M Faqih | Foto Yusri Amin, | 11 Mei 2012 |
Tunggakan sewa sebanyak RM16,800 gagal dijelaskan kepada pemilik bangunan dan tanah sejak 1 Januari 2008 sehingga sekarang.
Lebih memeranjatkan lagi perjanjian baru yang cuba diajukan kepada pemilik premis terbabit, Hanifah Jusoh, 54 ternyata berat sebelah.
Antaranya pemilik premis perlu membayar bil air dan elektrik setiap bulan, mengecat bangunan, membaik pulih, melakukan kerja-kerja pembersihan dan menginsuranskan bangunan.
Tadika Kemas Haji Wan Fuad itu dibina pada 1995 dan memulakan sesi pengajian pada awal Januari 1996.
“Saya selaku pemilik tanah menandatangani perjanjian dengan Kemas untuk membolehkan bangunan tadika dibina di atas tanah tersebut.
“Segala kos bangunan sebanyak RM45,000 ditanggung Kemas dan dalam tempoh 10 tahun iaitu sehingga 25 Julai 2007 bangunan itu boleh diduduki secara percuma.
“Dan selepas 10 tahun bangunan itu menjadi milik saya sepenuhnya. Dan mulai Januari 2008 saya menjadi pemilik bangunan tadika seperti dipersetujui dalam perjanjian awal,” katanya ketika ditemui semalam.
Pada awal 2010 Kemas menghantar surat bersetuju membayar sewa sebanyak RM500 sebulan dan Hanifah menyatakan persetujuan lisan.
Tidak lama kemudian Kemas menghantar surat kedua meminta dikurangkan sewa kepada RM350 sebulan dan tanpa menyatakan jumlah tunggakan dua tahun yang belum dibayar.
Bangunan Tadika tersebut terletak di lot 3481 GM 277 Mukim Chetok.
Hanifah berkata, Kemas menghantar dokumen perjanjian baru untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Januari 2012 hingga 31 Disember 2014 dengan kadar sewa RM350 sebulan.
“Dokumen baru itu meminta saya membayar bil elektrik, air dan sebagainya. Jadi dengan sewa RM350 apabila ditolak segala kos tersebut hanya tinggal berapa sen untuk saya.
“Lagi pun empat tahun bermula 2008, Kemas tidak pula menyatakan jumlah tungggakan RM16,800 yang sepatutnya dibayar tidak disebut. Jadi bagaimana saya mahu tandatangani perjanjian yang berat sebelah itu,” ujarnya.
Ekoran sikap degil Kemas, Hanifah menghantar notis supaya premis dikosongkan dalam tempoh seminggu pada 16 April lalu.
Menurutnya selepas hampir tiga minggu Kemas gagal menyelesaikan tuntutan tersebut menyebabkan beliau mengunci bangunan berkenaan pada 7 Mei lalu.
Ekoran itu Kemas mengarahkan pelajar bercuti sehingga sekarang. Tindakan Kemas ternyata menimbulkan rasa resah di kalangan ibu bapa.
“Saya telah lama berlembut namun Kemas masih berdegil, jadi saya terpaksa mengambil tindakan mengunci bangunan ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA