Selamat Datang

Ahad, 27 Mei 2012

PAS tanding 3 kerusi di Kuala Lumpur

Hazayani Zakaria, 27 Mei 2012

(Tuan Guru Abdul Hadi menerima borang permohonan menjadi ahli PAS dari penjaja Chow Kit)

KUALA LUMPUR: PAS akan bertanding di tiga kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan iaitu Putrajaya, Titiwangsa dan Setiawangsa.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad berkata, PAS negeri sedang memberikan fokus kepada tiga Parlimen ini.

"PAS Wilayah Persekutuan meletakkan dua strategi dalam menghadapi pilihan raya umum iaitu mengekalkan kemenangan di Titiwangsa dan mencipta kemenangan baru di Parlimen Setiawangsa dan Putrajaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily selepas taklimat jentera PAS Wilayah Persekutuan bersama Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di bangunan Yayasan Selangor, Kampung Baru, hari ini.
Beliau berkata, persiapan PAS di Wilayah Persekutuan sudah mencapai 80 peratus selain memberi tumpuan kepada isu-isu tempatan sebagai kempen pilihan raya.

"Kita telah menggerakkan jentera yang kita atur di semua peringkat di samping mengumpul dana yang perlu dan setakat ini persiapan kita telah hampir sempurna tinggal lagi bagaimana kita nak menghadapi beberapa isu yang besar di Wilayah Persekutuan," katanya.

Menyentuh soal calon pula, PAS Wilayah Persekutuan menyerahkan sepenuhnya kepada PAS pusat.

"Siapa calon kita serah kepada pusat untuk tentukan, cuma kita persiapkan jentera," katanya lagi.

Dalam pilihanraya umum lalu, PAS bertanding di dua kawasan Parlimen iaitu Titiwangsa dan Putrajaya.

Di Titiwangsa, Calon PAS Allahyarhamah Dr Lo' Lo' Ghazali menang dengan majoriti 1,972 undi.

Bagaimanapun, calonnya Mohammad Nor sendiri tewas di kerusi Putrajaya dengan majoriti 2,734.

Sementara itu, seramai 200 peniaga Pasar Chow Kit menyerahkan borang keahlian PAS kepada Ustaz Hadi dalam majlis dialog dan minum petang bersama pimpinan PAS.

Majlis itu merupakan salah satu program yang diatur dalam lawatan kerja Ustaz Hadi ke Wilayah Persekutuan hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails