Selamat Datang

Jumaat, 4 Mei 2012

Syarikat Razak Baginda di HK mencurigakan

Harakahdaily, 04 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Tinjauan Asia Sentinel terhadap syarikat bernama Terasasi di Hong Kong, yang pengarahnya ialah Abdul Razak Baginda dan ayahnya Abdul Mulim Baginda telah mendapati bahawa syarikat itu adalah syarikat misteri yang tidak diketahui punca perniagaannya.


(Abdul Razak dan isteri didakwa pemilik syarikat misteri di Hong Kong)

Terasasi, yang disenaraikan antara 142 syarikat di satu bangunan pada 3 Lockhart Road di Wan Chai Hong Kong cuma disenaraikan sebagai sebuah syarikat tempatan.

Terdahulu Asia Sentinel mendedahkan bahawa syarikat kontroversi tersebut telah digunakan untuk menerima duit komisyen sebanyak Euro 36 juta (RM144 juta) daripada pembelian kapal selam Scorpene daripada sebuah syarikat pertahanan Thales International yang berpusat di Perancis, yang lebih dikenali sebagai Thint Asia.
Wang tersebut, dakwa Asia Sentinel telah disalurkan ke akaun milik perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Laman web tersebut berkata penyaluran dan pengendalian wang haram di Hong Kong adalah satu jenayah serius, dan mempercayai bahawa pihak berkuasa di Hong Kong sedang menyiasat dakwaan yang ditimbulkan terhadap Terasasi.

Laporan yang ditulis oleh John Berthelsen, Editor Eksekutif akhbar The Standard di Hong Kong turut mendapat perhatian media Hong Kong, Ming Pao.

Menurut Merdeka Review, Ming Pao telah melaporkan pada 7 April 2012, bahawa sebuah syarikat Hong Kong diheret dalam kes ini, di mana sebuah syarikat Perancis disyaki menyogok Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia sekarang, yang menyandang jawatan Menteri Pertahanan ketika kes ini berlaku.

Hasil daripada usaha Suaram, skandal kes pembelian kapal selam Scorpene kini sedang didengar di mahkamah Perancis.


Temuramah Najib

Majistret Perancis Roger Le Loire dan Serge Tournaire yang dilantik ke Tribunal Paris Grande de Instance telah memberitahu hasrat mereka untuk menemuramah Najib dan orang kanannya satu ketika dulu Razak Baginda.

“Bagaimanapun peluang untuk pihak berkuasa Perancis untuk menerumah perdana menteri daripada sebuah negara berdaulat atas kes rasuah adalah sangat tipis, walaupun persoalan ini akan merumitkan pelan Najib untuk melawat Eropah pada masa depan,” tulis John, sambil menambah beliau tidak pasti samada pihak berkuasa Perancis sudah meminta bantuan daripada Hong Kong untuk membantu siasatan mereka.

Selain orang kanan Najib, Razak Baginda juga dinamakan sebagai kekasih kepada Altantuya Shariibu yang dibunuh kejam di Shah Alam pada 2006 setelah dikatakan datang menuntut komisyen daripada penjualan kapal selam yang dijanjikan kepadanya.

Di satu sidang Dewan Rakyat, telah didedahkan bahawa syarikat Perimekar Sdn Bhd telah menerima sebanyak Euro 114 juta (RM457 juta) sebagai komisyen pembelian kapal selam daripada satu anak syarikat Thales dan DCN, Armaris.

Perimeker pada masa itu adalah satu syarikat yang dimiliki KS Ombak Laut Sdn Bhd yang dimiliki oleh Razak Baginda dan isterinya Mazalinda.
Perimekar kini dimiliki 20 peratus setiap satu oleh LTAT and Boustead Holdings.

Menurut laporan Agence France Press (AFP), siasatan akan menjurus kepada tiga kontrak untuk kapal selam bernilai € 1.2 bilion, yang telah ditandatangani pada 5 Jun, 2002.

Berdasarkan dokumen, kontrak tersebut mempunyai dua bahagian. Menurut dokumen yang dikaji, kontrak yang dimeterai mempunyai dua komponen:

Pertama ialah penjualan dua kapal selam yang dibina oleh DCNS pembinaan kapal tentera laut Perancis dan Izar firma pembinaan kapal Sepanyol, € 920 juta;

Dan kedua ialah mengenai penghantaran "sokongan logistik" dari sebuah syarikat Malaysia, Perimekar Bhd , bernilai € 114 juta, untuk melatih kumpulan pertama anggota TLDM seramai 200 orang.

Menurut AFP, perjanjian tersebut melibatkan komisyen RM457 juta yang dibayar ke Perimekar, kontrak C5 untuk bisnes kejuruteraan yang dimeterai pada Ogos 2000 antara DCNI, sebuah anak syarikat DCN dan Thales International Asia bernilai Euro 30 juta (RM132 juta).

Yang  ketiga, ialah penjanjian rundingan yang ditandatangani pada Oktober 2000 antara Thint Asia dan Terasasi.

Menurut John, penyiasat Perancis sedang juga menyiasat satu invois yang dikeluarkan oleh Terasasi pada Ogos 2004 bernilai Euro 359,450 (RM1.44 juta) yang dihantar ke Thint Asia.

“Bagi penyiasat, perkara ini seolah-olah… menunjukkan bayaran yang dibuat ke Terasasi pada akhirnya tiba di tangan Najib, menteri pertahanan ketika itu atau Razak Baginda,” tambahnya.

Para penyiasat Perancis turut berkata Terasasi menerima bayaran daripada Thint Asia, termasuk satu bayaran berjumlah Euro 360000 (RM1.44 juta) yang disertakan dengan nota, “Razak hendakkan bayaran ini dibuat segera.”

“Tiada indikasi Razak mana yang dirujuk, Najib Razak atau Razak Baginda,” tulis beliau.

Dokumen di mahkahmah Perancis telah mendedahkan bahawa jumlah wang yang disalurkan daripada Thint Asia ke Terasasi ialah sebanyak Euro 3 juta (RM12 juta) ketika Terasasi masih di Malaysia dan Euro 33 juta (RM132 juta) tatkala ia menjadi syarikat di Hong Kong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails