Selamat Datang

Khamis, 3 Mei 2012

Umno terdesak guna isu moral lemahkan PKR

Aslani M | Foto Yusri Amin, 03 Mei 2012
PASIR PUTEH: Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali pula menjadi sasaran Umno semata-mata bagi melemahkan PKR menjelang pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Fariz Musa berkata, Azmin menjadi sasaran kerana beliau merupakan Pengarah Pilihan Raya PKR.

“Mereka mahu melemahkan PKR melalui dakwaan dan tomahan yang tidak berasas menggunakan isu moral, sedang ia sudah tidak boleh diterima orang kampung.

“Saya masih ingat perkara ini bukan baru, sebaliknya sudah 16 tahun lepas tuduhan menggunakan isu moral dilempar terhadap Azmin, tetapi ternyata segala tuduhan itu palsu,” katanya pada ceramah isu semasa dan Bersih 3.0 di Bukit Abal malam tadi.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Pasir Puteh, Dr Nik Mazian Nik Mohamad, Adun Selising, Saiful Baharin Mohamad, Setiausaha Penerangan PAS kawasan, Abdul Shakur Sharrie dan rombongan NGO Jingga 13.

Sejak dua hari lepas akhbar milik Umno menyiarkan gambar kononnya mirip pemimpin Pakatan didakwa terbabit dengan rakaman aksi panas, seperti disiarkan beberapa blog Umno.

Bagaimanapun Azmin menafikan dakwaan palsu itu dan hari ini beliau menuntut Utusan Malaysia membayar RM100 juta kerana menyiarkan gambar lucah palsu.

Peguam daripada Tetuan Edwin Lim Suren & Soh mengeluarkan surat tuntutan Azmin supaya editornya menarik balik tuduhan tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka di muka depan akhbar berkenaan.

Fariz yang juga pengerusi Jingga 13 berkata, segala tuduhan yang melibatkan moral tidak mampu lagi diterima orang ramai.

Pada ceramah tersebut Fariz menayangkan aksi ganas polis terhadap peserta Bersih 3.0 di Kuala Lumpur Sabtu lalu sehingga membangkitkan semangat orang ramai yang hadir.

Biar pun hujan agak lebat menjelang ceramah diadakan, namun orang ramai tetap hadir mengikuti perkembangan semasa terutamanya isu Bersih 3.0.

Sebelum itu Dr Nik Mazian menyampaikan bendera PAS kepada wakil-wakil Unit Peti Undi (UPU) di Dun Selising sebagai menggambarkan gerak kerja pilihan raya sudah bermula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails