Selamat Datang

Khamis, 22 Mac 2012

Kelantan paling selamat, Khalid MB terbaik - Guan Eng

Harakahdaily, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar) berkata, negeri Pakatan yang paling selamat adalah Kelantan diikuti oleh Selangor dan selepas itu baru Pulau Pinang.

Ini kerana Kelantan sudah 22 tahun berada di bawah pentadbiran PAS, kata Lim Guan Eng kepada The Malaysian Insider.

Selepas ketiga-tiga negeri itu, beliau meramalkan Kedah kerana negeri itu dilanda krisis baru-baru ini.

Bagi Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, Tan Sri Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor adalah menteri besar yang terbaik.

"(Tan Sri) Khalid (Ibrahim) adalah menteri besar dan ketua menteri yang paling smart di negara ini dan dia lebih kuat berbanding dengan apa yang kita lihat sebenarnya.


“Ini sangat jelas kelihatan dalam sebarang mesyuarat dan saya fikir Selangor lebih kuat dari apa yang kita dilihat," kata Guan Eng.

Beliau berkata demikian bagi menolak andaian sesetengah pihak bahawa Pulau Pinang yang beliau pimpin adalah deposit selamat untuk Pakatan Rakyat.

Anggota Parlimen Bagan itu diserang hebat oleh ahli politik dan blog BN apabila dia dikatakan berkata Barisan Nasional boleh memakan 'telur' di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang.

"Saya tidak kata mereka akan makan 'telur'. Saya kata, jika kita kerja kuat dan kita dapat 90 peratus undi bukan Melayu dan 40 peratus undi Melayu, barulah mereka 'makan telur'. Tetapi itu agak sukar," kata Lim Guan Eng.

Beliau berkata, wartawan telah melaporkan kenyataannya itu di luar konteks kerana dia juga berkata kepada penyokongnya dalam majlis kutipan dana itu, "jangan ambil mudah yang kita akan menang kerana tiada jaminan dalam politik."

"Saya bagi senario terbaik dan senario paling buruk.  Untuk senario paling buruk kita akan kalah, untuk senario terbaik, kita akan menang semua.

"Tetapi adakah anda fikir kita akan dapat yang terbaik atau terburuk. Saya rasa tidak. Kita akan dapat yang pertengahan antara kedua-duanya tetapi kerja kena buat untuk mencapai yang terbaik," jelasnya.

Banyak pihak memuji pencapaian Pulau Pinang tetapi bagi Guan Eng, Selangor juga membuat pencapaian yang baik.

Beliau juga menolak dakwaan Umno kononnya rakyat Kelantan sudah bosan dengan kekurangan pembangunan di Kelantan di bawah PAS.

"Mereka lebih letih dengan rasuah," katanya dengan memberikan contoh kes ketua wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan keluarganya yang menyalahgunakan pinjaman kerajaan sebanyak RM250 juta untuk kepentingan keluarganya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails