Selamat Datang

Memaparkan catatan dengan label kapal selam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kapal selam. Papar semua catatan

Selasa, 22 Mei 2012

Saksi: Jika enggan Interpol boleh tangkap

Harakahdaily, 22 Mei 2012
KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi akan disapina agar datang ke mahkamah Perancis untuk memberikan keterangan.


(Apakah Najib dan Zahid boleh tersenyum lagi di mahkamah Perancis nanti)

Peguam Suaram yang baru pulang dari Perancis Fadiah Nadwa Fikri berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada mahkamah Perancis tentang saksi-saksi yang akan dipanggil itu.

Turut disenaraikan sebagai saksi adalah bekas penasihat Najib, Abdul Razak Baginda dan isterinya Mazlinda.

Jumaat, 4 Mei 2012

Syarikat Razak Baginda di HK mencurigakan

Harakahdaily, 04 Mei 2012
KUALA LUMPUR: Tinjauan Asia Sentinel terhadap syarikat bernama Terasasi di Hong Kong, yang pengarahnya ialah Abdul Razak Baginda dan ayahnya Abdul Mulim Baginda telah mendapati bahawa syarikat itu adalah syarikat misteri yang tidak diketahui punca perniagaannya.


(Abdul Razak dan isteri didakwa pemilik syarikat misteri di Hong Kong)

Terasasi, yang disenaraikan antara 142 syarikat di satu bangunan pada 3 Lockhart Road di Wan Chai Hong Kong cuma disenaraikan sebagai sebuah syarikat tempatan.

Terdahulu Asia Sentinel mendedahkan bahawa syarikat kontroversi tersebut telah digunakan untuk menerima duit komisyen sebanyak Euro 36 juta (RM144 juta) daripada pembelian kapal selam Scorpene daripada sebuah syarikat pertahanan Thales International yang berpusat di Perancis, yang lebih dikenali sebagai Thint Asia.

Khamis, 3 Mei 2012

SPRM perlu siasat dakwaan Najib dapatkan USD1b

Harakahdaily, 03 Mei 2012
KUALA LUMPUR, 3 Mei: Pendakwa Perancis mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mendapat sejumlah USD1 bilion bagi pihak Perimekar daripada syarikat pembuatan kapal Perancis DCNI, iaitu anak syarikat DCN.
Perkara itu didedahkan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dalam satu sidang media tengah hari tadi.

Dalam satu dokumen yang dihantar Francois Dupont bertarikh 1 Jun 2001 sebagai syarat bagi mengadakan satu pertemuan dengan Najib, ketika itu sebagai Menteri Pertahanan pada 14 Julai 2001 kepada kepada D Arnaud.

Menurut kenyataan Suaram, dokumen yang ditandakan nombor 87 dari keseluruhan 153 dokumen itu disita polis Perancis dari pejabat Henri Gide (Thales) pada 28 Mei 2010.

Khamis, 21 Julai 2011

Peguam Perancis bakal dedah pembunuhan Altantuya
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Peguam hak asasi manusia Perancis, William Bourdon, dijangka menghangatkan lagi politik Malaysia apabila beliau akan memberikan ucapan utama di tiga majlis anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bermula malam esok di Pulau Pinang.

Bourdon, peguam Suaram bagi kes pembelian dua kapal selam Scorpene yang penuh kontroversi itu akan menceritakan perkembangan terkini kes itu di sebuah hotel malam esok di Pulau Pinang.

Keesokan harinya pula, Jumaat mulai jam 8 malam, beliau dengan disertai sama oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, akan berucap di majlis kutipan dana untuk membiayai kes ini di Dewan Sivik MPPJ, Petaling Jaya.

Hari Sabtu pula, Bourdon akan ke Ipoh dan akan berucap di satu majlis forum di sebuah tokong Cina di sana.

Bourdon dijangka akan mendedahkan maklumat terkini perkembangan siasatan mahkamah Perancis terhadap pembelian Scorpene itu.

Kedua-dua kapal kapal selam ini yang melibatkan wang rakyat sebanyak RM7.3 bilion dinamakan KD Tuanku Abdul Rahman dan KD Tun Razak. Kedua-duanya mempunyai masalah tersendiri termasuk tidak boleh menyelam di lautan tropika.

Pada 23 Disember 2009, Suaram melalui rangkaian mereka di Perancis telah melantik sekumpulan peguam hak asasi manusia di sana untuk memfailkan aduan kepada sistem keadilan Perancis dengan harapan satu siasatan awal dibuat mengenai pembelian Scorpene ini.

Langkah ini dibuat untuk membolehkan mereka menyiasat bukan sahaja kematian wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu yang dibunuh dengan kejam di Puncak Alam tetapi juga amalan rasuah yang berlaku dan peranannya dalam pembelian kapal selam itu sehingga membawa kepada pembunuhannya.

Altantuya mati dibunuh dengan kejam mengguna peledak C4 oleh dua pegawai polis pengiring yang bertugas dengan Datuk Seri Najib. Razak juga didakwa tetapi terlepas.

Pada bulan April 2010, peguam yang mewakili Suaram memaklumkan, mahkamah Perancis telah menerima permohonan penyiasatan aduan rasuah yang melibatkan pembayaran sebanyak Euro114 juta (USD151.1 juta) yang dibayar oleh syarikat Perancis, DCNS kepada Perimekar, syarikat yang dimiliki rakan Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda.

Peguam Perancis berkenaan telah datang ke Malaysia April lepas untuk mengumpulkan bukti.

Perimekar adalah syarikat Malaysia yang dipercayai dibuka pada tahun 2001, iaitu sebelum kontrak pembelian kapal selam itu ditandatangani. Ia dibuka hanya untuk menerima komisyen dari Malaysia dan juga Perancis.

Isteri kepada Abdul Razak Baginda, Mazlinda, adalah antara yang tersenarai sebagai pengarah syarikat yang dimiliki kawan baik Perdana Menteri ini.

Baru-baru ini, menurut pasukan peguam Perancis ini, wang dari dalam akaun Perimekar telah dipindah ke akaun lain yang tidak diketahui ke mana lagi sehingga kini.

Malam esok, Bourdon (gambar) dijangka akan memaklumkan kepada rakyat Malaysia apakah status kes ini sekarang.

Menurut sumber Suaram ketika dihubungi Harakahdaily, kes ini dijangka akan dibawa ke mahkamah terbuka Perancis seawalnya bulan Ogos tahun ini.

"Ia bergantung kepada majlis kutipan dana untuk membiaya kes ini beberapa malam ini," kata pegawai Suaram ketika dihubungi.

Mohamad Sabu dijadualkan akan turut berucap di Pulau Pinang malam esok tetapi oleh kerana lutut beliau yang dibedah masih belum sembuh sepenuhnya, dia hanya akan menyetai majlis Jumaat ini di Dewan Sivik MPPJ.

Lutut Mohamad cedera apabila motosikal yang dinaikinya dirempuh oleh sebuah land rover polis semasa perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu di ibunegara. Rempuhan ini menyebabkan beliau jatuh dan lututnya cedera.

Beliau menjalani pembedahan ke atas ligamen lututnya yang koyak semasa insiden itu dan mendapatkan rawatan di Hospital Pakar di Shah Alam.

“Saya keluar hospital semalam. Doktor telah menanam 2 1/2 skru disebabkan ligamen saya yang terkoyak. Saya masih sakit dan tidak boleh berjalan….tapi keadaan saya beransur pulih,” kata Mohamad.

Di samping Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua juga akan berucap di samping kartunis Zunar akan membuat lakaran kartun secara langsung malam itu.

"Semua kutipan dari jualan meja dan lelongan kartun ini adalah untuk membiayai kes ini," kata wakil Suaran itu.

Rabu, 24 November 2010

Najib bimbang, siasatan Scorpène semakin meluas


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya mula bimbang sekarang ekoran siasatan yang lebih meluaskan terhadap skandal rasuah dalam pembelian kapal selam buatan Perancis, Scorpène.

Selain Najib, turut mula bimbang adalah pemimpin dari India, China dan Brazil serta pemimpin Perancis termasuklah bekas Presiden, Jacques Chirac, bekas Menteri, Dominique de Villipin dan Edouard Balladur di samping Presiden Perancis sekarang, Nicholas Sarkozy.

Demikian menurut laporan Asian Sentinel semalam dalam laporan yang ditulis oleh Gavin M. Greenwood, seorang konsultan keselamatan yang berpejabat di Hong Kong John Berthelsen, editor Asia Sentinel.

Mungkin persiapan ke arah itulah, pejabat kedutaan Malaysia di Perancis penuh dengan bekas pegawai tentera termasuk dutanya, Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal, 58, yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera. Dr Abdul Aziz menerima watikah perlantikan itu awal Mei 2010 lalu.

Menurut seorang rakyat Malaysia yang berkunjung ke pejabat kedutaan Malaysia di Perancis baru-baru ini dalam urusan kerjanya, apa yang mengejutkan beliau adalah ramainya bekas tentera yang menjadi kakitangan di pejabat kedutaan itu termasuk dutanya.

Beliau tertanya-tanya, kenapa ramai sangat bekas tentera di situ, lalu dia teringat kes kapal selam yang tidak boleh menyelam kat Malaysia dan wanita Monggolia yang mati kerana dibom dengan C4.

Menurut Asian Sentinel, para peguam kepada keluarga 11 jurutera Perancis yang mati dalam serangan bom di Karazchi tahun 2002 lalu, akan memfailkan dakwaan pembunuhan terhadap Chirac dengan mendakwa kejadian itu berpunca dari pembatalan rasuah kepada tentera Pakistan dalam pembelian tiga kapal selam Agosta 90-class untuk tentera laut negara itu.

Sarkozy adalah Menteri Bajet Perancis ketika kerajaan negara itu menjual kapal selam yang dibina oleh gergasi pertahanan Perancis, DCN ( yang kemudiannya dikenali sebagai DCNS) kepada Pakistan dengan nilai USD950 juta.

Pendakwaraya mendakwa, ahli poltik, pegawai tentera dan orang tengah Pakistan menerima jumlah komisyen sehingga Euro2 juta yang kembali semula ke Paris untuk membantu kempen Balladur yang tidak berjaya mengalahkan Chirac itu.

Menteri Bajet, Sarkozy didakwa meluluskan elemen kewangan dalam penjualan kapal selam itu. Ketika itu, beliau adalah jurucakap pasukan kempen presiden Balladur dan menurut media Perancis, mereka telah membuka dua syarikat di Luxembrg untuk menguruskan wang rasuah itu, lapor Sentinel.

Adalah didakwa, apabila Chirac dipilih semula, beliau telah membatalkan pembayaran rasuah itu kepada Pakistan, menyebabkan tindakan serangan membalas dendam ke atas kenderaan yang dinaiki oleh para jurutera Perancis dan tiga rakyat Pakistan itu. Beberapa tahun lamanya, Pakistan menyalahkan serangan itu kepada militan Islam termasuk Al Qaeda.

Salah seorang peguam itu berkata, pihaknya akan menyiasat bagaimana keputusan memghentikan komisyen itu dicapai. Beliau juga mahu memanggil Sarkozy untuk memberikan keterangan namun Presiden Perancis itu dengan marahnya menafikan dakwaan itu.

Sebagai Presiden beliau mempunyai umuniti dan berhak untuk menolak dari dipanggil memberikan keterangan.

DCNS telah menjual Scorpènes kepada Pakistan pada tahun 1994. Malaysia melalui usaha Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak membayar USD1 bilion kepada DCNS untuk memesan kapal selam itu dan pada tahun yang sama, iaitu 2002, ketika para jurutera Perancis itu dibunuh, lapor Sentinel.

Sebagai timbal balas, syarikat yang dimiliki rakan Najib, Abdul Razak Baginda telah dibayar Euro114 juta sebagai 'komisyen'. Ia disahkan dalam satu jawapan di Parlimen Malaysia.

Isu ini menjadi semakin panas apabila Altantuya Shaariibuu, wanita Monggolia yang mendakwa teman wanita Abdul Razak dibunuh dan diletupkan badannya sehingga berkecai dengan C4, peledak yang selalu digunakan oleh tentera.

Altantunya datang ke Malaysia untuk menuntut hak yang dijanjikan kepadanya iaitu USD500,000 dari komisyen yang mereka perolehi ekoran peranannya dalam urusan jual beli kapal selam ini.

Abdul Razak bersama dua pengawal peribadi Najib telah didakwa ekoran kejadian itu namun Abdul Razak telah dibebaskan manakala dua lagi pegawai polis yang menjadi pengawal peribadi itu dijatuhkan hukuman bunuh.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails