mengamalkannya di segala kegiatan hidup mereka. Allah akan menolong mereka, membantu mereka dan menunjukki ke jalan yang benar dan lurus.

Tujuan berdakwah adalah untuk menuju kepada Allah swt. Kita beriman kepadaNya. Kita melihat segala sesuatu untuk Dia didalam hidup kita. Kita beribadah kepadaNya dengan segenap kesungguhan. Kita mencari redhaNya di segala usaha kita dari sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besar perkara di dalam segala kehidupan kita dengan penuh ikhlas, tulus yang sempurna dan yakin yang sebenar-benarnya bahawa disitulah terletaknya bahagia yang sejati, hidayah yang hakiki dan kejayaan yang hakiki.

Tugas dan kepentingan dakwah adalah sangat besar dan agung iaitu memimpin dunia, mengajar kemanusiaan seluruhnya kepada sistem Islam, cara hidup Islam, ajaran yang baik dimana manusia tidak mungkin bahagia tanpanya. Tugas ini adalah tugas yang bukan tugas juziah, suku-sukuan atau sebahagian-sebahagian atau hanya untuk mencapai tujuan yang terbatas dalan jurusan tertentu sahaja seperti politik,ekonomi atau sosial. Bahkan bukan hanya untuk daerah atau tempat tertentu atau terbatas kepada satu bangsa atau tanahair tertentu sahaja. Ia adalah satu tugas yang agung meliputi segenap jurusan hidup kepada seluruh manusia dan kemanusiaan sejagat atau seluruh makhluk Allah swt demi kebaikan dan kebahagian yang paling sempurna.

Firman Allah swt yang mafhumnya;
' Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu' (Az-Zariat: 50)

Balasan kepada mereka yang menjalankan kerja-kerja dakwah sangatlah besar. Sudah tentulah apa yang ada di dunia ini sangatlah kecil melainkan balasan Syurga yang seluas langit dan bumi dan disediakan di dalamnya apa yang tidak pernah dilihat oleh mata tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di dalam fikiran. Di sana mereka akan bersama-sama dengan nabi-nabi, para siddiqin, para syuhada dan para solihin sebagai sebaik-baik sahabat. Bahkan mereka terselamat dari azab neraka dan kemuncaknya ialah mendapat keredhaan Allah swt.

Firman Allah swt yang mafhumya;
' Dan keredhaan Allah swt adalah lebih besar, itu adalah keberuntungan yang besar'. (At-Taubah: 72)

Khamis, 22 Oktober 2009

Berhati-hati dari mensia-siakan masa





Banyak masa yang hilang dari kita dengan sia-sia dan berlalu pergi menelan umurnya. Tanpa disedari ia merupakan wabak yang melandai manusia itu sendiri. Gejala ini disebabkan oleh beberapa faktor iaitu lalai, tangguh menangguh, gejala kecuaian.

Lalai

Kelalaian merupakan wabak yang telah meresapi dan meracuni buah fikiran dan jiwa raga manusia hingga apa yang berlaku di waktu siang dan malam sudah tidak menjadi perhatian. Orang yang lalai telah luput darinya segala ingatan. Al-Quran telah memberi amaran dengan sekeras-kerasnya kepada mereka yang lalai dan leka. Malahan Al-Quran meletakkan darjat orang orang yang lalai ini lebih sesat dari binatang. Firman Allah swt yang mafhumnya:

'Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakkan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah dan mereka mempunyai mata tetapi tidak dipergunakan untuk melihat tanda-tanda kekuasaan Allah, dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah. mereka itu sebagai binatang-binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai'.(Surah Al-A'raf: 179)

Kelalaian merupakan suatu bala' yang menimpa ke atas umat kita amnya. Berbagai-bagai tragedi yang berlaku seperti gempa bumi, tsunami dan sebagainya tetapi mereka tidak berubah seolah-olah tidak mendapat pengajaran dan perubahan. Jiwa raga mereka beku dan kaku tidak ubah seperti penonton-penonton yang menyaksikan babak-babak drama. Syadina Abu Bakar pernah berdoa,

' Ya Allah, Jangan biarkan kami di dalam kesesatan. dan Janganlah ambil kami di waktu lalai. Dan janganlah jadikan kami dari golongan yang lalai.

Sahlun bin Abdullah pernah berpesan: 'Awas dari bersahabat dengan tiga jenis manusia;

a. Ulama yang munafik
b. Golongan tasawwuf yang jahil
c. Pemimpin kejam yang lalai.

Selasa, 20 Oktober 2009

Muslimat Pembangun Ummah






Muslimat memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ummah. Allah swt tidak membezakan antara peranan kaum muslimin dan muslimat. Masing-masing mempunyai peranan tersendiri walaupun terdapat perbezaan antara keduanya dari segi hak dan tugas mereka dibidang ibadat atau kemasyarakatan. Perbezaan ini berlaku kerana tabiat semulajadi yang hikmahnya hanya diketahui olah Allah swt. Umpamanya muslimat tidak diwajibkan menunaikan fardhu Jumaat. Begitu juga muslimat hanya mendapat separuh daripada bahagian muslimin dalam pembahagian harta pesaka.

Namun begitu peranan muslimat bolehlah dibahagikan kepada tiga golongan iaitu muslimat sebagai isteri,muslimat sebagai ibu dan muslimat sebagai anggota masyarakat. Peranan muslimat sebagai seorang isteri adalah untuk memberi ketenangan kepada suaminya. Sebagaimana Allah swt telah berfirman yang mafhumnya,

'Dan di antara tanda keagungan Allah itu bahawa ia menjadikan bagi kamu daripada diri kamu sendiri isteri-isteri supaya kamu dapat menenangkan jiwa kamu disampingnya. Dan Allah menjadikan di kalangan kamu itu rasa kasih sayang dan rahmat. Sesungguhnya pada yang demikian itu (tanda yang jelas) bagi orang yang berfikir.(Surah Ar-Rum:21)

Walaupun demikian tidak semua isteri boleh memenuhi peranan ini kerana terdapat juga isteri yang tidak selari aqidah dan pemikirannya dengan para suami sehingga menyebabkan berlakunya masalah. Ini jelas dilihat dalam firman Allah swt yang mafhumnya,

'Allah swt telah mengadakan suatu contoh bagi orang kafir, (iaitu) isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut dimana isteri-isteri itu berada dibawah naungan dua orang dari hamba-hamba kami yang soleh, lalu isteri-isteri itu mengkhianati suaminya masing-masing. maka tidak terdaya oelh suami mereka untuk menyelamatkan mereka dari azab Allah walaupun sedikit, dan isteri-isteri itu diperintah supaya memasuki neraka bersama-sama mereka yang memasukinya.(surah At-Tahrim:10)

Tindakan isteri-isteri nabi Nuh dan nabi Lut itu berlawanan dengan ajaran Allah swt apabila mereka menambahkan kesulitan terutama kepada suami masing-masing yang sedang menjalankan tugas dakwah Islamiyyah. Kedudukan mereka sebagai isteri Nabi-Nabi tidak dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah. Berbeza dengan kedudukan isteri Firaun (Asiah binti Muzahim)yang menjadi contoh teladan apabila beriman dengan Allah swt walaupun hidup dibawah naungan seorang suami dan kerajaan yang kafir. Ini dapat dilihat dalam firman Allah swt yang mafhumnya,

'Dan Allah swt membuat contoh yang baik bagi mereka yang beriman(iaitu) isteri Firaun ketika dia berkata: Ya Allah! binalah bagiku sebuah rumah disampingmu di dalam syurga. Selamatkanlah aku dari Firaun dam amalan jahatnya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim itu.'(surah At-tahrim:11)

Bertapa pentingnya isteri yang solehah, Nabi Muhammad telah bersabda di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari yang maksudnya

' Tidak sesuatu yang lebih bermanafaat bagi seorang mukmin selepas dari bertaqwa kepada Allah swt selain dari isteri yang soleh, apabila dia memerintah sesuatu, ditaatinya, apabila dipandang kepadanya dia digembirakan olehnya dan apabila dia membuat giliran, diterimanya dengan senang hati dan apabila dia ketiadaan di rumah, menjaga dia akan dirinya dan harta benda suaminya.'

Suri teladan yang baik boleh didapati daripada Ummul Mukminin Khadijah bt Khuwailid, Ummu salamah dan lain-lainnya. Khadijah bt Khuwailid bukan sahaja hartawan tetapi tidak pernah bersikap angkuh dan sombong terhadap suaminya. Malahan segala hartanya disumbangkan untuk perjuangan Islam selain dari semangat yang tidak pernah luntur ditiupkan kepada Rasulullah.

Kisah yang berlaku kepada Rasulullah yang pulang ke rumah dalam keadaan terketar-ketar lalu disuruh isterinya Khadijah menyelimutkannya. Apabila baginda merasai sedikit ketenangan lalu diceritakan peristiwa yang berlaku di gua Hira' lalu dengan lemah lembut khadijah menjawab, "Bertenanglah wahai anak bapa saudaraku. Demi orang yang berkuasa terhadap Khadijah, saya harap semoga kamu menjadi nabi kepada umat ini". Kata-kata Khadijah ini menghilangkan rasa gelisah Rasulullah saw.

Begitu juga kisah baginda semasa berlakunya Perjanjian Hudaibiyyah di mana Rasulullah menyuruh para sahabat bercukur dan menyembelih dam tetapi tidak dilakukan oleh mereka. Lalu Rasulullah masuk ke khemah dan mengadu kepada Ummu salamah. Ummu Salamah pun memberi padangan agar baginda sendiri dahulu bercukur dan menyembelih dam. Nescaya perbuatan baginda akan diikuti oleh para sahabat dan ternyata isteri baginda itu dapat menolong menyelesaikan masalah baginda.

Isnin, 19 Oktober 2009

AMAR MA'RUF NAHI MUNGKAR


Allah swt berfirman yang mafhumnya,

'Hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari melakukan yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung.'(Surah Ali Imran: 104)

Dalam masyarakat diwajibkan sekumpulan orang yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh mereka berbuat ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar kerana ia adalah sebesar-besar syariat atau syiar Islam. Tugas ini merupakan tugas utama umat Islam dan ia adalah asas yang penting di dalam Islam yang mesti dipelihara. Dengan menjaga asas ini maka akan luruslah segala perkara dan baiklah segala hajat iaitu segala yang hak dan benar akan berdiri dengan teguh. Sebaliknya jika ia diabaikan maka bererti merintangi segala hak dan melanggar segala batasan dan lahirlah yang batil dan salah.

Melakukan tugas ini merupakan satu tugas yang wajib dan perintah yang tidak boleh diabaikan sama sekali. Allah swt tidak akan menerima alasan yang tidak benar atau uzur yang tidak logik yang diberikan oleh sesetengah orang dalam mengelakkan diri untuk melakukan tugas ini.

Didalam sebuah hadith, Rasulullah saw telah bersabda,

' Barangsiapa yang melihat kemungkaran di antara kamu, maka hendaklah ia merubahnya dengan tangannya. jika tidak mampu, maka dengan lidahnya. Dan jika tidak mampu pula maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman,'

KEADILAN DALAM AL-QURAN





Dalam bahasa arab, 'adl bererti gabungan nilai moral dan sosial yang melambangkan keadilan, keseimbangan, kesederhanaan dan kelurusan. Nabi Muhammad saw telah dianugerahi dengan nilai keadilan dalam dirinya. Oleh itu apabila baginda melihat kezaliman dan penginayaan yang meluas dalam masyarakatnya, baginda berusaha mengukuhkan susunan dan keharmonian dengan menekankan nilai agama supaya tahap keadilan yang berbeza dapat diiktiraf.

Baginda menjadi pengislah sosial dan keputusannya menjadi contoh penyelesaian masalah yang timbul dalam generasi selepasnya. Malahan baginda menyelesaikan masalah seharian berdasarkan kebenaran, keseimbangan dan keadilan.Diskriminasi dan perasaan tidak berperikemanusiaan tidak pernah wujud dalam diri baginda. Tindakan baginda memperbaiki status wanita, pembebasan hamba dan larangan membunuh anak-anak merupakan contoh perjuangan keadilan yang baginda lakukan.

Didalam Al-Quran terdapat amaran kepada orang Islam supaya menjauhi perbuatan zalim dan penindasan. Orang Islam juga dinasihatkan agar menunaikan keadilan dalam memenuhi tanggungjawab agama. Terdapat lebih dua ratus ayat di dalam al-Quran yang menyentuh tentang ketidakadilan. Disamping itu terdapat lebih seratus ayat al-Quran yang menyebut tentang keadilan.

Firman Allah swt yang mafhumnya,

'Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan dan melarang melakukan perbuatan keji dan mungkar dan kezaliman.'(Surah al-Nahl:90)

'Sesungguhnya Allah swt menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil' (Surah An-Nisa:58)

Al-quran menekankan prinsip ketulusan,kesaksamaan dan kesederhanaan kerana ia merupakan nilai hakiki.

Sabtu, 17 Oktober 2009

TAQWA


Firman Allah swt di dalam al-Quran:

' Wahai Orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepadaNya, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam'.(Surah Al-Baqarah: 102)

Allah swt telah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman agar bertaqwa kerana Allah telah menghimpunkan didalam sifat taqwa itu segala kebaikan dunia dan akhirat. Kita diperintah supaya bertaqwa kepada allah agar mendapat kejayaan, kebahagiaan dan kemenangan melalui rahmat Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya.

Taqwa bermaksud melaksanakan perintah Allah swt dan meninggalkan laranganNya secara zahir dan batin dengan merasakan kebesaran hakiki hanyalah milik Allah swt dan kehebatan,ketakutan dan rasa cemas hanya terhadap Allah swt.

Tiada suatu kebaikan di dunia ataupun di akhirat, kebaikan zahir atau batin melainkan taqwa yang menjadi penyebab yang menghantarkita kepadaNya dan tiada suatu kejahatan pun di dunia ataupun di akhirat, kejahatan zahir atau batin melainkan taqwa yang bakal menjadi dinding yang kukuh dan benteng yang teguh untuk menyelamatkan kita atau melepaskan kita dari bencanaNya.

'Bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah beserta orang-orang yang bertaqwa' (Surah Al-Baqarah: 194).

'Dan tidak ada seorang pun daripadamu, melainkan mendatangi neraka itu. Hal itu bagi Tuhanmu adalah suatu kemestian yang sudah ditetapkan. Kemudian kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa.'(Surah Mariam:71-72)

Allah swt telah menyatakan bahawa dengan bertaqwa, banyak kebaikan-kebaikan dan kebahagiaan yang akan diperolehi. Di antaranya ialah

  1. Allah swt beserta dengan orang-orang yang bertaqwa.
  2. Mampu menyelesaikan kekeliruan atau kemusykilan
  3. Menjadi penebus kesalahan dan penyuci dosa
  4. Menyelamatkan dari api neraka
  5. Terpelihara dari tekanan hidup dan mendapat rezeki yang melimpah ruah
  6. Dijanjikan syurga
  7. Mendapat kemuliaan dunia dan diakhirat.

Jumaat, 16 Oktober 2009

Kewajipan muslim terhadap masa


Masa amat penting di dalam sepanjang hidup manusia. Maka seiap muslim berkewajipan menjaga masa-masanya dengan penuh teliti supaya masa-masanya itu dapat digunakan untuk mempertingkatkan lagi prestasi keimanan, amalan dan perlaksanaannya.

Diantara kewajipan seorang muslim terhadap masa ialah
  1. Menjaga masa merupakan tugas utama manusia. Setiap detik perjalanan masanya wajib diawasi agar ia dapat dimanafaatkan untuk agama dan dunianya, untuk kebaikkan dan kebahagiaan ummah disudut pembangunan rohani dan kebendaan. Setiap masa hendaklah dipenuhi dengan pengisian amal dan kerjabuat yang berguna.
  2. Berlumba-lumba ke jalan kebaikan dalam menilai dan menghargai masa oleh setiap yang beriman. Setiap masa dan waktu hendaklah diisi dengan pekerjaan yang mendatangkan kebaikan. Al-Quran telah mengalakkan manusia supaya berlumba-lumba mengerjakan kebaikan. 'Bagi semua kaum ke arah manapun mereka menghalakan muka, Dialah juga Tuhannya. Maka berlumba-lumbalah kamu semua mengerjakan kebaikkan. Di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu semua'. (Surah Al-Baqarah: ayat 148).
  3. Menjadikan peredaran masa sebagai suatu pengajaran bagi setiap yang beriman. Setiap detik peredaran masa dari siang bertukar menjadi malam dan hasil prosesnya dari masa ke semasa akhirnya yang baru akan menjadi lama, umur yang panjang akan menjadi pendek, kanak-kanak menjadi dewasa dan yang tua akan berkubur. Allah telah berfirman yang mafhumnya ' Allah menjadikan malam dan siang. Sesungguhnya hasil dari pertukaran itu untuk menjadi pengajaran bagi orang yang mengerti'.(Surah An-Nur: Ayat 44).

BALA' DAN MUSIBAH





Gempa bumi yang telah berlaku di Padang, Indonesia baru-baru ini merupakan satu ujian dari Allah swt kepada manusia. Kejadian tersebut boleh dikatakan sebagai satu bala' atau musibah yang menimpa agar manusia kembali semula mengingati kepada penciptaNya Allah Yang Maha Esa. Sesungguhnya dalam memperkatakan bala' atau musibah ini, boleh dibahagikan kepada tiga.

Yang pertama, bala' yang diterima oleh utusan Allah seperti yang diterima oleh nabi Allah Ayub. Penyakit yang menimpa nabi Ayub sangatlah dasyat sehinggakan meliputi seluruh tubuhnya kecuali lidah dan hatinya. Musibah ini merupakan ujian Allah kepada nabi Ayub bukan disebabkan maksiat yang dilakukan tetapi hanya untuk melihat sejauhmana kesabaran beliau. Akhirnya Allah menyembuhkannya berkat kesabaran yang tinggi pada Nabi Ayub.

Kedua, bala yang diturunkan secara umum kepada semua manusia tanpa mengira mereka terdiri daripada golongan manusia yang baik dan taat kepada Allah atau tidak. Musibah ini akan menimpa semua orang sebagai satu ujian dan peringatan kepada manusia. Oleh itu hendaklah ada dikalangan manusia ini yang berdakwah iaitu menyeru kepada kebaikan dan melarang melakukan maksiat.

Ketiganya ialah bala yang ditimpa kepada manusia yang melakukan maksiat kepada Allah secara berleluasa dan terang-terangan. Keadaan manusia masa ini hidup penuh dengan kemaksiatan lalu Allah akan menurunkan bala' dengan segera sebagai balasan yang dasyat lagi keras di atas perbuatan manusia tersebut.

Oleh itu sebagai hamba Allah, kita perlu bersyukur di atas ni'mat yang dikurniakan Allah kepada kita. Jangan sesekali kita melakukan maksiat kepada Allah dan hendaklah kita menjadi orang yang sanggup menegur perbuatan maksiat yang berlaku disekeliling kita agar Allah tidak menurunkan bala' atau musibahnya ke atas kita. Sesungguhnya azab Allah itu amat keras lagi pedih.

MASA: AL-QURAN DAN SUNNAH


Al-Quran dan sunnah sangat memberi perhatian mengenai masa. Ia merupakan suatu ni'mat yang dianugerahkan oleh Allah, swt kepada manusia. Penjelasan ini dinyatakan di dalam Al-Quran dalam mafhumnya ,

'Dan Dia telah menundukkan bagimu Matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya) dan telah menundukkan bagimu malam dan siang. Dan Dia mengurniakan setiap permintaan kamu itu, Dan jika kamu hendak memperhitungkan segala ni'mat Allah, nescaya kamu tidak mampu untuk menghitungnya.' (Surah Ibrahim:Ayat33-43)

Demi pentingnya masa, Allah swt telah bersumpah dipermulaan ayat al-Quran dan diantaranya di dalam surah Al-'Asr (ayat 1-2)seperti berikut:
'Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian'.

Di kalangan para ulama' telah menafsirkan, apabila Allah bersumpah dengan nama-nama makhluk ciptaannya seperti nama hari dan sebagainya adalah bertujuan untuk menerangkan kepada manusia betapa bernilainya masa dan kesan peredaran masa kepada manusia. Semua manusia akan disoal-jawab tentang masa yang digunakan oleh mereka di hadapan Allah swt di hari qiamat kelak.

Didalam hadis, telah diriwayatkan oleh Mu'az bin Jabal yang maksudnya,
'Setiap hamba di hari qiamat tidak akan dapat mengorak langkah menuju kemana-mana selagi dia belum selesai disoalsiasat tentang empat perkara iaitu tentang umur dimanakah dihabiskan sewaktu di dunia dahulu?, dimasa remajanya, bagaimanakah dia menghadapi ujian diwaktu itu?, tentang hartanya, dimana dia diperolehi dan bagaimana dia membelanjakanya?, tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmunya itu?'

Oleh itu sewajarnya kita hendaklah berhati-hati dalam menggunakan masa dan waktu yang telah dikuniakan Allah agar segala kerjabuat dan amalan kita hendaklah berada dalam keadaan mentaati perintah Allah dan menjauhi segala larangaNya.

MUQADDIMAH

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnia dan rahmatnya dapat saya menyiapkan laman blog saya ini dengan bantuan anak saya. Terima kasih kepada semua diatas sokongan dan bantuan yang telah diberikan oleh isteri dan anak-anak saya dalam menyiapkan blog ini. Semoga apa yang akan ditulis di dalam blog ini akan dapat memberi manafaat kepada semua yang membacanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails