Selamat Datang

Isnin, 12 Mac 2012

Memahami konsep parti yang berkuasa

Dr Mujahid Yusof Rawa, 11 Mac 2012
Tindakan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu bukanlah sesuatu yang pelik, ia merupakan satu pendekatan bagi memastikan konsep parti yang berkuasa dapat dilaksanakan dalam bentuknya yang positif.

Ramai yang salah anggap bahawa konsep parti yang berkuasa adalah sesuatu yang buruk, ada pula penulis upahan menganggap tindakan PAS Pusat menubuhkan Jawatankuasa Pemandu semacam satu keadaan untuk mengurangkan kuasa MB malah menuduh apa yang dibuat sebagai model parti komunis yang mahu menguasai pentadbiran secara rigid.

Saya yakin penulis upahan yang menulis dalam Berita Harian itu beberapa hari yang lalu samada tak faham konsep atau sengaja nak tunjukkan pada tuannya yang dia setia dan terpaksa menunjukkan 'kebodohannya' walaupun bergelar doktor falsafah.Parti politik berperanan antara lainnya bertanding dalam pilihanraya dan apabila menang ia berperanan menjadi kerajaan. Tarikan sokongan kepada parti yang bertanding ialah manifesto dan kekecewaan pengundi kepada parti yang memerintah sebelumnya.
Menjadi tanggungjawab parti yang menang melaksanakan manifesto yang ditawarkan dalam kerangka sistem pentadbiran yang ada, sebagaimana parti yang menang juga bertanggungjawab membentuk budaya pentadbiran bersesuaian dengan apa yang dilaungkan seperti, urus kelola kewangan yang bijak, ketelusan dan pertanggungjawaban.

Oleh kerana parti yang mempromosikan semua tawaran-tawaran ini dan bukan individu maka adalah normal parti yang menguasai kerajaan memastikan manifesto yang ditawarkan dijalankan secara yang terbaik dan berkesan.

Ia boleh berlaku dalam berbagai bentuk, pertama melalui kepimpinan ahli majlis permesyuaratan negeri, kedua ialah melalui semak imbang dalaman dimainkan peranannya oleh mekanisma parti.

Kedua-dua pendekatan tersebut mendapat kewajarannya dari konsep parti yang berkuasa dan apabila dirasakan perlu kepada pengukuhan maka jawatankuasa khas boleh memainkan peranannya.

Kes di Kedah adalah dari keperluan ini dan ia bukan sesuatu yang negatif tetapi pendekatan ini memastikan janji tawaran kepada rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Soal kuasa MB dikurangkan atau seumpanya adalah kenyataan politik yang tidak ada asas akademik mahupun realiti amalan pentadbiran negeri yang dipakai selama ini.

Peliknya mengenai penulis upahan ini ialah ia seolah-olah jahil bahawa BN turut mengamalkan konsep yang sama tetapi tidak pula mengkritik bagaimana konsep ini disalahgunakan dalam bentuknya yang melampau batas.

Contoh amalan negatif konsep ini yang diamalkan oleh BN ialah campurtangan pentadbiran dengan membentuk sistem penapis politik yang mengurangkan kewibawaan pentadbiran awam.

Banyak sekali aduan yang kita terima daripada kakitangan awam yang dipantau parti yang memerintah malah mengugut mereka yang mempunyai pilihan politik tertentu.

Hak memilih selera politik masing-masing bukan termasuk dalam skop kerja tetapi diceroboh oleh Umno dan BN sehingga wujudnya politik ugut mengugut oleh Umno dan BN.

Apabila kita menimbulkan persoalan ini, Umno mewajarkannya dengan konsep parti yang berkuasa. Begitu juga penafian peruntukkan untuk ahli parlimen pembangkang, mereka mewajarkan dengan konsep parti yang memerintah di peringkat federal dan ia ditentukan atas dasar tersebut.

Inilah konsep parti yang berkuasa diamalkan secara destruktif oleh BN, mengapa penulis upahan tidak menyentuhnya? PAS cuma mahu memastikan supaya rakyat mendapat yang terbaik dan ia melakukannya dengan hak yang ada padanya secara politik, sesuatu yang ia dapat dalam mandat rakyat pada PRU ke 12 baru ini.

Parti yang berkuasa mestilah diamalkan secara berperinsip dan jelas batas yang boleh diceburinya melalui mekanisma parti. Melalui amalan politik berideologi yang dipakai di Malaysia konsep parti yang berkuasa semakin menjadi keperluan, begitu juga dalam ruang demokrasi sempit yang diamalkan di Malaysia konsep ini menjadi penyelamat untuk terus menguasai keadaan.

Lainlah kita bersedia untuk melangkah kepada politik pragmatik dan bukan berasaskan ideologi dan ruang demokrasi lebih luas maka mungkin konsep parti yang berkuasa akan didefinisikan semula mengikut kadar keperluannya waktu itu.

Namun secara praktikalnya hari ini konsep parti yang berkuasa perlu dilanggani secara cermat dan batasannya mesti digariskan dengan jelas sehingga tidak menjejaskan urusan harian kerajaan negeri.

Kawalan yang positif ialah kepada dasar-dasar dan polisi pentadbiran agar tidak lari dari kerangka manifesto dan falsafah yang diperjuangkan selama ini, ia lebih kepada semak-imbang mekanisma parti.
Apa yang perlu kita bangkang ialah campurtangan parti kepada pentadbiran dan keputusan-keputusannya dengan sistem penapisan yang menggugat profesionalisma dan merendahkan kewibawaan pentadbiran.

Kita juga mesti menentang budaya ugut politik atas kewajaran kuasa sehingga timbul budaya takut dan sekaligus menjejas prestasi. Malangnya semua amalan destruktif konsep parti yang berkuasa tidak pernah diketengahkan oleh penulis-penulis upahan ini dan hanya melihat isu Jawatankuasa Pemandu untuk menyerang Pas.

Bagi saya Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan oleh PAS Pusat adalah inovasi terbaik bagi membuktikan konsep parti yang berkuasa secara berperinsip. Syabas!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails