Selamat Datang

Jumaat, 2 Mac 2012

Dakwaan Gani guna SPRM perlu disiasat

Wan Nordin Wan Yaakob, 02 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 2 Mac: Dakwaan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Ramli Yusuf terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang mendakwa memperguna Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus segera disiasat.

Malah timbul kebimbangan jika benar pengakuan Ramli itu, maka Malaysia sebenarnya menjurus ke arah negara Mafia andai ianya tidak diselesaikan segera, kata Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS, Suhaizan Kayat hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Ramli berhubung keterlibatan Peguam Negara dalam kes memperguna SPRM dan akhirnya menasihatkan pembebasan satu sindiket yang pada awalnya diperintahkan hukuman tahanan terhad.

Ramli berkata, tindakan Peguam Negara itu sehingga menyebabkan beliau dan pegawainya didakwa di mahkamah.

Dakwaan itu dibuat Ramli ketika menyampaikan ucapan dalam satu majlis sambutan hari lahirnya baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Suhaizan merasakan bukan sekadar satu kes sahaja seperti yang didakwa Ramli, malahan jika disiasat melalui Suruhanjaya DiRaja menyiasat Peguam Negara, pastinya banyak lagi kes akan terdedah.

"Jika benar isu ini berlaku, Malaysia memang boleh menjadi ke arah negara Mafia.Mengapa, jika benar, puncanya adalah perlakuan rasuah, rasuah diperingkat tertinggi," ujarnya kepada Harakah pada 2 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Suhaizan (gambar) yang juga Ketua Pemuda PAS Johor berkata, isu ini tidak boleh disiasat oleh polis mahupun pihak bawahan sahaja.

Sebaliknya, suatu Suruhanjaya DiRaja Menyiasat Peguam Negara harus ditubuhkan segera, kerana ianya membabitkan kedudukan seorang yang memegang jawatan penting dalam proses undang-undang negara, katanya.

"Kedudukan Peguam Negara amat penting kerana dia ada kuasa mendakwa.Jika disiasat oleh pihak bawahan, saya yakin tidak akan selesai, kerana masalah besar yang berlaku dalam negara ini ialah rasuah.Ini jika benar, harus disiasat segera," katanya lagi.

Dalam pengakuannya, Ramli berkata, kesemua dakwaan yang dihadapinya itu bermula apabila pasukannya ditugaskan untuk mengambil tindakan ke atas seorang anggota sindiket yang dihantar ke Jeli, Kelantan untuk menjalani perintah tahanan terhad.

Lelaki didakwa terlibat dalam jenayah terancang, termasuk dalam kegiatan 'Along', loteri haram, pelacuran dan juga pengedaran dadah, kata Ramli.

"Maklumat ini telah diberikan oleh timbalan menteri dalam negeri pada waktu itu (Datuk Johari Baharom) dan perkara itu dianggap "rahsia tertinggi" dan kes yang amat sulit.

"Kemudian, saya diberitahu untuk melaporkan kepada beliau secara terus selepas fail tersebut (siasatan) dilengkapkan," katanya dalam ucapan tersebut.

"Saya mengarahkan pegawai saya untuk (membuka) kes ke atas anggota sindiket itu, yang kemudiannya diserahkan kepada timbalan menteri berkenaan untuk tindakan di bawah perintah RR (tahanan terhad).

"Bagaimanapun selepas nasihat Peguam Negara, anggota sindiket berkenaan kemudiannya dibebaskan, tanpa syarat," kata Ramli.

"Sebaliknya, pegawai saya didakwa kerana mengambil kenyataan palsu dan rekaan yang melibatkan ketua polis negara pada waktu itu (Tan Sri Musa Hassan).

"Pada masa itulah AG Gani Patail memanggil fail kes asal itu, yang diklasifikasikan sebagai sangat sulit, dan menyerahkan kepada SPRM untuk mengganggu saksi," kata Ramli lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails