Selamat Datang

Jumaat, 23 Mac 2012

Lynas: Najib harus tarik balik kenyataan 17 Mac


Harakahdaily, 23 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Kritikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap DAP kerana memilih untuk tidak menyertai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai loji nadir bumi Lynas dengan menyatakan bahawa penyelesaian yang tidak partisan diperlukan demi kepentingan awam adalah dikesali kerana tidak berdasarkan fakta.

“Keputusan DAP dan PR untuk tidak menyertai PSC adalah semata-mata atas kepentingan awam kerana DAP tidak mahu membantu BN untuk menutup kesalahannya dan menipu rakyat bahawa loji Lynas itu selamat,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.


Justeru, katanya Najib harus menarik balik kenyataannya pada 17 Mac yang dilaporkan oleh Bernama untuk menunjukkan keseriusan dan keikhlasan kenyataan terbarunya dalam program radio bahasa Mandarin 988 semalam bahawa Kerajaan BN tidak akan membenarkan loji nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan, untuk beroperasi sekiranya terdapat bukti saintifik yang menunjukkan bahawa ia berbahaya kepada kesihatan dan alam sekitar.

Bernama telah melaporkan kenyataan Najib pada 17.3.2012 sebagai berkata:

“Jawatankuasa pilihan khas (PSC) mengenai Lynas tidak akan membuat keputusan mengenai nasib loji nadir bumi yang berkontroversi itu. Sebaliknya, PSC itu adalah sebahagian daripada proses penglibatan awam supaya rakyat dapat memahami isu-isu berkenaan dan supaya kita boleh meyakinkan kumpulan-kumpulan yang masih sangsi sama ada projek itu selamat atau tidak. Beliau menambah bahawa beliau  mengharapkan PSC akan meningkatkan kesedaran mengenai projek itu supaya “kita boleh mencapai keselesaan dari segi penerimaan orang ramai”.

Guan Eng berkata, melihat apa yang dikatakan Perdana Menteri pada 17 Mac, PSC itu jelas direka oleh BN sebagai fait accompli untuk menghalalkan loji Lynas dan memaksa orang awam menerimanya tanpa mempedulikan soal keselamatan, alam sekitar dan kesihatan.

“Kerana ini, PR dan DAP enggan menyertai PSC untuk menghalalkan sesuatu yang pada dasarnya salah dan bercanggah dengan kepentingan awam,” tegasnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Beliau menambah, dengan mengatakan bahawa PSC itu tidak akan membuat keputusan mengenai nasib Lynas, adalah jelas bahawa PSC itu tidak relevan.

Menurutnya lagi, Najib untuk bertukar nada dengan mengatakan bahawa PSC itu merupakan 'dasar kuat untuk membuat keputusan' mengenai Lynas adalah 'flip-flop' dan bertentangan kenyataan beliau pada 17 Mac.

“Adalah jelas bahawa perubahan pendirian ini adalah hasil daripada tindakan PR untuk memboikot PSC itu,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Namun begitu, katanya ‘flip-flop’ yang berlaku itu menimbulkan soalan sama ada Perdana Menteri serius dan ikhlas untuk menutup Lynas sekiranya bukti bahaya terhadap alam sekitar, kesihatan dan keselamatan awam dapat ditunjukkan.

Guan Eng menambah, untuk membuktikan komitmen dan keseriusannya, Najib harus menarik balik secara terbuka kenyataannya pada 17 Mac, memberi arahan henti kerja serta merta kepada Lynas dan mengisytiharkan bahawa Kerajaan BN sanggup membayar pampasan sekurang-kurangnya RM700 juta yang telah dibelanjakan Lynas untuk membina loji tersebut.

Katanya, sebarang kegagalan untuk melakukan demikian hanya akan menimbulkan keraguan mengenai integriti PSC yang dipimpin Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Kahled Nordin sebagai alat politik BN untuk menghalalkan yang haram dan mewajarkan yang tidak wajar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails